Make your own free website on Tripod.com
ke laman utama syarikat.com ke Kuliah Asas 8
 
 
Larangan pinjaman kepada pengarah

Jika syarikat anda adalah sebuah 'syarikat persendirian yang terkecuali', syarikat anda boleh memberikan pinjaman kepada pengarah-pengarah syarikat anda sendiri atau syarikat pemegang kepada syarikat anda atau syarikat subsidiari kepada syarikat anda atau syarikat subsidiari lain yang berkaitan dengan syarikat anda.

Maksud 'memberikan pinjaman'

Sebaliknya, jika syarikat anda adalah sebuah syarikat yang selain daripada syarikat persendirian yang terkecuali, syarikat anda tidak boleh memberi pinjaman kepada pengarah-pengarah berkenaan. Apakah yang dimaksudkan dengan memberikan pinjaman? ‘Memberikan pinjaman’ termasuklah, memberikan pinjaman secara langsung, menjamin pinjaman, dan menyediakan sekuriti sebagai jaminan pinjaman.

Kebenaran memberikan pinjaman

Walau bagaimanapun, syarikat anda dibenarkan oleh undang-undang untuk memberikan pinjaman dalam tiga hal keadaan dan perkara-perkara yang berikut: pertamanya, memberikan pinjaman bagi membolehkan seseorang pengarah berbelanja bagi pihak syarikat; keduanya, memberikan pinjaman bagi membolehkan seseorang pengarah menjalankan kewajipannya; dan ketiganya, memberikan pinjaman bagi membolehkan seseorang pengarah membeli rumah di bawah skim pinjaman pekerja.

Jika syarikat anda memberikan pinjaman kepada pengarah-pengarah bagi tujuan-tujuan yang dinyatakan di atas, butir-butir mengenai tujuan pinjaman dan amaun pinjaman hendaklah didedahkan dalam mesyuarat agung. Jika mesyuarat agung tidak meluluskannya pada mesyuarat berkenaan atau sebelum mesyuarat agung tahunan yang berikutnya, maka pinjaman itu perlu dibayar balik dalam tempoh enam bulan daripada tarikh mesyuarat berkaitan.

Larangan memberikan pinjaman kepada 'orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah'

Syarikat anda juga tidak boleh memberikan pinjaman kepada mana-mana orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah syarikat anda atau pengarah syarikat yang berkaitan dengan syarikat anda. Siapakah yang dianggap sebagai orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah? Orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah ialah:

  • ahli keluarga pengarah
  • syarikat yang mempunyai hubungan dengan pengarah
  • pemegang amanah kepada amanah yang mana pengarah atau ahli keluarganya adalah pemegang benefisiari
  • rakan kongsi pengarah atau rakan kongsi orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah

'Ahli keluarga pengarah' termasuklah suami/isteri, ayah/ibu, anak-anak (termasuk anak angkat dan anak tiri), abang/adik, kakak dan suami/isteri, anak-anak, adik/abang dan kakak kepada pengarah.

Syarikat (termasuk lain-lain pertubuhan perbadanan) yang mempunyai hubungan dengan pengarah termasuklah:

  • syarikat yang lazim atau berobligasi untuk bertindak sama ada secara langsung atau tidak langsung menurut arahan atau suruhan atau hasrat pengarah
  • syarikat yang pengarah mempunyai kepentingan penguasaan
  • syarikat yang pengarah atau orang yang mempunyai hubungan dengannya mempunyai tidak kurang daripada 15% undi yang terkembar kepada syer berpengundian

Kebenaran memberikan pinjaman kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengan pengarah

Walau bagaimanapun, syarikat anda boleh memberi pinjaman kepada syarikat yang berkaitan dengannya. Jika perniagaan biasa syarikat anda adalah memberi pinjaman, maka syarikat anda boleh memberi pinjaman dan terkecuali daripada larangan tersebut dengan dikawal selia oleh peraturan-peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan syarikat dan institusi kewangan dan bank di bawah kawalan Bank Negara Malaysia. Syarikat anda juga boleh memberi pinjaman kepada orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah sepenuh masa syarikat anda atau syarikat yang berkaitan dengannya dalam dua hal-keadaan, iaitu untuk membeli rumah atau untuk memberi pinjaman kepada pekerja-pekerja yang diluluskan dalam mesyuarat agung.

Implikasi kerana memberikan pinjaman yang dilarang

Kemudahan pinjaman yang diberikan oleh syarikat yang bertentangan dengan kehendak Akta boleh dkenselkan oleh syarikat. Syarikat berhak untuk mendapatkan semula pinjaman berkenaan melainkan jika proses 'restitusi' tidak boleh dibuat atau syarikat telah ditanggungrugi kerana kerugian atau pihak luar tidak mengetahui yang pelanggaran tersebut akan membawa kepada kerugian. Meskipun proses 'restitusi' boleh dibuat, pihak yang melanggar larangan tersebut dan mana-mana pengarah yang memberikuasa untuk perlaksanaan transaksi berkenaan adalah bertanggungan untuk membayar semula atau menanggungrugi syarikat dan untuk membayar pampasan atas apa-apa implikasi keuntungan atau kerugian (melainkan jika mereka dapat buktikan bahawa mereka tidak mengetahui bahawa transaksi itu adalah dilarang). Jika transaksi dibuat di antara syarikat dengan seseorang yang mempunyai hubungan dengan pengarah, maka pengarah yang terlibat tidak bertanggungan jika dia dapat membuktikan yang dia telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan syarikat mematuhi kehendak statutori berkaitan.

Transaksi atau perkiraan dengan pengarah

Aset bukan tunai yang bernilai tidak kurang daripada RM 10,000.00, atau amaun yang sama dengan modal syer terbitan syarikat tidak boleh dibuat apa-apa perkiraan atau transaksi dengan pengarah atau orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah atau diperoleh oleh syarikat tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada pemegang-pemegang syer dalam mesyuarat agung. Kelulusan boleh dibuat secara terkebelakang jika kelulusan berkenaan dibuat dalam tempoh yang munasabah. Jika akaun tahunan telah disediakan menurut kehendak statutori nilai aset bukan tunai berkenaan ialah tidak melebihi RM 250,000 atau maksimum 10% daripada nilai bersih aset syarikat yang dinyatakan dalam akaun syarikat yang terkemudian.

Syarikat boleh mengkensel apa-apa pemindahan aset secara yang tak sah, melainkan jika proses 'restitusi' tidak dapat dilaksanakan atau akan menyebabkan pihak ketiga yang tidak bersalah menanggung kerugian. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, menanggungrugi syarikat kerana kerugian atau kerosakan melalui pihak ketiga tidak akan menyelamatkan transaksi berkaitan. Pihak yang melanggar secara yang tidak sengaja dimaafkan atas asas yang sama seperti dalam kes larangan kepada perkiraan pinjaman tetapi pihak yang melanggar secara sengaja adalah bertanggungan kepada syarikat atas apa-apa kesan keuntungan atau kerugian, tidak kira sama ada proses restitusi boleh dibuat atau tidak.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan kemudahan pinjaman, perkiraan pinjaman dan pemberian jaminan dan penyediaan sekuriti kepada pengarah-pengarah dan orang-orang yang mempunyai hubungan dengan mereka perlu didedahkan dalam akaun tahunan syarikat anda, melainkanlah jika liabiliti kontingen (liabiliti berjika) bersih dalam tempoh yang diliputi oleh akaun berkenaan adalah kurang daripada RM 5,000.00. Transaksi atau perkiraan lain di antara pengarah dengan orang-orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah perlu juga dimasukkan dalam akaun tahunan syarikat anda, melainkanlah jika nilai bersihnya tidak melebihi RM 1,000.00 atau 1% daripada nilai bersih aset syarikat sehingga maksimum RM 5,000.00.

Pinjaman syarikat untuk membeli syernya sendiri

Tidak ada had yang dikenakan kepada syarikat untuk memberikan pinjaman kepada pekerja-pekerja untuk membeli syer dalam syarikat, begitu juga bagi pendahuluan yang dibuat oleh syarikat untuk mewujudkan suatu tabung amanah untuk membeli syer dalam syarikat untuk pekerja-pekerja, termasuk pengarah-pengarah sepenuh masa.

Syarikat persendirian anda boleh membantu anda atau sesiapa sahaja daripada segi kewangan untuk membeli syernya sendiri, asalkan aset syarikat tidak akan menjadi semakin kurang kerananya atau bantuan itu diambil daripada sumber keuntungan yang tidak dibahagikan.

Bantuan kewangan boleh dibuat dalam bentuk alangan, pinjaman, jaminan, sekuriti, tanggungrugi atau lain-lain bantuan kewangan yang akan mengurangkan nilai bersih aset syarikat. Dalam konteks ini, aset bersih bermaksud perbezaan di antara jumlah amaun aset dengan liabiliti yang ditunjukkan dalam akaun yang terkemudian, dan liabiliti termasuklah amaun yang dijangka diperolehi daripada hutang lapuk atau hutang ragu. Bantuan berkenaan hendaklah diberikan secara yang suci hati dan untuk kepentingan syarikat serta hendaklah juga selari dengan fasal tujuan-tujuan dan kuasa syarikat.

Pengarah-pengarah perlu membuat suatu akuan berkanun, dengan memberikan butir-butir transaksi berkenaan dan menyatakan bahawa, pada pandangan mereka syarikat boleh membayar balik hutang sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan atau jika syarikat digulung. Laporan berkanun ini perlu dilampirkan bersama-sama dengan laporan audit menyatakan, bahawa selepas menyiasat, juru audit itdak menyedari bahawa wujudnya sesuatu yang menunjukkkan pandangan pengarah-pengarah itu adalah tidak munasabah dalam hal keadaan itu. Pada tarikh perakuan berkanun berkenaan, suatu ketetapan khas yang meluluskan transaksi berkenaan hendaklah diluluskan oleh pemegang-pemegang syer, yang semuanya ikut serta dalam pengundian itu. Salinan perakuan berkanun dan ketetapan khas itu hendaklah diserahkan kepada Pendaftar Syarikat. Pemegang 10% daripada nilai nominal modal syer terbitan boleh memohon kepada mahkamah untuk mengkensel ketetapan berkenaan.

DIVIDEN

Syarat mengenai dividen

Takrif 'keuntungan'

Dividen hanya boleh dibayar daripada keuntungan syarikat anda dan bukannya daripada modal syarikat anda. Keuntungan bolehlah didefinisikan sebagai keuntungan terealis yang terkumpul (yang tidak pernah digunakan melalui pengagihan atau pemodalan) ditolak dengan kerugian terealis terkumpul (yang tidak pernah dihapus kira sebelumnya). Anda tidak boleh menggunakan keuntungan belum terealis daripada penilaian semula aset untuk membayar debentur atau amaun tak berbayar atas syer-syer terbitan.

Keuntungan terealis boleh diagihkan selepas mengambil kira susutan nilai. Kos pembangunan yang ditunjukkan sebagai aset dalam akaun dianggap sebagai kerugian terealis dan ditolak daripada keuntungan anda untuk tujuan percukaian, melainkan apa-apa amaun yang yang mewakili keuntungan belum terealis yang dibuat hasil daripada penilaian semula kos pembangunan. Pengarah-pengarah boleh, walau bagaimanapun, memilih untuk berurusan dengan cara yang berbeza dengan amaun berkenaan jika mereka dapat menunjukkan hal keadaan yang khusus yang mewajarkan keputusan mereka yang perlu dinyatakan dalam nota kejelasan kepada akaun.

Pengisytiharan dividen adalah jelas, iaitu daripada keuntungan yang ada dalam sesuatu tahun. Anda tidak perlu menghapus kira kerugian terdahulu sebelum anda membayar dividen daripada keuntungan syarikat. Anda tidak perlu juga membayar kerugian ke atas modal tetap sebelum keuntungan dikenalpasti, walaupun anda boleh mengambil kira kerugian daripada modal pusingan.

Apa yang dimaksudkan dengan modal pusingan dalam konteks undang-undang, bergantung kepada ciri-ciri perniagaan syarikat anda dan bukannya bergantung kepada ciri-ciri aset syarikat anda. Pada amnya, aset tetap anda memungkinkan anda untuk memperoleh pendapatan dan jualan perniagaan, stok perdagangan, penghutang dan wang tunai dalam tangan dan dalam bank adalah modal pusingan anda, yang perlu diambil kira sebelum keuntungan diagihkan. Keuntungan daripada aset pusingan adalah keuntungan daripada pendapatan yang perlu dibayar cukai perbadanan.

PINJAMAN KEPADA SYARIKAT

Kuasa Meminjam

Syarikat perniagaan boleh meminjam dan memberi sekuriti tanpa perlu mempunyai peruntukan khusus dalam Memorandum dan Perkara-perkara Persatuannya. Walaupun begitu anda perlu memastikan yang syarikat anda mempunyai kuasa meminjam dan melabur yang seluas-luasnya untuk mengelakkan daripada masalah dengan pemiutang dan pemegang-pemegang syer. Anda perlu menggugurkan peruntukan yang membataskan kuasa meinjam dan melabur kepada pengarah-pengarah yang diperuntukkan dalam Jadual A, Jadual Ke-4 Akta Syarikat 1965. Syarikat peminjam boleh menyerahkan syernya sebagai sekuriti dalam transaksi yang dibuat olehnya dalam perjalanan biasa perniagaannya. Mana-mana syarikat boleh menggadai-janji syer separa berbayar sebagai baki yang belum dibayar.

Debentur

Anda boleh manambah modal tambahan dengan menerbitkan debentur. Debentur itu sendiri adalah adalah dokumen yang dikeluarkan oleh syarikat kepada pemegang debentur sebagai bukti suatu gadai-janji atau gadaian ke atas aset untuk mendapatkan pinjaman, dengan kadar faedah. Pemegang debentur adalah pemiutang syarikat tetapi biasanya memegang satu daripada debentur bersiri dengan hak yang hampir sama yang terkembar padanya, atau suatu kelas pemegang debentur yang sekuritinya boleh dipindahkan (seperti syer) atau boleh niaga (seperti waran).

Debentur biasanya dianggap sebagai modal pinjaman, tetapi ianya merupakan sebahagian daripada modal yang berbeza sama sekali modal syer syarikat. Di sisi undang-undang, debentur adalah hutang yang terkuatkuasa, bukan sekadar satu kemasukan dalam buku simpan kira dan terzahir sebagai liabiliti dalam kunci kira-kira. Penerbitan syer keutamaan boleh juga dijadikan boleh tebus apabila ia biasanya memberikan pemegang syer keutamaan hak untuk mendapat pulangan yang tetap ke atas dividen dan modal dengan cara yang sama seperti debentur. Pemegangnya adalah pemegang syer tetapi hanya boleh mengundi dalam hal keadaan yang khusus, sama seperti kelayakan untuk mengundi yang ada pada pemegang debentur.

Gadaian

Jika debentur dicagar oleh aset yang khusus, gadaian adalah tetap. Gadaian ke atas semua aset syarikat adalah gadaian terapung kerana sekuriti berubah-ubah dari masa ke semasa. Gadaian terapung tercair menjadi gadaian tetap apabila syarikat digulung atau berhenti daripada berniaga, atau jika ia ditetapkan di bawah terma-terma pinjaman dan pemegang-pemegang debentur mengambil tindakan untuk menguatkuasakan sekuriti berkenaan.

Tidak seperti syer, debentur boleh diterbitkan dengan diskaun. Debentur boleh ditebus, dengan atau tanpa premium. Pemegangnya perlu dibayar pada tarikh yang ditetapkan, atau ditebus, tetapi kadar faedah hendakalah dibayar walaupun anda tidak membuat sebarang keuntungan.

Suratikatan amanah

Kebanyakan debentur terkandung dalam surat ikatan amanah, yang memberikan gadaian ke atas aset tetap ditambah dengan gadaian terapung ke atas baki aset. Biasanya suarat ikatan berkenaan mengandungi peruntukan yang membenarkan syarikat untuk menguruskan aset semasa dan masa hadapan dalam menjalankan perniagaan biasanya, malah boleh menggadai-janjinya dan menjualnya sehingga berlakunya keadaan di mana pemegang amanah dilantik dalam surat ikatan berkenaan melantik penerima.

Gadaian Terapung

Gadaian terapung, memberikan peluang kepada syarikat untuk mengurus dengan bebas dengan aset perniagaannya. Syarikat boleh mewujudkan gadaian terapung dan gadaian tetap secara berasingan. Gadaian terapung boleh dikuatkuasakan selepas gadaian tetap, dengan apa juga cara ianya diperbuat, melainkan jika gadaian terapung berkenaan melarang pinjaman dengan hak terdahulu ke atas sekuriti aset tetap dan pemberi pinjaman di bawah gadaian tetap itu mengetahui mengenai larangan berkenaan.

Masalah kecairan

Anda mungkin mempunyai masalah jika anda menghadapi masalah kecairan dan mempunyai sekuriti ke atas akaun semasa, kerana pihak bank biasanya memasukkan mengenainya dalam surat perjanjian pinjaman. Cek yang dibayar ke dalam akaun berkenaan selepas syarikat berhenti menjalankan perniagaan boleh menjadi suatu 'keutamaan palsu' (yang memihak kepada pihak bank), biarpun jika dibayar dengan 'kepercayaan yang munasabah dan tulen' bahawa pemiutang syarikat akan dibayar 'dalam tempoh yang singkat'. Ini bermakna bahawa pihak bank boleh mendesak untuk mengekalkan suatu amaun yang lebih besar dalam akaun perniagaan daripada amaun overdraf yang dipersetujui jika anda menghadapi masalah untuk membayar bil-bil, dengan andaian yang sebahagian daripadanya mengandungi satu 'keutamaan palsu' dan yang perlu dibayar kepada pelikuidasi jika perniagaan menjadi tak solven.

Jika masalah kecairan membawa syarikat ke ambang pembubaran, gadaian terapung yang diwujudkan dalam tempoh enam bulan sebelum penggulungan adalah tidak sah melainkan syrikat adalah solven semasa gadaian diwujudkan.Pinjaman langsung atau debentur kepada syarikat boleh juga mmenjadi tak sah sebagai 'keutamaan palsu' yang memihak kepada pemiutang jika ianya dibuat dalam tempoh enam bulan sebelum penggulungan.Pembayaran kemudiannya ditangguhkan kepada hak-hak pemiutang keutamaan dan pemiutang bercagar dan dalam keadaan tertentu pengarah-pengarah perlu membayar sendiri kepada pemberi pinjaman dan boleh juga didakwa.

Pendaftaran gadaian

Gadaian hendaklah didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kewujudannya. Jika tidak didaftarkan dalam tempoh tersebut gadaian berkenaan akan menjadi batal apabila syarikat digulung, dan pemiutang tidak akan dapat menguatkuasakan sekuritinya melainkan mahkamah melanjutkan tempoh pendaftaran.

Syarikat hendaklah juga menyimpan Daftar Gadaian di pejabat berdaftarnya untuk diperiksa oleh orang awam. Salinan surat cara yang mewujudkan gadaian hendaklah juga disimpan di pejabat berdaftar untuk diperiksa oleh pemiutang dan pemegang syer.

RUJUKAN

A. AKTA SYARIKAT 1965

Seksyen 4.

Seksyen38 (1), (4), (5).

Sekysen70 (1).

Seksyen 72.

Seksyen 73 (1), (2).

Seksyen 77 (1).

Seksyen 108 (1), (2), (10).

Seksyen 109 (1), (2).

Seksyen110 (1).

Seksyen 111 (2).

Seksyen 114.

Seksyen 115 (1), (2), (3).

Seksyen 131 (1A).

Seksyen 191 (1), (3).

Seksyen 292 (1), (3), (4), (5).

Seksyen 294.

Perenggan 13 & 15 Jadual Ke-3.

Perenggan 32, 33 Jadual Ke-5.

Perkara 74 Jadual A.

B. SENARAI KES MAHKAMAH

Aluminium Industrie Vaassen BV lwn Romalpa Aluminium Ltd (1976) 2 All ER 552.

Amargh Shoes Ltd, Re (1984) BCLC 405.

Antofagasta (Chili) and Bolivia Railway Co Ltd's Trust Deed, Re (1939) Ch 732

Automatic Bottle Makers Ltd, Re (1926) Ch 412.

Bechualand Exploration Co lwn London Trading Bank (1898) 2 QB 658.

Benjamin Cope & Sons Ltd, Re (1914) 1 Ch 800.

Biggerstaff lwn Rowatt's Wharf Ltd (1896) 2 Ch 93.]

(1921) 2 FMSLR 263.

Bond Worth Ltd, Re (1980) Ch 228.

Bonds Ltd, Re (1921) 2 FMSLR 263.

Brunton lwn Electrical Engineering Corp (1892) 1 Ch 434.

Castell & Brown Ltd (1898) 1 Ch 315.

CL Nye Ltd, Re (1971) Ch 442.

Edelstein lwn Schuler & Co (1902) 2 KB 144.

English & Scottish Mercantile Investment Co Ltd lwn Brunton (1892) 2 QB 700,707.

Eric Holmes (Property) Ltd, Re (1965) Ch 1052,1069.

Evans lwn Rival Granite Quarries Ltd (1910) 2 KB 979,993.

Gebrueder Buehler AG lwn Peter Chi Man Kwong (1987) 1 MLJ 356.

George Barker (Transport) Ltd lwn Eynon (1974) 1 All Er 900.

Governments Stock & Other Securities Investment Co Ltd lwn Manila Railway Co Ltd (1897) AC 81.

Hamilton's Windsor Ironworks, Re (1879) 12 ChD 707.

Haw Par Brothers International Ltd lwn Overseas Textiles Co Ltd (1978) 2 MLJ 19.

Illingworth lwn Houldsworth (1904) AC 355,358.

Inland Revenue Commisioners lwn Goldblatt (1972) Ch 498.

Mace Builders (Glasgow) Ltd lwn Lunn (1987) BCLC 55.

Manurewa Transport Ltd, Re (1971) NZLR 909.

Mechanisations (Eaglescliffe) Ltd, Re (1966) Ch 20.

National Provincial and Union Bank of England lwn Charnley (1924) 1 KB 431.

NW Robbie & Co Ltd lwn Witney Warehouse Co Ltd (1963) 3 All ER 613.

Panama, New Zealand and Australian Royal Mail Co, Re (1870) 5 Ch App 318.

R lwn Registrar of Companies, ex p Central Bank of India (1986) 1 All ER 105.

Ram Narain lwn Radha Kishen Moti Lal Chamaria (1929) LR 57 IA 76,83.

Rother Iron Works Ltd lwn Canterbury Precision Engineers Ltd (1974) QB 1.

Roundwood Colliery Co, Re (1897) 1 Ch 373,393.

Shanghai Klebang Estate Ltd lwn Banking & Trading Corporation, Nauden ten Gate (1917) 15 SSLR 10.

Siebe Gorman & Co Ltd lwn Barclays Bank Ltd (1979) 2 Lloyd's Rep 142.

Standard Manufacturing Co, Re (1891) 1 Ch 627.

United Asian Bank Bhd lwn Kwong Yik Bank Bhd (tidak dilaporkan) Saman Pemula No C 98 (1980).

United Malayan Banking Corp Bhd lwn Official Receiver & Liquidator of Soon Hup Seng Sdn Bhd (1986) 1 MLJ 75,79.

West Street Properties Pty Ltd lwn Jamison (1974) 2 NSWLR 435.

William H Parsons lwn Sovereign Bank of Canada (1913) AC 160.

Woodroffes (Musical Instruments) Ltd, Re (1985) 2 All Er 908.

Yeovil Glove Co Ltd, Re (1965) Ch 148.

Yip Hock Chye lwn Santan Engineering Pte Ltd (1987) 2 MLJ 293.

Yorkshire Woolcombers Association Ltd, Re (1903) 2 Ch 284,295.