Tanggungjawab mendedahkan maklumat
korporat Dengan
memperbadankan sebuah syarikat, anda mendapat suatu
keistimewaan yang tidak dapat anda perolehi daripada
struktur perniagaan yang lain, iaitu liabiliti anda
sebgai anggota syarikat adalah terhad. Terhad dalam erti
kata bahawa tanggungan anda ke atas tanggungan syarikat
adalah terhad kepada amaun syer pegangan anda yang belum
berbayar sahaja. Biar betapa beratpun tanggungan
syarikat, anda tidak menumpang bebannya. Asal saja anda
membayar secara tunai berbayar penuh atas tiap-tiap syer
yang anda pegangi, anda bebas daripada sebarang
tanggungan! Walaupun begitu, keistimewaan yang anda
perolehi dengan memperbadankan syarikat, terpaksa anda
balasi dengan terpaksa pula mendedahkan maklumat korporat
syarikat anda kepada awam. Undang-undang memberikan
keistimewaan liabiliti terhad kepada syarikat dan dalam
masa yang sama, sebagai imbangannya syarikat diehendaki
pula untuk mendedahkan maklumat korporatnya kepada awam.
Kenapa perlunya syarikat
mendedahkan maklumat korporatnya kepada awam? Pendedahan
maklumat korporat adalah penting bagi melindungi
kepentingan pelabur (yang terdiri daripada
pemegang-pemegang syer dan pemegang-pemegang debentur),
pemiutang, pekerja, pengguna dan orang awam. Kelima-lima
kumpulan dalam 'masyarakat korporat' ini perlu dilindungi
oleh undang-undang daripada tindak-tanduk syarikat yang
akan memberikan kesan langsung atau tidak langsung kepada
mereka. Apatah lagi dengan wujudnya pemusatan kawalan
pengurusan di kalangan segelintir golongan pengurus yang
dikenali sebagai pengarah-pengarah syarikat, satu-satunya
cara terbaik yang dapat dilakukan oleh undang-undang
ialah dengan mewajibkan syarikat mendedahkan maklumat
korporatnya menurut kehendak Akta Syarikat 1965.
BENTUK-BENTUK
PENDEDAHAN MAKLUMAT KORPORAT
Maklumat korporat syarikat
didedahkan melalui tiga cara yang utama: melalui pejabat
berdaftar atau Pejabat Pendaftar Syarikat atau dengan
cara penerbitan nama pada dokumen urus niaga, atau
peragaan nama syarikat di pejabat, pejabat berdaftar atau
tempat syarikat menjalankan perniagaan.
Pendedahan
di Pejabat Berdaftar
Syarikat anda perlu
mendedahkan maklumat korporatnya dalam bentuk daftar dan
dokumen-dokumen tertentu di pejabat berdaftarnya.
Maklumat korporat syarikat anda yang tersimpan di pejabat
berdaftar merupakan maklumat korporat yang asal, kerana
hampir semua maklumat korporat syarikat anda bermula di
sini. Walau bagaimanapun, pejabat berdaftar syarikat anda
masih kurang berkesan sebagai ejen pendedahan maklumat
korporat kerana akses atau keterbukaannnya kepada awam
adalah terhad. Tidak semua orang awam dan tidak semua
maklumat korporat syarikat yang boleh dirujuk di pejabat
berdaftar.
Pendedahan
di Pejabat Pendaftar Syarikat
Maklumat korporat yang
asal diwujudkan dan disimpan di pejabat berdaftar
didedahkan semula dalam bentuk penyata, dokumen, notis
dan akaun di Pejabat Pendaftar Syarikat. Biarpun maklumat
korporat yang tersimpan di sini adalah bersifat
'sekunder', tetapi maklumat berkenaan terbuka kepada
semua orang awam. Semua orang berhak untuk menyemak
maklumat korporat syarikat yang ada dengan dikenakan fee
tertentu dan boleh juga memperoleh salinan dokumen
syarikat serta lembaran maklumat korporat syarikat.
Penerbitan
dan peragaan nama syarikat
Nama syarikat anda perlu
dizahirkan pada semua bentuk dokumen syarikat. Nama
syarikat anda juga perlu diperagakan di pejabat berdaftar
dan pejabat-pejabat lain atau tempat perniagaan syarikat
anda. Penzahiran nama syarikat pada dokumen dan
tempat-tempat berkenaan merupakan satu bentuk pendedahan
yang berkesan mengenai identiti dan aktiviti sesebuah
syarikat kepada khalayak umum.
Prinsip
Notis konstruktif
Pendedahan maklumat
korporat dalam fail syarikat di Pejabat Pendaftar
Syarikat adalah sejajar dengan prinsip 'notis
konstruktif'. Mengikut prinsip ini, oleh kerana orang
awam mempunyai peluang untuk memeriksa dokumen dalam fail
syarikat di Pejabat Pendaftar Syarikat, maka
undang-undang mengandaikan yang seseorang itu telah
memeriksa fail syarikat dan tahu mengenai kandungannya
sebelum seseorang itu berurusan dengan syarikat
berkenaan, biarpun seseorang itu tidak pernah melihat
atau memahaminya. Jika anda berurusan dengan sesebuah
syarikat, undang-undang mengandaikan yang anda mengetahui
mengenai maklumat korporat syarikat berkenaan yang
terkini. Undang-undang telah mengandaikan yang anda telah
memperoleh maklumat korporat syarikat berkenaan yang
terkini daripada Pejabat Pendaftar Syarikat, walaupun
anda tidak mengetahuinya, tidak memahaminya atau anda
tidak pernah walau sekali pun memperolehinya. Prinsip
notis konstruktif ini begitu penting jika anda berurusan
dengan sesebuah syarikat, kerana anda sekurang-kurangnya
perlu mengetahui mengenai keupayaan syarikat berkenaan
untuk berkontrak, kuasa pengarah sebagai ejennya, daftar
gadaiannya, kelulusan dan ketetapan mesyuarat agungnya.
Anda juga perlu kepada maklumat korporat yang lain,
seperti akaun syarikat dan anda barangkali juga perlu
menyemak dokumen-dokumen am yang lainnya berkaiatan
dengan sesebuah syarikat, walaupun maklumat-maklumat
korporat berkenaan tidak termasuk dalam prinsip 'notis
konstruktif'.
FUNGSI
PEJABAT BERDAFTAR
'Pejabat Berdaftar' adalah
'rumah' bagi syarikat anda. Syarikat perlu mempunyai
pejabat berdaftar di dalam Malaysia daripada tarikh
syarikat memulakan perniagaan atau dalam tempoh 14 hari
daripada tarikh pemerbadanannya. Pejabat berkenaan perlu
sentiasa dibuka kepada orang awam sekurang-kurangnya tiga
jam sehari pada waktu urusan biasa tiap-tiap hari,
kecuali hari Sabtu, hari minggu dan cuti am.
Semasa pejabat berdaftar
dibuka sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat
perlu hazir di pejabat berdaftar. Jika beliau tiada,
beliau perlu diganti oleh seorang ejen atau seorang
setiausaha biasa yang mewakilinya.
Jika syarikat anda menukar
pejabat berdaftar, notis mengenainya perlulah dikemukakan
kepada Pendaftar Syarikat. Perubahan atau pertukaran itu
hanya akan berkuatkuasa pada tarikh notis berkenaan
diserahkan kepada Pendaftar Syarikat.
Sesuatu dokumen boleh
disampaikan kepada syarikat dengan meninggalkan atau
menghantarnya dengan pos berdaftar kepada pejabat
berdaftarnya tidak kira sama ada syarikat berkenaan
menjalankan perniagaan di tempat itu atau tidak.
Penyampaian di tempat menjalankan perniagaan yang lain
atau pejabat berdaftar lamanya bukanlah satu penyampaian
yang baik.
FUNGSI
PEJABAT PENDAFTAR SYARIKAT
Jika anda seorang
pengarah, pengurus, setiausaha syarikat atau jika anda
adalah orang yang sering beruurusan dengan syarikat, anda
tidak dapat mengelakkan diri daripada berurusan dengan
Pendaftar Syarikat sama ada secara langsung atau tidak
langsung. Anda barangkali berurusan melalui setiausaha
syarikat anda atau anda mungkin juga berurusan terus
dengan pejabat berkenaan.
Pejabat Pendaftar Syarikat
adalah salah satu bahagian di bawah Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pejabat
ini diketuai oleh Pendaftar Syarikat dengan dibantu oleh
Timbalan Pendaftar Sayrikat, Penolong Pendaftar Syarikat
dan kakitangan yang lain. Apa-apa yang ditetapkan atau
dibenarkan dilantik, diberikuasa atau yang perlu
dilakukan atau ditandatangani oleh Pendaftar Syarikat
sebagai mana yang diperuntukkan oleh Akta, boleh
dilakukan atau ditandatangani oleh mana-mana Timbalan
atau Penolong Pendaftar Syarikat dan adalah sama sah dan
berkesannya seolah-olah dilakukan atau ditandatangani
oleh Pendaftar Syarikat. Jika anda berurusan dengan
mana-mana Timbalan atau Penolong Pendaftar Syarikat, anda
tidak perlu syak mengenai apa-apa larangan atau batasan
yang ditetapkan kepada mereka kerana tiap-tiap tindakan
atau peninggalan mereka sejauh yang memberi kesan kepada
seseorang itu adalah sah dan berkesan atau berkuatkuasa
sama seperti jika ianya dilakukan atau ditinggalkan oleh
Pendaftar Syarikat.
Maklumat korporat syarikat
disimpan dan diurus di Pejabat Pendaftar Syarikat di
Kuala Lumpur dan di Pejabat-pejabat Pendaftar Syarikat
Cawangan di hampir semua ibu negeri. Walau bagaimanapun
maklumat korporat syarikat yang disimpan di
pejabat-pejabat cawangan berkenaan adalah terhad bagi
syarikat-syarikat yang mempunyai pejabat berdaftar dalam
lingkungan negeri berkaitan sahaja.
Fail syarikat dibuka
sebaik sahaja diperbadankan dan dokumen-dokumen syarikat
selepas pemerbadanan dikemaskinikan daripada masa ke
semasa. Selain daripada disenggara dalam bentuk fail,
maklumat korporat juga disenggara dalam bentuk
mikrografi.
Jika anda berminat untuk
memperolehi maklumat korporat syarikat, anda boleh
memperolehnya dengan membayar fee yang ditetapkan. Antara
lainnya, anda boleh mendapatkan maklumat korporat
syarikat dalam beberapa bentuk. Pertamanya anda boleh
memeriksa apa-apa dokumen yang diserahkan atau difailkan
dengan Pendaftar Syarikat, melainkan dokumen yang telah
dimusnahkan atau dihapuskan. Keduanya, mendapatkan
perakuan pemerbadanan mana-mana syarikat atau perakuan
lain yang dikeluarkan di bawah Akta. Ketiganya,
mendapatkan salinan atau cabutan daripada mana-mana
dokumen atau perakuan yang layak untuk diperiksa dan
salinan yang diperakui benar oleh Pendaftar Syarikat.
Jika transparensi sesuatu
dokumen atau perakuan telah dikeluarkan untuk pemeriksaan
kepada anda, anda tidak boleh lagi mendapatkan salinan
asal dokumen atau perakuan bekenaan. Suatu salinan atau
cabutan daripada mana-mana dokumen yang diserahkan atau
difailkan kepada Pendaftar Syarikat yang telah diperakui
benar oleh beliau adalah sama sahnya dengan dokumen
asalnya.
Tidak semua dokumen
syarikat yang anda hajati boleh anda perolehi untuk
disemak di Pejabat Pendaftar Syarikat kerana
sebahagiannya mungkin telah dimusnahkan menurut seksyen
11(11). Dokumen-dokumen berikut mungkin telah
dimusnahkan oleh Pendaftar Syarikat:
- penyata penguntukan
syer secara tunai yang telah diserahkan atau
difailkan selama enam tahun atau lebih
- penyata tahunan atau
kunci kira-kira yang telah diserahkan atau
difailkan selama tujuh tahun atau lebih
- dokumen gadaian yang
mana memorandum penyelesaian gadaiannya telah
didaftarkan selama tujuh tahun atau lebih
- dokumen-dokumen lain
(yang selain daripada Memorandum atau
Perkara-perkara Persatuan atau dokumen-dokumen
lain yang menyentuhnya) yang telah diserahkan,
difailkan atau didaftarkan selama lima belas
tahun atau lebih.
- dokumen syarikat yang
telah dibubar atau dikensel daripada daftar
selama lima belas tahun atau lebih.
Memorandum dan
Perkara-perkara Persatuan kekal disimpan oleh Pejabat
Pendaftar Syarikat selama syarikat masih belum dibubar
atau dikensel daripada daftar sehungga lima belas tahun
selepas dibubar atau dikensel daripada daftar.
DAFTAR-DAFTAR
SYARIKAT
Undang-undang menghendaki
supaya syarikat menyenggara daftar-daftar yang berikut:
- daftar
anggota-anggota
- daftar pemegang syer
substansial
- daftar pemegang
debentur
- daftar pemegang
kepentingan
- daftar pengarah,
pengurus dan setiausaha
- daftar pemegangan
syer pengarah
- daftar gadaian
Tidak semua syarikat perlu
menyenggara kesemua daftar di atas. Misalnya, 'syarikat
sendirian berhad' tidak perlu menyenggara daftar pemegang
syer substansial. Begitu juga dengan lain-lain daftar
yang hanya perlu disenggarakan jika syarikat
perkara-perkara yang berkaitan dengan daftar berkenaan
melibatkan syarikat anda. Walau bagaimanapun, yang pasti,
syarikat anda mestilah sekurang-kurangnya menyenggara
daftar anggota dan daftar pengarah, pengurus dan
setiausaha.
Undang-undang tidak
menetapkan mengenai bentuk khusus sesuatu daftar. Daftar
boleh berbentuk buku berjilid atau dalam lain-lain bentuk
yang bersifat kekal atau dalam bentuk sistem komputer
yang boleh dikeluarkan semula dalam bentuk yang kekal.
PENDAFTARAN
DOKUMEN BERKANUN
Ada dua kategori dokumen
yang perlu dizahirkan oleh syarikat dengan menyerahkannya
dalam bentuk penyata, dokumen dan notis kepada Pendaftar
Syarikat dalam tempoh tertentu selepas berlakunya
peristiwa korporat yang dikehendaki oleh Akta:
- penyata, dokumen atau
notis mengenai peristiwa korporat yang berlaku
pada satu-satu masa
- Penyata Tahunan yang
dibuat secara tahunan yang mengandungi maklumat
korporat yang penting pada kedudukan termuatkhir
pada tarikh tertentu
Semua bentuk penyata,
dokumen atau notis itu adalah suatu replika daripada
rekod asal di dalam daftar atau dokumen lain di pejabat
berdaftar. Penyata, dokumen atau notis berkenaan perlu
mengambil bentuk dan gaya yang ditetapkan dalam
Peraturan-peraturan Syarikat 1966 (Peraturan 3). Gaya
persembahan sesuatu penyata, dokumen atau notis perlu
mematuhi peraturan 6(1), Peraturan-peraturan Syarikat
1966.
Selain daripada itu
penyata, dokumen atau notis akan ditolak daripada
didaftarkan oleh Pendaftar Syarikat jika:
- mengandungi
perkara-perkara yang bertentangan dengan
undang-undang
- mengandungi
perkara-perkara yang palsu atau mengelirukan
- mempunyai apa-apa
peninggalan atau salah gambaran
- tidak mematuhi
kehendak Akta
- mengandungi ralat,
pengubahan atau padaman
Penyata, dokumen atau
notis yang tidak lengkap seperti yang tersebut akan
ditolak oleh Pendaftar Syarikat dengan memohon syarikat
atau orang yang bagi pihak syarikat yang menyerahkannya
supaya:
- dipinda, dipenuhi dan
difailkan semula
- dokumen baru
difailkan semula sebagai gantinya
- disertakan dengan
dokumen yang lengkap sebagai pelengkapnya
Pendaftar Syarikat juga
boleh menghendaki supaya diserahkan kepadanya dokumen
tertentu atau maklumat tertentu yang pada pendapatnya
sama ada untuk menolak atau mendaftar sesuatu dokumen.
Mahkamah atau Mahkamah
Sesyen boleh membuat perintah arahan bagi menguatkuasakan
kewajipan untuk menyediakan (termasuk menyerahkan atau
'menfailkan', meminda atau menyempurnakan dan menfailkan
semula) penyata, dokumen dan notis jika selepas 14 hari
daripada tarikh penerimaan notis mengenainya daripada
Pendaftar Syarikat seseorang atau sesebuah perbadanan itu
gagal melaksanakannya. Mahkamah atau Mahkamah Sesyen
boleh membuat perintah arahan supaya melaksanakannya atas
permohonan mana-mana anggota atau pemiutang perbadanan
itu atau Pendaftar Syarikat atau Pegawai Penerima.
Perintah itu boleh memperuntukkan bahawa semua kos
berkaitan dengan permohonan itu tertanggung kepada
perbadanan atau pegawainya atau orang berkenaan.
Jika Memorandum,
Perkara-perkara Persatuan atau dokumen-dokumen lain yang
telah diserahkan atau difailkan kepada Pendaftar Syarikat
hilang atau musnah, syarikat berkenaan boleh memohon
kebenaran untuk menyerahkan sesalinan dokumen itu semula,
sama seperti yang asalnya. Pendaftar Syarikat kemudiannya
boleh mengeluarkan notis kepada orang berkenaan dengan
cara yang difikirkan patut. Pendaftar Syarikat boleh
melalui notis bertulis mengarahkan supaya diserahkan
semula dokumen berkenaan dalam dalam tempoh 14 hari atau
dalam tempoh yang lebih lama yang dibenarkan olehnya.
Jika Pendaftar Syarikat berpuas hati atau mempunyai sebab
untuk untuk mempercayai bahawa kehilangan, kemusnahan,
ketepatan salinan dkumen itu sendiri, maka beliau akan
memperakukannya dan mengarahkannya diserahkan semula.
Sebaik sahaja diserahkan, daripada tarikh yang dinyatakan
dalam perakuan itu sebagai tarikh serahan atau penfailan,
dokumen berkenaan berkuatkuasa dan efektif seperti yang
asalnya.
Mahkamah boleh, dengan
perintah selepas menerima permohonan daripada mana-mana
orang yang terkilan dan selepas notis kepada mana-mana
orang lain yang Mahkamah arahkan, sahkan, ubahkan atau
batlkan perakuan itu dan perintah itu boleh diserahkan
kepada Pendaftar Syarikat dan hendaklah didaftarkan
olehnya. Walau bagaimanapun semua bayaran, kontrak,
urusan, tindakan, dan sesuatu yang dilakukan dengan suci
hati sebelum pendaftaran perintah itu dan dengan
ketergantungan kepada dan kepercayaan mengenai perakuan
itu akan menjadi sah dan berkuatkuasa walaupun dengan
pengubahan atau pemabatalan itu. Tidak ada fee yang
dikenakan kerana menyerahkan dokumen berkenaan.
Keingkaran dalam mematuhi arahan Pendaftar Syarikat
berkenaan adalah suatu kesalahan ke atas syarikat dan
pegawainya.
PENERBITAN
DAN PERAGAAN NAMA SYARIKAT
Nama syarikat anda
hendaklah terdapat dalam huruf rumi yang mudah dibaca
pada meterainya, segala surat perniagaan, penyata akaun,
invois, notis rasmi, penerbitan, bil pertukaran, nota
janji hutang, pengendorsan, cek, pesanan, resit dan surat
kredit bagi atau yang berupa sebagai dikeluarkan atau
ditandatangani oleh atau bagi pihak syarikat. Keingkaran
pada mematuhinya adalah satu kesalahan.
Jika syarikat anda telah
bertukar nama, nama yang dahulu hendaklah juga terdapat
di bawah nama sekarang pada semua dokumen, surat
perniagaan, penyata akaun, invois, notis rasmi,
penerbitan, bil pertukaran, nota janji hutang,
pengendorsan, cek, pesanan, resit, dan surat kredit,
bagi, atau yang berupa sebagai dikeluarkan atau
ditandatangani oleh atau bagi pihak, syarikat itu selama
suatu tempoh yang tidak kurang daripada dua belas bulan
daripada tarikh petukaran itu.
Jika seseorang pegawai
syarikat atau mana-mana orang bagi pihak syarikat itu:
- menggunakan atau
membenarkan penggunaan apa-apa meterai yang
berupa sebagai meterai syarikat yang pada padanya
namanya tidak terdapat sedemikian
- menandatangani,
mengeluarkan atau membenarkan ditandatangani dan
dikeluarkan bagi pihak syarikat apa-apa bil
pertukaran, nota janji hutang, cek atau surat
cara boleh niaga lain atau apa-apa pengendorsan,
pesanan, resit atau surat kredit yang nama
syarikat dan nama syarikat itu yang dahulu, jika
berkaitan, tidak disebutkan
- mengeluarkan atau
membenarkan dikeluarkan apa-apa penyata akaun,
invois atau notis rasmi atau penerbitan yang nama
syarikat dan nama syarikat itu yang dahulu jika
berkaitan tidak disebutkan maka pegawai syarikat
itu atau mana-mana orang bagi pihak syarikat
adalah bukan sahaja melakukan kesalahan tetapi
juga bertanggungan kepada pemegang surat cara
atau pesanan itu kepada amaun yang kena dibayar
jika syarikat tidak membayarnya
Tiap-tiap syarikat
hendaklah mengecat atau meletakkan, dan memastikan dicat
atau diletakkan, namanya di tempat yang mudah kelihatan
di bahagian luar tiap-tiap pejabat atau tempat di mana
peniagaan dijalankan. Bagi pejabat berdaftar pula
perkataan "Pejabat Yang Didaftarkan" juga
hendaklah dicat atau diletakkan atau memastikan dicat
atau diletakkan di luar pejabat berdaftar berkenaan.
Keingkaran pada mematuhinya adalah merupakan satu
kesalahan.
PENYATA
TAHUNAN DAN AKAUN SYARIKAT
Penyata
Tahunan
Tiap-tiap syarikat perlu
menyerahkan 'Penyata Tahunan' yang telah ditandatangani
oleh pengarah, pengurus atau setiausaha syarikat kepada
Pendaftar Syarikat dalam tempoh sebulan daripada
mesyuarat agung tahunannya. Maklumat-maklumat yang perlu
ada dalam Penyata Tahunan ditetapkan dalam Jadual Ke-8.
Syarikat anda juga dikehendaki melampirkan sesalinan
kunci kira-kira teraudit dan akaun keuntungan dan
kerugian. Jika syarikat anda adalah daripada jenis
'syarikat yang terkecuali', syarikat anda dikecualikan
daripada berbuat demikian. Butir-butir mengenai pengarah,
pengurus dan setiausaha yang memegang jawatan sehingga ke
tarikh Penyata Tahunan dibuat juga perlu dimasukkan
bersama-sama dalamnya.
Akaun
Syarikat anda juga
dikehendaki supaya menyenggara akaun yang lengkap dan
menyediakan kunci kira-kira dan akaun keuntungan dan
kerugian yang telah diaudit tiap-tiap tahun. Tiap-tiap
syarikat perlu menyimpan rekod perakaunan dan rekod lain
yang perlu bagi menjelaskan transaksi dan kedudukan
kewangannya dan menyediakan suatu kunci kira-kira dan
akaun keuntungan dan kerugian. Tanggungjawab ini
ditujukan khusus kepada pengarah-pengarah syarikat secara
individu. Rekod perakaunan perlu disimpan selama tujuh
tahun selepas penamatan sesuatu transaksi atau operasi
yang berkaitan.
Rekod perakaunan perlu
disimpan di pejabat berdaftar atau mana-mana tempat lain
yang difikirkan patut oleh pengarah-pengarah. Jika
disimpan di luar Malaysia, penyata mengenainya perlu
dihantar dan disimpan di suatu tempat dalam Malaysia.
Penyata itu hendaklah dalam bentuk dan kandungan yang
membolehkan kunci kira-kira dan akaun keuntungan dan
kerugian boleh disediakan dan hendaklah pada setiap masa
terbuka untuk pemeriksaan oleh pengarah-pengarah.
Rekod perakaunan hendaklah
terbuka untuk pemeriksaan oleh mana-mana pengarah atau
[jika perintah mahkamah diperolehi] mana-mana juruaudit
yang bertindak bagi pihak pengarah. Hak untuk memeriksa
boleh dikutkuasakan hanya oleh penngarah. Bekas pengarah
tidak mempunyai hak berkenaan. Apa-apa perintah mahkamah
yang memberikuasa kepada seseorang juruaudit untuk
memeriksa rekod berkenaan bagi pihak seseorang pengarah
akan menjadi tidak berkuatkuasa selepas penyingkiran
pengarah.
Pada tiap-tiap mesyuarat
agung tahunan syarikat, pengarah-pengarah hendaklah
membentangkan di hadapan mesyuarat itu suatu akaun
keuntungan dan kerugian yang dibuat sehingga ke suatu
tarikh yang tidak melebihi enam bulan sebelum tarikh
mesyuarat itu. Kunci kira-kira yang dibuat sehingga ke
suatu tarikh yang sama juga perlu dibentangkan di hadapan
mesyuarat pada masa yang sama. Kedua-duanya perlu diaudit
terlebih dahulu.
Bentuk sesuatu akaun
syarikat ditetapkan dalam Jadual ke-9. Kunci kira-kira
dan akaun keuntungan dan keerugian mestilah memberikan
gambaran benar dan saksama mengenai hal-ehwal kewangan
syarikat dan keuntungan atau kerugian syarikat dalam
tempoh perakaunan tertentu. Akaun perlu diserahkan
bersama-sama dengan:
- laporan pengarah yang
dibuat mengikut ketetapan pengarah dan
ditandatangani oleh sekurang-kurangnya dua
daripada mereka yang melaporkan mengenai
keuntungan dan kerugian syarikat pada penghujung
tahun kewangan
- pernyataan yang
ditandatangani oleh dua orang pengarah bagi pihak
pengarah-pengarah lain yang menyatakan sama ada
akaun keuntungan dan kerugian dan kunci kira-kira
menunjukkan gambaran benar dan saksama perniagaan
dan kewangan syarikat dan sama ada wujudnya asas
untuk mempercayai bahawa syarikat boleh membayar
hutangnya bila ianya kena dibayar
- laporan juruaudit ke
atas akaun syarikat
Terma 'gambaran benar dan
saksama' barangkali boleh ditafsirkan sebagai akaun
tidaklah boleh mengelirukan. Pengarah-pengarah perlu
untuk mengambil langkah-langkah yang munasabah bagi
memastikan peruntukan Akta mengenai akaun dipatuhi. Jika
akaun tidak menunjukkan gambaran benar dan saksama
mengenai hal-ehwal syarikat, pengarah-pengarah adalah
bertanggungan dan boleh didakwa.
Sesalinan akaun syarikat
perlu dikirimkan kepada semua orang yang layak menerima
notis mesyuarat agung sekurang-kurangnya 14 hari sebelum
mesyuarat di mana akaun dibentangkan di hadapan
anggota-anggota. Mana-mana anggota syarikat atau pemegang
debentur boleh memohon sesalinan akaun, yang perlu
dibekalkan dengan percuma oleh syarikat.
RUJUKAN
A. AKTA
SYARIKAT 1965
Seksyen 4.
Seksyen 5B.
Seksyen 6A.
Seksyen 69B (2).
Seksyen 69C (2).
Seksyen 69D (1), (2).
Seksyen 69E (1), (2)(b).
Seksyen 69F (2).
Seksyen 69G (2).
Seksyen 69H.
Seksyen 69L (1), (2).
Seksyen 69M.
Seksyen 69N (1).
Seksyen 69O (1), (2), (3),
(4), (6)(b), (7).
Seksyen 70 (1), (3), (5).
Seksyen 84 (1).
Seksyen 92 (2).
Seksyen 103 (2).
Seksyen 111.
Seksyen 115 (2), (3).
Seksyen 118.
Seksyen 119 (1).
Seksyen 120 (1).
Seksyen 123 (1).
Seksyen 134 (1), (8), (9),
(11), (13).
Seksyen 135 (1)(a)(b)(c).
Seksyen 139 (3).
Seksyen 141 (1), (2), (5),
(6), (9).
Seksyen 143 (1).
Seksyen 158 (1), (5).
Seksyen 159 (1)(a)(b).
Seksyen 160 (1), (2), (3).
Seksyen 162 (2)(a).
Seksyen 163 (1), (4).
Seksyen 164 (1), (4).
Seksyen 165 (4), (5), (6).
Seksyen 166.
Seksyen 167 (1), (2), (3),
(4), (6).
Seksyen 169 (1), (3), (4),
(5), (14), (15).
Seksyen 170 (1), (2).
Seksyen 173 (8).
Seksyen 174 (6).
Seksyen 171 (1).
Seksyen 350.
Seksyen 358 (1).
B.
SENARAI KES MAHKAMAH
Summit Company (M) Sdn Bhd
lwn Nokko Products (M) Sdn Bhd (1985)
1 MLJ 68.
Sabatier lwn The Trading
Company (1927) 1 Ch 495, 507.
Pac Asian Services Pte Ltd
lwn European Asian Bank A/G (tidak dilaporkan), Rayuan
Sivil No 27 tahun 1986, Mahkamah Rayuan Singapura.
PT Pelajaran Nasional
Indonesia lwn Joo Seang & Co Ltd (1958) MLJ 113.
Leong Sun Wing lwn Wah Hup
Engineering Works Sdn Bhd, Saman Pemula C166/84 (tidak
dilaporkan) Mahkamah Tinggi Malaysia.
Haw Par Brothers (Pte) Ltd
lwn Dato Aw Kow (1973) 2 MLJ 169.
Richard Charles Tarling
lwn PP (1981) 1 MLJ 173.
|