ke laman utama syarikat.com ke Kuliah Asas 6
 
 
Seorang manusia mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang, sejauh yang diizinkan oleh kemampuan fizikal dan mentalnya. Sebaliknya, syarikat sebagai orang buatan undang-undang tidak mempunyai kuasa secara semulajadinya. Kuasa syarikat perlu diberikan oleh undang-undang melalui peruntukan dalam Memorandum Persatunnya. 'Kuasa' adalah keupayaan undang-undang untuk melakukan sesuatu perkara, manakala 'tujuan-tujuan' adalah tujuan-tujuan syarikat ditubuhkan. Dalam erti kata lain, tujuan-tujuan adalah 'matlamat' syarikat, sedangkan kuasa adalah 'cara' untuk mencapai matlamat itu.

Hubungan tujuan-tujuan dengan kuasa

Tiap-tiap syarikat dikehendaki untuk menyatakan tujuan-tujuan dalam Memorandum Persatuannya. Tiap-tiap syarikat mempunyai tiga jenis kuasa: kuasa yang tersurat dalam Memorandum Persatuan, kuasa yang tersirat dan berhubung kait dengan pencapaian tujuan-tujuan syarikat, dan kuasa yang disiratkan oleh undang-undang

Sudah menjadi kebiasaan bagi syarikat untuk menyatakan dengan terperinci dan dalam senarai yang panjang mengenai apa yang boleh dilakukan oleh syarikat. Amalan menyenaraikan fasal tujuan-tujuan yang bertele-tele itu kini tidak diperlukan lagi. Ini kerana seksyen 19 dan Jadual Ke-3 memberikan kuasa yang diperlukan oleh syarikat . Walau bagaimanapun, jika difikirkan perlu dan suaimanfaat, syarikat boleh secara nyhata tidak memasukkan atau mengubah kuasa-kuasa yang diberikan itu.

DOKTRIN ULTRA VIRES

Kuasa dan keupayaan sesuatu syarikat bergantung kepada dan terhad kepada surat cara yang menubuhkannya. Secara teori, syarikat tidak boleh melakukan apa-apa yang tidak diberikuasa oleh fasal tujuan-tujuannya. Tindakan sedemikian adalah dianggap sebagai ultra vires atau 'lampau kuasa'.

Kekeliruan mengenai konsep ultra vires

Terma ultra vires itu telah digunakan secara yang amat mengelirukan sehingga melibatkan perkara-perkara yang jelas di luar ruang lingkup keupayaan syarikat. Misalnya, perkara-perkara seperti, memungkiri peruntukan Perkara-perkara Persatuan, memungkiri kuasa pengarah, tindakan di luar kuasa ejen, dan kepenyalahan undang-undang, sering dianggap sebagai ultra vires.

Sebenarnya suatu tindakan yang di luar keupayaan syarikat adalah ultra vires tetapi tindakan berikut bukanlah suatu tindakan ultra vires. Pertamanya, tindakan memungkiri peruntukan Perkara-perkara Persatuan atau tindakan pengarah yang memungkiri kuasa yang diberikan kepadanya oleh syarikat tidak ada kaitannya dengan keupayaan syarikat dan oleh itu bukanlah suatu tindakan ultra vires. Keduanya, tindakan di luar kuasa seorang ejen tidak semstinya adalah suatu tindakan ultra vires, kerana agensi dan keupayaan adalah dua perkara yang berbeza. Ketiganya, ultra vires tidak boleh dikelirukan dengan kepenyalahan undang-undang kerana tindakan yang menyalahi undang-undang (dengan erti kata melanggar undang-undang atau polisi awam) pada prinsipnya adalah tidak sah, tetapi ianya tidak ada kena mengena dengan doktrin ultra vires. Ketaksahan sesuatu tindakan bergantung kepada prinsip bahawa tidak ada tindakan yang timbul daripada tindakan yang menyalahi undang-undang.

Implikasi daripada tindakan ultra vires

Suatu tindakan atau transaksi ultra vires adalah tak sah dan tidak mengikat sayrikat walaupun dipersetujui secara sebulat suara oleh anggota-anggota yang menubuhkannya. Sesuatu syarikat tidak boleh mengambil atau secara berkesan meratifikasikan suatu tindakan ultra vires tetapi syarikat boleh mengambil dan membenarkan suatu tindakan yang semata-mata tidak diberikuasa atau salah aturan.

DOKTRIN ULTRA VIRES DI MALAYSIA

Doktrin ultra vires semakin menyusut di Malaysia dengan berkuatkuasanya seksyen 20(1) yang antara lainnya memperuntukkan seperti yang berikut:

"Tiada perbuatan atau perbuatan dikatakan sesuatu syarikat...dan tiada pemindahhakan atau pemindahmilikan harta, sama ada harta tanah atau harta alih, kepada atau oleh suatu syarikat boleh menjadi tak sah semata-mata oleh sebab fakta bahawa syarikat itu adalah tak berkeupayaan atau tak berkuasa untuk melakukan perbuatan itu atau untuk menyempurnakan atau mengambil pemindahakan atau pemindahmilikan itu"

Ini bermakna bahawa jika sesuatu transaksi itu sah dan mengikat syarikat, fakta bahawa ianya ultra vires adalah tidak releven. Doktrin ultra vires kekal releven dalam keadaan di mana, mana-mana anggota atau pemegang debentur yang bercagarkan gadaian terapung (atau pemegang amanah kepada pemegang debentur berkenaan) boleh menahan syarikat daripada melakukan perbuatan ultra vires.

AGENSI DAN ULTRA VIRES

Perhubungan agensi dengan kuasa syarikat sebagai prinsipal dalam hubungan dengan ejen boleh dirumuskan kepada tiga tafsiran. Pertamanya, syarikat boleh memberikan kuasa sebenar kepada seseorang ejen untuk melakukan perbuatan ultra vires. Jika lembaga pengarah atau mesyuarat agung memberikan kuasa sebenar kepada seseorang ejen untuk melakukakn sesuatu perbuatan, soal sama ada syarikat itu sendiri tidak berkeupayaan atau tidak berkuasa melakukakn perbuatan seperti itu tidak timbul lagi.Begitu jugalah seseorang ejen yang mempunyai kuasa untuk mewakilkan kuasa kepada subejennya boleh memberikan kuasa sebenarnya tidak kira sama ada perbuatan yang sedemikian itu adalah dalam lingkungan keupayaan korporat syarikat atau tidak. Keduanya, seseorang ejen boleh mempunyai kuasa zahir untuk berkontrak secara yang ultra vires bagi pihak syarikat walaupun ruang lingkup kuasa itu perlu dibataskan. Ketiganya, kuasa nyata atau zahir bergantung kepada representasi yang dibuat oleh syarikat kepada pihak yang berkontrak. Pembuat kontrak tidak boleh bergantung kepada kuasa zahir ejen jika dia mengetahui bahawa ejen itu tidak mempunyai kuasa sebenar.

Kesan daripada perbuatan ultra vires

Doktrin mengenai ultra vires hanya terpakai dalam empat konteks. Pertamanya, perbuatan ultra vires boleh ditahan sebelum dilakukan sepenuhnya oleh anggota-anggota, pemegang debentur yang bercagarkan gadaian terapung atau pemegang amanah kepada pemegang debentur berkenaan. Walau bagaiamanapun kontrak yang berkaitan dengannya masih dianggap sah. Keduanya, persoalan mengenai ketakupayaan syarikat boleh ditimbulkan oleh syarikat atau anggota-anggotanya terhadap pegawai-pegawai syarikat yang sekarang atau dahulu, bagi menghalang mereka daripada menyebabkansyarikat beritndak secara yang di luar bidang kuasa yang diberikan oleh Memorandum Persatuan. Sebagai alternatif, tindakan juga boleh dibuat terhadap pegawai syarikat kerana memungkiri kewajipannya dengan menyebabkan syarikat melakukan perbuatan ultra vires. Ketiganya, fakta bahawa syarikat telah melakukan perbuatan yang melangkaui keupayaannya boleh ditegaskan atau disandarkan dalam apa-apa petisyen oleh Menteri untuk menggulung syarikat itu. Walau bagaimanapun tidak ada petunjuk yang jelas mengenai alasan apa yang boleh digunakan oleh Menteri untuk menggulung syarikat kerana melakukan perbuatan ultra vires walaupun terdapat peruntukan mengenai sebab-sebab yang memungkin menyebabkan tidakan dibuat. Keempatnya, transaksi ultra vires boleh mengikat syarikat tanapa perlu kepada ratifikasi kerana ianya akan mengikat dengan sendirinya. Anggota-anggota syarikat boleh mengambil tindakan mahkamah untuk menahan sesuatu perbuatan ultra vires daripada dilakukan oleh sayrikat walaupun mereka pernah bersetuju mengenainya sebelumnya. Walaupun begitu mahkamah akan mempertimbangkan mengenai persetujuan anggota-anggota yang dibuat sebelumnya sebelum menggunakan budi bicara untuk menahan perbuatan itu.

Ringkasan perhubungan agensi dengan ultra vires

Berikut adalah ringkasan kaedah mengenai perhubungan di antara agensi dan ultra vires yang terpakai dalam konteks Malaysia:

Pertamanya, syarikat adalah terikat oleh kontrak jika dapat dibuktikan bahawa ianya dibuat bagi pihak syarikat melalui organ korporat yang sepatutnya atau melalui ejen.

Keduanya, jika kontrak dibuat oleh ejen, syarikat terikat sejauh yang ejen berkenaan bertindak dalam ruang lingkup kuasa sebenarnya, sama ada nyata atau tersirat.

Ketiganya, lika ejen bertindak dalam ruang lingkup kuasa sebenarnya maka kontrak itu adalah sah, walau apapun fakta bahawa ianya dibuat di luar keupayaan syarikat atau di luar kuasa syarikat untuk berkontrak sedemikian.

Keempatnya, jika ejen tidak bertindak dalam ruang lingkup kuasa sebenarnya, syarikat hanya akan terikat jika ejen bertindak dalam ruang lingkup kuasa nyatanya dan syarikat diestop daripada membangkitkan soal ketidakupayaan ejen berkenaan sebagai satu pembelaan.

Kelimanya, syarikat boleh diestop daripada membangkitkan soal ketidakberkuasaan ejen jika tiga syarat berikut dipenuhi:

  • suatu representasi dibuat kepada pihak lain dengan menyatakan bahawa ejen mempunyai kuasa melakukan sesuatu yang telah dilakukannya.
  • representasi itu dibuat oleh seseorang yang mempunyai kuasa sebenar untuk membuat representasi itu.
  • pihak yang satu lagi menyandarkan kepada representasi itu.

Estopel tidak akan timbul jika pihak dalam kontrak mengetahui atau patut mengetahui tentang tidak adanya kuasa ejen atau kuasa ejen itu dipersoalkan. Mengikut rukun pengurusan dalaman, seseorang yang berurusan dengan syarikat secara suci hati tidak perlu memastikan sebenarnya kuasa sebenar yang ada pada ejen syarikat. Seseorang tidak boleh mengambil kesempatan daripada 'rukun pengurusan dalaman' dalam tiga keadaan berikut:

  • jika dalam kedudukannya di dalam syarikat, dia mengetahui atau patut mengetahui tentang tidak adanya kuasa syarikat.
  • dalam keadaan yang boleh mengesahkan dia boleh disiasat.
  • jika jelas dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan bahawa ejen tidak patut mempunyai kuasa yang berkaitan.

Seseorang ejen tidak boleh mempunyai kuasa zahir berasaskan kalakuan atau atas kuasa zahir untuk berkontrak yang tidak dibenarkan oleh Memorandum Persatuan, kerana orang yang membaca Memorandum akan disiasat mengenbai kuasa sebenar ejen dalam hal-keadaan tersebut. Kuasa zahir hanya timbul jika suatu representasi nyata dibuat oleh seseorang yang boleh membuat representasi itu bagi pihak syarikat.

RUJUKAN

A. AKTA SYARIKAT 1965

Seksyen 18 (1), (6).

Seksyen 19.

Seksyen 20 (1), (2)(a), (3).

Seksyen 205.

Seksyen 218 (1).

B. SENARAI KES MAHKAMAH

Ashbury Railway Carriage & Iron Co Ltd lwn Riche (1875) (IL) HL 653.

Attorney-General lwn Great Eastern Karlway Co (1880) 5 App Cos 473.

Bumiputra Merchant Bankers Bhd lwn Supreme-QBE Insurance Bhd (1988) 1 MSCLC 90,141.

Clarkson lwn Davies (1923) AC 100,110.

Hawkesbury Development Co Ltd lwn Landmark Finance Pty Ltd (1970) 92 WN (NSW) 199,217.

Holman lwn Johnson (1775) 1 Cowp 341,343.

Pamaron Holdings Sdn. Bhd. lwn Ganda Holdings Bhd (1988) 1 MSCLC 90,165

Williams lwn Hursey (1959) 103 CLR 30,66.