Make your own free website on Tripod.com
ke laman utama syarikat.com ke Kuliah Asas 2
 
 
Memilih struktur perniagaan

Jika anda bercadang untuk memulakan perniagaan atau anda telah pun menjalankan perniagaan tetapi anda ingin mengembangkannya, langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah, memilih struktur perniagaan yang dapat memenuhi cita rasa anda dan perniagaan anda. Anda mungkin bercadang menjalankan perniagaan secara tunggal kerana barangkali anda mampu menyediakan modal secara sendirian, tanpa perlu berkongsi dengan orang lain atau barangkali juga anda tidak berminat untuk berkongsi dengan orang lain. Jika itu cita rasa anda, anda tidak punya pilihan lain selain daripada mendaftarkan struktur perniagaan anda dalam bentuk 'ketuanpunyaan tunggal'.

Tetapi jika sebaliknya anda perlu atau cenderung untuk berkongsi dengan orang lain, sama ada kerana anda perlukan sokongan modal yang mencukupi daripada orang lain, atau pun, anda ingin berkongsi pengurusan dan kepakaran dengan orang lain, atau pun, sememangnya anda gemar berkongsi dengan orang lain, anda mempunyai dua pilihan: sama ada mendaftar sebuah 'perkongsian' atau pun memperbadankan sebuah 'syarikat'.

SYARIKAT, KETUANPUNYAAN TUNGGAL DAN PERKONGSIAN

Ciri-ciri perbandingan

Daripada tiga pilihan struktur perniagaan yang ada, ketuanpunyaan tunggal, perkongsian dan syarikat, yang mana satu menjadi pilihan anda? Satu persoalan yang bukan mudah untuk dibuat penentuan. Sebagai pedoman, setiap satu jenis struktur perniagaan tersebut mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak kurang juga mempunyai beberapa kelemahan. Segalanya bergantung kepada kehendak anda dan keperluan perniagaan anda. Kadangkala sesuatu struktur perniagaan itu bersesuaian dengan cita rasa anda atau rakan perniagaan anda, tetapi tidak bersesuaian pula dengan jenis perniagaan yang akan anda jalankan. Pada amnya, anda hanya mungkin dapat membuat pemilihan yang bijaksana, jika anda dapat membandingkan ciri-ciri setiap struktur perniagaan tersebut sambil memahami ciri-ciri perbezaan di antara ketiga-tiganya.

Ciri-ciri umum

Ketuanpunyaan tunggal dan perkongsian merupakan struktur perniagaan yang bersifat ‘tertutup’ dan lebih ‘sentimental’ dengan pemunyanya. Dalam kedua-dua struktur perniagaan itu, anda melaburkan wang dalam perniagaan anda, yang hasilnya semua keuntungan daripada perniagaan adalah menjadi milik anda. Seiring dengan itu juga semua kerugian, hutang dan obligasi perniagaan itu adalah menjadi tanggungan anda. Sebaliknya syarikat merupakan suatu struktur perniagaan yang lebih ‘terbuka’ sifatnya, dan oleh itu adalah menjadi hak sesiapa sahaja yang memegang syer dalamnya dari masa ke semasa. Kalau hari ini andalah ‘pemunya’nya, mungkin esok, lusa atau pada bila-bila masa saja, syarikat berkenaan akan menjadi ‘kepunyaan’ orang. Walaupun anda yang membentuknya, tetapi syarikat mempunyai kewujudan yang tersendiri, yang boleh hidup dan terurus tanpa anda. Secara umumnya, anda boleh mendakwa bahawa sesuatu ketuanpunyaan tunggal itu milik anda atau pun anda boleh mengatakan bahawa sesuatu perkongsian itu sebahagiannya adalah kepunyaan anda, tetapi anda tidak boleh mengatakan bahawa sesebuah syarikat itu milik anda, kerana syarikat boleh berubah-ubah ‘pemunya’nya setiap kali pemegangan syer bertukar tangan.

1. Keanggotaan

Daripada namanya sahaja sudah menunjukkan bahawa ketuanpunyaan tunggal dianggotai oleh seorang tuan punya (tunggal) sahaja. Perkongsian pula mempunyai ahli yang tidak kurang daripada dua orang dan tidak melebihi dua puluh orang. Sebaliknya, syarikat perlu sekurang-kurangnya mempunyai dua orang anggota dan boleh mempunyai bilangan maksimum anggota yang tidak terhad. Walau bagaimanapun, sesebuah anak syarikat kepunyaan keseluruhan yang dipunyai keseluruhannya oleh syarikat induknya, boleh mempunyai seorang anggota sahaja (iaitu syarikat induknya). Bagi syarikat persendirian pula, bilangan maksimum anggotanya tidak boleh melebihi lima puluh orang. Kehendak minimum mengenai bilangan anggota sesebuah syarikat adalah sesuatu yang menentukan hayatnya, kerana jika sesebuah syarikat terus menjalankan perniagaan sedangkan bilangan anggotanya telah selama lebih daripada enam bulan menjadi kurang daripada dua anggota, syarikat boleh digulung.

2. Pemegangan harta

Harta ketuanpunyaan tunggal adalah harta tuan punyanya. Harta sesebuah perkongsian pula adalah harta pekongsi-pekongsi secara bersama. Sebaliknya, harta syarikat tidak dipunyai oleh sesiapa, melainkan syarikat, atas namanya sendiri. Undang-undang membenarkan syarikat memegang harta atas namanya sendiri. Biarpun anggota-anggotanya yang membentuk sesebuah syarikat, tetapi mereka bukanlah pemilik sebenar harta berkenaan.

Jika anda seorang pemegang syer sesebuah syarikat, tidaklah bermakna bahawa harta syarikat berkenaan adalah harta anda. Anda hanya mempunyai kepentingan dalam syarikat selama anda masih memegang syer dalam syarikat. Anda tidak mempunyai apa-apa kepentingan pun ke atas harta syarikat. Biarpun keseluruhan syer syarikat berkenaan dipegang oleh anda.

3. Liabiliti anggota-anggota

Liabiliti (atau boleh juga disebut sebagai ‘tanggungan’) seseorang tuan punya tunggal terhadap hutang yang ditanggung oleh firmanya adalah sama saja seperti hutang yang ditanggungnya sendiri. Liabiliti terhadap hutang firma perkongsian pula ditanggung oleh pekongsi-pekongsi secara bersesama. Ahli-ahli kedua-dua bentuk firma tersebut menanggung segala liabiliti firma mereka tanpa had. Kedudukan liabiliti anggota-anggota syarikat pula adalah berbeza. Liabiliti terhadap hutang syarikat ditanggung sepenuhnya oleh syarikat. Liabiliti anggota-anggota ke atas hutang syarikat adalah pada amnya terhad (melainkan bagi syarikat tidak berhad). Bagi syarikat sendirian berhad, tanggungan anda sebagai anggota syarikat adalah hanya terhad setakat amaun yang tak berbayar bagi syer yang anda pegang. Ini bermakna, jika semua syer yang anda pegangi telah anda bayar sepenuhnya atau dalam erti kata lain anda memperolehnya secara tunai berbayar penuh, bermakna bahawa anda tidak mempunyai apa-apa tanggungan lagi terhadap apa-apa hutang syarikat. Jika syarikat anda terhutang kepada pemiutang, semasa penggulungan nanti, anda tidak perlu menyumbangkan kepada aset syarikat anda walau sesenpun. Sebaliknya jika syer yang anda perolehi dalam syarikat masih terdapat baki yang masih belum berbayar, maka jika syarikat anda digulung, pemiutang boleh menuntut sejumlah amaun syer anda yang tak berbayar itu untuk disumbangkan kepada aset syarikat.

4. Hak dan obligasi di sisi undang-undang

Ketuanpunyaan tunggal boleh mendakwa dan didakwa atas nama tuan punyanya. Sesebuah perkongsian pula boleh mendakwa dan didakwa atas nama pekongsi-pekongsinya. Syarikat pula boleh mendakwa dan didakwa atas nama syarikat sendiri. Syarikat boleh mendakwa bagi pihak dirinya sendiri bagi menguatkuasakan haknya, dan juga hanya boleh didakwa atas namanya sendiri terhadap liabiliti kewajipannya. Anggota-anggota atau pengarah-pengarah atau mana-mana pegawai syarikat tidak boleh mengambil tindakan undang-undang bagi pihak syarikat dan sebaliknya tidak pula boleh didakwa sebagai mewakili syarikat. Sebagai pemegang syer (anggota) atau pengarah atau pegawai syarikat, anda tidak boleh didakwa bagi pihak syarikat untuk menguatkuasakan hak syarikat anda dan anda juga tidak boleh didakwa oleh orang lain kerana kesalahan syarikat anda hanya kerana anda seorang pemegang syer (anggota) atau pengarah atau pegawai syarikat. Syarikat anda sendiri yang akan mendakwa, dan syarikat anda sendiri juga yang akan didakwa. Bukannya anda!

5. Hayat dan pembubaran

Sesebuah ketuanpunyaan tunggal dilahirkan oleh tuan punyanya dan akan secara automatik terbubar dengan kematian tuan punyanya atau dibubar oleh tuan punyanya. Begitu juga dengan firma perkongsian, hayatnya bergantung kepada hayat ‘perkongsian’ di antara pekongsi-pekongsi. Sesebuah perkongsian akan terbubar apabila pekongsi-pekongsinya mengambil tindakan untuk membubarkannya. Syarikat pula dilahirkan oleh proses undang-undang dan hanya akan mengakhiri hayatnya juga melalui proses undang-undang. Selagi belum melalui proses penggulungan dan dibubarkan kemudiannya, syarikat terus hidup walaupun tanpa perniagaan yang dijalankan, tanpa pengarah-pengarah, hatta tanpa anggota-anggotanya sekalipun. Syarikat terus hidup secara sendirinya tanpa bergantung kepada sesiapa. Hanya undang-undang sahaja yang boleh mengakhirkan hayatnya. Anda tidak boleh mengatakan bahawa syarikat anda telah ditutup atau mati hanya kerana tiada sebarang perniagaan dijalankan, samalah seperti anda tidak boleh mengatakan seseorang itu telah mati hanya kerana dia tidak melakukan apa-apa kerja! Jika anda menjual syer anda kepada orang lain (atau memberikan sahaja syer anda kepada orang lain) anda tidak mempunyai apa-apa kepentingan lagi dalam syarikat tersebut, tetapi syarikat berkenaan terus kekal walaupun pemegang-pemegang syernya atau pengarah-pengarahnya telah bertukar. Identiti syarikat tidak berubah walaupun terdapat pertukaran pemegang syer atau pengarah atau status atau namanya.

6. Struktur dan ciri-ciri modal

Modal adalah apa yang anda sumbangkan kepada perniagaan anda sama ada dalam bentuk wang tunai atau pun nilai aset. Modal sesuatu perniagaan ketuanpunyaan tunggal adalah nilai wang atau aset yang disumbangkan oleh tuan punya tunggal. Seseorang tuan punya tunggal tidak boleh mendapatkan modal daripada orang lain kecuali melalui pinjaman. Modal sesuatu perniagaan boleh dikeluarkan oleh seseorang tuan punyanya. Dalam banyak hal modal sesuatu perniagaan ketuanpunyaan tunggal mempunyai persamaan dengan sesebuah perkongsian. Bezanya cuma, dalam perkongsian, modal boleh disumbangkan oleh pekongsi-pekongsi secara kolektif dan sebarang pemulangan modal akan mengeluarkan seseorang itu daripada perkongsian dan jumlah yang perlu anda sumbangkan sebagai modal perkongsian bergantung kepada Perjanjian Perkongsian yang sama-sama anda persetujui dengan rakan kongsi yang lain. Bagi syarikat, modal merupakan modal yang dibayar kepada syarikat oleh anggota-anggotanya, dan sebagai balasan kepada sumbangan tersebut, anggota-anggota berkenaan akan memperoleh syer dan memegangnya, sambil melayakkannya sebagai anggota syarikat. Pada amnya (kecuali bagi 'syarikat tidak berhad'), modal tidak boleh dipulangkan kepada pemegang syer. Jika anda menyumbangkan modal kepada syarikat dan memperoleh syer dalam syarikat, anda tidak boleh menuntutnya kembali. Apa yang boleh anda lakukan hanyalah dengan menjual syer anda itu kepada orang lain dan memperoleh wang daripada urus niaga berkenaan.

7. Kuasa pengurusan

Sebagai tuan punya tunggal, andalah pengurus sepenuh dan semutlaknya. Walaupun anda boleh mendapatkan khidmat orang lain untuk mengurus perniagaan anda, tetapi kuasa pengurusan keseluruhannya tetap terletak kepada anda. Dalam sesebuah perkongsian, biasanya pengurusan perniagaan dikendalikan secara bersama di antara sesama pekongsi, kecualilah jika terdapat pekongsi yang memilih untuk menjadi ‘pekongsi lelap’. Semua keputusan pengurusan dibuat secara kolektif dan biasanya melambangkan sumbangan modal atau kepakaran yang disumbangkan oleh pekongsi tertentu berasaskan kepada Perjanjian Perkongsian. Sebagai 'orang buatan undang-undang', syarikat tidak boleh mengurus dirinya sendiri dan perlu diurus oleh pemegang syernya. Syarikat perlu diurus oleh pengarah-pengarahnya yang bertanggungjawab dalam segala tindakan pengurusannya kepada anggota-anggota syarikat keseluruhannya. Anggota-anggota syarikat walaupun mempunyai kuasa untuk melantik dan meyingkirkan pengarah-pengarah, tetapi tidak mempunyai hak mutlak untuk menjadi pengarah dan masuk campur dalam urusan pengurusan syarikat. Pada amnya pemegang-pemegang syer terpisah daripada kuasa pengurusan syarikat. Semuanya diserahkan kepada pengarah-pengarah untuk mengurus dan mengawalnya. Jika sesuatu keputusan pengurusan itu tidak dipersetujui oleh pemegang-pemegang syer, apa yang boleh mereka lakukan ialah, dengan menyoal keputusan-keputusan pengarah-pengarah itu dalam mesyuarat agung atau menggantikan saja pengarah-pengarah yang ada dengan orang lain.

8. Mekanisme

Mekanisme ketuanpunyaan tunggal digerakkan oleh tuan punyanya secara ‘tunggal’. Bagi perkongsian pula, mekanisme perniagaan digerakkan oleh pekongsi-pekongsi secara kolektif. Mekanisme syarikat agak unik kerana ianya digerakkan oleh dua ‘organ’nya, iaitu pengarah-pengarah dalam lembaga pengarah dan anggota-anggota dalam mesyuarat agung. Terdapat pembahagian kuasa yang jelas di antara lembaga pengarah dengan mesyuarat agung, tetapi urusan perniagaan syarikat biasanya diserahkan untuk diuruskan oleh pengarah-pengarah dalam kedudukan mereka sebagai lembaga pengarah. Walau bagaimanapun, kuasa-kuasa yang menyentuh perlembagaan syarikat biasanya diserahkan kepada anggota-anggota untuk meluluskannya.

9. Perlembagaan bertulis

Perniagaan seseorang tuan punya tunggal tidak memerlukan kepada perlembagaan bertulis. Apa yang difikirkannya patut boleh sahaja dilakukannya tanpa perlu mengambil tahu mengenai kuasa yang ada padanya kerana seseorang tuan punya tunggal itu mempunyai kuasa mutlak ke atas perniagaannya. Perkongsian pula mempunyai sedikit perbezaan dengan ketuanpunyaan tunggal. Sesebuah perkongsian, walaupun boleh saja ditubuhkan dengan persetujuan dan persefahaman lisan, tetapi biasanya mempunyai Perjanjian Perkongsian yang membentuk ikatan perkongsian di antara pekongsi-pekongsi dan menggariskan hak, kewajipan dan obligasi pekongsi-pekongsi.

Syarikat, walaupun mempunyai kewujudan yang tersendiri, tetapi sebagai ‘orang buatan undang-undang’, syarikat tidak mempunyai fikirannya sendiri untuk memutuskan mengenai apa yang perlu dilakukan olehnya. Oleh itu syarikat perlu mempunyai perlembagaan bertulis dalam bentuk Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan yang menampilkan strukturnya kepada orang luar sambil menetapkan objektif penubuhannya dan kuasanya serta kepada siapa kuasanya itu diserahkan, dan yang paling membentangkan peraturan dalaman syarikat yang perlu dipatuhi oleh pengarah-pengarah, pegawai-pegawainya yang lain dan anggota-anggotanya.

10.Kuasa meminjam

Seseorang tuan punya tunggal boleh meminjam daripada perniagaannya atau sebaliknya memberikan pinjaman kepada perniagaannya mengikut apa yang difikirkannya patut. Dalam perkongsian pula, pekongsi-pekongsi boleh membuat pinjaman daripada perkongsian mereka atau meminjam kepada perkongsian mereka seperti mana yang dipersetujui sesama mereka. Tetapi bagi syarikat, pengarah-pengarah perlu mematuhi beberapa peraturan dan undang-undang tertentu dalam urusan pinjaman, sama ada daripada syarikat atau kepada syarikat. Syarikat perlu mempunyai kuasa meminjam dan kemudiannya perlu pula mewakilkan kepada pengarah-pengarah kuasa meminjam tersebut supaya pengarah-pengarah mempunyai kuasa untuk meminjam bagi pihak syarikat. Liabiliti terhadap hutang perniagaan ketuanpunyaan tunggal ditanggung sepenuhnya oleh tuan punyanya dan dalam perkongsian pula hutang perkongsian ditanggung bersama oleh pekongsi-pekongsinya. Bagi syarikat, biar sebanyak manapun hutang yang ditanggung oleh syarikat, liabiliti pemegang-pemegang syer dan pengarah-pengarah tidak berubah.

11.Kawalan dan penguasaan

Seorang tuan punya tunggal menguasai perniagaannya secara mutlak. Dalam perkongsian atau syarikat, biasanya yang majoriti akan menguasai sesebuah perkongsian atau syarikat. Perlindungan minoriti oleh undang-undang untuk melindungi pemegang-pemegang syer terlalu sukar untuk dikuatkuasakan. Dalam perkongsian juga, pekongsi yang lebih lama dalam perkongsian dan memegang majoriti daripada sumbangan modal, tetap menguasai perniagaan perkongsian tetapi yang minoriti pasti juga mendapat bahagiannya. Dalam sesebuah syarikat, biasanya yang majoriti mempunyai kuasa yang luas untuk menguasai dan mempengaruhi pembuat keputusan syarikat dan biasanya meninggalkan pemegang-pemegang syer minoriti berada dalam kedudukan yang tidak boleh membuat apa-apa, cuma menunggu habuan daripada ehsan pihak majoriti sahaja.

12.Kewajipan mendedahkan maklumat

Baik ketuanpunyaan tunggal mahupun perkongsian, tidak perlu mendedahkan apa-apa maklumatnya kepada orang luar. Undang-undang tidak menghendaki kedua-dua bentuk struktur perniagaan itu untuk menyediakan akaun, mengauditkan akaun dan mendedahkan maklumat tertentu kepada awam. Syarikat, sebagai institusi masyarakat, lebih terbuka sifatnya. Syarikat perlu mendedahkan hal-ehwal korporatnya kepada awam dengan mengemaskinikan daftar maklumatnya di pejabat berdaftarnya dan menyerahkan penyata dan dokumen kepada Pendaftar Syarikat untuk didedahkan kepada awam.

RUJUKAN

A. AKTA SYARIKAT 1965

Seksyen 5B.

Seksyen 14 (1), (3).

Seksyen 15 (1).

Seksyen 16 (5).

Seksyen 36.

Seksyen 98.

Seksyen 103.

Seksyen 181.

Seksyen 214 (1)(d).

Perkara 73, Jadual A, Jadual Ke-4.

B. KES-KES MAHKAMAH

Abdul Aziz bin Atan & 87 YL lwn Ladang Rengo Malay Estate Sdn. Bhd. (1985) 2 MLJ 165.

Darmouth College lwn Woodward N.H. (1819) 4 Wheat 518, mengikut Marshall CJ.

Foss lwn Harbottle (1843) 2 Hare 461.

Guiness lwn Land Corporation of Ireland (1882) 22 Ch. D. 349.

Macaura lwn Northern Assurance Co. Ltd (1925) A.C. 619.

Noel Tedman Holdings Pty Ltd, Re (1967), QDR 561.

Roberts lwn Coventry Corporation (1947) 1 All E.R. 308.

Salomon lwn A Salomon & Co. Ltd (1897) A.C. 22.

Shaw (John) & Sons (Salford) Ltd lwn Shaw (1935) 2 K.B. 113.

Stepney Corporation lwn Osofsky (1937) 3 All E.R. 289 pd. ms. 291 C.A., mengikut Greer LJ.