ke laman utama syarikat.com ke Kuliah Asas 7
 
 
Modal syer syarikat

Struktur modal sesebuah syarikat berhad adalah kompleks. Istilah modal itu sendiri membawa maksud yang berbagai-bagai dan mengelirukan. Walau bagaimanapun, anda pasti terbiasa dengan istilah-istilah berikut: 'modal dibenarkan' (modal nominal), 'modal berbayar' ('modal terbitan') dan 'modal tidak dipanggil'. Misalan yang berikut barangkali boleh menjelaskan mengenai ketiga-tiga istilah penting itu.

Sebuah syarikat, XY Sdn. Bhd. ditubuhkan oleh dua orang penaja, A dan B yang kemudiannya juga menjadi pengarah-pengarahnya. XY Sdn. Bhd. yang diperbadankan dengan modal dibenarkan sebanyak 100,000 unit bernilai RM 100,000.00 pada nilai RM 1.00 seunit syer. A dan B, masing-masing menyumbang RM 20,000.00 dan sebagai balasannya, mengambil 30,000 unit syer pada nilai RM 1.00 sesyer. Jadi, A dan B menyumbangkan RM 40,000.00, tetapi mengambil 60,000 unit syer dengan nilai RM 60,000.00.

Berdasarkan misalan di atas, kita boleh menggambarkan struktur modal XY Sdn. Bhd. sebagai berikut: 'modal dibenarkan'nya ialah RM 100,000.00, 'modal berbayar' pula ialah RM 60,000.00 dan 'modal tidak dipanggil' ialah RM 20,000.00. Baki 20,000.00 yang tak berbayar boleh dipanggil oleh syarikat pada bila-bila masa, menurut terma-terma dalam Perkara-perkara Persatuan, melainkan diputuskan kemudiannya (melalui ketetapan khas) untuk menjadikan sebahagian atau kesemuanya sebagai modal rizab, yang hanya akan dipanggil apabila syarikat digulung.

Modal dibenarkan

'Modal dibenarkan' (modal nominal) ialah jumlah amaun modal syer yang dibenarkan oleh Memorandum kepada syarikat untuk menerbitkannya. Nilai modal dibenarkan tidak ada kaitannya dengan nilai sebenar aset syarikat atau nilai pasaran syer syarikat berkenaan. Ia hanya menetapkan nilai minimum aset bersih yang perlu dikumpulkan pada permulaannya dan selama yang mungkin untuk mengekalkannya dalam perniagaan. Ia juga bukanlah suatu dana jaminan kepada pemiutang. Untuk melihat sama ada sesebuah syarikat itu berada dalam kedudukan permodalan kurangan, anda perlu melihat kepada Kunci Kira-kiranya. Sungguhpun nilai berbayar syer menyamai nilai aset, nilainya lama kelamaan akan berubah melainkanlah jika anda mengagihkan semua keuntungan syarikat sebagai dividen. Misalnya anda mungkin melaburkan semula sebahagian daripada keuntungan ke dalam perniagaan syarikat atau, apabila syarikat berkembang maju, anda menerbitkan syer dengan premium.

KEUNTUNGAN MODAL

Keuntungan modal

'Keuntungan' umumnya merujuk kepada perkongsian keuntungan. Melainkanlah jika anda melihat kepada kesan ke atas harga syer dan nilai muhibbah sesebuah syarikat. Modal yang anda sumbangkan memberikan anda hak untuk mengongsi keuntungan yang diagihkan tetapi tidak semestinya anda akan memperoleh keuntungan dalam bentuk dividen yang sama nisbahnya dengan sumbangan anda.

Bayaran untuk memperoleh syer

Bayaran kepada syer boleh berbentuk tunai atau yang sama nilai dengannya, termasuklah nilai muhibbah, kepakaran atau daya usaha untuk melakukan sesuatu tugasan atau perkhidmatan yang diberikan kepada syarikat atau kepada pihak ketiga. Syer biasa yang diterbitkan kepada anda semasa pemerbadanan syarikat, akan memberikan hak kepada anda untuk menuntut pendapatan yang menyamai aset bersih syarikat. Jika syarikat kemudiannya menerbitkan syer keutamaan, hak keutamaan yang terkembar pada syer keutamaan berkenaan akan memberikan pemegangnya hak untuk memperoleh pembayaran dividen lebih dahulu sebelum pemegang syer biasa berhak menerimanya.

Hak yang terkembar pada syer

Hak yang terkembar pada syer, termasuklah hak untuk mendapatkan dividen, bergantung kepada terma-terma yang terkandung dalam Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan. Malah anda boleh menerbitkan syer dengan berbagai-bagai hak yang terkembar kepadanya. Jika anda mengembarkan hak mengundi dalam mesyuarat agung kepada satu kelas syer sahaja, syarikat anda akan mempunyai asas modal yang besar tetapi pihak pengurusan akan mengawal syarikat.

Hak yang terkembar pada syer yang diberikan oleh Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan boleh, dengan beberapa kekecualian, dikaitkan dengan hak membeli dahulu yang ada pada pemegang-pemegang syer dan pengurangan modal syarikat, boleh diubah menurut fasal berkaitan yang membenarkan pengubahan dibuat, atau dengan persetujuan bertulis tiga perempat daripada pemegang syer yang terlibat, atau melalui ketetapan luar biasa. Hak kelas yang dinyatakan sebagai tidak boleh diubah dalam Memorandum hanya boleh diubah dengan persetujuan semua pemegang-pemegang syer, tetapi, jika mereka tidak bersetuju dengan pengubahan itu, pengubahan masih boleh dibuat melalui ‘skim perkiraan’.

Syer keutamaan

'Syer keutamaan' boleh mengambil berbagai bentuk keistimewaan tetapi semuanya mempunyai keutamaan berbanding dengan kelas-kelas syer yang lain dalam hak untuk mendapatkan dividen dan / atau pembayaran modal. Dividen keutamaan dibayar pada kadar peratusan yang tetap atas harga syer sebelum sebarang bayaran boleh dibuat kepada pemegang-pemegang syer biasa. Anda boleh menrbitkan berbagai kelas syer keutamaan, dengan peringkat hak untuk medapatkan dividen yang berbeza-beza.

Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan akan menyatakan sama ada sesuatu dividen itu adalah dividen terkumpul atau dividen tak terkumpul. Jika Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan menyatakannya dengan jelas, maka dividen dianggap sebagai 'dividen terkumpul'. Dividen terkumpul melayakkan anda menerima dividen pada tarikh yang ditetapkan dan jika anda tidak menerimanya pada tarikh tersebut amaunnya akan terkumpul. Amaun yang terkumpul itu akan kena dibayar kepada anda sebelum sebarang pembayaran dividen boleh dibuat kepada pemegang syer biasa. Sebaliknya jika dividen adalah daripada jenis tak terkumpul, dividen yang kena dibayar tidak akan terkumpul meskipun bayaran tidak dibuat pada tarikh yang ditetapkan. Ini bermakna bahawa jika anda tidak menerima dividen pada tarikh yang ditetapkan, anda tidak berpeluang lagi menerima amaun berkenaan kemudiannya. Pemegang syer keutamaan penyertaan hanya akan menerima bahagian dividen mereka daripada baki keuntungan yang ada selepas dividen dibayar kepada pemegang syer keutamaan dan pemegang syer biasa.

Pemegang syer keutamaan berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada pemegang syer biasa jika syarikat digulung. Tunggakan terkumpul daripada dividen keutamaan kena dibayar selepas pemiutang syarikat telah dibayar. Hanya selepas itu barulah pemegang syer biasa layak untuk mendapatkan pemulangan modal dengan perkadaran pada nilai nominal syer yang dipegang. Walau bagaimanapun Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan boleh memberikan prioriti kepada pemegang-pemegang syer keutamaan. Lebihan aset biasanya dipecahkan di antara pemegang syer biasa dan pemegang syer keutamaan penyertaan.

'Syer keutamaan boleh tebus' pula lebih berbentuk debentur dan lebih mirip kepada pinjaman. Fasal yang menyatakan mengenai hak mereka hendaklah dideraf dengan cermat kerana sebarang kesamaran akan memberi kesan yang memudaratkan, sama ada membawa kepada tindakan undang-undang atau menyebabkan anda tidak mengetahui sama ada menjual atau melepaskannya.

Waran syer

Waran syer biasanya diterbitkan hanya kepada pemegang-pemegang syer berbayar penuh, walaupun ia boleh misalnya dikembarkan kepada penerbitan syer untuk menjadikannya lebih menarik, dengan pilihan untuk menukarkannya kepada syer-syer berbayar penuh di masa hadapan. Ia biasanya membayar dividen apabila kopon yang terkembar pada waran dikemukakan kepada syarikat. Tidak seperti sijil syer, ianya adalah boleh-tukar, jadi walaupun dicuri atau hilang pemegang asal tidak mempunyai hak terhadap syarikat. Pemegang waran kadang kala tidak mempunyai hak mengundi tetapi Perkara-perkara Persatuan boleh membenarkan mereka untuk mengundi hanya apabila mereka mendepositkan waran berkenaan. Syarikat biasanya menghubungi pemegang waran hanya melalui iklan dalam akhbar, menyebabkan mereka sering kali ketinggalan untuk menghaziri mesyuarat dan mungkin tidak menerima dividen dalam tempoh yang singkat.

PENAMBAHAN MODAL

Kuasa untuk menambah modal syer

Anda boleh menambahkan modal nominal syarikat dengan menerbitkan lebih banyak syer, dengan syarat Perkara-perkara Persatuan membenarkannya. Penambahan itu hendaklah diberikuasa oleh ketetapan syarikat dalam mesyuarat agung mengikut terma-terma yang berkaitan dalam Perkara-perkara Persatuan. Jika Perkara-perkara Persatuan syarikat anda tidak membenarkan penambahannya, anda perlu meminda perkara-perkara yang melarang penambahan itu melalui ketetapan tiga perempat pemegang-pemegang syer yang akan memberikuasa kepada syarikat untuk menambahkan modal.

Modal yang baru boleh merupakan syer biasa dan syer keutamaan. Malah anda juga boleh menerbitkan syer tertunda yang dibayar secara ansuran asalkan Memorandum tidak menyekat penerbitannya. Jika Memorandum tidak membenarkan penerbitannya, anda terpaksalah membuat pindaan kepada fasal berkenaan.

Notis mengenai apa-apa penambahan modal hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh empat belas hari daripada tarikh ketetapan diluluskan bersama-sama dengan salinan minit mesyuarat, ketetapan dan Memorandum dan / atau Perkara-perkara Persatuan yang telah dipinda.

Pemegang syer yang sedia ada mempunyai hak membeli dahulu kepada terbitan syer baru dengan perkadaran yang sama dengan pemegangan syer mereka, melainkanlah hak mereka digugurkan oleh Perkara-perkara Persatuan. Bayaran hendaklah tidak berbentuk tunai dan syer berkenaan memberi dividen yang tetap atau pengarah-pengarah mempunyai kuasa untuk mengumpukkan syer.

Penerbitan syer

Kuasa pengarah-pengarah untuk menguntukkan syer perlu dinyatakan dalam Perkara-perkara Persatuan atau diberikan oleh pemegang-pemegang syer melalui ketetapan biasa dalam mesyuarat agung. Kuasa berkenaan boleh bersyarat atau tidak bersyarat dan berkuatkuasa dalam tempoh maksimum lima tahun dan boleh diperbaharui selama tempoh lima tahun lagi. Pengarah-pengarah yang secara disedari atau semberono mengelirukan pemegang-pemegang syer adalah melakukan kesalahan.

Terbitan baru yang mengubah hak-hak pemegang-pemegang syer sedia ada hendaklah dibuat melalui skim perkiraan, sama ada hak berkenaan terkandung dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan. Ini bermakna permohonan dibuat kepada mahkamah untuk memanggil mesyuarat pemegang-pemegang syer. Jika mesyuarat bersetuju dengan pengubahan kepada hak-hak mereka dengan majoriti tiga perempat daripada pemegang-pemegang syer, mahkamah boleh membenarkan penerbitan syer berkenaan. Mana-mana pemegang syer boleh membantah di mahkamah dan juga dalam mesyuarat pemegang-pemegang syer.

Jika perniagaan syarikat anda menguntungkan dan mempunyai rizab modal yang banyak, nilai sebenar syer anda akan meningkat. Jika syer baru diterbitkan melebihi nilai taranya, nilai premiumnya hendaklah dipindahkan kepada akaun premium syer, yang akan merupakan sebahagian modal syarikat. Ia tidak boleh diagihkan tanpa kebenaran mahkamah, melainkanlah anda menggunakannya untuk 'terbitan bonus' atau 'terbitan hak', atau menyediakan premium untuk 'penebusan syer keutamaan' boleh tebus atau debentur, tetapi ia boleh digunakan untuk menghapus kira dengan mengorbankan terbitan selanjutnya.

'Premium' akan menjadi sebahagian daripada struktur modal kerana ianya adalah 'penilaian semula' aset syarikat. Jika syer bonus diterbitkan kepada pemegang syer sedia ada daripada rizab atau daripada akaun premium syer, premium berkenaan secara kekal dilaburkan semula dalam perniagaan dan dimodalkan atau ditukarkan kepada modal syer, dengan itu menjadikan modal hampir kepada 'nilai buku bersih aset'. Walau bagaimanapun, 'nilai buku bersih' tidak semestinya sama dengan nilai sebenar aset kerana perbezaan yang mesti dikeluarkan daripada akaun anda di antara aset tetap dan aset pusingan. Pada amnya aset tetap adalah barangan modal syarikat anda yang menghasilkan pendapatan dan aset pusingan adalah pemiutang perdagangan anda, stok perdagangan dan wang yang digunakan dalam perniagaan anda.

Jika pemindahan premium kepada akaun premium syer berkaitan dengan pembinaan semula dan penyatuan sesebuah syarikat kumpulan, transaksi berkenaan hendaklah di antara syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhan yang menerbitkan syer dengan premium kepada syarikat pemegang atau kepada syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhan yang lain,sebagai balasan kepada syer dalam syarikat subsidiari yang lain. Begitu juga dalam penyatuan di mana syarikat anda telahpun memperolehi sekurang-kurangnya 90% daripada ekuiti syarikat lain, yang bermakna 90% daripada nilai nominal syer-syer atau kelas syer-syer. Perjanjian, skim atau perkiraan yang mana anda mengumpukkan syer hendaklah dibuat dengan balasan terbitan atau pemindahan, atau pengkenselan baki ekuiti dalam syarikat yang diambil alih atau untuk terbitan, pemindahan atau pengkenselan syer bukan ekuiti. Untuk tujuan ini, syer-syer yang dipegang oleh syarikat pemegang atau syarikat subsidiari anda atau mana-mana syarikat subsidiari kepada syarikat subsidiari itu adalah disifatkan sebagai dipegang oleh syarikat anda.

Hanya nilai minimum premium yang dikehendaki dimasukkan dalam akaun premium syer. Nilai minimum adalah amaun (jika ada) yang mana nilai asas syer yang dipindahkan melebihi jumlah nilai nominal syer yang diterbitkan sebagai balasan kepada pemindahan, di mana nilai asas adalah amaun kos yang kurang daripada syer-syer syarikat pemindah atau nilai yang dinyatakan dalam akaun terbaru syarikat berkenaan. Baki harga boleh diketepikan dalam nilai pembalasan yang dinyatakan dalam kunci kira-kira.

Jika terbitan premium dibuat sebagai balasan kepada terbitan berkenaan, pemindahan atau pengkenselan syer syarikat yang mana atau yang akan melalui transaksi itu telah menjadi subsidiari atau subsidiari kepada subsidiari kepada syarikat anda, maka premium yang belum dipindahkan kepada akaun premium syer di bawah peraturan sebelumnya boleh diabaikan dalam kedua-dua akaun premium syer dan nilai balasan itu dimasukkan dalam kunci kira-kira.

Bagi terbitan syer yang diberikuasa oleh Perkara-perkara Persatuan syarikat anda yang boleh tebus dengan opsyen pemegang-pemegang syer atau syarikat, pada masa terbitan, mestilah ada syer biasa dalam syarikat dan pada masa syer ditebus, syer boleh tebus itu hendaklah telah berbayar penuh. Terma-terma penebusan hendaklah termasuk pembayaran yang yang perlu dibuat daripada keuntungan yang dibahagi-bahagikan atau daripada penerbitan syer baru untuk tujuan itu. Jika premium dibayar semasa penebusan, ianya hendaklah dibayar daripada keuntungan yang dibahagi-bahagikan tetapi jika syer telah diterbitkan dengan premium, ianya boleh dibayar daripada penerbitan syer baru yang dibuat untuk tujuan penebusan kepada amaun yang kurang daripada jumlah premium yang diterima apabila diterbitkan atau amaun semasa kemudiannya dalam akaun premium syer, termasuk apa-apa yang diterima daripada penerbitan baru.

Syer-syer dikensel dalam penebusan dan amaun modal nominal syarikat (bukannya modal dibenarkan) dikurangkan sewajarnya supaya syarikat masih boleh menerbitkan syer-syer sehingga batasan maksimum modal dibenarkannya, seolah-olah syer-syer itu tidak pernah diterbitkan. Syer-syer baru itu tertakluk kepada duti modal jika nilainya melebihi nilai syer-syer yang ditebus apabila modal dan duti setem kena dibayar atas perbezaan tetapi hanya jika syer-syer itu ditebus dalam tempoh sebulan daripada penerbitan baru.

Anda tidak boleh menerbitkan syer yang kurang daripada nilai nominal (nilai tara) tetapi anda boleh menjual perkhidmatan anda atau harta anda kepada syarikat dan dibayar dengan penerbitan syer yang khas. Ini boleh membawa kepada penerbitan dengan diskaun.

Suatu terbitan, seperti terbitan hak dengan unsur-unsur bonus di bawah harga pasaran (tetapi bukannya di bawah nilai tara) dibenarkan kerana ianya bukan terbitan dengan diskaun sepanjang yang berkaitan dengan modal nominal syarikat. Syer (atau skrip) bonus seakan-akan terbitan syer dengan diskaun tetapi sebenarnya berbeza. Jika misalnya, anda mempunyai rizab terkumpul yang mencukupi, akaun keuntungan dan kerugian, akaun premium syer atau rizab dana modal boleh tebus untuk mengisytiharkan dividen bernilai RM 1.00 bagi setiap RM 1.00 syer, anda boleh sebaliknya mengkreditkan amaun berkenaan untuk membayar penuh syer-syer baru kepada pemegang-pemegang syer yang sedia ada.

PENGURANGAN MODAL

Kuasa mengurangkan modal

Jika terdapat peruntukan dalam Perkara-perkara Persatuan, syarikat anda boleh mengurangkan modal dengan membeli semula syernya. Syarikat juga boleh membei semula syer boleh tebusnya tidak kira sama ada terdapat atau tidaknya kuasa yang diberikan oleh Perkara-perkara Persatuan, asalkan sebahagian syer-syer yang boleh tebus itu masih dipegang dalam syarikat.

Syarat-syarat mengenai pengurangan modal

Pembayaran daripada modal hendaklah tidak melebihi keuntungan yang ada untuk pembahagian beserta dengan apa-apa terbitan syer baru yang dibuat untuk maksud transaksi berkenaan. Jika ini masih tidak mencukupi untuk membayar amaun nominal syer yang dibeli atau ditebus, perbezaannya hendaklah dipindahkan kepada rizab penebusan modal. Jika pembayaran modal yang diizinkan itu melebihi amaun maksimumnya, amaun yang masih ada dalam akaun rizab penebusan modal, akaun premium syer, modal syer berbayar penuh dan apa-apa yang mewakili keuntungan terealis yang ada dalam rizab penilaian semula boleh dikurangkan sewajarnya.

Transaksi berkenaan hendaklah terkebih dahulu diberikuasa oleh ketetapan khas syarikat yang diluluskan oleh majoriti pemegang-pemegang syer yang layak mengundi dan salinan kontrak pembelian hendaklah disediakan untuk pemeriksaan di pejabat berdaftar selama empat belas hari sebelum mesyuarat di mana ketetapan berkenaan diluluskan dan pada mesyuarat itu sendiri.

Pengarah-pengarah hendaklah membuat pengisytiharan berkanun menyatakan amaun dibayar dan menyatakan bahawa selepas membuat penyiasatan, pada pendapat mereka syarikat mampu untuk membayar hutang-hutangnya sebaik sahaja selepas pembelian itu, dan bahawa dalam konteks perancangan pengurusan dan perkiraan kewangan mereka, syarikat boleh terus menjalankan perniagaan pada tahun-tahun berikutnya dan mampu membayar hutang-hutangnya setiap kali ianya kena dibayar.

Pengisytiharan itu perlu dilampirkan dengan laporan juru audit yang menyatakan bahawa, selepas menyiasat, amaun modal telah dikira dengan sempurna dan bahawa juru audit tidak menyedari mengenai apa-apa perkara yang menunjukkan bahawa pendapat pengarah-pengarah adalah tidak munasabah dalam hal-keadaan itu. Pengisytiharan dan laporan itu hendaklah disediakan untuk pemeriksaan oleh pemegang-pemegang syer dalam mesyuarat yang perlu meluluskan transaksi berkenaan melalui ketetapan khas oleh majoriti pemegang-pemegang syer yang layak mengundi pada tarikh pengisytiharan berkanun itu, atau dalam tempoh minggu berikutnya. Pembayaran hendaklah dibuat anatara lima hingga tujuh miggu selepas mesyuarat. Butir-butir mengenai transaksi berkenaan perlu dihebahkan melalui siaran akhbar, dimaklumkan kepada pemiutang dalam tempoh seminggu daripada tarikh ketetapan, pengisytiharan dan laporan berkenaan dizahirkan di pejabat berdaftar untuk disemak oleh pemegang-pemegang syer dan pemiutang. Butir-butir transaksi bersama-sama dengan pengisytiharan, laporan dan salinan ketetapan berkenaan perlu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh yang sama.

Pemegang-pemegang syer dan juga pemiutang boleh memohon kepada mahkamah untuk mengkenselkan ketetapan berkenaan dan mahkamah boleh melanjutkan prosiding supaya perkiraan boleh dibuat untuk membeli kepentingan pemegang-pemegang syer yang menentangnya dan untuk melindungi pemiutang.

Jika bayaran dibuat daripada keuntungan yang boleh dibahagikan, peraturan mengenainya adalah kurang. Walaupun begitu anda masih tetap perlu meminta kebenaran pemegang-pemegang syer dan butir-butir yang releven masih perlu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh 30 hari daripada penyerahan syer-syer berkenaan. Meskipun kontrak berkenaan hanyalah ‘kontrak kontingen’, butir-butir berkaitan masih perlu disimpan dalam fail di pejabat berdaftar selama 10 tahun selepas penyempurnaannya untuk diperiksa oleh pemegang-pemegang syer dan pemiutang dalam waktu urusan.

Jika sebahagian daripada atau kesemua bayaran ke atas pembelian atau penebusan dibuat melalui penerbitan baru, modal yang diterima daripada penerbitan itu akan menggantikan sebahagian atau kesemua modal daripada syer yang dibeli atau ditebuskan itu. Oleh itu ianya akan menambah, mengganti atau mengurangkan modal syarikat. Jika anda memilih untuk menggunakan keuntungan yang teragih, amaun yang bersamaan dengan amaun nominal syer perlu dipindahkan kepada rizab penebusan modal. Ianya boleh digunakan untuk membayar syer syarikat yang tidak diterbitkan atau untuk menrbitkan syer bonus. Sebab itulah syer bonus dianggap sebagai terbitan pemodalan kerana ianya melepaskan sebahagian daripada modal untuk diagihkan kepada pemegang-pemegang syer. Kadar dividen sesyer masih tetap sama walaupun bilangan syer bertambah dan syer kekal sebagai sebahagian daripada struktur modal syarikat. Amaun yang dibayar ke atas terbitan syer bonus dianggap sebagai pengagihan pendapatan syarikat melainkan jika ianya adalah terbitan bonus daripada syer keutamaan berbayar penuh. Jika apa-apa premium dibayar kerana penebusan syer keutamaan boleh tebus, ianya perlu dibayar daripada keuntungan atau daripada akaun premium syer.

RUJUKAN

A. AKTA SYARIKAT 1965

Seksyen 4.

Seksyen 17 (1).

Seksyen 55 (1).

Seksyen 60 (3)(e)(f).

Seksyen 61 (1), (2), (3)(a)(b), (5), (7).

Seksyen 62 (1)(e).

Seksyen 64 (1), (2)(a)(c)(ii), (3), (4), (6), (9).

Seksyen 66 (1).

Seksyen 67 (1).

Seksyen 181 (2)(c).

B. SENARAI KES MAHKAMAH

Commisioner of Taxation lwn Coppleson (1981) 6 ACLR 428.

Exchange Banking Co (Flitcroft's), Re (1882) 21 Chd 519, 533-534.

Guiness lwn Land Corporation of Ireland (1882) 22 Ch. D. 349, 375.

Holders Investment Trust Ltd, Re (1971) 2 All ER 289, 281.

Kirby lwn Wilkins (1929) 2 Ch 444.

Marra Developments Ltd, Re (1978) 3 ACLR 798.

Merchant Credit Pte Ltd lwn Industrial & Commercial Realty Co Ltd (1983) 1 MLJ 124.

N Sinnasamy lwn Hup Aik Omnibus Co (1952) MLJ 36.

Poole lwn Naional Bank of China Ltd (1907) AC 229.

St Jame's Court Estate Ltd, Re (1944) Ch 6.

Trevor lwn Witworth (1887) 12 App Cas 409.

Westburn Sugar Refineries Ltd, Re (1951) AC 625, 629, 635.

Winkworth lwn Edward Baron Development Co Ltd (1987) 1 All ER 114, 118.