Make your own free website on Tripod.com
kembali ke laman utama syarikat.com
 
 
MEMILIH STRUKTUR PERNIAGAAN

Jika anda bercadang memulakan perniagaan atau pengusahaan atau anda telahpun menjalankan perniagaan tetapi bercadang untuk mengembangkannya, anda perlu terlebih dahulu memilih struktur perniagaan yang bersesuaian dengan kehendak anda dan perniagaan anda. Pada amnya terdapat tiga jenis struktur perniagaan yang boleh anda pilih:

  • ketuanpunyaan tunggal
  • perkongsian
  • syarikat

Sebelum membuat pilihan adalah elok anda membanding-bandingkan ciri-ciri perbezaan di antara ketiga-tiga jenis struktur perniagaan tersebut. Kenal pasti kelebihan dan kekurangan tiap-tiap satu daripadanya.

CIRI-CIRI PERBEZAAN
 
(1)    Keanggotaan

Ketuanpunyaan tunggal dianggotai oleh seorang tuan punya (tunggal) sahaja. Perkongsian pula mempunyai ahli yang tidak kurang daripada dua orang dan tidak melebihi dua puluh orang. Syarikat perlu sekurang-kurangnya mempunyai dua orang anggota dan boleh mempunyai bilangan anggota yang tidak terhad, kecuali syarikat anak kepunyaan keseluruhan yang dipunyai keseluruhannya oleh syarikat induknya, boleh mempunyai seorang anggota sahaja. Syarikat persendirian tidak boleh mempunyai bilangan anggota melebihi 50 orang.

(2)    Pemegangan Harta

Harta ketuanpunyaan tunggal adalah harta tuan punyanya. Harta perkongsian adalah harta pekongsi-pekongsi secara bersama. Harta syarikat tidak dipunyai oleh sesiapa, sebaliknya dipunyai oleh syarikat atas namanya sendiri. Walaupun anggota-anggota yang membentuk sesebuah syarikat, tetapi mereka bukanlah pemilik sebenar harta berkenaan.

(3)    Tanggungan Anggota

Tanggungan seseorang tuan punya tunggal terhadap hutang yang ditanggung oleh firmanya adalah sama seperti hutang yang ditanggungnya sendiri. Tanggungan terhadap hutang firma perkongsian pula ditanggung oleh pekongsi-pekongsi secara bersesama. Ahli kedua-dua bentuk firma tersebut menanggung segala tanggungan firma mereka tanpa had. Tanggungan anggota-anggota syarikat ke atas hutang syarikat pada amnya adalah terhad setakat amaun syer tak berbayar yang dipeganginya sahaja.

(4)    Hak dan Obligasi di sisi Undang-undang

Ketuanpunyaan tunggal boleh mendakwa dan didakwa atas nama tuan punyanya. Sesebuah perkongsian pula boleh mendakwa dan didakwa atas nama pekongsi-pekongsinya. Syarikat sebaliknya pula boleh mendakwa dan didakwa atas nama syarikat sendiri. Syarikat boleh mendakwa bagi pihak dirinya sendiri bagi menguatkuasakan haknya. Syarikat hanya boleh didakwa atas namanya sendiri terhadap tanggungan kewajipannya. Anggota-anggota atau pengarah-pengarah atau mana-mana pegawai syarikat tidak boleh mengambil tindakan undang-undang bagi pihak syarikat dan sebaliknya tidak pula boleh didakwa sebagai mewakili syarikat.

(5)    Hayat dan Pembubaran

Sesebuah ketuanpunyaan tunggal dilahirkan oleh tuan punyanya dan akan secara automatik terbubar dengan kematian tuan punyanya atau dibubar oleh tuan punyanya. Bagi firma perkongsian, hayatnya bergantung kepada hayat 'perkongsian' di antara pekongsi-pekongsi. Sesebuah perkongsian akan terbubar apabila pekongsi-pekongsinya mengambil tindakan membubarkannya. Syarikat pula dilahirkan oleh proses undang-undang dan hanya akan mengakhiri hayatnya juga melalui proses undang-undang. Selagi belum melalui proses penggulungan dan dibubarkan kemudiannya, syarikat terus hidup walaupun tanpa perniagaan yang dijalankan, tanpa pengarah-pengarah, hatta tanpa anggota-anggotanya sekalipun. Syarikat terus hidup secara sendirinya tanpa bergantung kepada sesiapa. Hanya undang-undang sahaja yang boleh mengakhirkan hayatnya.

(6)    Struktur dan Ciri-ciri Modal

Modal perniagaan ketuanpunyaan tunggal adalah nilai wang atau aset yang disumbangkan oleh tuan punya tunggal. Seseorang tuan punya tunggal tidak boleh mendapatkan modal daripada orang lain kecuali melalui pinjaman. Dalam perkongsian, modal boleh disumbangkan oleh pekongsi-pekongsi secara kolektif dan sebarang pemulangan modal akan mengeluarkan seseorang pekongsi itu daripada perkongsian. Jumlah yang perlu disumbangkan sebagai modal perkongsian bergantung kepada Perjanjian Perkongsian yang sama-sama dipersetujui sesama rakan kongsi. Modal syarikat merupakan modal yang dibayar kepada syarikat oleh anggota-anggotanya. Sebagai balasan kepada sumbangan tersebut, anggota-anggota berkenaan akan memperoleh syer dan memegngnya, sambil melayakkannya sebagai anggota syarikat. Modal tidak boleh dipulangkan kepada pemegang syer.

(7)    Kuasa Pengurusan

Tuan punya tunggal adalah pengurus sepenuh dan semutlaknya.Kuasa pengururusan keseluruhannya tetap terletak kepadanya.Dalam sesebuah perkongsian,biasanya pengurusan perniagaan dikendalikan secara bersama diantara sesama pekongsi,kecualilah jika terdapat pekongsi yang memilih untuk menjadi pekongsi lelap.Semua keputusan pengurusan dibuat secara kolektif dan biasanya melambangkan sumbangan modal atau kepakaran yang disumbangkan oleh pekongsi tertentu berasaskan kepada Perjanjiaan Perkongsian.Sebagai orang buatan undang-undang,syarikat tidak boleh mengurus dirinya dan perlu diurus oleh pemegang syernya.Syarikat perlu diurus oleh pengarah-pengarahnya yang bertanggungjawab dalam segala tindakan pengurusannya kepada anggota-anggota syarikat keseluruhannya.Walaupun anggota-anggota mempunyai kuasa untuk melantik dan menyingkirkan pengarah-pengarah, tetapi tidak mempunyai hak mutlak untuk menjadi pengarah dan masuk campur dalam urusan pengurusan syarikat. Pada amnya pemegang-pemegang syer terpisah daripada kuasa pengurusan syarikat.Semuanya diserahkan kepada pengarah-pengarah untuk mengurus dan mengawalnya.Jika sesuatu keputusan pengurusan itu,tidak dipersetujui oleh pemegang-pemegang syer,apayang boleh mereka lakukan,menyoal keputusan-keputusan pengarah-pengarah itu dalam mesyuarat agung atau mengantikan saja pengarah-pengarah yang ada dengan orang lain.    

(8)     Mekanisme

Ketuanpunyaan tunggal digerakkan oleh tuan punyanya secara tunggal. Perniagaan perkongsian digerakkan oleh pekongsi-pekongsi secara kolektif, Mekanisme syarikat digerakkan oleh dua organnya, iaitu pengarah-pengarah dalam lembaga pengarah dan anggota-anggota dalam mesyuarat agung. Terdapat pembahagian kuasa yang jelas di antara lembaga pengarah dengan mesyuarat agung. Urusan perniagaan syarikat biasanya diserahkan untuk diuruskan oleh pengarah-pengarah dalam kedudukan mereka sebagai lembaga pengarah. kuasa-kuasa yang menyentuh perlembagaan syarikat biasanya diserahkan kepada anggota-anggota untuk meluluskannya.

(9)    Perlembagaan Bertulis

Perniagaan seseorang tuan punya tunggal tidak memerlukan kepada perlembagaan bertulis. Apa yang difikirkannya patut boleh sahaja dilakukannya tanpa perlu mengambil tahu mengenai kuasa yang ada padanya kerana seseorang tuan punya punya tunggal itu mempunyai kuasa mutlak keatas perniagaannya. Sesebuah perkongsian [walaupun boleh ditubuhkan dengan persetujuan dan persefahaman lisan], tetapi biasanya mempunyai Perjanjian  Perkongsian yang membentuk ikatan perkongsian diantara pekongsi-pekongsi dan menggariskan hak,kewajipan dan obligasi pekongsi-pekongsi.Syarikat, sebagai orang buatan undang-undang,tidak mempunyai fikirannya sendiri untuk memutuskan mengenai apa yang diperlu dilakukan olehnya.Syarikat perlu mempunyai perlembagaan bertulis dalam bentuk Memorendum dan Perkara-perkara Persatuan.Kedua-dua dokumen ini menampilkan strukturnya,menetapkan objektif penubuhannya,menetapkan kuasanya[dan kepada siapa kuasa itu diserahkan],dan,membentangkan peraturan dalaman syarikat yang perlu dipatuhi oleh pengarah-pengarah,pegawai-pegawainya yang lain dan anggota-anggotanya.

(10)    Kuasa Meminjam

Seseorang tuan punya tunggal boleh meminjam daripada perniagaannya atau sebaliknya memberikan pinjaman kepada perniagaannya mengikut apa yang difikirkan patut. Dalam perkongsian, pekongsi-pekongsi boleh membuat pinjaman daripada perkongsian mereka atau meminjam  kepada perkongsian mereka seperti mana yang diersetujui sesama mereka. Bagi syarikat, pengarah-pengarah perlu mematuhi beberapa peraturan dan undang-undang tertentu dalam urusan pinjaman, sama ada daripada syarikat atau kepada syarikat. Syarikat perlu mempunyai kuasa meminjam dan kemudiannya perlu pula mewakilkan kepada pengarah-pengarah kuasa meminjam tersebut supaya pengarah-pengarah mempunyai kausa untuk meminjam bagi pihak syarikat.

(11)    Kawalan dan Penguasaan

Seorang tuan punya tunggal menguasai perniagaannya secara mutlak. Dalam perkongsian, bentuk penguasaan ditentukan melalui Perjanjian Perkongsian atau persefahaman bersama. Dalam syarikat, biasanya yang majoriti akan menguasai sesebuah perkongsian atau syarikat. Walaupun begitu undang-undang melindungi pihak minoriti daripada sebarang bentuk penindasan, penepian kepentingan, ketidakadilan atau diskriminasi.

(12) Kewajipan Mendedahkan Maklumat

Ketuanpunyaan tunggal dan perkongsian tidak perlu mendedahkan apa-apa maklumatnya (seperti penyediaan akaun, pengauditan akaun dan pendedahan maklumat) kepada awam. Syarikat perlu mendedahkan hal-ehwal korporatnya kepada awam dengan mengemaskinikan daftar maklumatnya di pejabat berdaftarnya dan menyerahkan penyata dan dokumen kepada Pendaftar Syarikat untuk didedahkan kepada awam.

SIFAT ASASI SYARIKAT

Undang-undang merujuk syarikat sebagai 'orang'. Bukan 'orang biasa' seperti manusia tetapi 'orang buatan' atau lebih tepat lagi 'orang buatan undang-undang'. Apakah yang dimaksudkan dengan orang? 'Orang' di sisi undang-undang mempunyai dua ciri utama:
 

  • mempunyai hak untuk bertindak, dan
  • mempunyai hak untuk memiliki harta

Syarikat mempunyai hak untuk bertindak dan memiliki harta atas namanya sendiri. Syarikat boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menguatkuasakan haknya, dan dalam masa yang sama boleh juga diambil tindakan undang-undang oleh orang lain. Syarikat juga boleh memiliki harta atas namanya sendiri, bukannya atas nama pemegang-pemegang syer, pengarah-pengarah atau sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan atau kepentingan dengan syarikat. Dengan memiliki keseluruhan syer dalam syarikat tidaklah bermakna bahawa seseorang pemegang syer itu memiliki keseluruhan harta syarikat.

Syarikat adalah suatu entiti undang-undang. Syarikat wujud secara sendiri, berasingan daripada penaja-penaja yang mengurusnya dan pemegang-pemegang syer yang menganggotainya. Sebaik sahaja syarikat diperbadankan, seolah-olah suatu tabir direntang, yang mengasingkan syarikat dengan penaja-penaja, pengarah-pengarah, pemegang-pemegang syer dan sesiapa sahaja yang berkepentingan dalamnya.