Make your own free website on Tripod.com
ke laman utama syarikat.com
 
 
Syarikat digerakkan oleh dua organnya, iaitu pengarah-pengarah dan pemegang-pemegang syer. Pengarah-pengarah menggerakkan syarikat melalui tindakan kolektif mereka dalam mesyuarat lembaga pengarah. Pemegang-pemegang syer pula menggerakkan syarikat melalui tindakan bersama dalam mesyuarat agung. Di antara dua organ ini, kuasa pengarah ternyata lebih dominan, manakala pemegang-pemegang syer pula hanya menjalankan kuasanya secara berkala.

TAKAT KUASA PENGARAH

Kuasa yang ada pada pengarah-pengarah ditentukan oleh peruntukan Perkara-perkara Persatuan sesebuah syarikat. Takat kuasa pengarah ditetapkan oleh perkara 73, Jadual A. Antara lainnya, perkara tersebut memperuntukkan:

"Pengarah-pengarah boleh menjalankan semua kuasa syarikat untuk meminjam wang dan untuk menggadai atau menanggung akujanji, harta, daripada modal yang tidak dipanggil, atau mana-mana bahagian daripada itu dan menerbitkan lain-lain debentur dan lain-lain jaminan sama ada secara langsung atau sebagai jaminan untuk mana-mana hutang, tanggungan, atau tanggungjawab terhadap syarikat atau terhadap mana-mana pihak ketiga"

Secara ringkasnya, peruntukan tersebut memberikuasa kepada pengarah untuk mengurus perniagaan syarikat dan untuk menjalankan semua kuasa yang ada pada syarikat. Dalam menjalankan kuasanya, pengarah-pengarah membuat keputusan dalam ruang lingkup keupayaan syarikat seperti yang ditetapkan dalam fasal tujuan-tujuan dalam Memorandum Persatuan syarikat.

Walau bagaimanapun, pengarah-pengarah tidak dapat menjalankan apa-apa kuasa dalam perkara-perkara yang berikut:

  • jika Akta menghendaki supaya keputusan dibuat oleh anggota-anggota dalam mesyuarat agung.
  • jika Perkara-perkara Persatuan sendiri menghendaki supaya keputusan dibuat oleh anggota-anggota dalam mesyuarat agung.

Kuasa pengarah-pengarah merujuk kepada kuasa yang ada pada pengarah-pengarah secara kolektif dalam lembaga pengarah. Tdak seperti yang difahami oleh kebanyakan orang, pengarah secara individu, atas keupayaan dirinya tidak mempunyai kuasa. Pengarah hanya mempunyai kuasa apabila bertindak dalam keupayaan lembaga pengarah atau sering dirujuk sebagai 'pengarah-pengarah'. Kuasa pengarah-pengarah bersumber daripada peruntukan Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan. Kedua-dua dokumen inilah yang membahagikan kuasa kepada lembaga pengarah dan mesyuarat agung. Terpulanglah kepada kedua-dua dokumen itu untuk menentukan di antara kedua 'organ' tersebut, yang mana satu di antaranya yang diberi banyak atau lebih kuasa. Walaupun pada amnya kebanyakan kuasa diberi kepada lembaga pengarah, ianya bukanlah satu kehendak undang-undang yang hakiki. Syarikat boleh, jika difikirkan patut untuk memberikan kuasa yang lebih kepada anggota-anggota syarikat untuk dilaksanakan dalam mesyuarat agung. Jika ini dilakukan perjalanan syarikat akan terbantut kerana kebanyakan urusan syarikat adalah urusan rutin yang hanya sesuai dikendalikan oleh satu kumpulan pengurusan yang khusus.

Walaupun mempunyai kuasa yang diperlukan, keputusan yang dibuat oleh pengarah-pengarah adalah tak sah jika mereka tidak menjalankan kuasa yang ada itu dengan cara yang mengikut pandangan mereka adalah untuk kepentingan syarikat keseluruhannya atau jika mereka tidak menjalankan kuasa yang diberikan oleh syarikat untuk maksud yang sah. Dengan penyerahan kuasa oleh Perkara-perkara Persatuan kepada pengarah-pengarah, anggota-anggota syarikat tidak boleh mengambil alih pengurusan atau membataskan kuasa pengarah-pengarah, melainkan jika mereka mengubah peruntukan Perkara-perkara Persatuan yang berkaitan dengan kuasa pengarah-pengarah atau menyingkirkan pengarah-pengarah menurut seksyen 128.

MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH

Perkara-perkara Persatuan memberikuasa kepada pengarah secara kolektif dan tidak memberikuasa secara individu, melainkan bagi pengarah urusan yang dilantik. Oleh itu kuasa yang ada pada pengarah-pengarah dilaksanakan melalui mesyuarat lembaga pengarah. Walau bagaimanapun Perkara 93, Jadual A memperuntukkan bahawa:

"Pengarah boleh mengamanahkan kepada dan memberi kepada seorang pengarah urusan mana-mana kuasa yang dijalankan oleh mereka dengan terma-terma dan syarat-syarat tertentu dan apa-apa sekatan tertentu yang mereka fikirkan perlu, dan sama ada termasuk dengan atau dengan mengecualikan kuasa-kuasa mereka sendiri, dan boleh dari semasa ke semasa membatalkan, menarik balik, menukar, atau mengubah kesemua atau mana-mana daripada kuasa itu"

Walaupun kuasa yang ada pada pengarah-pengarah hanya boleh dilaksanakan melalui mesyuarat lembaga pengarah, tetapi tidaklah bermakna bahawa mesyuarat yang formal perlu diadakan setiap kali sesuatu keputusan akan dibuat. Perkara 90, Jadual A misalnya memperuntukkan bahawa ketetapan bertulis yang ditandatangani oleh semua pengarah adalah satu keputusan yang sah. Peraturan tersebut menyebut:

"Suatu ketetapan secara bertulis yang ditandatangani oleh semua pengarah yang pada waktu itu berhak untuk menerima notis mesyuarat pengarah-pengarah, hendaklah sah dan mempunyai kesan seolah-olah ia telah diluluskan dalam mesyuarat pengarah-pengarah yang telah dibuat dan diadakan. Mana-mana ketetapan tersebut boleh mengandungi beberapa dokumen dalam bentuk yang sama, setiap satu ditandatangani oleh seorang atau lebih pengarah"

Bagaimana dan bila sesuatu mesyuarat lembaga pengarah akan diadakan dan kehendak mengenai kuorumnya terserah kepada pengarah-pengarah untuk menentukan dan menetapkannya. Walau bagaimanapun, jika pengarah-pengarah tidak menetapkan kuorum, maka kuorum secara automatik ditetapkan sebagai dua: perkara 83, Jadual A. Mana-mana ahli lembaga pengarah boleh meminta setiausaha syarikat untuk memanggil mesyuarat lembaga pengarah dengan notis yang munasabah dalam konteks masa dan tempat mesyuarat akan diadakan.

BARRON LWN POTTER (1914)

Perkara-perkara Persatuan syarikat memberikuasa kepada lembaga pengarah untuk melantik pengarah-pengarah tambahan. Lembaga berkenaan mengandungi dua orang pengarah yang saling bertikai. Cubaan untuk mengadakan meyuarat lembaga pengarah gagal. Suatu ketetapan untuk melantik pengarah-pengarah tambahan diluluskan dalam mesyuarat agung. Mahkamah memutuskan bahawa perlantikan tersebut adalah sah walaupun diperuntukkan dalam Perkara-perkara Persatuan bahawa lembaga pengarah yang berkuasa untuk melantik pengarah-pengarah. Ini kerana lembaga pengarah berkenaan tidak dapat bertindak sewajarnya, oleh itu mesyuarat agung boleh mengambil alih fungsi tersebut.

Keputusan dalam sesuatu mesyuarat lembaga pengarah hanya akan menjadi sah jika wujudnya kuorum. Perkara 84, Jadual A memperuntukkan bahawa jika bilangan pengarah yang memegang jawatan semasa mesyuarat lembaga pengarah diadakan adalah tidak memenuhi kuorum yang ditetapkan, maka pengarah-pengarah yang ada boleh melantik pengarah tambahan. Perkara-perkara 88, Jadual A memperuntukkan bahawa tiap-tiap pengarah mempunyai satu undi dan pengerusi hanya boleh mempunyai undi, jika diperuntukkan oleh Perkara-Perkara Persatuan, seperti yang berikut:

"...persolan-persoalan yang ditimbulkan dalam mana-mana mesyuarat hendaklah diputuskan oleh undi terbanyak ahli-ahli yang hadir, dan dalam keadaan terdapat persamaan undi pengerusi hendaklah mempunyai undi kedua atau undi pemutus"

Pengerusi dilantik dan boleh disingkirkan oleh lembaga pengarah, melainkan jika ditetapkan oleh Perkara-perkara Persatuan sebagai yang sebaliknya. Minit mesyuarat lembaga pengarah perlu disimpan dan menjadi satu keterangan mengenai prosiding mesyuarat apabila ditandatangani oleh pengerusi. Perkara 86, Jadual A memberikuasa kepada pengarah-pengarah untuk mewakilkan kuasa kepada satu jawatankuasa lembaga pengarah atau kepada salah seorang daripada pengarah sama ada untuk satu urusan yang khusus atau sebagai pengarah urusan:

"Pengarah-pengarah boleh mewakilkan mana-mana daripada kuasa mereka kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang mengandungi mana-mana ahli atau ahli yang menjadi badan mereka sebagaimana yang difikirkan perlu, mana-mana jawatankuasa yang ditubuhkan hendaklah di dalam menjalankan kuasa-kuasa yang diwakilkan sedemikian mengesahkan kepada mana-amana peraturan yang kemungkinan dikenakan kepadanya oleh pengarah-pengarah"

PENGARAH URUSAN

Perkara-perkara Persatuan biasanya memberikuasa kepada lembaga pengarah untuk melantik seorang atau lebih daripada ahlinya sebagai pengarah urusan. Perkara 91, Jadual A misalnya memperuntukkan:

"Pengarah-pengarah boleh dari semasa ke semasa melantik seorang atau lebih daripada badan-badan mereka untuk memegang jawatan pengarah urusan untuk apa-apa tempoh dan di atas syarat-syarat sebagaimana yang mereka fikirkan perlu dan, tertakluk kepada syarat-syarat kepada mana-mana perjanjian yang dibuat di dalam mana-mana kes yang tertentu, boleh membatalkan mana-mana perlantikan tersebut. Seorang pengarah yang dilantik hendaklah tidak, semasa memegang jawatan tersebut, tertakluk kepada saraan secara bergilir atau diambil kira di dalam memutuskan persaraan pengarah secara bergilir-gilir, tetapi perlantikannya hendaklah diputuskan secara automatik sekiranya ia terhenti daripada apa-apa sebab untuk menjadi seorang pengarah"

Pengarah urusan mempunyai 'kuasa nyata' sebagai ejen syarikat untuk membuat kontrak perniagaan. Pengarah lain, walaupun berkhidmat secara sepenuh masa tidak mempunyai 'kuasa nyata' sebagai pengarah. Seorang pengurus yang berkhidmat sepenuh masa walaupun mempunyai 'kuasa nyata' juga, tetapi adalah lebih rendah peringkatnya: Kreditbank Cassel G.m.b.H. lwn Schenkers Ltd (1927). Pengarah urusan mempunyai 'kuasa sebenar' dalam apa juga perkara yang diberikuasa oleh lembaga pengarah walaupun sehingga memungkiri perjanjian perkhidmatannya: Holdsworth (H) & Co (Wakefield) Ltd lwn Caddies (1955).

Pengarah urusan boleh disingkirkan daripada jawatannya seperti juga dengan pengarah lain (atau pekerja) dan boleh juga disingkirkan oleh mesyuarat agung secara tidak langsung dengan menyingkirkannya sebagai pengarah, kerana menjadi pengarah adalah prasyarat untuk menjadi pengarah urusan. Kedua-dua kaedah penyingkiran pengarah urusan tersebut akan membawa kepada kemungkiran kontrak, dan pengarah urusan berkenaan boleh menuntut ganti rugi, tetapi tidak boleh menghalang syarikat daripada menyingkirkannya.

Pengarah eksekutif yang bukan seorang pengarah urusan mempunyai kedudukan yang berbeza. Pengarah eksekutif tidak mempunyai 'kuasa nyata' untuk membuat kontrak am seperti yang ada pada pengarah urusan tetapi mempunyai 'kuasa zahir' yang terkembar pada pengurusannya. Penyingkirannya boleh merupakan satu kemungkiran kewajipan perkhidmatannya jika perjanjian itu memperuntukkan bahawa dia perlu mempunyai status pengarah, sebagai sebahagian daripada syarat perjawatannya.

Terdapat empat jenis kuasa yang utama: kuasa nyata, kuasa tersirat, kuasa sebenar dan kuasa zahir. Kuasa nyata mengandungi arahan seorang prinsipal (misalnya syarikat) kepada ejennya (misalnya pengarah) berhubung dengan takat kuasa ejen berkenaan. Kuasa nyata seseorang ejen diterima daripada prinsipalnya sama ada secara lisan atau bertulis. Kuasa tersirat ialah kuasa untuk bertindak sebagai ejen yang terbit daripada kuasa nyata yang ada pada seseorang ejen. Kuasa sebenar ialah kuasa yang diberikan secara nyata oleh prinsipal kepada ejen secara lisan atau bertulis; atau disiratkan daripada kuasa nyata yang diberikan, iaitu semua kuasa yang patut atau mustahak bagi menjalankan kuasa nyata itu, keadaan sesuatu kes itu, kelaziman atau adat resam perniagaan, dan situasi dan kelakuan pihak-pihak yang terlibat. Kuasa zahir adalah kuasa yang tidak diberikan secara nyata oleh prinsipal tetapi undang-undang menganggap ejen berkenaan sebagai mempunyai kuasa itu, walaupun prinsipal telah tidak bersetuju terhadap seseorang ejen itu menjalankan kuasanya. Alasan baginya ialah prinsipal telah mengetahui dengan kata-kata atau kelakuannya, menjadikan pihak ketiga mempercayai bahawa ejennya mempunyai kuasa untuk membuat kontrak bagi pihaknya, dan sebagai hasilnya ia disekat daripada menafikan kuasa ejen itu. Dalam erti kata yang lain, sesuatu ejen adalah dianggap sebagai mempunyai kuasa sekiranya prinsipalnya yang menyebabkan termaklum sebagai mempunyai kuasa itu.

Kuasa sebenar dan kuasa zahir, dalam konteks perhubungan di antara syarikat dengan pengarah-pengarahnya dapat difahami melalui dikta Lord Denning dalam kes Hely-Hutchinson lwn Brayhead Limited (1967):

"Kuasa sebenar akan mejadi nyata apabila diberikan secara nyata melalui perkataan. Ianya menjadi tersirat jika ianya disiratkan daripada tingkah laku pihak-pihak dalam hal-keadaan sesuatu kes, sebagaimana suatu lembaga pengarah melantik seorang anggota untuk menjadi pengarah urusan, dengan itu secara tersirat membenarkannya untuk melakukan semua perkara dalam ruang lingkup jawatannya itu."

Fakta bahawa tidak ada ketetapan tertentu oleh lembaga pengarah yang membenarkan seseorang pengarah untuk mengambil langkah-langkah tertentu tidaklah bermakna pengarah berkenaan tidak mempunyai kuasa sebenar daripada lembaga untuk berbuat demikian. Jika, dalam semua hal-keadaan, adalah menjadi sebahagian daripada kewajipannya untuk membuat tindakan sedemikian, maka dia sebenarnya telah diletakhakan dengan kuasa sebenar, melalui kesan undang-undang. Kuasa sebenar, sama ada secara nyata atau tersirat, mengikat syarikat dengan ejennya, dan juga di antara syarikat dengan pihak lain di dalam dan di luar syarikat. Kedua-dua belah pihak terikat oleh kontrak yang dibuat dengan kuasa sebenar pengarah-pengarah.

Mengikut Lord Denning lagi,

"Kuasa zahir biasanya berbetulan dengan kuasa sebenar. Jadi jika lembaga pengarah melantik salah seorang daripada ahli lembaga untuk menjadi pengarah urusan, mereka bukan sahaja meletakhakan kepadanya dengan kuasa tersirat tetapi juga dengan kuasa zahir untuk melakukan semua perkara yang berada dalam ruang lingkup jawatannya itu."

Kuasa zahir boleh mengatasi kuasa sebenar. Misalnya, andaikan A dilantik menjadi pengarah urusan dan lembaga pengarah secara khusus menetapkan bahawa, semasa A menjalankan tugasnya dalam membeli bahan mentah atau peralatan, jika nilai belian melebihi RM 10,000.00, urusan tersebut hendaklah mendapat kelulusan daripada lembaga pengarah. Dalam misalan tersebut, kuasa sebenar A adalah tertakluk kepada had tertentu. Ini tidaklah bermakna bahawa jika A melampaui kuasanya, urusan berkenaan tidak akan mengikat syarikat.

Lord Denning selanjutnya menyebut:

"Kuasa zahir seseorang pengarah (kepada sesiapa yang tidak mengetahui had yang dikenakan) adalah begitu luas hingga termasuk semua kuasa biasa seseorang pengarah urusan."

KAWALAN ANGGOTA-ANGGOTA KE ATAS PENGARAH

Anggota-anggota mempunyai kuasa untuk melantik dan menyingkirkan pengarah menurut seksyen 128. Anggota-anggota juga mempunyai kuasa untuk mengubah peruntukan Perkara-perkara Persatuan dan menguntukkan semula pembahagian kuasa di antara lembaga pengarah dengan mesyuarat agung. Walaupun anggota-anggota boleh mengawal pengarah tetapi pengarah bukanlah ejen kepada mereka. Anggota-anggota tidak boleh mengarah pengarah mengenai cara mana pengarah-pengarah boleh menjalankan kuasa yang ada pada mereka. Kuasa pengarah diberikan oleh syarikat dan oleh itu terpulanglah kepada pengarah-pengarah untuk menentukan cara gaya pengurusan yang akan memanfaatkan syarikat keseluruhannya. Mesyuarat agung tidak boleh mengatasi kuasa veto yang diberikan oleh Perkara-perkara Persatuan kepada pengarah urusan dan pemegang-pemegang syer sebagai badan umum tidak boleh merampas kuasa yang diletakhakan kepada pengarah.

QUIN & AXTENS LTD LWN SALMON (1909)

Perkara-perkara Persatuan syarikat memperuntukkan bahawa kontrak-kontrak tertentu tidak boleh dibuat tanpa persetujuan Salmon dan Axtens. Lembaga pengarah mencadangkan untuk memperoleh beberapa buah premis dan menyewa sebahagian yang lain. Salmon tidak menyetujui cadangan itu menurut kehendak Perkara-perkara Persatuan. Untuk mengatasi kuasa veto Salmon, suatu ketetapan anggota-anggota diluluskan dengan undi oleh Axtens. Salmon menuntut satu injunksi untuk menghalang syarikat dan pengarah-pengarahnya daripada bertindak berdasarkan ketetapan itu. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa ketetapan berkenaan adalah tidak selaras dengan peruntukan Perkara-perkara Persatuan dan membenarkan injunksi tersebut. House of Lord mengesahkan keputusan itu.

Jika pengarah tidak dapat menjalankan kuasa yang ada kerana 'kebuntuan' ataupun kerana tidak ada pengarah sama sekali, anggota-anggota dalam mesyuarat agung mempunyai kuasa 'bersama' yang 'terbaki' untuk memintas lembaga pengarah (bukan mengarahkannya). Dalam keadaan tertentu, syarikat dalam mesyuarat agung, dengan ketiadaan satu lembaga pengarah yang berkesan, mempunyai kuasa terbaki untuk menggunakan kuasa syarikat: Alexander Ward & Co Ltd lwn Samyang Navigation Co Ltd (1975).

FOO TONG ENG LWN PO GUN SUAN (1982)

F adalah seorang pengarah urusan yang memegang majoriti syer dalam syarikat. F meminta supaya mesyuarat agung luar biasa diadakan. Seorang lagi pengarah, P enggan untuk hadir mesyuarat berkenaan dengan memberi alasan kerana ketidakcukupan kuorum. F memohon kepada mahkamah agar mengarahkan P supaya hadir, jika tidak, kehadiran F sahaja sudah boleh disifatkan sebagai mencukupkan kuorum. Beliau memberi alasan bahawa syarikat tidak dapat berfungsi tanpa kehadiran P. Sebaliknya P pula mendakwa bahawa jika dia menghadiri mesyuarat dia akan menanggung mudarat yang tidak dapat dipulihkan lagi. Mahkamah Tinggi Malaya memutuskan bahawa keengganan P untuk menghadiri mesyuarat berkenaan akan melumpuhkan syarikat dan akan membawa syarikat kepada keadaan yang tidak berdaya dan akan mendedahkan syarikat kepada berbagai penalti kerana ketidakpatuhan kepada undang-undang. Permohonan F dibenarkan.

Doktrin ini dipakai untuk memberikuasa kepada prosiding undang-undang untuk melindungi kepentingan syarikat apabila pengarah-pengarah tidak boleh atau tidak melakukannya. Ianya tidak boleh digunakan oleh anggota-anggota dalam mesyuarat agung untuk menolak keputusan pengarah-pengarah untuk memulakan prosiding undang-undang.

LIABILITI SYARIKAT ATAS TINDAKAN LAMPAU KUASA PENGARAH

Syarikat boleh untuk menolak daripada bertanggungjawab ke atas sesuatu kontrak yang dibuat oleh pengarah-pengarah, atas alasan yang berikut:

  • jika kontrak yang dibuat oleh seseorang yang bukan pengarah tetapi bertindak sebagai pengarah.
  • jika kontrak yang dibuat oleh lembaga pengarah yang sama ada bertindak melangkaui keupayaan undang-undang syarikat untuk berkontrak (kontrak ultra vires) atau bertindak dalam keupayaan syarikat tetapi melangkaui kuasa kolektif pengarah-pengarah sebagai sebuah lembaga.
  • jika kontrak yang dibuat oleh individu, biasanya seorang pengarah, dan kontrak itu sama ada adalah ultra vires atau dibuat tanpa kebenaran yang diwakilkan oleh lembaga pengarah kepada individu berkenaan untuk bertindak sebagai ejen syarikat.

PENGARAH-PENGARAH YANG DILANTIK SECARA LUAR ATURAN

Kuasa yang diberikan kepada 'pengarah' oleh Perkara-perkara Persatuan hanya diberikan kepada seseorang yang memang sebenarnya seorang pengarah. Jika pengarah berkenaan tidak dilantik secara yang sepatutnya atau terhenti daripada menjadi pengarah, pengarah berkenaan tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah Perkara-perkara Persatuan. Walau apa pun berlaku kecacatan dalam perlantikan seseorang sebagai pengarah dan dia bertindak sebagai wakil syarikat untuk berkontrak, pihak yang berkontrak masih boleh menguatkuasakan kontrak tersebut, berasaskan dua kaedah.

Pertamanya, pihak yang berurusan dengan syarikat boleh mengandaikan yang 'pengarah berkenaan' telah dilantik sebagai yang sepatutnya walaupun sebenarnya ‘pengarah berkenaan' tidak pernah dilantik .

MAHONY LWN EAST HOLYFORD MINING CO LTD (1875)

W, bersama-sama rakan-rakannya yang lain, menubuhkan sebuah syarikat perlombongan. Sumbangan modal diperolehi daripada pemegang-pemegang syer dan dimasukkan ke dalam bank. Pihak bank menerima suatu notis formal yang ditandatangani oleh 'setiausaha syarikat' yang meminta pihak bank untuk membuat bayaran berasaskan tandatangan-tandatangan mana-mana dua daripada tiga orang pengarah dan ditandatangani semula oleh beliau. Tiga contoh tandatangan dilampirkan bersama-sama dengan notis tersebut. Pihak bank membuat pembayaran cek berdasarkan tandatangan-tandatangan berkenaan. Apabila tabungan syarikat hampir habis dikeluarkan, syarikat diperintahkan supaya digulung. Didapati kemudiannya bahawa tidak ada mesyuarat yang memberikuasa kepada penandatangan-penandatangan tersebut, tidak ada perlantikan mana-mana pengarah atau setiusaha syarikat, tetapi penaja-penaja syarikat telah menganggap diri mereka sebagai pengarah-pengarah dan setiausaha syarikat dan menguntukkan wang yang dipohon beli berkenaan kepada pemegang-pemagang syer. Diputuskan bahawa pelikuidasi tidak boleh mendapatkan balik daripada bank amaun-amaun cek yang telah dibayar secara bona fide itu. Jika orang yang mengeluarkan cek dan pihak yang membenarkan pembayaran bercadang untuk membuka sesuatu akaun, tidak ada bantahan yang boleh dibuat kemudiannya bahawa akaun tidak dinyatakan pada lembaran cek-cek berkenaan.

Keduanya, peruntukan seksyen 127 yang mengesahkan tindakan pengarah walau apapun kecacatan dalam perlantikannya. Seksyen 127 memperuntukkan bahawa:

"...tindakan-tindakan seorang pengarah suatu syarikat adalah sah walau apapun kecacatan yang didapati dalam perlantikan atau kelayakannya"

dengan dua syarat:

tindakan yang dipersoalkan itu dilakukan oleh 'pengarah' berkenaan sebelum kecacatan mengenai perlantikannya ditemui: Harben lwn Phillips (1883).

pihak-pihak yang terlibat bertindak secara suci hati: Channel Collieries Trust Ltd lwn Dover, St Margaret's and Martin Mill Light Railway Co (1914).

RUKUN PENGURUSAN DALAMAN

Orang luar (di luar syarikat) yang berurusan dengan pengarah disifatkan sebagai mengetahui mengenai kehendak atau batasan yang ditetapkan oleh Perkara-perkara Persatuan dan boleh mengandaikan (melainkan jika diketahui / disyaki sebagai sebaliknya) yang peraturan dalaman syarikat telah dipatuhi.

ROYAL BRITISH BANK LWN TURQUAND (1856)

Syarikat mempunyai kuasa untuk meminjam tetapi terhad kepada jumlah yang diberkuasa oleh ketetapan dalam mesyuarat agung. Syarikat meminjam wang. Syarikat mendakwa bahawa ketetapan berkenaan tidak diluluskan secara yang sewajarnya. Mahkamah memutuskan bahawa syarikat terikat kepada peraturan yang diluluskan melalui ketetapan berkenaan. Selepas membaca kandungan suratikatan berkaitan, pihak yang berurusan dengan syarikat nampak bahawa syarikat mempunyai kuasa untuk meminjam dan dia layak untuk masuk campur bahawa bila dilakukannya, semua perkara mengenai pengurusan dalaman telah dipatuhi.

Kaedah dalam kes Turquand di atas tidak terpakai dalam enam hal-keadaan yang berikut:

  • jika orang yang berurusan dengan pengarah mengetahui yang pengarah bertindak tanpa kuasa: Howard lwn Patent Ivory Manufacturing Co (1888).
  • jika orang yang membuat tuntutan kepada syarikat adalah orang dalam syarikat sendiri dan berpeluang untuk mengetahui sama ada kuasa telah diberikan atau tidak kepada pengarah: Morris lwn Kanssen (1946).
  • jika kuasa yang perlu itu hanya wujud melalui ketetapan khas yang diserahkan kepada Pendaftar Syarikat untuk difailkan: Irvine lwn Union Bank of Australia (1877).
  • jika dokumen berkaitan adalah palsu dan boleh menimbulkan syak: Kreditbank Cassel G.m.b.H. lwn Schenkers Ltd (1927).
  • jika wujudnya transaksi luar biasa yang memungkinkan pihak ketiga untuk membuat siasatan mengenai sama ada seseorang pengarah itu mempunyai kuasa atau tidak: Houghton & Co lwn Nothard Lowe & Wills (1927).
  • jika pihak yang berurusan dengan syarikat perlu mengetahui sama ada pada sesuatu tarikh yang releven seseorang pengarah, pengurus atau setiausaha syarikat itu masih memegang jawatan atau tidak dengan melihat kandungan Borang 49 yang diserahkan kepada Pendaftar Syarikat: K.L. Engineering Sdn Bhd & SL lwn Arab Malaysian Finance Berhad (1994).

PRINSIP MENGEMUKAKAN DIRI

'Mengemukakan diri' adalah satu-satunya prinsip yang boleh menjadikan syarikat terikat kepada kontrak yang dibuat oleh seseorang pengarah tanpa kuasa daripada lembaga pengarah. Mengikut prinsip ini, jika prinsipal (yakni syarikat) mengemukakan diri seseorang sebagai ejen yang diberikuasa olehnya, maka syarikat diestop (terhadap seseorang yang bersandarkan kepada representaasi itu) daripada menafikan yang orang berkenaan adalah ejennya yang diberikuasa.

ABC Sdn Bhd mengemukakan bahawa X adalah seorang pengarah yang diberikuasa olehnya. XYZ Sdn Bhd bersandar kepada representasi yang dibuat oleh oleh ABC Sdn Bhd dan membuat kontrak dengannya melalui X. Kemudiannya XYZ Sdn Bhd mengetahui bahawa X sebenarnya tidak mempunyai kuasa. Mengikut prinsip mengemukakan diri, ABC Sdn Bhd tidak boleh kemudiannya menafikan bahawa X adalah orang yang diberikuasa olehnya.

Dalam Freeman & Lockyer lwn Buckhurst Park Properties (Mangal) Ltd (1964), Diplock LJ membentangkan empat syarat yang perlu dipatuhi dalam memakai prinsip mengemukakan diri.Pihak yang menuntut hendaklah menunjukkan yang:

  • suatu representasi telah dibuat kepadanya bahawa ejen berkenaan mempunyai kuasa untuk berkontrak bagi pihak syarikat.
  • representasi itu dibuat oleh seseorang yang mempunyai 'kuasa sebenar' untuk mengurus perniagaan syarikat (lembaga pengarah).
  • dia telah didorong oleh representasi itu untuk membuat kontrak.
  • tidak ada peruntukan dalam Memorandum Persatuan (fasal tujuan-tujuan) atau dalam Perkara-perkara Persatuan (fasal mengenai batasan kuasa lembaga pengarah untuk mewakilkan kuasa) yang akan menghalang syarikat daripada memberikuasa yang sah kepada ejennya untuk berkontrak.

PRINSIP NOTIS KONSTRUKTIF

Mengikut prinsip 'notis konstruktif', seseorang yang berurusan dengan syarikat disifatkan sebagai mengetahui (dan memahami) maklumat-maklumat korporat yang disimpan dalam fail syarikat di Pejabat Pendaftar Syarikat, seperti yang berikut:

  • kandungan Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan;
  • gadaian yang didaftarkan;
  • ketetapan-ketetapan khas dan luar biasa syarikat; dan
  • butir-butir mengenai pengarah, pengurus dan setiausaha syarikat seperti yang terkandung dalam Borang 49

dalam fail syarikat di Pejabat Pendaftar Syarikat.

K.L. ENGINEERING SDN BHD & YL LWN ARAB MALAYSIAN FINANCE BERHAD (1994)

AMFB, sebuah syarikat kewangan berlesen mendakwa KLE, sebuah syarikat penyewa peralatan di bawah satu perjanjian sewa beli yang dikatakan telah ditandatangani oleh X dan Y. Kedua-dua mereka, X dan Y telah menyempurnakan satu surat jaminan bagi pihak KLE. Apabila KLE memungkiri bayaran bulanan dan gagal memulangkan peralatan itu, AMFB memulakan tindakan undang-undang terhadap KLE, dan X dan Y sebagai penjamin bagi pihak KLE. Ketiga-tiga perayu KLE, X dan Y berhujah bahawa X tidak mempunyai kuasa untuk menyempurnakan perjanjian sewa beli bagi pihak KLE. Berdasarkan Borang 49 (27.9.1980) X pernah menjadi pengarah. Tetapi sebaliknya dalam Borang 49 (24.3.1986) tercatat bahawa X telah bersara pada mesyuarat agung tahunan yang diadakan pada 1982. Mahkamah Agung memutuskan bahawa, antara lainnya:

  • Doktrin notis konstruktif Common Law terpakai kepada Borang 49. Borang 49 adalah dokumen awam yang mengandungi butiran pengarah, pengurus dan setiausaha yang merupakan akal dan kemahuan sesebuah syarikat. Ia adalah satu dokumen yang mempunyai kesan terhadap kuasa-kuasa syarikat dan ejen-ejennya.
  • Kerana Borang 49 adalah dokumen awam yang doktrin notis konstruktif adalah terpakai, AMFB mesti dianggap mengetahui bahawa pada masa material X bukanlah pengarah KLE dan dengan itu, tiada kuasa untuk menandatangani perjanjian sewa beli bagi pihak KLE.