ke laman utama syarikat.com
 
 
Undang-undang yang berkaitan dengan kewajipan pengarah syarikat merupakan sulaman di antara peruntukan Akta dan keputusan mahkamah tempatan dengan keputusan mahkamah Inggeris dalam bentuk Common Law dan undang-undang ekuiti. Seksyen 132 (5) dengan jelas sekali memperuntukkan bahawa undang-undang kewajipan pengarah (seperti mana yang digariskan dalam subseksyen (1) bahawa "pengarah-pengarah hendaklah bertindak dengan jujur dan menggunakan usaha yang munasabah pada bila-bila masa dalam menjalankan kewajipan jawatannya") adalah merupakan sebagai tambahan kepada dan bukannya untuk mengurangkan mana-mana kaedah undang-undang atau undang-undang bertulis yang lain.

Ungkapan 'bertindak dengan jujur' menunjukkan bahawa pengarah mempunyai kewajipan fidusiari kepada syarikat. Perkataan 'menggunakan usaha yang munasabah' pula mewujudkan 'kewajipan berjaga-jaga dan menggunakan kemahiran' kepada syarikat. 'Bertindak dengan jujur' merujuk kepada kewajipan pengarah untuk bertindak bona fide bagi manfaat syarikat keseluruhannya. Ukuran mengenai sejauh mana sesuatu tindakan itu adalah untuk manfaat syarikat keseluruhannya atau tidak adalah terpulang kepada budi bicara pengarah. Pengarah yang menentukan kriteria sesuatu tindakan yang boleh dianggap sebagai memanfaatkan syarikat. Apa yang penting ialah kepentingan syarikat hendaklah diutamakan dan mengatasi semua kepentingan lain.

KEWAJIPAN FIDUSIARI

Pada amnya pengarah adalah ejen dan pemegang amanah kepada syarikatnya. Sebagai ejen kepada syarikat, pengarah mempunyai hubungan fidusiari dengan syarikatnya dan dengan itu mempunyai kewajipan fidusiari kepada syarikat. Apakah yang dimaksudkan dengan kewajipan fdusiari? Kewajipan fidusiari boleh difahami melalui misalan yang berikut:

Andaikan A adalah seorang pengarah dalam syarikat B. Jadi, A terikat di sisi undang-undang untuk menggunakan hak dan kuasa yang ada padanya atau yang diberi oleh B kepadanya dengan ikhlas dan suci hati bagi manfaat B. Dengan itu A mempunyai kewajipan fidusiari kepada B.

Pada amnya pengarah adalah ejen dan pemegang amanah kepada syarikatnya. Pengarah secara bersesama dalam lembaga pengarah menguasai urusan syarikat, menggerakkannya dan menentukan tuju arah syarikat. Kelangsungan sesebuah syarikat terletak kepada lembaga pengarahnya.

Ciri-ciri Manfaat Syarikat Keseluruhannya

Pengarah-pengarah hendaklah bertindak untuk kepentingan syarikat keseluruhannya. Terdapat sepuluh ciri tindakan yang menjadi kayu ukur dalam menilai sama ada sesuatu tindakan pengarah itu adalah tindakan untuk kepentingan syarikat keseluruhannya atau tidak. Pertama, semasa syarikat masih lagi solven, kepentingan syarikat keseluruhannya adalah merupakan kepentingan pemegang syer secara keseluruhannya. Kedua, pengarah hendaklah bertindak untuk kepentingan keseluruhan pemegang syer, dan tidak boleh bertindak untuk kepentingan pemegang syer secara individu atau kumpulan pemegang syer tertentu sahaja. Ketiga, kepentingan syarikat keseluruhannya tidak meliputi kepentingan pekerja

PARKE LWN DAILY NEWS (1962)

Pengarah-pengarah bercadang untuk mengagihkan hasil jualan akhbar syarikat kepada pekerja-pekerjanya yang terpaksa diberhentikan kerana syarikat dalam proses penggulungan. Diputuskan bahawa keputusan lembaga pengarah itu adalah tak sah kerana ianya dibuat bukan untuk kepentingan syarikat. Begitu juga cadangan lembaga pengarah itu tidak boleh diratifikasikan oleh majoriti pemegang-pemegang syer.

Keempat, jika syarikat masih aktif berniaga, kepentingan syarikat keseluruhannya meliputi juga kepentingan pekerja. Dalam Hampson lwn Prince's Patent Candle Co (1876) misalnya, keputusan lembaga pengarah untuk membayar bonus seminggu gaji kepada pekerja telah dianggap oleh mahkamah sebagai tindakan untuk manfaat syarikat keseluruhannya. Kelima, semasa syarikat masih solven kepentingan pemiutang tidak tergolong sebagai kepentingan syarikat keseluruhannya Keenam, pengarah yang bertindak dalam syarikat yang masih solven tidak perlu memikirkan kepentingan pemiutang. Ketujuh, jika syarikat di ambang pembubaran kepentingan pemiutang harus juga dianggap sebagai termasuk dalam kepentingan syarikat keseluruhannya

WALKER LWN WIMBORNE (1975)

Pelikuidasi syarikat ('"Asiatic") mendakwa pengarah-pengarah syarikat atas tindakan misfeasans (di bawah seksyen yang sama dengan seksyen 305 Akta Syarikat 1965). Pengarah-pengarah mentadbir syarikat Asiatic dan syarikat-syarikat lainnya yang mereka juga menjadi pengarah, sebagai satu 'kumpulan’ (tidak ada bukti yang syarikat-syarikat berkenaan adalah berkaitan antara satu sama lain). Mereka telah menyebabkan Asiatic membayar sejumlah wang kepada Australian Sound (sebuah syarikat lain dalam kumpulan itu), atas alasan bahawa Australian Sound memerlukannya. Bantuan kewangan itu tidak bercagar, tanpa faedah, dan tidak diikat untuk dibayar balik. Pengarah-pengarah juga telah menggunakan dana Asiatic untuk membayar kepada pekerja-pekerja syarikat kumpulan berkenaan. Mahkamah memutuskan bahawa bayaran itu dibuat dengan memungkiri kewajipan pengarah-pengarah. Adalah menjadi kewajipan pengarah-pengarah Asiatic untuk menjaga kepentingan Asiatic semata-mata dalam membuat keputusan sama ada bayaran perlu dibuat kepada syarikat-syarikat lain.

Kelapan, pengarah-pengarah hendaklah memberikan taat-setia yang tidak berbelah bagi kepada syrikatnya sendiri sahaja walaupun syarikatnya itu merupakan sebahagian daripada anggota dalam kumpulan syarikat-syarikat tertentu. Kesembilan, pada amnya pengarah-pengarah tidak boleh bertindak menyebelahi kumpulan pemegang syer tertentu kerana tindakan sedemikian tidak dianggap sebagai untuk kepentingan syarikat keseluruhannya. Dalam Mill lwn Mills (1937), tindakan wajar oleh pengarah bagi menangani konflik di antara kumpulan-kumpulan pemegang syer bukanlah dengan cara menyebelahi mana-mana kumpulan tetapi hendaklah dengan mempertimbangkan langkah-langkah yang adil kepada mereka. Kesepuluh, pengarah boleh melaksanakan kuasa yang diberikan oleh seksyen 19 berkaitan dengan sumbangan patriotik, kebajikan dan bantuan peperangan kepada negara

Konsep kepentingan syarikat keseluruhannya juga secara tidak langsung diperkenalkan oleh seksyen 19, yang antara lainnya memperuntukkan bahawa syarikat mempunyai kuasa untuk:

  • memberi sumbangan bagi tujuan patriotik dan kebajikan, dan
  • menjalankan apa-apa perniagaan yang sah bagi membantu Malaysia dalam masa peperangan atau permusuhan yang melibatkan Malaysia.

Secara tersiratnya, kepentingan syarikat keseluruhannya juga meliputi kepentingan awam dan negara. Pengarah diharapkan oleh undang-undang untuk bertindak bagi kepentingan awam dan negara kerana kepentingan awam dan negara itu adalah untuk manfaat syarikat keseluruhannya juga.

Pengarah tidak boleh mendapatkan kekayaaan daripada kedudukannya sebagai pengarah. Pengarah tidak boleh mendapatkan kekayaan untuk dirinya dalam kedudukan sebagai seorang fidusiari kepada syarikat. Sekurang-kurangnya terdapat empat ciri kewajipan pengarah yang berhubungkait dengan tindakan pengarah membuat kekayaan dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah. Pertama, seseorang pengarah tidak boleh menerima komisyen daripada pihak ketiga dalam urusan pihak ketiga berkenaan dengan syarikat. Sebarang manfaat kewangan yang diterima daripada urusan berkenaan perlu diserahkan kepada syarikat walaupun perbuatan pengarah itu tidak memudaratkan syarikat.

Andaikan A adalah seorang pengarah dalam syarikat B. A telah menguruskan pinjaman bank bagi pihak syarikat B. Pihak bank telah memberikan kepada A komisyen. A diwajibkan untuk menyerahkan komisyen itu kepada A, tanpa mengiran niat baik atau buruk daripada perbuatan A itu.

Kedua, seseorang pengarah tidak boleh menggunakan secara tak wajar maklumat syarikat yang diperolehi dalam kedudukannya sebagai pengarah untuk kepentingan dirinya, orang lain atau yang memudaratkan syarikat. Seksyen 132 (2) antara lainnya memperuntukkan bahawa pengarah hendaklah:

"...jangan menggunakan secara tak wajar apa-apa maklumat yang diperoleh melalui kedudukannya sebagai pegawai atau ejen syarikat itu untuk mendapatkan, dengan secara langsung atau tak langsung, manfaat untuk dirinya atau untuk mana-mana orang lain atau untuk membawa kemudaratan kepada syarikat itu..."

Seseorang pengarah yang melanggar larangan itu boleh dipertanggungkan untuk memulangkan keuntungan yang diperolehi itu kepada syarikat atas apa-apa kemudaratan yang dialami oleh syarikat, dan jika sabit kesalahan boleh juga didenda RM 30,000.00 atau dipenjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali. Ketiga, seseorang pengarah tidak boleh memanfaatkan maklumat mengenai harga saham untuk mengkayakan dirinya. Peruntukan mengenainya terdapat dalam seksyen 132A, 132B, 132C dan 132D. Keempat, seseorang pengarah tidak boleh mengkayakan diri secara yang tak wajar. Dalam kes Regal Hastings lwn Gulliver (1942), House of Lord membuat rumusan bahawa, jika seseorang pengarah itu dibayar apa-apa komisyen atau mendapat apa-apa faedah kewangan 'oleh sebab' atau 'melalui' kedudukannya sebagai pengarah syarikat maka pengarah berkenaan telah melanggar kewajipan fidusiarinya kepada syarikat dan bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat kekayaan yang didapatinya itu. Lord Hussel 0f Killowen menyebut:

"Rukun ekuiti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kedudukan fidusiari mereka untuk membuat keuntungan, adalah bertanggungan untuk menyerahkan keuntungan itu, tidak sekali-kali bergantung kepada fraud atau ketiadaan bona fide, atau atas persoalan sedemikian atau pertimbangan atas sama ada keuntungan boleh atau sepatutnya sebaliknya diperolehi oleh syarikat, atau sama ada pembuat keuntungan itu adalah berkewajipan untuk mendapatkan sumber keuntungan itu untuk syarikat, atau sama ada dia mengambil risiko atau bertindak sebagaimana yang dilakukannya itu untuk kepentingan syarikat, atau sama ada syarikat telah sebenarnya rugi atau mendapat faedah daripada tindakannya itu. Liabiliti timbul hanya daripada keuntungan yang, dalam hal-keadaan yang tersebut, telah dilakukan. Pembuat keuntungan, bagaimana jujur dan berniat apa sekalipun, tidak boleh melepaskan diri daripada risiko untuk dipertanggungjawabkan kepada syarikat."

Jika dapat dibuktikan bahawa kekayaan atau keuntungan itu didapati oleh sebab dan kedudukannya sebagai pengarah, maka pengarah yang terlibat adalah bertanggungan, tanpa mengira niat baik atau buruk di pihak pengarah: Phipps lwn Boardman (1967).

REGAL (HASTINGS) LTD LWN GULLIVER (1942)

Sebuah syarikat, X yang memiliki sebuah panggung wayang, membentuk sebuah anak syarikat untuk membeli dua buah lagi panggung wayang dengan maksud untuk menjual ketiga-tiganya sekali gus. Pengarah-pengarah memohon beli syer-syer dalam anak syarikat berkenaan dan oleh itu mendapat faedah apabila anak syarikat itu dijual dengan memperoleh keuntungan. Diputuskan bahawa pengarah-pengarah telah menggunakan maklumat dan kesempatan yang diperolehinya sebagai pengarah syarikat X untuk memperoleh syer-syer tersebut dan tanpa membuat pendedahan secara yang sewajarnya, adalah bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat X atas keuntungan yang diperolehi oleh mereka.

INDUSTRIAL DEVELOPMENT CONSULTANTS LWN COOLEY (1972)

Syarikat P adalah sebuah syarikat kejuruteraan. Syarikat P mengambil X sebagai pengarah urusan. X mempunyai hubungan dengan industri gas dan telah diambil bekerja untuk memasuki pasaran berkaitan. X membuat perundingan dengan EGB. EGB tidak menggemari penubuhan syarikat P dan tidak bercadang untuk berurusan dengan syarikat P. Walau bagaimanapun EGB kemudiannya telah menawarkan kontrak yang sama dengan yang sedang dirundingkan dengan syarikat P kepada X. Kemudiannya X meletakkan jawatan daripada syarikat P atas alasan kesihatan dan enam hari kemudiannya menandatangani suatu kontrak dengan EGB sebagai pengurus projek. Diputuskan bahawa X bertanggungan untuk membayar kepada syarikat P atas faedah yang diterimanya atau yang akan diterimanya di bawah kontrak berkenaan walaupun syarikat P tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan kontak tersebut. Maklumat telah sampai ke pengetahuan X sebagai pengarah urusan syarikat P yang berkaitan dengan syarikat dan adalah menjadi kewajipan kepada X untuk menyampaikan maklumat itu kepada syarikat P. Mahkamah memberi komentar bahawa adalah kelihatan bahawa syarikat P sepatutnya mendapat faedah yang mereka tidak mempunyai peluang untuk memperolehnya jika X mematuhi kewajipannya kepada mereka tetapi jika X telah tidak dipertanggungjawabkan untuk membayar kepada syarikat P, dia akan membuat keuntungan yang lebih besar akibat daripada meletakkannya dalam kedudukan yang mana kewajipannya sebagai pengarah bertentangan dengan kepentingan persendiriannya.

CANADA AERO SERVICE LTD LWN O'MALLEY (1973)

O adalah seorang pegawai kanan syarikat Y. Syarikat Y berminat untuk mendapatkan kontrak tertentu daripada satu projek. Perundingan bagi pihak syarikat Y pada mulanya dibuat oleh O. Dia meletakkan jawatan daripada syarikat Y dan menubuhkan syarikatnya sendiri, iaitu syarikat X semasa perundingan sedang dijalankan. Kemudiannya syarikat X memperoleh kontrak tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa O berkewajipan untuk membayar ganti rugi kepada syarikat Y atas alasan bahawa O telah memungkiri kewajipan fidusiarinya kepada syarikat Y dengan membenarkan wujudnya pertentangan kepentingan. Dia sepatutnya berobligasi utnuk mendapatkan kontrak berkenaan bagi pihak syarikat Y dan bukannya mendapatkan kontrak tersebut untuk dirinya melalui syarikat yang dibentuknya semasa dia menjadi pegawai syarikat Y. Fakta bahawa dia telah meletakkan jawatan semasa kontrak itu diberikan kepada syarikat X adalah tak releven kerana perletakan jawatannya itu dibuat sebegitu rupa atau dipengaruhi oleh hasratnya untuk mengambil kontrak berkenaan.

AVEL CONSULTANTS SDN BHD LWN MOHD ZAIN YUSOFF (1985)

Sebuah syarikat, X yang telah menjalankan perniagaan sebagai perunding dan penasihat dalam kerja kejuruteraan telah berkontrak dengan syarikat Y. Kemudiannya tiga orang pengarah syarikat itu telah menubuhkan syarikat lain, iaitu syarikat Z dengan menjalankan perniagaan yang sama, dan telah mencuri pelanggan syarikat X. Mereka juga telah mengambil langkah serong sehingga kontrak di antara syarikat X dengan syarikat Y terpaksa ditamatkan. Kemudian mereka sendiri pula yang berkontrak dengan syarikat X dan memperoleh keuntungan yang lumayan. Diputuskan bahawa mereka adalah pemegang amanah untuk syarikat X bagi kesemua fee perundingan yang diperolehi oleh mereka hasil daripada kontrak tersebut.

Apakah seseorang pengarah secara mutlaknya tidak boleh memanfaatkan kesempatan yang ada semasa memegang jawatan dalam sesebuah syarikat untuk kepentingan dirinya? Dalam kes Regal Hastings lwn Gulliver (1942), terdapat satu dikta oleh Lord Wright yang antara lainnya menyebutkan bahawa:

"...bagaimanapun, adalah tidak benar bahawa seseorang itu adalah secara mutlaknya dihalang (untuk mengambil kesempatan membuat keuntungan untuk dirinya - p), kerana dia boleh dengan mendapatkan persetujuan pemegang-pemegang syer akan memastikan kebebasannya untuk membuat keuntungan untuk dirinya. Dengan tidak berbuat demikian, satu-satunya jalan yang terbuka kepadanya ialah dengan membiarkan kesempatan itu berlalu..."

Jika pengarah mendedahkan urusan mereka kepada mesyuarat agung dan ahli-ahli mesyuarat itu memberi keizinan dengan mengesahkan tindakannya, pengarah berkenaan akan terlepas daripada apa-apa pertanggungjawaban. Seseorang pengarah boleh mengambil kesempatan yang ada semasa dia memegang jawatan pengarah dalam sesebuah syarikat jika penglibatannya itu didedahkan secara yang sewajarnya kepada mesyuarat agung terlebih dahulu.

Dalam kes New Zealand Netherlands Society 'Oranje' Incorporated lwn Kuys & YL (1973), Majlis Privy memutuskan bahawa sesebuah syarikat boleh, melalui perjanjian, membebaskan seseorang daripada kewajipan fidusiarinya. Perjanjian di antara syarikat dengan seseorang pengarah untuk membebaskan pengarah berkenaan daripada kewajipan fidusiari adalah sah dan munasabah.

Pengarah tidak boleh menempatkan kepentingan dirinya secara yang bertentangan dengan kepentingan syarikat. Pengarah tidak boleh meletakkan dirinya dalam kedudukan pertentangan kepentingan, di mana kepentingannya sendiri bertentangan dengan kepentingan syarikat. Ini kerana keadaan pertentangan kepentingan sebegitu sudah pasti akan diambil kesempatan oleh pengarah untuk mengutamakan kepentinganya dan membelakangkan kepentingan syarikat.

Pada amnya kontrak di antara syarikat dengan pengarah boleh batal di atas opsyen syarikat itu, jika pengarah mendedahkan sepenuhnya kepentingan dalam kontrak itu: Aberdeen Railway Co lwn Blaikie Brothers (1843-60). Ini kerana kontrak seperti itu akan meletakkan pengarah dalam kedudukan kepentingannya sendiri dan tanggungjawabnya terhadap syarikat akan bertentangan. Walau bagaimanapun, seksyen 131 (1) mengesahkan kontrak yang tersebut jika pengarah yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tak langsung dalam kontrak itu mendedahkannya kepada lembaga pengarah dan pengarah berkenaan tidak mengambil bahagian dalam membuat keputusan mengenai kontrak itu dan terlepas daripada menanggung apa-apa liabiliti [Lihat juga perkara 81, Jadual A, Jadual Ke-4 yang memperuntukkan supaya pengarah tidak mengundi dalam keputusan yang berkaitan dengan kontrak yang tersebut di atas]. Walaupun begitu, jika pengarah tidak menyedari mengenai wujudnya kepentingannya dalam sesuatu kontrak, kegagalannya untuk mendedahkannya kepada lembaga pengarah tidaklah menjadi satu kesalahan: Lim Foo Yong lwn PP (1976).

Seseorang pengarah tidak boleh bertanding dengan syarikatnya atau menjadi pengarah syarikat lain yang bermusuhan dengan syarikatnya jika dia mengutamakan salah satu daripada syarikat tersebut. Jika tindakan pengarah dalam kedua-dua syarikat tidak berbelah bahagi, maka pengarah dibenarkan untuk bertanding dengan syarikatnya ataupun menjadi pengarah kepada syarikat yang lain: Bell lwn Lever Brothers (1932).

Seseorang pengarah proksi bertanggungjawab terhadap syarikatnya dan bukannya kepada orang yang melantiknya: Scottish Co-operative Wholesale Society lwn Meyer (1959).

Jika A dilantik oleh syarikat X menjadi pengarah anak syarikatnya, Y maka berkemungkinan A akan berada dalam kedudukan yang berbelah bahagi di antara syarikat X dan Y. Dalam keadaan itu A hendaklah bertindak untuk kepentingan syarikat Y dan bukannya kepada syarikat X yang melantiknya walaupun syarikat X adalah syarikat induk kepada syarikat Y.

Pengarah hendaklah bertindak secara wajar dan untuk tujuan yang dibenarkan sahaja. Seseorang pengarah tidak boleh menguntukkan aset syarikat secara yang tidak sepatutnya. Pengarah yang menyalahgunakan aset syarikat adalah melakukan satu pecah amanah: Belmount Finance Corporation Ltd lwn Williams Furniture Ltd (1980); dan boleh disabitkan dengan jenayah pecah amanah walaupun pengarah itu sendiri tindak mendapat apa-apa manfaat daripada tindakannya itu: PP lwn Tan Kok Liang (1986).

Pengarah perlu menggunakan kuasa yang diletakhakan kepadanya untuk maksud atau tujuan yang dibenarkan sahaja. Sebagai ejen fidusiari kepada syarikat, kuasa yang ada padanya tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadinya atau untuk tujuan yang tidak kena-mengena dengan kuasa yang diberikan itu. Dalam menentukan apakah maksud atau tujuan yang wajar itu, dua perkara perlu ditentukan:

  • tujuan kuasa itu sendiri, dan
  • tujuan substansial kuasa tersebut dilaksanakan.

HOWARD SMITH LTD LWN AMPOL PETROLEUM LTD (1974)

Syarikat HS dan AP cuba untuk menguasai syarikat M. Pengarah-pengarah syarikat M mempertimbangkan bahawa adalah memanfaatkan syarikatnya jika diambilalih oleh syarikat HS. Malangnya bida pengambilalihan tidak mungkin berjaya kerana syarikat AP menguasai syer yang mencukupi dalam syarikat M untuk menghalang bida berkenaan. Dengan demikian, pengarah-pengarah syarikat M menerbitkan syer-syer baru kepada syarikat HS, sehinggakan mengurangkan peratus pemegangan syer oleh syarikat AP ke tahap yang ia tidak boleh lagi menghalang bida pengambilalihan berkenaan. Pengarah-pengarah syarikat M mempunyai kuasa untuk menerbitkan syer. Syarikat M memerlukan wang. Walau bagaimanapun jelas bahawa penerbitan syer itu bukan untuk mendapatkan wang tetapi untuk menggagalkan syarikat AP daripada menghalang bida pengambilalihan oleh syarikat HS. Pada pandangan pengarah-pengarah syarikat M mereka bertindak secara jujur untuk kepentingan syarikat mereka dengan membantu menjayakan syarikat HS dalam bida pengambilalihan itu. Majlis Privy memutuskan bahawa mereka telah menyealahgunakan kuasa mereka dan mengtaksahkan penerbitan syer berkenaan. Kuasa berkenaan walaupun digunakan secara yang sah daripada segi formalitinya tetapi telah digunakan secara yang tidak untuk tujuan yang dibenarkan. Tujuan sebenar kuasa menerbitkan syer adalah untuk mengumpul wang sebagai modal syarikat dan bukannya digunakan untuk menggagalkan sesuatu pengambilalihan. Tindakan pengarah-pengarah syarikat M adalah merupakan suatu penyalahgunaan kuasa walaupun untuk tujuan kebaikan dan tiidak memberi keuntungan persendirian kepada mereka dalam kedudukan mereka sebagai pengarah.

KEWAJIPAN MENGGUNA USAHA YANG MUNASABAH

Maksud ungkapan "menggunakan usaha yang munasabah" dalam seksyen 132 (1) membawa erti bahawa pengarah berkewajipan kepada syarikat untuk -

  • menggunakan kemahiran,
  • prihatin dan berjaga-jaga, dan
  • berusaha

dalam menjalankan kewajipan jawatannya sebagai pengarah syarikat.

Kewajipan Menggunakan Kemahiran

Seseorang pengarah tidak perlu mempunyai apa-apa kemahiran untuk menjawat jawatan pengarah dan ketidakmahiran bukanlah satu kemungkiran kewajipan kepada syarikat. Hakim Romer dalam kes Re City Equitable Fire Insurance (1925) berhujah sebagai berikut:

"Seseorang pengarah tidak perlu menunjukkan satu darjah kepandaian yang lebih tinggi daripada seorang yang mempunyai kepandaian dan pengalamannya."

Baik Akta mahupun Common Law tidak mensyaratkan supaya seseorang pengarah itu perlu mempunyai kelayakan minimum tertentu sebelum boleh dilantik menjadi pengarah: Re Brazilian Rubber Plantations and Estates Ltd (1911). Asalkan pengarah bertindak dengan jujur dan dalam lingkungan kuasa yang diberikan kepada mereka, mereka tidak bertanggungan kepada apa-apa kesilapan pertimbangan. Biarpun pengarah bertindak secara yang tidak bijaksana, ianya bukanlah satu kemungkiran kewajipan, cuma syarikatlah yang tidak bernasib baik kerana memilih mereka sebagai pengarah: Turquand lwn Marshall (1869). Walau bagaimanapun, jika seseorang pengarah itu dilantik kerana mempunyai kepakaran tertentu, maka pengarah berkenaan perlu menunjukkan kepakarannya.

Seseorang pengarah tidaklah diharapkan oleh undang-undang menunjukkan kepandaian yang melebihi daripada tahap profesion dan latar belakang pendidikannya. Jika seorang pengarah itu adalah seorang akauntan, pastinya dia perlu menunjukkan kepandaiannya selayak kepandaian seorang akauntan. Begitu jugalah seorang petani yang menjadi pengarah, hanya perlu menunjukkan kepandaian yang setaraf dengan seorang petani. Undang-undang tidak mengharapkan agar seorang petani menunjukkkan kepandaian dalam selok-belok kewangan setaraf dengan seorang akauntan; begitu juga seorang akauntan tidak perlu menunjukkan kepandaian dalam selok-belok pertanian seperti seorang petani, walaupun kedua-dua mereka mempunyai status yang sama, sebagai pengarah!

Kewajipan Prihatin Dan Berjaga-jaga

Seseorang pengarah hanya perlu menunjukkan darjah berjaga-jaga yang lebih tinggi daripada yang wajar daripada seseorang yang mempunyai kelayakan dan pengalamannya. Pengarah tidak bertanggungan ke atas sebarang kerugian akibat daripada kesilapan dalam memberi pertimbangan: Re Brazilian Rubber Plantations and Estates Ltd (1911).

Seseorang pengarah hendaklah berusaha untuk mengetahui mengenai hak dan obligasinya di bawah Perkara-perkara Persatuan dan undang-undang, dan mendapatkan nasihat undang-undang apabila timbul keraguan mengenainya: Re Duomatic Ltd (1969). Seseorang pengarah tidak patut menerima jawatan pengarah dan emolumen sebagai ganjarannya jika dia tidak mengetahui mengenai peruntukan Akta atau Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan syarikat: Re John Fulton & Co Ltd (1932).

Seseorang pengarah hendaklah membuat siasatan yang munasabah apabila diminta untuk membuatnya daripada wang syarikat:

  • seseorang pengarah yang mencadangkan bayaran tertentu daripada wang syarikat dan menandatangani cek tanpa mengetahui dengan sebenarnya untuk tujuan apa bayaran itu dibuat tanpa membuat penyiasatan yang wajar bagi seseorang yang berada dalam kedudukannya perlu lakukan, maka pengarah berkenaan dianggap sebagai lalai dalam menjalankan kewajipannya: Re Railway & General Light Improvement Co; kes Marzetti (1880).
  • seseorang pengarah yang tidak mengambil tahu sesuatu mengenai cek yang ditandatanganinya itu, akan bertanggungjawab jika berlaku sesuatu yang tak kena: Joint Stock Discount Co lwn Brown (1869).
  • seseorang pengarah tidak bertanggungan ke atas sesuatu cek yang dibelanjakan untuk tujuan yang tidak wajar, sekiranya semasa cek itu ditandatangani dia mendapat tahu yang ianya akan digunakan untuk tujuan yang sah: Re City Equitable Fire Insurance Co Ltd (1925).
  • seseorang pengarah tidak perlu meyakini bahawa sesuatu cek yang ditandatanganinya itu telah diberikuasa oleh ketetapan lembaga pengarah: Re City Equitable Fire Insurance Co Ltd (1925).

Pengarah-pengarah boleh mewakilkan kuasa mereka dan menaruh kepercayaan kepada orang yang mereka wakilkan itu, kecuali terdapat hal-keadaan yang munasabah untuk mereka menaruh syak:

  • seseorang pengarah perlu menaruh kepercayaan kepada pegawai-pegawai syarikat untuk menjalankan kewajipan dengan jujur dan wajar yang telah diwakilkan oleh mereka: Re City Equitable Fire Insurance Co Ltd (1925).
  • seseorang pengarah juga perlu menaruh kepercayaan yang sama kepada pengarah-pengarah lain dalam menjalankan fungsi mereka masing-masing dengan baik: Huckerby lwn Elliot (1970).
  • seseorang pengarah tidak dianggap cuai hanya kerana seseorang yang diberi kepercayaan telah bertukar sikap menjadi tidak amanah: Land Credit Company of Ireland lwn Lord Fermoy (1870).

Kewajipan Untuk Berusaha

Seksyen 132 (1) memperuntukkan bahawa seseorang pengarah hendaklah menggunakan "usaha yang munasabah" dalam menjalankan kewajipan jawatannya. Darjah kewajipan itu perlulah munasabah mengikut hal-keadaan dan tidak lebih daripada itu: Byrne lwn Baker (1964).

Seseorang pengarah tidak perlu memberikan perhatian sepenuhnya kepada hal-ehwal syarikat. Kewajipannya adalah sela-menyela dan bergantung kepada keperluan dan hal-keadaan tertentu: Re City Equitable Fire Insurance Co Ltd (1925). Seseorang pengarah misalnya, tidak perlu menghadiri semua mesyuarat lembaga pengarah: Re Forest of Dean Coal Mining Co (1879). Bagi pengarah eksekutif yang dibayar untuk mengurus secara sepenuh masa, perlu menghadiri mesyuarat dengan lebih kerap: Prefontaine lwn Grenier (1907).

Seseorang pengarah pada amnya tidak bertanggungjawab ke atas tindakan atau peninggalan rakan pengarahnya yang lain, jika dia tidak hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah yang berkaitan. Seseorang pengarah tidak bertanggungan terhadap sesuatu perkara yang berlaku semasa dia tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan, misalnya -

  • hutang yang dibuat semasa ketiadaannya: Ramskill lwn Edwards (1885).
  • fraud yang dilakukan oleh rakan pengarahnya: Cargill lwn Bower (1878).
  • dia tidak berobligasi untuk menyelia hal-ehwal syarikat atau tingkahlaku rakan pengarahnya, kecuali jika dia memberikuasa supaya tindakan itu dibuat, maka dia boleh bertanggungan: Walker lwn Wimbourne (1975).

Seseorang pengarah yang memungkiri kewajipan untuk mengguna kemahiran, berjaga-jaga dan menggunakan usaha yang munasabah boleh didakwa oleh syarikat atas kerugian yang dialaminya. Seksyen 132 (3) dengan jelas memperuntukkan bahawa seseorang pengarah adalah bertanggungan atas apa-apa kerugian yang ditanggung oleh syarikat akibat daripada kemungkiran kewajipan pengarah untuk 'bertindak secara yang munasabah'. memandangkan kewajipan itu ditanggung kepada syarikat, maka anggota-anggota syarikat tidak boleh mendakwa untuk menguatkuasakannya: Pavlides lwn Jensen (1956).