Make your own free website on Tripod.com
ke laman utama syarikat.com
 
 
Pada amnya jawatan pengarah bukanlah suatu jawatan eksekutif. Dengan memegang jawatan pengarah dalam sesebuah syarikat seseorang tidaklah secara automatik mempunyai hak untuk mendapatkan apa-apa ganjaran kewangan. Segala sumbangan tenaga, pemikiran dan kepakaran seseorang pengarah kepada syarikatnya adalah suatu sumbangan yang sukarela dalam melaksanakan amanah pemegang syer syarikat. Terpulanglah kepada syarikat untuk memberi ganjaran terhadap sumbangan yang diberikan oleh pengarah. Sebaliknya pula terdapat berbagai batasan, sekatan dan larangan yang dikenakan oleh undang-undang kepada pengarah dalam hal-ehwal kewangan syarikat yang berhubungkait dengan pengarah.

BAYARAN KERANA KEHILANGAN JAWATAN

Sesebuah syarikat tidak boleh membayar pampasan kepada pengarah kerana kehilangan jawatan sebagai pegawai syarikat atau anak syarikatnya atau sebagai balasan kepada saraannya atau bayaran kepada pengarah kerana pemindahan keseluruhan atau sebahagian daripada pengusahaan atau harta syarikat, tanpa terlebih dahulu mendedahkan butir-butir bayaran berkenaan kepada anggota-anggota dan mendapatkan kelulusan mereka dalam mesyuarat agung: seksyen 137(1). 'Pengarah' dalam konteks seksyen tersebut termasuk mana-mana orang yang pada bila-bila masa menjadi pengarah syarikat yang berkaitan dengannya: seksyen 137(7).

Bayaran kepada pengarah hanya boleh dibuat dalam keadaan-keadaan yang berikut sahaja:

  • Apa-apa bayaran yang dibuat di bawah mana-mana perjanjian yang telah didedahkan dan mendapat kelulusan melalui ketetapan khas oleh syarikat: seksyen 137(1) dan (5)(b). Jika mesyuarat tidak diadakan, bayaran boleh dibuat dengan kelulusan kesemua anggota-anggota syarikat (termasuk anggota-anggota yang tidak layak untuk hadir mesyuarat dan tidak layak untuk mengundi) terlebih dahulu sebelum bayaran dibuat.
  • Apa-apa bayaran bona fide sebagai ganti rugi kerana mungkir kontrak. Apa-apa bayaran bona fide dalam bentuk pencen atau bayaran sekaligus atas perkhidmatan kepada syarikat, dengan syarat amaunnya tidak boleh melebihi 3 tahun emolumen pengarah selepas persaraan atau kematian seseorang pengarah seksyen 137(5)(d).
  • Apa-apa bayaran kepada pengarah di bawah apa-apa perjanjian di antara syarikat dengan pengarah berkaitan sebelum perlantikannya sebagai dorongan kepadanya untuk menjadi pengarah: seksyen 137(5)(e).

Keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh Akta kepada syarikat untuk membuat bayaran kepada pengarah seperti yang tersebut di atas boleh difahami dengan meneliti kes New Zealand yang berikut:

TAUPO TOTARA TIMBER CO LTD LWN DARCY KEVEN ROWE (1977)

Suatu perjanjian perkhidmatan di antara seorang pengarah dan syarikatnya memperuntukkan bahawa dia hendaklah menjadi pengarah selama lima tahun. Peruntukan berkenaan selanjutnya menyebutkan lagi, bahawa jika dalam tempoh itu syarikat diambilalih dia layak untuk meletakkan jawatan dan syarikat akan membayarnya bayaran lump sum lima kali gaji tahunannya. Syarikat itu kemudiannya diambilalih dan pengarah berkenaan meletakkan jawatan tetapi syarikat enggan untuk membayar secara lump sum atas alasan bahawa di bawah peruntukan Akta (yang bersamaan dengan seksyen 137 Akta kita) bayaran sedemikian adalah tak sah kerana tidak diluluskan dalam mesyuarat terlebih dahulu sebelum pengambilalihan itu. Diputuskan bahawa seksyen tersebut (yang bersamaan dengan seksyen 137 Akta kita) tidak terpakai kepada bayaran yang dibuat dalam hubungan dengan perkhidmatan seseorang pengarah atau bayaran yang sesebuah syarikat terikat mengikut kontrak untuk membayar kepada seseorang pengarah.

Hak pengarah untuk mendapatkan saraan ditetapkan oleh Perkara-perkara Persatuan. Seseorang pengarah hanya layak untuk mendapatkan saraan jika terdapat peruntukan yang nyata dalam Perkara-perkara Persatuan. Dengan hanya menjawat jawatan pengarah tidaklah secara automatik melayakkan seseorang pengarah untuk menerima saraan: Hutton lwn Cork Railway Co (1883).

Perkara 70, Jadual A memperuntukkan mengenai saraan pengarah seperti yang berikut:

"Saraan pengarah-pengarah hendaklah dari semasa ke semasa diputuskan oleh syarikat dalam mesyuarat agung. Saraan tersebut hendaklah disifatkan sebagai terakru dari hari ke hari. Pengarah-pengarah juga boleh dibayar bayaran perjalanan, hotel dan lain-lain perbelanjaan yang dikeluarkan oleh mereka dalam menghadiri dan pulang daripada mesyuarat pengarah-pengarah atau mana-mana jawatankuasa pengarah-pengarah atau mesyuarat agung syarikat atau yang berkaitan dengan perniagaan syarikat"

Intisari peruntukan perkara 70, Jadual A boleh dirumuskan seperti yang berikut:

  • pengarah-pengarah akan menerima saraan sebagaimana yang ditetapkan oleh syarikat dalam mesyuarat agung.
  • saraan pengarah akan terakru daripada hari ke hari.
  • syarikat boleh membayar kepada pengarah semua perbelanjaan yang ditanggung oleh pengarah dalam urusan menghadiri mesyuarat agung atau urusan rasmi yang lain dan perbelanjaan pergi-balik atas semua urusan rasmi.

Tanpa peruntukan yang nyata dalam Perkara-perkara Persatuan atau kontrak perkhidmatan, seseorang pengarah tidak layak untuk menerima saraan dan syarikat tidak bertanggungan untuk membayar kepadanya atas sebarang tuntutan perjalanan yang dibuat olehnya dalam menjalankan tugas rasminya. Walau bagaimanapun, pengarah berkenaan boleh dibayar atas asas quantum meruit. Dengan penguatkuasaan seksyen 136 pada 15 April 1966, syarikat dilarang daripada membuat pembayaran saraan kepada pengarah yang dikecualikan daripada cukai: seksyen 136.

PINJAMAN KEPADA PENGARAH

Seksyen 133 dan 133A memperuntukkan mengenai larangan pinjaman kepada pengarah dan kekecualian yang diberikan. Pada amnya syarikat (selain daripada syarikat persendirian terkecuali) tidak boleh memberi pinjaman kepada pengarah atau orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah atau orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah syarikat pemegang. Larangan itu bukan sahaja terhad kepada memberikan pinjaman secara langsung, tetapi termasuk juga menjamin pinjaman atau menyediakan sekuriti kepada pinjaman.

Seksyen 133 membenarkan sesebuah syarikat persendirian terkecuali untuk memberikan pinjaman kepada pengarah-pengarahnya. Apakah syarikat persendirian terkecuali? Syarikat persendirian terkecuali ialah sebuah syarikat persendirian yang telah menyerahkan satu 'perakuan oleh sebuah syarikat persendirian terkecuali' kepada Pendaftar Syarikat. Perakuan tersebut perlu ditandatangani oleh pengarah, setiausaha dan juruaudit syarikat yang memperakukan bahawa dalam tempoh yang releven syarikat adalah sebuah syarikat persendirian terkecuali. Perakuan berkenaan hanya boleh dibuat jika syarikat memenuhi beberapa syarat, antara lainnya, anggota syarikat hendaklah tidak melebihi 20 orang, dan tidak ada anggotanya yang terdiri daripada sebuah syarikat (atau perbadanan).

Larangan memberikan pinjaman termasuklah 'menjamin pinjaman' dan menyediakan sekuiriti'. Misalnya, jika ABC Sdn Bhd menjadi penjamin kepada A seorang pengarahnya yang membuat pinjaman, maka ABC Sdn Bhd dianggap sebagai memberi bantuan kewangan kepada A dan dengan itu termasuk dalam larangan memberikan pinjaman kepada pengarah. Begitu juga jika ABC Sdn Bhd membantu A dengan mencagarkan harta syarikat sebagai 'sekuriti' bagi pinjaman A, maka tindakan sedemikian juga dianggap sebagai memberikan pinjaman kepada pengarah.

Contoh-contoh transaksi pinjaman kepada pengarah yang dilarang:

  • ABC Sdn Bhd meminjamkan RM 10,000.00 kepada salah seorang daripada pengarahnya.
  • Bank XYZ Berhad meminjamkan RM 100,000.00 kepada A seorang pengarah PCS Sdn Bhd dengan PCS Sdn Bhd menjamin pinjaman tersebut dengan menjadi penjamin kepada pinjaman tersebut atau memnyediakan debentur untuk menjamin pinjaman berkenaan.
  • ACS Sdn Bhd meminjamkan RM 15,000.00 kepada Y seorang pengarah GEC Bhd sebuah syarikat pemegang kepada ACS Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun tiga bentuk pinjaman (atau jaminan pinjaman atau menyediakan sekuriti kepada pinjaman) kepada pengarah dibenarkan:

  • pinjaman atau jaminan pinjaman atau penyediaan sekuriti bagi membolehkan pengarah menanggung perbelanjaan untuk kepentingan syarikat.
  • pinjaman perumahan kepada pengarah sepenuh masa.
  • pinjaman yang diberikan di bawah skim pinjaman pekerja kepada pengarah.

Kebenaran tersebut tertakluk kepada dua syarat:

  • kelulusan daripada mesyuarat agung diperolehi terlebih dahulu dengan mendedahkan kepada ahli mesyuarat tujuan perbelanjaan, amaun pinjaman atau takat jaminan atau sekuriti yang terlibat dalam pinjaman berkenaan.
  • pemberian pinjaman itu dibuat dengan syarat bahawa jika kelulusan tidak diberikan pada atau sebelum mesyuarat agung berikutnya, pinjaman berkenaan perlu dibayar balik dalam tempoh enam bulan daripada tarikh berakhirnya mesyuarat agung berkenaan.

Jika pinjaman, jaminan atau sekuriti berkenaan tidak diluluskan dalam mesyuarat agung dan sebaliknya syarikat membenarkan pinjaman, jaminan atau sekuriti tersebut diberikan kepada pengarah, maka pengarah-pengarah yang membenarkannya adalah melakukan kesalahan dan secara bersesama dan berasingan bertanggungan untuk menanggung rugi syarikat atas apa-apa kerugian yang timbul. Pengarah-pengarah yang terlibat juga bertanggungan untuk membayar kepada syarikat apa-apa keuntungan atau laba yang diperolehi. Dalam sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pengarah-pengarah yang tersebut di atas, syarikat sebaliknya tidak menanggung apa-apa liabiliti jenayah. Malah syarikat boleh mendapatkan semula pinjaman atau apa-apa faedah yang terakru dan boleh mendapatkan kembali amaun yang ditanggungnya daripada jaminan sekuriti yang telah diberikan itu. Syarikat boleh memberi pinjaman atau menjamin atau menyediakan sekuriti bagi pinjaman kepada orang-orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah, jika ianya dibuat untuk kepentingan syarikat yang berkaitan dengannya atau syarikat sendiri adalah syarikat peminjam wang atau syarikat insurans atau ianya dibuat di bawah skim yang diluluskan kepada orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah.

PERKIRAAN HARTA SUBSTANSIAL

Syarikat tidak boleh memperoleh atau melupuskan daripada pengarah atau orang-orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah apa-apa aset bukan tunai yang bernilai rekuisit tanpa kelulusan dalam mesyuarat agung: seksyen 122A(1), 132E(1) dan (5). Siapakah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah? Orang-orang yang disifatkan sebagai mempunyai hubungan dengan pengarah adalah:

  • anggota keluarga pengarah.
  • badan korporat (termasuk syarikat) yang bersekutu dengan pengarah.
  • pemegang amanah kepada amanah (yang selain daripada skim syer pekerja atau skim pencen) yang mana pengarah atau anggota keluarganya adalah seorang pengarah.
  • rakan kongsi pengarah atau rakan kongsi kepada orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah.

Contoh larangan memberikan pinjaman kepada orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah:

  • ABC Sdn Bhd meminjamkan RM 500,000.00 kepada W seorang isteri kepada salah seorang pengarahnya.
  • Bank XYZ Bhd memberikan pinjaman RM 400,000.00 kepada seorang pekongsi kepada A, seorang pengarah ABC Sdn Bhd. ABC Sdn Bhd menjamin pemberian pinjaman itu.
  • ACS Sdn Bhd meminjamkan RM 300,000.00 kepada LLN Sdn Bhd sebuah syarikat yang salah seorang pengarahnya bersekutu dengan ACS Sdn Bhd.
  • MMC Sdn Bhd meminjamkan RM 250,000.00 kepada isteri salah seorang pengarah XXX Bhd iaitu sebuah syarikat pemegang kepada MMC Sdn Bhd.

Apakah yang dimaksudkan dengan aset bukan tunai yang bernilai rekuisit? Aset bukan tunai yang bernilai rekuisit ialah apa-apa harta atau kepentingan dalam harta yang selain daripada tunai yang bernilai tidak kurang daripada RM 250,000.00 atau 10% daripada nilai aset syarikat, yakni aset bersih yang ditunjukkan dalam Penyata Kewangan terakhir atau jika tiada Penyata Kewangan dibuat, 10% daripada modal syer yang diterbitkan. Walau bagaimanapun, larangan tersebut tidak terpakai kepada anak syarikat kepunyaan keseluruhan atau di antara sesama anak syarikat kepunyaan keseluruhan atau syarikat yang telah digulung (kecuali penggulungan sukarela oleh anggota) atau transaksi dalam perjalanan biasa syarikat: seksyen 132F.

Suatu pemerolehan atau pelupusan aset bukan tunai termasuklah pewujudan atau penghapusan estet atau kepentingan dalam mana-mana harta dan juga penyelesaian mana-mana orang. Apakah implikasi daripada perkiraan harta yang dibuat di antara pengarah dengan syarikat? Ada lima kesannya:

  • perkiraan itu menjadi sah, melainkan jka diratifikasikan oleh syarikat (atau syarikat pemegang) dalam mesyuarat agung dalam tempoh yang munasabah.
  • pengarah yang terlibat bertanggungan untuk membayar kepada syarikat apa-apa laba yang diperolehinya.
  • pengarah yang terlibat perlu menanggung rugi syarikat atas apa-apa kerugian atau kerosakan yang dialami oleh syarikat.
  • pengarah-pengarah yang membenarkannya juga bertanggungan sama.
  • pengarah yang terlibat adalah melakukan kesalahan, dan boleh dipenjara lima tahun atau didenda RM 30,000.00 atau kedua-duanya sekali.

LARANGAN PENJUALAN ASET-ASET PENTING

Larangan penjualan aset-aset penting syarikat dikawal oleh seksyen 132C. Seksyen tersebut, antara lainnya memperuntukkan bahawa walau apapun yang terkandung dalam Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan, pengarah-pengarah tidak boleh menguatkuasakan apa-apa cadangan atau menyempurnakan apa-apa transaksi untuk:

  • pemerolehan suatu pengusahaan atau harta yang bernilai substansial, atau
  • melupuskan bahagian substansial daripada pengusahaan atau harta syarikat, yang akan secara material dan merosakkan, menyentuh prestasi atau kedudukan kewangan syarikat, melainkanlah jika cadangan atau transaksi itu diluluskan oleh syarikat dalam mesyuarat agung.

Jika pengarah-pengarah bertindak sebaliknya, mahkamah boleh, dengan permohonan mana-mana anggota syarikat, menghalang pengarah daripada bertransaksi sedemikian rupa. Mana-mana pengarah yang melakukan kesalahan di bawah seksyen berkenaan boleh didenda RM 30,000.00 atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan akan menerima kesan daripada seksyen 130. Walau bagaimanapun pihak ketiga yang terlibat dalam urusan berkenaan dan tidak mengetahui mengenai pelanggaran tesebut tidak menerima kesannya kerana transaksi berkenaan tetap sah. Pihak ketiga boleh menuntut ganti rugi jika syarikat tidak menunaikan obligasinya dan boleh mendakwa pengarah yang terlibat kerana memungkiri kewajipan kepada syarikatnya.

Keberkesanan seksyen 132C untuk menghalang pengarah-pengarah daripada menjual aset-aset penting syarikat boleh dipatahkan jika pengarah-pengarah boleh menguasai atau mempengaruhi keputusan pengundian dalam mesyuarat agung untuk meluluskan tindakan mereka itu. Bagi mendepani gejala ini seksyen 132G diperkenalkan untuk melarang pengocokan aset di antara syarikat-syarikat oleh pengarah / pemegang syer yang sama.

LARANGAN PENGOCOKAN ASET

Pengarah (dan / atau pemegang syer) syarikat dilarang daripada menyuntikkan ke dalam syer atau aset syarikat lain yang mana pengarah (atau pemegang syer dan orang-orang yang mempunyai hubungan dengan mereka) berkenaan memegang 5% daripada pemegangan syer syarikat. Larangan tersebut tidak melibatkan transaksi (penyuntikan syer atau aset) yang dibuat selepas 3 tahun syer yang diperolehi itu mulanya dipegang oleh pengarah (atau pemegang syer) berkenaan atau 3 tahun selepas aset itu mula diperolehi oleh syarikat lain itu (yang mana 5% pemegang syer dipegang), tidak kira sama ada atau tidak mereka mendapat faedah daripada transaksi itu: seksyen 132G.

A adalah seorang pengarah (dan / atau pemegang syer) syarikat X menyuntik syer / aset syarikat B. A memegang lebih daripada 5% pemegangan syer dalam syarikat B. Jadi, transaksi yang dibuat oleh A adalah dilarang menurut seksyen 132G. Sebaliknya transaksi A tidak dilarang jika:

  • suntikan itu dibuat selepas tiga tahun syer / aset dalam syarikat B itu dipegang oleh A, atau
  • tiga tahun selepas aset diperolehi oleh syarikat B.

A dalam contoh di atas termasuklah juga seseorang yang mempunyai hubungan dengannya seperti yang ditakrifkan oleh seksyen 122A.

Larangan tersebut bertujuan untuk mengelakkan pengocokan aset di kalangan syarikat-syarikat yang mempunyai pengarah atau pemegang syer yang sama. Larangan ini merupakan mekanisme yang dapat melindungi pemegang syer minoriti daripada tindakan pengarah yang gemar mengocokkan aset syarikat untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek tanpa memberi sebarang tambahan nilai kepada syarikat.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'pengocokan aset'? Dalam bahasa Inggerisnya, 'pengocokan aset' disebut sebagai reshuffling around of assets. Aset-aset diocokkan (dipindah-pindahkan)_ di antara syarikat-syarikat yang mempunyai pengarah / pemegang syer yang sama. Pengocokan ini merupakan 'aktiviti di atas kertas' yang tidak memberi sebarang nilai ditambah kepada syarikat dan ekonomi negara.