ke laman utama syarikat.com
 
 
Definisi

Akta tidak memberikan definisi yang lengkap mengenai 'pengarah'. Seksyen 4 mendefinisikan 'pengarah' sebagai:

"...termasuk sesiapa sahaja yang memegang jawatan pengarah sesebuah syarikat walau dinamai dengan apa-apa nama pun dan termasuk seseorang yang arahan atau suruhannya lazim diikuti oleh pengarah-pengarah syarikat, dan seorang pengarah gilir dan ganti."

Di sisi undang-undang, gelaran 'pengarah' tidaklah penting, tetapi fungsi seseorang itu yang penting dalam menentukan sama ada seseorang itu dianggap sebagai 'pengarah' atau tidak oleh undang-undang. Ini bermakna, walaupun seseorang itu tidak dinamakan sebagai 'pengarah' tetapi jika "arahannya lazim diikuti oleh pengarah-pengarah syarikat" maka dia tetap dianggap sebagai 'pengarah' oleh undang-undang.

Jika A tidak dilantik sebagai pengarah kepada ABC Sdn Bhd tetapi arahan-arahannya lazim dikuti oleh pengarah-pengarah ABC Sdn Bhd, dalam konteks tafsiran seksyen 4, A tetap dianggap sebagai seorang pengarah, walaupun A tidak pernah dilantik sebagai pengarah. A adalah seorang 'pengarah bayangan'.

Dalam satu kes Australia, Whitehouse lwn Carlton Hotel Pty Ltd (1987), Hakim Brennan menyebut:

"...bahawa seseorang adalah memegang jawatan pengarah sesebuah syarikat jika, di bawah perlembagaan sesebuah syarikat, dan bukannya dalam kedudukannya sebagai pekerja, seseorang itu mempunyai kuasa yang mana seseorang yang hanya menjadi anggota syarikat dalam kedudukan yang sama seperti seseorang yang tersebut"

Apa yang boleh ditafsirkan daripada dikta tersebut ialah, jika seseorang mempunyai kuasa di bawah Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan dan hanya boleh menjalankan kuasa tersebut dalam kedudukannya sebagai anggota syarikat sahaja, maka orang itu dianggap oleh undang-undang sebagai pengarah.

Pengurus Sebagai Pengarah

Adakah seseorang 'pengurus' boleh juga dianggap sebagai pengarah? Persoalan ini timbul jika syarikat mengenakan kewajipan fidusiari kepada seseorang pengurus. Seseorang 'pengurus yang kanan' dalam sesebuah syarikat yang merupakan akal dan kemahuan syarikat boleh dianggap oleh undang-undang sebagai pengarah syarikat.

CANADIAN AERO SERVICE LTD LWN O'MALLEY(1973)

Dua orang pegawai kanan syarikat X merundingkan bagi pihak syarikat mereka untuk mendapatkan tender dalam suatu projek. Semasa perundingan masih berjalan, mereka meletakkan jawatan dan memperbadankan syarikat Y. Syarikat Y memasuki tender dan berjaya memperoleh kontrak berkenaan. Mahkamah Agung Kanada memutuskan bahawa mereka telah melanggar kewajipan fidusiari kepada syarikat X. Walaupun kedua-dua mereka berhujah bahawa mereka bukanlah seorang 'pengarah', dan dengan itu tidak menanggung apa-apa kewajipan fidusiari kepada syarikat X, mahkamah memutuskan bahawa mereka tetap seorang pengarah kerana mereka menanggung kewajipan fidusiari kepada syarikat dalam kedudukan mereka sebagai pegawai kanan dan merupakan akal dan kemahuan syarikat.

Pengarah Bayangan

Seksyen 4 antara lainnya mendefinisikan 'pengarah' sebagai "seseorang yang arahannya lazim diikuti oleh pengarah-pengarah". Seseorang yang lazimnya arahannya mempengaruhi keputusan lembaga pengarah dikenali sebagai 'pengarah bayangan'. Pengarah bayangan ini merupakan individu-individu yang mengarah di sebalik tabir. Walaupun tidak menganggotai lembaga pengarah tetapi arahan mereka lazimnya mempengaruhi keputusan lembaga pengarah.

Walau bagaimanapun seseorang itu tidak dianggap sebagai pengarah bayangan jika dia hanya menasihatkan pengarah-pengarah atas keupayaan profesionalnya: Kuwait Asia Bank EC lwn National Mutual Life Nominees Ltd (1990). Dalam menentukan yang seseorang itu adalah seorang pengarah bayangan atau tidak, tidaklah mencukupi dengan hanya membuktikan yang seseorang itu telah melantik seorang proksi sebagai pengarah bagi pihaknya, tetapi perlu juga dibuktikan bahawa arahan atau suruhannya lazim diikuti oleh proksi tersebut. Kesimpulan daripada kes di atas ialah, seseorang yang melantik orang lain sebagai proksi bagi mewakilinya dalam lembaga pengarah tidaklah boleh terus dianggap sebagai pengarah bayangan selagi arahan dan suruhannya tidak lazim dikuti oleh pengarah yang bertindak sebagai proksi itu.

A dilantik oleh B untuk mewakilinya dalam lembaga pengarah. A adalah seorang proksi kerana B adalah seorang pengarah yang dilantik. Persoalannya ialah, apakah B boleh dianggap sebagai pengarah bayangan? Sebenarnya B tidaklah boleh terus dianggap sebagai seorang pengarah bayangan jika arahan atau suruhannya tidak lazim diikuti oleh A. Sebaliknya jika B bertindak lebih jauh daripada itu sehinggakan arahan atau suruhannya lazim pula diikuti oleh pengarah-pengarah, maka B akan dianggap sebagai pengarah bayangan.

Dalam keadaan tertentu, pihak bank juga boleh dianggap sebagai pengarah bayangan jika bank berkenaan sering mencampuri dan mempengaruhi keputusan lembaga pengarah sesebuah syarikat. Selain daripada itu, pemegang syer yang mengawal dan menguasai sesebuah syarikat atau syarikat pemegang juga boleh dianggap sebagai pengarah bayangan oleh undang-undang: Kuwait Asia Bank EC lwn National Mutual Life Nominees Ltd (1990). Ini kerana seseorang individu atau sesebuah syarikat yang mengawal dan menguasai majoriti daripada modal syer sesebuah syarikat biasanya akan mempunyai pengaruh yang besar ke atas lembaga pengarah dalam menentukan hala cara dan tuju arah sesebuah syarikat itu walaupun mereka tidak dilantik secara rasmi sebagai pengarah syarikat.

Pemegang syer majoriti biasanya mempengaruhi keputusan lembaga pengarah. Begitu juga dengan syarikat pemegang yang biasanya mempengaruhi keputusan lembaga pengarah anak syarikatnya, dan oleh itu pengarah syarikat pemegang berkenaan adalah pengarah bayangan kepada anak syarikatnya. Misalnya, jika A adalah seorang pemegang syer majoriti, tetapi tidak menjadi pengarah syarikat, biasanya tentu sekali pengarah-pengarah syarikat yang dipilih dengan restunya akan menurut segala suruhan atau arahannya. Dengan demikian A boleh dianggap oleh undang-undang sebagai 'pengarah bayangan' kepada anak syarikatnya itu. Begitulah juga keadaannya bagi sesebuah syarikat pemegang. Biasanya syarikat pemegang akan memilih pengarah-pengarah yang akan menganggotai lembaga pengarah anak syarikatnya. Bolehlah ditafsirkan bahawa lembaga pengarah anak syarikat lazimnya akan menurut suruhan dan arahan syarikat pemegangnya. Dalam konteks ini, syarikat pemegang berkenaan boleh dianggap sebagai pengarah bayangan.

KATEGORI PENGARAH

Pengarah sering merujuk jawatan yang mereka sandang sebagai, misalnya pengarah eksekutif, pengarah urusan dan sebagainya tanpa memahami bahawa nama jawatan berkenaan sahaja tidak membawa sebarang makna di sisi undang-undang. Sebenarnya kategori jawatan pengarah tidak diperuntukkan dalam Akta, sebaliknya ditetapkan oleh Perkara-perkara Persatuan. Kewujudan dan kedudukan jawatan-jawatan berkenaan bergantung kepada bentuk Perkara-perkara Persatuan (atau Memorandum Persatuan) dideraf. Sesebuah syarikat tidaklah secara automatik boleh melantik seorang Pengarah urusan misalnya, jika peruntukan mengenainya tidak terdapat dalam Perkara-perkara Persatuannya (atau Memorandum Persatuannya).

Pengarah Eksekutif dan Bukan Eksekutif

Seseorang pengarah eksekutif biasanya dilantik daripada kalangan pengarah-pengarah dan memegang jawatan bergaji dengan syarikat. Sesetengah syarikat melantik kakitangan eksekutifnya daripada kumpulan pengurusan atasan menjadi pengarah, di samping menjawat jawatan pengarah eksekutif. Pengarah bukan eksekutif pula biasanya tidak terlibat dengan urusan harian syarikat, tetapi bertanggungjawab bersama-sama dengan pengarah-pengarah lain dalam merangka dan melaksanakan polisi syarikat. Pengarah bukan eksekutif mempunyai hak dan menanggung liabiliti yang sama seperti pengarah-pengarah lain walaupun tidak memegang jawatan bergaji dan tidak terlibat dalam urusan harian syarikat.

Pengarah Urusan

Pengarah urusan dilantik oleh lembaga pengarah di bawah peruntukan Perkara-perkara Persatuan syarikat. Perkara 91 hingga 93 Jadual A misalnya memberi kuasa kepada lembaga pengarah untuk melantik pengarah urusan. Lembaga pengarahlah yang memutuskan mengenai perlantikannya dan menetapkan terma-terma dan syarat-syarat perjawatannya dan menetapkan juga takat kuasa yang akan diserahkan kepadanya. Perlantikannya boleh dibatalkan dan kuasanya pula boleh dipinda dan diubah. Pengarah urusan tidak tertakluk kepada persaraan secara giliran kerana ia tertakluk kepada kontrak perkhidmatan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pengarah Bersekutu

Biasanya pengarah bersekutu dipilih daripada kalangan eksekutif dalam kumpulan pengurusan atasan. Pemilihan seseorang menjadi pengarah bersekutu bertujuan untuk bertindak sebagai pelapis kepada pengarah-pengarah yang ada dan dilatih sebagai persediaan menganggotai lembaga pengarah di masa hadapan. Status pengarah bersekutu dijelaskan oleh perkara 94 Jadual A seperti yang berikut:

"Pengarah-pengarah boleh dari semasa ke semasa melantik mana-mana orang menjadi pengarah bersekutu dan boleh dari semasa ke semasa membatalkan perlantikan berkenaan. Pengarah-pengarah boleh menetapkan, menentukan dan mengubah kuasa-kuasa, kewajipan dan saraan mana-mana orang yang dilantik itu, tetapi seseorang yang dilantik itu tidak boleh dikehendaki untuk memegang apa-apa syer untuk melayakkannya untuk dilantik atau mempunyai apa-apa hak untuk hazir dan mengundi pada mana-mana mesyuarat pengarah-pengarah melainkan jika dijemput dan dengan kebenaran pengarah-pengarah."

Pengarah Gilir atau Ganti

Pengarah gilir atau ganti hanya boleh dilantik jika terdapat kuasa untuk berbuat demikian dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat. Perkara 82, Jadual A memberikuasa kepada mana-mana pengarah dengan kelulusan pengarah-pengarah lain, untuk melantik mana-mana orang sebagai pengarah gilir atau ganti untuk bertindak atas kedudukannya dalam tempoh yang difikirkannya patut.

Memandangkan pengarah gilir atau ganti termasuk dalam definisi seksyen 4 maka ianya bertanggungan secara sendiri ke atas semua tindakannya dan tertakluk kepada obligasi statutori sebagai seorang pengarah. Butir-butir diri dan jawatannya perlu dimasukkan dalam Daftar Anggota-anggota, Penyata Tahunan dan Borang 49, dan difailkan kepada Pendaftar Syarikat. Pengarah gilir atau ganti juga perlu membuat perakuan berkanun dalam Borang 48A sebelum perlantikannya. Biasanya Pengarah gilir atau ganti tidak layak untuk menuntut apa-apa fee daripada syarikat kerana ia merupakan perkiraan persendirian antaranya denganpengarah yang melantiknya sebagai ganti atau gilir. Suatu borang perlantikan yang ditandatangani oleh pengarah yang melantiknya perlu dibentangkan pada mesyuarat lembaga pengarah untuk kelulusan pengarah-pengarah yang lain. Begitu juga dalam membatalkan perlantikannya prosedur yang sama perlu diikuti.