kembali ke laman utama syarikat.com kembali ke Bahagian 6ke Bahagian 8
 
 
 
KETETAPAN

Ketetapan Biasa

Ketetapan biasa adalah satu ketetapan yang diluluskan oleh majoriti undi anggota-anggota yang hazir dan mengundi dalam mesyuarat agung. Perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh syarikat dalam mesyuarat agung boleh dikuatkuasakan melalui ketetapan biasa, melainkanlah jika dinyatakan sebagai sebaliknya dalam Akta atau Perkara-perkara Persatuan syarikat.

Ketetapan Khas

Dalam beberapa seksyen dalam Akta dan perkara-perkara dalam Perkara-perkara Persatuan, biasanya diperuntukkan bahawa niat syarikat perlu dizahirkan melalui ketetapan khas. Ketetapan khas adalah satu ketetapan yang diluluskan:

(a) oleh majoriti yang tidak kurang daripada 75% daripada anggota-anggota yang layak mengundi, dan mengundi secara perorangan atau melalui proksi;

(b) pada mesyuarat syarikat yang mana tidak kurang daripada 21 hari notis bertulis telah diberikan:

Tempoh notis dan majoriti yang ditetapkan demikian tidak boleh diubah (secara yang berkurangan) oleh Perkara-perkara Persatuan: Ayre lwn Skelsey’s Cement Co (1904) 20 TLR 587.

Tempoh yang "tidak kurang daripada 21 hari" notis yang perlu diberikan bermakna 21 hari penuh, tidak termasuk hari notis dikeluarkan atau diserahkan dan hari mesyuarat yang akan diadakan: Re Hector Whaling Ltd (1936) 1 Ch 208. Kegagalan untuk memberikan notis yang dikehendaki akan menyebabkan campur tangan mahkamah di bawah seksyen 355.

Tempoh notis selama 21 hari boleh diketepikan melalui majoriti 95% bilangan anggota-anggota yang mempunyai hak untuk mengundi untuk hazir dan mengundi dalam mesyuarat berkenaan (bukannya anggota-anggota yang layak untuk menerima notis mesyuarat): Bothranch Pty Ltd lwn Monitronix Ltd (1989) 7 ACLC 443. Majoriti berkenaan hendaklah terdiri daripada anggota-anggota yang memegang 95% daripada nilai nominal syer-syer yang memberikan hak demikian: seksyen 152 (2).

Pembuangan undi sesuatu ketetapan khas boleh diminta oleh sebilangan anggota-anggota seperti yang diperuntukkan oleh Perkara-perkara Persatuan, tetapi Perkara-perkara Persatuan tidak boleh menetapkan bilangan yang melebihi daripada lima anggota untuk berbuat demikian. Jika Perkara-perkara Persatuan menyepi mengenainya, bilangannya ditetapkan oleh Akta sebagai tiga anggota, atau satu atau dua anggota jika anggota yang tunggal itu atau kedua-dua naggota berkenaan memegang tidak kurang daripada 10% daripada syer berbayar syarikat: seksyen 152 (4).

Sesuatu notis itu disifatkan sebagai telah diberikan dengan sempurna jika ianya diberikan dengan cara yang ditetapkan oleh Akta atau Perkara-perkara Persatuan: seksyen 152 (6). Sesuatu notis itu disifatkan sebagai menurut kehendak Akta jika ianya diberikan kepada tiap-tiap naggota yang mempunyai hak untuk hazir dan mengundi, melainkanlah jika ditetapkan sebagai yang sebaliknya oleh Perkara-perkara Persatuan: seksyen 145 (4). Jika Perkara-perkara Persatuan tidak menyatakan sebagai sebaliknya, maka seksyen berkenaan menetapkan bahawa notis mesyuarat perlulah diberikan hanya kepada orang yang layak mengundi dalam mesyuarat berkenaan: The Mutual Home Loans Fund of Australia (Qld.) Ltd lwn CCA (1971-1978) CLC

CIRI-CIRI NOTIS KHAS

Keadaan-keadaan yang memerlukan kepada pemberian notis khas begitu penting diketahui kerana ianya memberikan kesan kepada perlembagaan syarikat atau masa hadapan syarikat, misalnya pertukaran nama, pengurangan modal, penggulungan dan sebagainya. Adalah perlu bagi seseorang pemegang syer untuk mendapatkan "notis yang jelas dan ringkas terlebih dahulu mengenai kandungan apa-apa ketetapan khas yang bakal dicadangkan supaya mereka boleh memutuskan sama ada akan hazir pada mesyuarat berkenaan atau bersetuju untuk tidak menghazirinya dan membiarkan keputusan dibuat oleh orang yang hazir dalam mesyuarat berkenaan": Re Moorgate Mercantile Holdings Ltd (1980) 1 WLR 227.

Ciri-Ciri Notis Yang Diperlukan

Dalam Re Moorgate Mercantile Holdings Ltd (1980) 1 WLR 227, Slade J merumuskan prinsip-prinsip umum mengenai notis mesyuarat yang diperlukan sebagai yang berikut:

(a) Notis hendaklah mengenal pasti ketetapan yang dicadangkan dengan menyatakannya huruf demi huruf seperti ketetapan sebenar yang dicadangkan atau menyatakan butir-butir ketetapan yang dicadangkan itu secara keseluruhannya. Ungkapan tambahan seperti, "dengan pindaaan-pindaan dan pengubahan-pengaubahan berkenaan yang akan ditetapkan pada mesyuarat berkenaan" tidak membawa apa-apa makna dan kesan.

(b) Ketetapan yang hendak diluluskan hendaklah sama secara substantifnya dengan yang dinyatakan dalam notis mesyuarat berkaitan.

(c) Kelainan teks ketetapan yang diluluskan berbanding dengan pernyataan dalam notis mengenainya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan susuk ayat dan tata bahasa yang tidak mengubah maksud asalnya adalah sah.

(d) Unsur-unsur substantif dalam sesuatu ketetapan khas hendaklah sama dengan yang dinyatakan di dalam notis.

(e) Sebarang pindaan atau pengubahan kandungan ketetapan khas daripada apa yang terkandung dalam notis mengenainya, hanya dibolehkan jika ianya tidak melibatkan penyimpangan daripada unsur-unsur yang substantif dalam notis berkenaan.

(f) Notis mesyuarat dan sebarang pekeliling atau edaran yang terkembar bersamanya adalah disifatkan sebagai satu dokumen, dan oleh itu perlu mematuhi semua kehendak mengenai notis mesyuarat.

(g) Pengubahsuaian kehendak-kehendak mengenai notis boleh dibuat dengan persetujuan sebulat suara semua anggota atau semua anggota sesuatu kelas anggota syarikat.

Kebolehasingan ketetapan-ketetapan

Jika lebih daripada satu ketetapan dinyatakan dalam notis mesyuarat sebagai ketetapan-ketetapan yang berasingan dan diluluskan pula secara berasingan dalam mesyuarat, maka ketetapan-ketetapan itu diandaikan sebagai bermaksud untuk dikuatkuasakan secara berasingan. Teks dan kesahan tiap-tiap satu daripada ketetapan-ketetapan itu tidak berkaitan di antara satu dengan yang lain.

Sebaliknya jika ketetapan-ketetapan yang dinyatakan dalam notis mesyuarat berkenaan menyentuh mengenai satu ketetapan secara tunggal dan diluluskan sebagai satu ketetapan yang tunggal, maka ketetapan-ketetapan itu diandaikan dikuatkuasakan secara bersepadu sebagai kuatkuasanya satu ketetapan tunggal. Jika sebahagian daripada ketetapan-ketetapan itu menjadi tak sah, ianya hanya akan menjejaskan ketetapan-ketetapan yang lain jika unsur-unsurnya yang tak sah itu terkandung sebagai unsur substantif dalam ketetapan-ketetapan yang lain: Simon lwn HPM Industries Pty Ltd & YL (1989) 7 ACLC 770.

Perkara-perkara yang memerlukan ketetapan khas

Seksyen-seksyen dalam jadual yang berikut menghendaki supaya perkara-perkara yang disebut bertentangan dengannya dilakukan atau diberikuasa melalui ketetapan khas:

SEKSYEN

PERIHALAN

15(4) Pengubahan hak pemindahan syer atau pengubahan batasan bilangan anggota syarikat persendirian.
23 (1) Pertukaran nama syarikat.
24 (4) Pengubahan Memorandum atau perkara-perkara Persatuan
25 (4) Pertukaran status syarikat
26 (1), (2) Pertukaran status syarikat awam kepada syarikat persendirian atau syarikat persendirian kepada syarikat awam
28 (1) Pengubahan tujuan-tujuan dalam Memorandum Persatuan
31 (1) Pengubahan Perkara-perkara Persatuan
64 (1) Pengurangan modal syer
69 (a) Pembayaran kadar faedah daripada modal
138 (1) Penyerahhakan jawatan
142 (8) Penggulungan pada mesyuarat berkanun yang tertangguh
197 (1) Permohonan syarikat untuk menjalankan penyiasatan khas
218 (1) Penggulungan oleh mahkamah
254 (1) Penggulungan sukarela
269 (1) Menjalankan kuasa tertentu yang dipegang oleh pelikuidasi
270 (1) Sanksi penerimaan oleh pelikuidasi syer-syer untuk jualan harta
273 (1) Membuat perkiraan dengan pemiutang yang mengikat syarikat

Ketetapan yang memerlukan notis khas

Bagi syarikat sendirian berhad, notis khas perlu diberikan bagi ketetapan yang bertujuan menyingkirkan juruaudit: seksyen 128. Ketetapan demikian tidak akan berkuatkuasa melainkan notis mengenai cadangan untuk mengemukakan ketetapan itu telah diberikan kepada syarikat tidak kurang daripada 28 hari sebelum mesyuarat yang berkaitan diadakan. Syarikat kemudiannya dikehendaki memberikan notis mengenai ketetapan itu kepada anggota-anggotanya pada masa yang sama (dan dengan cara yang sama) dengan notis mesyuarat yang diberikan. Jika perkara seperti itu tidak dapat dilakukan, syarikat dikehendaki untuk memberikan notis mengenai ketetapan itu dengan cara yang dibenarkan oleh Perkara-perkara Persatuan tetapi hendaklah tidak kurang daripada 14 hari sebelum mesyuarat: seksyen 153.

Jika selepas notis mengenai niat untuk mencadangkan ketetapan berkenaan diberikan kepada syarikat, mesyuarat dipanggil pada hari ke-28 atau kurang daripadanya selepas notis telah diberikan, notis berkenaan hendaklah disifatkan sebagai telah diberikan dengan sempurna, walaupun tidak diberikan kepada syarikat dalam tempoh yang diperlukan.

Alasan mengapa kehendak khusus ini diperlukan dalam ketetapan untuk menyingkirkan juruaudit diterangkan oleh Slade J dalam kes Pedley lwn Inland Waterways Association Ltd (1977) 1 All ER 209 sebagai:

(a) memastikan juruaudit berkenaan menerima notis yang mencukupi bagi ketetapan yang dicadangkan dan memberikan kesempatan kepadanya untuk bersedia.

(b) memastikan anggota-anggota mempunyai masa secukupnya untuk mempertimbangkan mengenai ketetapan berkenaan.

Obligasi syarikat untuk memberikan notis kepada anggota-anggotanya mengenai ketetapan demikian, bagaimanapun hanyalah terhad kepada ketetapan-ketetapan yang membentuk sebahagian daripada agenda mesyuarat yang berkaitan:

Ketetapan Edaran anggota-anggota

Pengarah-pengarah berhak, dan dalam masa yang sama berkewajipan untuk menasihati anggota-anggota mengenai kebaikan sesuatu pengubahan yang dicadangkan. Pengarah-pengarah juga mempunyai kuasa untuk mengedarkan apa-apa pernyataan dan penghujahan yang menyokong sesuatu pengubahan dengan ditanggung perbelanjaannya oleh syarikat: Campbell lwn Australian Mutual Provident Society & YL (1908) 77 LJPC 117. Selain daripada apa yang dikehendaki oleh statut, pengarah-pengarah tidak berobligasi untuk melakukannya bagi pihak anggota-anggota yang menentang pengubahan berkenaan.

Seksyen 151 memberikan hak yang terhad kepada pemegang-pemegang syer yang menentang sesuatu pengubahan yang dicadangkan bagi membolehkan mereka memaksa syarikat supaya membuat publisiti mengenai pandangan mereka. Ianya boleh digunakan jika:

(a) adalah diperlukan suatu notis diberikan mengenai apa-apa ketetapan yang boleh dengan sempurnanya dicadangkan, dan dicadangkan untuk dikemukakan pada mesyuarat agung tahunan yang berikutnya.

(b) adalah diperlukan supaya suatu ulasan mengenai ketetapan yang dicadangkan atau urusan yang akan dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat agung.

Dalam kedua-dua keadaan yang tersebut, rekuisisi bertulis perlu dibentangkan kepada syarikat oleh bilangan anggota tertentu. Jika notis ketetapan yang dicadangkan dikehendaki, syarikat perlulah memberikan semua notis kepada yang berhak untuk mendapat notis mesyuarat agung tahunan yang berikutnya. Jika publisisti mengenai ulasan oleh rekuisisi diperlukan, syarikat perlulah mengedarkan suatu pernyataan (yang disediakan oleh perekuisisi) kepada semua anggota-anggota yang berhak untuk mendapat notis pada mana-mana mesyuarat agung. Pernyataan itu hendaklah tidak melebihi 1000 patah perkataan: seksyen 151 (1).

Bilangan anggota-anggota yang diperlukan untuk membuat rekuisisi ialah:

(a) anggota-anggota yang memegang tidak kurang daripada 5% jumlah hak pengundian yang boleh dijalankan pada mesyuarat agung, pada tarikh rekuisisi dikemukakan; atau

(b) tidak kurang daripada 100 anggota yang memegang syer syarikat, yang mana secara purata tiap-tiap seorang telah membayar syer-syer berkenaan pada nilai yang tidak kurang daripada RM 500.00: seksyen 151 (2).

Jika rekuisisi menghendaki supaya notis ketetapan diberikan, salinan rekuisisi perlu dikemukakan di pejabat berdaftar syarikat tidak kurang daripada enam minggu sebelum mesyuarat (atau dikemukakakn sebelum tarikh mesyuarat dipanggil). Tempoh yang sama bagi lain-lain rekuisisi ialah tidak kurang daripada seminggu. Salinan rekuisisi perlu ditandatangani oleh perekuisisi-perekusisi (sebagai alternatifnya, bilangan tertentu salinan berkenaan boleh dikemukakakn jika terdapat dua atau lebih anggota-anggota yang membuat rekuisisi, yang di antaranya terdapat tandatangan semua perekuisisi): seksyen 151 (4).

Penyampaian

Syarikat hendaklah mengedarkan pernyataan berkaitan dan memberikan notis mengenai ketetapan kepada semua anggota-anggota yang berhak untuk menerima notis mesyuarat yang berkaitan. Ini boleh dilakukan dengan menyampaikan salinan pernyataan atau ketetapan dengan apa-apa cara yang dibenarkan mengenai penyampaian notis mesyuarat. Sebagai tambahan, notis ketetapan perlu diberikan kepada mana-mana anggota yang lain dengan memberikan kepada mereka notis mengenai 'kuatkuasa am' ketetapan berkenaan dengan apa-apa cara yang dibenarkan dalam pemberian notis mesyuarat kepada mereka. Walau bagaimanapun, cara sesuatu penyampaian salinan ketetapan atau pernyataan, atau penyampaian notis mengenai 'kuatkuasa am' hendaklah sama seperti cara penyampaian notis mesyuarat yang berkaitan. Penyampaian juga perlu dibuat pada masa yang sama dengan notis berkenaan, dan jika tidak praktikal untuk berbuat demikian, penyampaian hendaklah dibuat secepat mungkin selepasnya: seksyen 151 (3).

Jika notis ketetapan telah diberikan, ketetapan berkenaan perlu dimasukkan dalam urusan mesyuarat agung tahunan. Notis disifatkan sebagai telah diberikan walau apa pun 'peninggalan yang tak disengajakan' untuk memberikannya kepada seorang atau lebih anggota-anggota: seksyen 151 (6).

EDARAN BERUNSUR FITNAH

Syarikat tidak terikat untuk mengedarkan suatu pernyataan jika mahkamah telah berpuas hati bahawa hak yang diberikan oleh seksyen berkenaan "telah disalahgunakan untuk memperoleh publisiti yang tak diperlukan untuk perkara-perkara fitnah": seksyen 151 (5). Permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah berkenaan boleh dibuat sama ada oleh syarikat atau oleh mana-mana orang yang terkilan mengenainya. Mahkamah boleh memerintahkan supaya kos syarikat dalam permohonan itu ditanggung oleh perekuisisi-perekuisisi, meskipun jika mereka bukanlah pihak kepada permohonan berkenaan. Perlu diingatkan bahawa masa yang diperlukan untuk mendengar permohonan berkenaan di mahkamah mungkin memaksa mesyuarat berkaitan ditangguh.

Dalam Re Harbour Lighterage Ltd & Companies Act diputuskan bahawa jika sebahagian daripada pernyataan itu dicabar, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk memperbaiki pernyataan itu dengan memerintahkan peruntukan yang bercanggah itu dipadamkan. Diputuskan juga bahawa adalah tidak mencukupi hanya dengan menunjukkan yang pernyataan itu adalah berunsur fitnah. Perlu juga ditunjukkan bahawa seksyen tersebut telah disalahgunakan untuk memperoleh publisisti mengenai perkara-perkara fitnah. Beban membukti dalam hal ini terletak kepada pemohon untuk menunjukkan wujudnya kebenaran dan kewajaran perkara-perkara fitnah dan kerelevenannya dengan edaran berkenaan.

Penyerahan salinan ketetapan

Berbagai peruntukan di dalam Akta yang menghendaki supaya salinan ketetapan diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh masa tertentu, misalnya:

(a) ketetapan mengubah Memorandum: 14 hari: seksyen 21 (2).

(b) ketetapan khas untuk mengubah tujuan-tujuan atau kuasa: dalam tempoh 14 hari selepas tamat tempoh 21 hari selepas kelulusan ketetapan: seksyen 28 (8).

(c) ketetapan utnuk penggulungan sukarela: 7 hari: seksyen 254 (2).

Jika tidak terdapat peruntukan yang nyata, salinan ketetapan berkenaan perlu diserahkan dalam tempoh sebulan: Ini terpakai kepada:

(a) ketetapan khas.

(b) ketetapan-ketetapan lain atau perjanjian yang mengikat sesuatu kelas pemegang syer sama ada dipersetujui oleh semua anggotanya ataupun tidak.

Jika Perkara-perkara Persatuan sayrikat masih belum didaftarkan, salinan dokumen-dokumen berkenaan perlulah dikemukakan kepada tiap-tiap anggota yang memintanya. Syarikat boleh mengenakan bayaran sehingga 50 sen bagi setiap muka surat, atau sebahagian daripada muka surat: seksyen 154 (2).

Salinan ketetapan yang telah diperakui, yang diserahkan kepada Pendaftar Syarikat merupakan satu keterangan prima facie mengenai kesahan ketetapan berkenaan: Mc Lean Brothers & Rigg Ltd lwn James Grice & YL (1906) 4 CLR 835, melainkan jika terdapat unsur-unsur fraud di dalamnya.

Pendaftar Syarikat mempunyai kuasa untuk menolak dokumen-dokumen yang dikemukakan untuk serahan jika mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan undang-undang, tetapi Pendaftar Syarikat tidak mempunyai kuasa untuk menolak dokumen-dokumen berkenaan atas alasan bahawa terdapatnya ketidakpatuhan kepada peraturan dalaman syarikat, misalnya notis yang wajar tidak diberikan mengenai mesyuarat yang mana ketetapan berkenaan diluluskan: Mutual Home Loans Fund of Australia (Qld) lwn CCA (1977-1978) CLC.

Ketetapan pada mesyuarat tertangguh

Ketetapan yang diluluskan dalam mesyuarat agung atau mesyuarat kelas atau mesyuarat lembaga pengarah yang tertangguh hendaklah dianggap sebagai telah diluluskan pada tarikh yang ia sepatutnya diluluskan dan bukannya pada tarikh yang terdahulu daripada itu: seksyen 155.

Ini memberikan kesan kepada serahan salinan ketetapan kepada Pendaftar Syarikat. Seksyen 288 mempunyai rukun undang-undang yang sama dengan seksyen 155 berhubung dengan penangguhan mesyuarat pemiutang atau penyumbang.