ke laman utama syarikat.com
 
 
Status dan jawatan pengarah dalam sesebuah syarikat bukanlah sesuatu yang hakiki. Seseorang boleh melepaskan jawatannya sama ada dengan kerelaannya sendiri atau boleh juga disingkirkan atau disarakan daripada jawatannya. Dalam banyak keadaan, bentuk kekosongan jawatan pengarah itu ditentukan oleh peruntukan Perkara-perkara Persatuan syarikat. Walau bagaimanapun hubungan pengarah dengan syarikat masih merupakan satu perhubungan sepersetujuan. Pada amnya seseorang pengarah itu menjawat jawatan pengarah dalam sesebuah syarikat adalah atas kerelaannya. Begitu jugalah seseorang pengarah juga boleh melepaskan jawatannya mengikut kemahuannya.

PENGOSONGAN JAWATAN

Perkara 72, Jadual A memperuntukkan bahawa jawatan pengarah hendaklah dikosongkan dalam salah satu atau lebih daripada keadaan yang berikut:

  • apabila terhenti daripada menjadi pengarah menurut kehendak Akta.
  • menjadi bankrap, atau pada amnya membuat apa-apa perkiraan atau komposisi dengan pemiutangnya.
  • apabila dilarang daripada menjadi pengarah dengan sebab apa-apa perintah di bawah Akta.
  • menjadi tak sempurna akal atau seseorang pengarah yang mana dirinya atau hartanya menjadi tanggungan untuk ditadbirkan dengan apa-apa cara di bawah undang-undang yang berkaitan dengan kekacauan mental.
  • meletakkan jawatan dengan notis bertulis kepada syarikat.
  • telah lebih daripada enam bulan tidak hazir mesyuarat pengarah-pengarah yang diadakan dalam tempoh berkenaan tanpa keizinan pengarah-pengarah.
  • memegang jawatan lain yang membawa keuntungan dengan syarikat (kecuali jawatan pengurus atau pengarah urusan) tanpa persetujuan daripada syarikat dalam mesyuarat agung.
  • berkepentingan dalam mana-mana kontrak dengan syarikat (secara langsung atau tidak langsung) dan gagal mendedahkan bentuk-bentuk kepentingannya dengan cara yang dikehendaki oleh Akta.

Pada amnya pengosongan jawatan pengarah atas sebab-sebab di atas boleh berlaku dalam tiga bentuk, iaitu melalui perletakan jawatan, persaraan daripada jawatan dan penyingkiran daripada jawatan.

PERLETAKAN JAWATAN

Perkara 72(e), Jadual A antara lainnya memperuntukkan bahawa jawatan pengarah hendaklah menjadi kosong jika pengarah meletakkan jawatan dengan notis bertulis kepada syarikat. Dengan memasukkan peruntukan sedemikian, memungkinkan pengarah untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan memberikan notis bertulis kepada syarikat. Malah bolehlah dikatakan bahawa jika Perkara-perkara Persatuan menghendaki notis bertulis mengenai perletakan jawatan itu sekalipun, notis secara lisan sudah memadai. Bagaimana pula jika syarikat tidak mempunyai peruntukan yang seperti itu dalam Perkara-perkara Persatuannya? Apakah ianya bermakna pengarah tidak boleh meletakkan jawatan?

Mengikut satu kes mahkamah Australia, Marks lwn Commonwealth of Australia (1965), bahawa,

"dengan ketiadaan peruntukan Perkara-perkara Persatuan yang sedemikian, seseorang pengarah berkelayakan untuk melepaskan jawatannya pada bila-bila masa yang disukainya dengan memberikan notis yang sewajarnya".

Pandangan ini adalah berdasarkan fakta bahawa jawatan pengarah itu adalah suatu 'perhubungan sepersetujuan'. Jika pengarah tidak lagi berminat untuk menjadi pengarah, dia mempunyai kuasa untuk menarik diri. Selain daripada itu, "pengarah adalah ejen syarikat dan sebagai ejen seseorang boleh melepaskan atau menamatkan perhubungan itu dengan memberi notis yang munasabah kepada prinsipalnya". Boleh juga ditafsirkan daripada kes di atas bahawa perletakan jawatan itu tetap berkuatkuasa sama ada ianya diterima oleh syarikat atau tidak.

Bagaimana Syarikat Boleh Mengelak Perletakan Jawatan Pengarah-pengarahnya

Terdapat tiga cara bagaimana sesebuah syarikat boleh mengelakkan pengarah-pengarahnya daripada meletakkan jawatan, iaitu:

  • dengan mengadakan kontrak pekerjaan yang berasingan.
  • dengan memasukkan syarat-syarat penerimaan perletakan jawatan oleh syarikat dalam Perkara-perkara Persatuan sebagai syarat sahnya perletakan jawatan seseorang pengarah.
  • menguatkuasakan syarat bilangan minimum pengarah di bawah seksyen 122 (6)

Mengadakan Kontrak Pekerjaan Yang Berasingan

Jika pengarah adalah seorang pengarah eksekutif, perletakan jawatannya boleh diatasi melalui kontrak pekerjaan yang dibuat di antaranya dengan syarikat. Dengan adanya kontrak seperti itu, syarikat boleh menuntut ganti rugi kerana mungkir kontrak. Prinsip ini dipakai dalam kes Southern Foundries (1926) Ltd lwn Shirlaw (1940), di mana House of Lord mengesahkan tuntutan ganti rugi kerana wujudnya kemungkiran kepada terma-terma dalam kontrak pekerjaan. Jika syarikat boleh didakwa, maka tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh didakwa.

Syarat penerimaan dalam Perkara-perkara Persatuan

Perkara-perkara Persatuan syarikat boleh dipinda dengan memperuntukkan bahawa perletakan jawatan pengarah hanya akan berkuatkuasa dengan syarat perletakan jawatan itu diterima oleh syarikat melalui ketetapan lembaga pengarah atau ketetapan dalam mesyuarat agung.

Kehendak bilangan minimum pengarah

Berdasarkan kepada seksyen 122(6), seseorang pengarah tidak boleh meletakkan jawatan jika pada masa yang releven itu bilangan pengarah hanya dua orang. Ini kerana sebarang perletakan jawatan oleh mana-mana pengarah akan menyebabkan bilangan pengarah akan menjadi kurang daripada dua, yang mana perletakan jawatan itu menjadi tak sah. Jika pengarah berkenaan bertegar juga untuk meletakkan jawatan, maka dia akan melakukan kesalahan di bawah seksyen 369.

PERSARAAN

Persaraan jawatan pengarah dikawal oleh peruntukan Perkara-perkara Persatuan syarikat. Perkara 63, Jadual A menyebut:

"Dalam mesyuarat agung tahunan syarikat yang pertama, kesemua pengarah hendaklah bersara daripada jawatan dan dalam mesyuarat agung tahunan pada setiap tahun yang berikutnya, sepertiga daripada pengarah-pengarah pada waktu itu, atau, jika bilangannya bukan tiga atau gandaan tiga, bilangan yang hampir kepada sepertiga, hendaklah bersara daripada jawatan"

Perkara 65, Jadual A pula menyebut:

"Pengarah-pengarah yang dikehendaki bersara dalam tiap-tiap tahun hendaklah daripada mereka yang paling lama sekali memegang jawatan semenjak pemilihan yang terkemudian, tetapi di kalangan pengarah-pengarah yang menjadi pengarah pada hari yang sama, mereka yang dikehendaki bersara itu (melainkan jika dipersetujui sesama mereka) diputuskan melalui cabutan undi"

Kesan daripada perkara 63 ialah, ia menyediakan satu bentuk persaraan melalui giliran. Peruntukan sedemikian tidak diwajibkan oleh undang-undang, malah bagi syarikat persendirian yang dikawal oleh ahli keluarga, peruntukan berkenaan adalah tidak sesuai dipakai. Kesan daripada perkara 65 ialah, ia menyediakan pilihan kepada pengarah-pengarah untuk bersara secara giliran. Walau bagaimanapun kedua-dua peruntukan tersebut perlu dibaca bersama seksyen 122(6) yang melarang persaraan yang akan menyebabkan bilangan pengarah menjadi kurang daripada dua orang. Bolehkan pengarah yang bersara dipilih semula?

Perkara 64, Jadual A memperuntukkan bahawa:

"Pengarah yang bersara hendaklah layak untuk dipilih semula"

Walau bagaimanapun, peruntukan yang tersebut di atas perlu juga dibaca bersama-sama dengan peruntukan seksyen 124, 125,130 dan 130A.

Kebanyakan pengarah beranggapan bahawa seseorang pengarah akan secara automatik bersara pada tiap-tiap mesyuarat agung tahunan dan boleh dilantik semula kemudiannya. Anggapan sebegini timbul kerana kebanyakan syarikat memilih perkara 63 dan 64 sebagai sebahagian daripada peruntukan dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat. Sebenarnya rasional peruntukan sedemikian adalah bagi memberi peluang kepada pemegang-pemegang syer untuk menilai prestasi pengarah dan tidak meneruskan atau menyarakan mana-mana pengarah yang tidak jujur dan tidak kompetens, dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada seseorang pengarah itu untuk membuat pilihan sama ada untuk tidak bersetuju untuk dilantik semula atau sebaliknya. Dalam konteks kebanyakan syarikat sendirian berhad yang lebih tertutup sifatnya, pengarah-pengarah dan pemegang-pemegang syer adalah orang yang sama. Dengan demikian adalah tidak praktikal untuk mensarakan seseorang pengarah dan melantiknya semula pada tiap-tiap mesyuarat agung tahunan sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah orang yang bersara dengan yang dilantik semula adalah orang yang sama. Ada baiknya jika peruntukan sedemikian rupa digugurkan sahaja daripada Perkara-perkara Persatuan syarikat.

PENYINGKIRAN JAWATAN

Kuasa untuk menyingkirkan pengarah bukan sahaja bertujuan untuk mencegah salah guna kuasa oleh pengarah-pengarah tetapi juga bertujuan sebagai hukuman kepada pengarah yang menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Kuasa sedemikian bertujuan untuk memberi ingatan kepada mereka bahawa akibat daripada perbuatan salah laku mereka itu, mereka boleh disingkirkan daripada jawatan yang mereka sandang. Peruntukan mengenai penyingkiran pengarah terkandung dalam Perkara-perkara Persatuan dan juga Akta.

Peruntukan Perkara-perkara Persatuan

Perkara 69 Jadual A menyebut:

"Tertakluk kepada seksyen 128, syarikat boleh melalui ketetapan biasa menyingkirkan mana-mana pengarah daripada jawatannya sebelum tamat tempoh jawatannya..."

Peruntukan tersebut tidak diwajibkan oleh undang-undang. Dalam syarikat persendirian di mana pemunyaan dan pengawalan biasanya tidak diasingkan, peruntukan sedemikian tidaklah sesuai dipakai. Sebaliknya peruntukan seperti yang berikut adalah lebih wajar:

"...bahawa jawatan seseorang pengarah akan menjadi kosong jika pengarah berkenaan diminta secara bertulis untuk mengosongkan jawatannya oleh pengarah-pengarah yang lain..."

Peruntukan sedemikian dipakai oleh sebuah syarikat dalam kes Lee lwn Chou Wen Hsien (1985).

Walau bagaimanapun, di Australia terdapat peruntukan statutori yang melarang syarikat awam daripada menerima pakai peruntukan seperti itu dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat. Di Malaysia, terdapat peruntukan yang melarang penggunaan peruntukan seperti itu dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat awam, iaitu seksyen 128 (8). Jika perkara 65, Jadual A digunakan, pemakaiannya juga tertakluk kepada seksyen 128.

Peruntukan Akta

Terdapat dua peruntukan mengenai penyingkiran pengarah yang boleh digunakan, iaitu seksyen 128 dan 181. Seksyen 128 antara lainnya memperuntukkan bahawa:

"Walau apapun yang terkandung dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan atau dalam mana-mana perjanjian di antara syarikat dengan pengarah, sesuatu syarikat awam boleh dengan ketetapan biasa menyingkirkan pengarah sebelum penamatan tempoh jawatannya. Walau bagaimanapun, notis khas mengenai ketetapan itu hendaklah diberikan dan pengarah yang disingkirkan itu layak untuk didengar dalam mesyuarat yang mana dia dicadang untuk disingkirkan. Dia juga boleh menghendaki syarikat untuk mengedarkan kepada anggota-anggota representasinya secara bertulis, melainkan hak ini telah disalahgunakan untuk menjamin publisiti yang tidak diperlukan mengenai perkara fitnah"

Seseorang pengarah boleh mengukuhkan kedudukannnya dalam syarikat dengan tidak memasukkan perkara 69, Jadual A dan sebaliknya memperuntukkan dalam Perkara-perkara Persatuan, misalnya seperti yang berikut:

  • bahawa pengarah tidak boleh disingkirkan tanpa satu ketetapan khas.
  • bahawa dalam satu ketetapan untuk menyingkirkan pengarah, syer-syer pengarah hendaklah membawa undi yang lebih, seperti yang dipakai dalam kes Bushell lwn Faith (1970).
  • bahawa pengarah tertentu hendaklah memegang jawatannya seumur hidup, seperti dalam kes Khoo Cheng Poh lwn Cosmic Insurance Corp Ltd (1974).

Walau bagaimanapun, pengukuhan jawatan pengarah sudah tidak boleh lagi dilakukan dalam konteks syarikat awam, akibat daripada seksyen 128 dan peraturan 309, Panduan Penyenaraian Bursa Saham Kuala Lumpur. Walaupun seksyen 128 membenarkan syarikat untuk menyingkirkan pengarah, tidaklah bermakna yang kuasa itu boleh digunakan tanpa batasan.

Pengukuhan Kedudukan oleh Pengarah

Walaupun peruntukan seksyen 128 membenarkan atau memberikan kuasa kepada syarikat untuk menyingkirkan pengarah, tetapi pengarah mempunyai cara-cara tertentu, yang jika dimanfaatkan oleh mereka, boleh menjadi benteng yang kukuh bagi melindungi mereka daripada disingkirkan oleh syarikat. Sebahagian daripada aspek pengukuhan itu diperuntukkan oleh statutori dan sebahagian lagi bergantung kepada kaedah-kaedah yang dirancangkan oleh para pengarah sendiri.

Peruntukan Seksyen 128

Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa:

"...jika seseorang pengarah yang disingkirkan itu dilantik untuk mewakili kepentingan kelas pemegang syer atau pemegang debentur tertentu, ketetapan untuk menyingkirkannya hendaklah tidak berkuatkuasa sehinggalah penggantinya telah dilantik..."

"...walau apapun yang sebaliknya terkandung dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan, notis khas hendaklah dikehendaki mengenai apa-apa ketetapan untuk menyingkirkan pengarah..."

yang bermakna syarikat perlu juga mematuhi peruntukan seksyen 153.

Pengarah yang akan disingkir mempunyai hak statutori untuk didengar mengenai ketetapan dalam mesyuarat. Seksyen itu juga memperuntukkan bahawa:

"...pengarah yang akan disingkir boleh menghendaki syarikat untuk memberikannya salinan representasi bertulis kepada tiap-tiap anggota syarikat..."

Perlu diingatkan bahawa syarikat boleh untuk enggan melakukannya jika representasi tersebut lewat diterimanya atau mahkamah berpuas hati yang representasi itu berunsur fitnah atau disalahgunakan. Persoalannya, bagaimana pula jika Perkara-perkara Persatuan syarikat memperuntukkan mengenai tempoh notis yang lebih pendek daripada yang dikehendaki oleh seksyen 153 yang menghendaki notis ketetapan selama 28 hari? Dalam kes Soliappan lwn Lim Yoke Fan (1968), diputuskan bahawa notis yang pendek adalah memadai, kerana seksyen 128(7) memperuntukkan bahawa peruntukan seksyen tersebut tidak menghalang syarikat daripada menggunakan apa-apa kuasa yang selain daripada yang diberikan oleh seksyen 128 untuk menyingkirkan pengarah.

Jadi, jika pengarah ingin memanfaatkan peluang yang diberikan oleh seksyen 128 itu, mereka boleh menggunakan peruntukan perkara 69, Jadual A yang memperuntukkan bahawa:

"Tertakluk kepada seksyen 128, syarikat boleh melalui ketetapan biasa menyingkirkan mana-mana pengarah..."

Perkataan "tertakluk kepada..." menunjukkan bahawa keperluan mengenai notis khas perlu dipatuhi.

Peruntukan Undian Berwajaran dalam Perkara-Perkara Persatuan

Satu bentuk mekanisme dalaman yang berkesan dalam mengekang syarikat daripada menyingkirkan pengarah yang pernah dibuat, adalah seperti dalam kes yang berikut:

BUSHELL LWN FAITH (1970)

Daripada 300 syer syarikat, setiap 100 unit dipegang sama rata oleh Bushell, Faith dan seorang saudara mereka. Kedua-dua jawatan pengarah yang ada disandang oleh Bushell dan Faith. Perkara-perkara Persatuan syarikat memberikan wajaran kepada hak pengundian yang terkembar kepada syer-syer daripada satu bagi setiap sesyer kepada tiga undi bagi setiap sesyer. Bushell dan saudaranya itu bercadang untuk menyingkirkan Faith daripada jawatan pengarah. Walau bagaimanapun, adalah tidak mungkin bagi pemegang-pemegang syer untuk meluluskan satu ketetapan biasa seperti yang dibenarkan oleh seksyen 148, United Kingdom Companies Act 1948 (yang bersamaan dengan seksyen 128 Akta kita). House of Lord memutuskan dengan majoriti 4-1 memihak kepada Faith.

Peruntukan Seksyen 55

Bagi syarikat awam yang bermodal syer atau anak syarikat kepada syarikat awam, seksyen 55 memperuntukkan:

"Walau apapun dalam peruntukan Akta ini atau dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan, tiap-tiap syer ekuiti yang diterbitkan (oleh syarikat-syarikat di atas) hendaklah memberikan hak undi dalam mana-mana mesyuarat agung syarikat kepada satu undi dan hanya satu undi sahaja bagi tiap-tiap ringgit atau bahagian daripada seringgit yang telah dibayar ke atas syer tersebut"

Walau bagaimanapun, seseorang pengarah syarikat awam dan anak syarikat kepada syarikat awam masih boleh menggunakan kaedah pengundian berwajaran untuk melindungi daripada disingkirkan oleh syarikat, dengan menerbitkan "syer kelas B" pada nilai diskaun berbanding dengan syer biasa tetapi membawa undi yang sama dengan syer biasa. Dengan cara ini pengarah-pengarah mempunyai kuasa yang lebih dan boleh mematahkan sebarang cubaan menyingkirkan mereka.

Pemegangan Silang

Pemegangan silang adalah satu keadaan di mana dua atau lebih syarikat mempunyai pemegangan silang dalam syarikat masing-masing. Pada asasnya, pemegangan silang melibatkan dua buah syarikat yang saling memegang syer dalam kedua-dua syarikat yang terlibat.

Syarikat A memegang 40% daripada syer dalam syarikat B, manakala syarikat B pula memegang 40% daripada syer dalam syarikat A. Kesannya lembaga pengarah syarikat A dengan bantuan lembaga pengarah syarikat B, akan megawal majoriti daripada nilai undi dalam syarikat A, dan oleh itu tidak boleh disingkirkan oleh baki pemegang syernya. Begitu jugalah sebaliknya, lembaga pengarah syarikat B dengan bantuan lembaga pengarah syarikat A akan mengawal majoriti daripada nilai undi dalam syarikat B, dan boleh juga mengelakkan diri daripada disingkarkan oleh pemegang-pemegang syer yang lain.

Kesan daripada pemegangan silang ialah, pengarah-pengarah dapat mengelakkan daripada disngkirkan oleh pemegang- pemegang syer minoriti, kerana tidak mempunyai cukup sokongan untuk meluluskan ketetapan seperti yang dikehendaki oleh seksyen 128 atau perkara 69, Jadual A.

Perjanjian di kalangan Pemegang Syer

Melalui perjanjian di kalangan pemegang syer yang mempunyai aspirasi yang sama, cara sesuatu hak undian dijalankan ditentukan melalui kontrak. Asalkan kontrak tersebut sah, hak yang ditetapkan dalam kontrak akan dikuatkuasakan. Jika kontrak itu dimungkiri, pihak yang dimungkiri boleh dibayar ganti rugi atau melalui injunksi. Selain daripada melalui perjanjian di kalangan pemegang-pemegang syer, 'hak mengundi' juga boleh dikawal melalui 'undian amanah'. Dengan cara undian amanah ini, syer-syer biasanya diberikan kepada pemegang amanah, yang kemudiannya sama ada diberi kebebasan atau dihadkan budi bicaranya untuk mengundi. Hak mengundi juga boleh dikawal dengan menggunakan 'proksi'.

Peruntukan Seksyen 181

Jika seseorang pengarah yang akan disingkirkan itu adalah juga seorang anggota syarikat, maka sebagai 'anggota syarikat' dia layak menggunakan perlindungan yang diberikan oleh seksyen 181 untuk mengelakkan penyingkiran oleh syarikat. Seksyen berkenaan menyediakan remedi bagi kes penindasan ke atas pemegang syer. Jika dapat dibuktikan bahawa keadaan-keadaan yang berikut wujud:

  • hal-ehwal syarikat dikendalikan secara yang menindas seorang atau lebih anggota-anggota syarikat;
  • kuasa pengarah-pengarah dijalankan dengan cara yang menindas seorang atau lebih anggota syarikat;
  • hal-ehwal syarikat dikendalikan tanpa mengambil kira kepentingan seorang atau lebih anggota syarikat;
  • kuasa pengarah-pengarah dijalankan tanpa mengambil kira kepentingan seorang atau lebih anggota-anggota syarikat;
  • beberapa tindakan syarikat dilakukan atau mengancam secara mendiskriminasikan dengan tidak adil terhadap seorang atau lebih anggota syarikat;
  • beberapa ketetapan anggota-anggota (atau mana-mana kelasnya) telah diluluskan atau dicadangkan secara tidak adil mendiskriminasikan seorang atau lebih anggota-anggota syarikat;
  • beberapa tindakan syarikat yang dilakukan atau mengancam, yang selainnya memudaratkan seorang atau lebih anggota syarikat;
  • beberapa ketetapan anggota-anggota (atau mana-mana kelasnya) telah diluluskan atau dicadangkan yang selainnya memudaratkan seorang atau lebih anggota syarikat;

maka mahkamah boleh, menurut seksyen yang tersebut di atas, memberikan mana-mana perintah yang berikut:

  • mengarah atau menghalang apa-apa tindakan atau mengkensel atau mengubah mana-mana transaksi atau ketetapan;
  • membenarkan pembelian syer-syer atau debentur-debentur syarikat yang dipegang oleh anggota yang terkilan itu, oleh anggota lain atau pemegang debentur atau syarikat sendiri;
  • dalam hal pembelian syer-syer oleh syarikat yang membenarkan pengurangan modal syarikat sewajarnya;
  • membenarkan syarikat digulung.

mahkamah akan membuat perintah berkenaan sebagaimana yang difikirkannya patut tanpa tertakluk kepada asas-asas yang tersebut. Seseorang pengarah yang juga seorang anggota syarikat boleh memohon kepada mahkamah melalui petisyen untuk mendapatkan perintah mahkamah bahawa tindakan syarikat untuk menyingkirkannya mempunyai ciri-ciri penindasan, diskriminasi atau memudaratkanya sebagai anggota.

Peruntukan Seksyen 218 (1)(i)

Seseorang pengarah yang juga seorang anggota syarikat juga boleh memohon bantuan mahkamah menurut seksyen 128(1)(i). Walau bagaimanapun, ini merupakan pilihan terakhir kerana seksyen ini bertujuan untuk menggulungkan syarikat. Seksyen 128(1)(i) memperuntukkan mengenai 'penggulungan syarikat melalui perintah mahkamah' atas asas bahawa mahkamah berpendapat adalah 'adil dan saksama' untuk berbuat demikian.

EBRAHIMI LWN WESTBOURNE GALLERIES LTD (1973)

E dan N adalah rakan kongsi dalam firma perkongsian yang menjual permaidani.Pada tahun 1958 mereka memperbadankan sebuah syarikat untuk mengambilalih perniagaan tersebut. Mereka berdua adalah satu-satunya pengarah dan pemegang syer dalam syarikat itu, dengan setiap seorang memegang 500 syer. Beberapa lama kemudian, anak N, iaitu A, menyertai perniagaan mereka dan menjadi pengarah ketiga. Lama kelamaan perhubungan di antara E dan N menjadi renggang, dan akibatnya E disingkirkan oleh N dan A daripada lembaga pengarah. Penyingkiran itu boleh dibuat oleh mereka kerana seksyen 148 (yang bersamaan dengan seksyen 128 di negara kita) membenarkan penyingkiran melalui ketetapan biasa, dan E diketepikan daripada urusan harian syarikat. Oleh kerana semua keuntungan diagihkan dalam bentuk saraan pengarah dan bukannya dalam bentuk dividen, E dinafikan haknya untuk mendapat pulangan daripada pelaburannya. Mahkamah perlu memutuskan sama ada petisyen oleh E untuk menggulung syarikat atas asas bahawa ianya adalah adil dan saksama untuk berbuat demikian, boleh dibenarkan atau tidak? House of Lord membuat keputusan yang memihak kepada E. Selain daripada fakta bahawa N dan A bertindak mengikut Perkara-perkara Persatuan syarikat dan Akta dalam menyingkirkan E, House of Lord memutuskan bahawa bidang kuasa 'adil dan saksama' tidaklah terhad kepada membuktikan kes-kes mala fide dan kebenaran tingkah laku N dan A.

Mengadakan Kontrak Pekerjaan

Seseorang pengarah boleh juga mengelakkan daripada disingkirkan daripada jawatannya dengan adanya kontrak pekerjaan. Ini kerana jika berlaku penyingkiran, akan membawa kepada kemungkiran kontrak seperti dalam kes Southern Foundaries lwn Shirlaw melainkan jika syarikat boleh membuktikan bahawa pengarah itu sendiri yang memungkiri kontrak seperti dalam kes Khoo Cheng Poh lwn Cosmic Insurance Corp Ltd (1974). Dalam kes ini mahkamah menyatakan bahawa:

"...dalam satu kontrak pekerjaan di antara pengarah dengan syarikat terdapat terma yang tersirat bahawa pengarah akan terus memegang jawatannya selagi dia dapat menjalankan kewajipannya dengan jayanya"