ke laman utama syarikat.com
 
 
Selain daripada terpaksa memikul beberapa tanggungjawab umum yang luas, pengarah-pengarah juga tertakluk kepada liabiliti khusus yang ditetapkan oleh Akta. Sebahagian daripadanya berbentuk penalti. Seseorang pengarah atau pengarah-pengarah yang gagal mematuhi obligasi yang ditetapkan akan bertanggungan kepada penalti yang ditetapkan. Terdapat juga peruntukan dalam Akta yang pergi lebih jauh daripada itu dengan mengenakan liabiliti sendiri kepada seseorang pengarah secara individu yang gagal mematuhi sesuatu obliogasi yang lebih serius.

LIABILITI SENDIRI

Pada amnya pengarah tidak menanggung apa-apa laibiliti sendiri ke atas hutang yang dibuat oleh syarikat tetapi sebaliknya menanggung liabiliti sendiri ke atas tuntutan pihak ketiga di luar syarikat, sama ada daripada segi kontrak, tort atau secara statutori.

Liabiliti sendiri bermaksud pengarah yang bersalah bertanggungan sendiri, atas keupayaannya sendiri. Mengikut prinsip 'entiti undang-undang yang berasingan', kesalahan yang dilakukan oleh pengarah sebagai ejen kepada syarikat ditanggung oleh syarikat. Walaupun begitu, beberapa tindakan tertentu oleh seseorang pengarah adalah dikecualikan daripada prinsip tersebut, dan pengarah yang terlibat akan bertanggungan secara sendiri. Kontrak bermaksud suatu perjanjian di antara dua pihak berasaskan kepada tawaran oleh satu pihak dan penerimaan oleh pihak yang satu lagi, dengan kedua-dua pihak memberikan balasan dan bermaksud untuk mewujudkan perhubungan undang-undang. Liabiliti kontraktual ditanggung menurut perhubungan kontraktual yang wujud di antara pihak-pihak yang mewujudkan perhubungan kontraktual berkenaan.

Tort adalah satu kesalahan sivil yang apabila dilakukan menyebabkan orang yang melakukannya bertanggungan kepada orang yang diperlakukan. Liabiliti dalam tort ditanggung menurut undang-undang dan bukannya mengikut apa-apa perhubungan kontraktual yang wujud antara pihak-pihak yang terlibat. Statutori bermaksud sesuatu yang ditetapkan oleh statut. Liabiliti statutori ditanggung oleh seseorang yang melanggar atau tidak mematuhi peruntukan statut atau Akta.

Liabiliti Kontraktual

Seseorang pengarah akan menanggung liabiliti sendiri dalam kontrak syarikat apabila dia menerima liabiliti sendiri sama ada secara zahir atau tersirat.

Liabiliti zahir dan tersirat

Secara zahirnya seseorang pengarah menanggung liabiliti sendiri jika dia menjamin pelaksanaan sesuatu kontrak. Secara tersirat pula seseorang pengarah akan menanggung liabiliti sendiri jika dia menandatangani sesuatu kontrak bagi pihak syarikatnya tanpa membuat representasi nama syarikat dengan sempurna. Ini kerana menurut prinsip agensi, seseorng ejen akan menanggung liabiliti sendiri jika dia berkontrak bagi pihak prinsipalnya tanpa mendedahkan yang dia bertindak sebagai ejen kepada prinsipalnya.

Seksyen 121 (2)(c) antara lainnya memperuntukkan bahawa jika pegawai syarikat (termasuk pengarah) atau mana-mana orang menandatangani bagi pihak syarikat apa-apa bil pertukaran, nota janji hutang, cek atau suratcara boleh niaga lain yang di dalamnya nama syarikat tidak disebutkan dalam huruf rumi yang mudah dibaca, adalah bertanggungan kepada suatu penalti dan kepada pemegang suratcara itu sebanyak amaun yang kena dibayar oleh syarikat jika syarikat tidak membayarnya: Atkins & Co lwn Wardle (1889).

Liabiliti kontrak prapemerbadanan

Walaupun syarikat tidak bertanggungan ke atas kontrak yang dibuat sebelum pemerbadanannya, tetapi seseorang pengarah yang berupa bertindak bagi pihak syarikat tersebut akan bertanggungan secara sendiri kepada apa-apa implikasi daripada kontrak berkenaan. Kontrak yang sedemikian rupa berkuatkuasa sebagai suatu kontrak perseorangan di antara orang yang membuat kontrak berkenaan, dan orang berkenaan bukan sahaja bertanggungan ke atas kerugian kerana memungkiri waranti tersirat daripada kuasa yang diberikan tetapi juga bertanggungan sebagai pihak kepada kontrak tersebut: Kelner lwn Baxter (1866).

Kontrak prapemerbadanan bermaksud kontrak yang dibuat bagi pihak syarikat yang dalam tempoh yang releven, masih belum diperbadankan. Syarikat tidak akan bertanggungan atas sebarang kontrak yang dibuat sebelum pemerbadanan atau kewujudannya melainkanlah jika didedahkan kepadanya selepas pemerbadanannya dan diterima olehnya.

Kuasa waranti

Seseorang pengarah akan bertanggungan secara sendiri kepada pihak ketiga di luar syarikat atas apa-apa kerugian yang ditanggung akibat daripada tindakan pengarah tanpa kuasa atau melampaui kuasa yang diberikan: Chapleo lwn Brunswick Permanent Benefit Building Society (1881).

Kuasa waranti ialah dakwaan yang dibuat oleh seseorang yang dia mempunyai kuasa untuk bertindak dengan cara tertentu. Seseorang yang bersandarkan kepada dakwaan dan menanggung kerugian kemudiannya kerana orang berkenaan sebenarnya tidak mempunyai kuasa sedemikian, boleh mendakwa orang berkenaan kerana kemungkiran kuasa waranti. Misalnya, A seorang pengarah syarikat X mendakwa yang dia diberikuasa oleh syarikat X untuk berkontrak bagi pihaknya. B yang berkontrak dengan syarikat X dan bersandar kepada dakwaan berkenaan, berkontrak dengan A yang kononnya mewakili syarikat X. Kemudiannya B menanggung kerugian daripada kontrak tersebut kerana A sebenarnya tidak mempunyai kuasa sedemikian. Jadi B boleh mendakwa A kerana kemungkiran kuasa waranti.

Liabiliti Tort

Pengarah tidak bertanggungan ke atas tort atau kesalahan sivil syarikatnya. Seseorang pengarah hanya akan bertanggungan ke atas tort jika dapat dibuktikan yang dia sendiri adalah orang yang bersalah atau dia adalah majikan atau prinsipal kepada orang yang bersalah berkaitan dengan sesuatu tindakan salah atau bahawa tort dilakukan dengan arahannya.

Liabiliti Statutori

Dividen

Dividen hanya boleh dibayar daripada keuntungan: Warrington LJ dalam Ammonia Soda Co lwn Chamberlain (1918). Ini bermakna bahawa syarikat tidak boleh memulangkan kepada pemegang syer apa-apa bahagian daripada nilai syer yang tidak dipohon beli oleh mereka hanya kerana mahu memberikan dividen. Seksyen 365 (1) memperuntukkan bahawa dividen tidak boleh dibayar kepada pemegang syer kecuali daripada keuntungan yang ada atau menurut seksyen 60 (dalam bentuk premium syer). Tiap-tiap pengarah yang secara sengaja membayar atau membenarkan supaya dibayar apa-apa dividen daripada yang diketahuinya bukan merupakan keuntungan syarikat (kecuali yang menurut seksyen 60) adalah melakukan kesalahan, dan boleh dipenjara selama 10 tahun atau didenda RM 250,000.00. Pengarah juga bertanggungan kepada pemiutang syarikat ke atas amaun hutang syarikat setakat yang dividen yang dibayar itu melebihi keuntungan yang ada.

Perdagangan fraud

Menurut seksyen 304 (1), jika semasa penggulungan, kelihatan bahawa mana-mana perniagaan syarikat telah dijalankan dengan niat untuk menfraud pemiutang syarikat, mahkamah boleh mengisytiharkan mana-mana orang (termasuk pengarah) yang disedarinya merupakan pihak yang menjalankan perniagaan secara yang sedemikian rupa, bertanggungan sendiri tanpa ada had tanggungan bagi semua atau mana-mana hutang syarikat atau tanggungan lain syarikat.

Jika pengarah misalnya, mengetahui bahawa syarikat adalah tak solven, terus menjalankan perniagaan dan mendapatkan barangan atau perkhidmatan secara hutang tanpa kemungkinan yang munasabah syarikat boleh membayarnya, maka pengarah yang terlibat adalah bertanggungan sendiri tanpa had atas semua amaun hutang tersebut.

Seksyen 303 (3) memperuntukkan bahawa semasa penggulungan syarikat, ternyata yang seorang pegawai syarikat (termasuk pengarah) yang dengan disedarinya adalah pihak yang berkontrak dalam sesuatu hutang syarikat yang pada masa itu tidak ada alasan yang mungkin atau munasabah untuk menjangkakan yang syarikat boleh / mampu membayar hutang tersebut, maka pegawai berkenaan (termasuk pengarah) adalah melakukan satu kesalahan.

Seksyen 304 (2) memperuntukkan bahawa jika seseorang disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 303 (3), maka mahkamah, dengan permohonan pelikuidasi atau mana-mana pemiutang atau penyumbang, boleh, jika difikirkan patut, mengisytiharkan orang yang disabitkan itu untuk bertanggungan sendiri tanpa had liabiliti untuk membayar kesemua atau mana-mana bahagian daripada hutang berkenaan.

Prosiding misfeasans

Seksyen 305 (1) menyediakan remedi di mana, jika semasa penggulungan syarikat, ternyata yang mana-mana orang yang telah mengambil bahagian dalam pembentukan atau penajaannya, mana-mana pelikuidasi atau pegawai dahulu atau sekarang, telah menyalahgunakan atau menyimpan atau menjadi bertanggungan atau bertanggungjawab atas apa-apa wang atau harta syarikat atau bersalah atas apa-apa misfeasans atau pecah amanah berkaitan dengan syarikat. Dalam hal-keadaan tersebut mahkamah boleh, atas permohonan pelikuidasi atau mana-mana pemiutang, memeriksa tingkah laku orang berkenaan dan memaksanya untuk membayar semula atau memulangkan wang atau harta atau mana-mana bahagian daripadanya bersama faedah, atau menyumbangkan amaun tertentu kepada aset syarikat dengan cara pampasan sebagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah. Seksyen ini merupakan satu remedi terus untuk menguatkuasakan, dalam penggulungan, suatu liabiliti yang sepatutnya dikuatkuasakan terhadap pengarah melalui tindakan biasa: Re City Equitable Fire Assurance Co Ltd (1925).

Seksyen tersebut juga diperluaskan kepada penerimaan apa-apa wang atau harta oleh pengarah dalam tempoh dua tahun terdahulu daripada bermulanya penggulungan, sama ada dengan cara gaji atau selainnya, yang pada pandangan pengarah sebagai tidak adil kepada anggota-anggota syarikat yang lain: seksyen 305 (2).

KESALAHAN STATUTORI

Akta mengenakan penalti kepada pengarah-pengarah kerana berbagai tindakan atau peninggalan dalam pengurusan syarikat. Terdapat berbagai kesalahan yang ditetapkan secara statutori dalam Akta akibat daripada kemungkiran kewajipan statutori seseorang pengarah atau pengarah-pengarah syarikat sendirian berhad. Senarai kesalahan berkenaan diperturunkan secara ringkas di Lampiran I di hujung buku ini.

Dalam tiap-tiap seksyen dalam Akta yang mewujudkan sesuatu kesalahan, ungkapan yang biasa disebut adalah:

"...syarikat itu dan tiap-tiap pegawai syarikat itu yang ingkar adalah melakukan kesalahan terhadap Akta ini..."

"Penalti:..................................... Penalti ingkar."

Sebagai contoh, kegagalan untuk menyerahkan suatu penyata mengenai pengarah-pengarah, pengurus-pengurus dan setiausaha-setiausaha kepada Pendaftar Syarikat, menurut seksyen 141 (6) adalah satu kemungkiran yang mana, "syarikat itu dan tiap-tiap pegawai-pegawai syarikat itu yang ingkar adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini." "Penalti: Seribu ringgit. Penalti ingkar."

Ungkapan yang tersebut di atas mempunyai kesan yang penting dengan berkuatkuasanya peruntukan seksyen 370, yang antara lainnya menyebutkan bahawa bagi tujuan mana-mana bahagian sesuatu seksyen dalam Akta yang memperuntukkan bahawa sesorang pegawai atau sesebuah syarikat yang ingkar adalah melakukan kesalahan terhadap Akta atau bertanggungan kepada suatu penalti atau hukuman, ungkapan "pegawai yang ingkar" atau ungkapan yang serupa dengannya bererti bahawa mana-mana pegawai syarikat yang dengan disedarinya dan dengan sengaja sama ada melakukan kesalahan atau memberikuasa atau membenarkan kesalahan itu dilakukan.

Ungkapan "penalti ingkar" didefinisikan dalam seksyen berkenaan menunjukkan bahawa mana-mana orang yang disabitkan atas sesuatu kesalahan terhadap Akta berhubungan dengan seksyen atau bahagian tertentu adalah melakukan satu kesalahan lanjut terhadap Akta, dan jika kesalahan itu berterusan selepas dia disabitkan dan boleh dikenakan suatu penalti tambahan bagi setiap hari kesalahan itu berterusan dalam amaun yang ditetapkan dalam seksyen berkaitan, atau jika tidak dinyatakan, dalam amaun yang tidak melebihi RM 200.00.

Seksyen itu mengekalkan kehendak umum dalam undang-undang jenayah bahawa niat yang salah (means rea) dan perbuatan yang salah (actus reus) adalah prasyarat kebertanggungjawaban kepada sesuatu kesalahan. Adalah perlu sesuatu kesalahan itu dilakukan dengan disedari dan disengajakan. Suatu tindakan, atau peninggalan daripada melakukan sesuatu tindakan adalah dianggap disengajai jika seseorang yang melakukan atau meninggalkan daripada melakukan, mengetahui apa yang dilakukannya dan berniat untuk melakukan apa yang dilakukannya itu. Tetapi jika tindakan atau peninggalan itu membawa kepada kewajipannya, dan oleh itu adalah satu kecuaian, dia tidaklah melakukan kesalahan kerana kecuaian yang disengajakan atau ingkar melainkanlah jika dia mengetahui bahawa dia melakukan kesalahan, dan berniat untuk melakukannya, yakni suatu kemungkiran kewajipannya, atau adalah secara semberono cuai dalam erti kata tidak mempedulikan sama ada apa-apa yang dilakukan olehnya atau peninggalan yang dilakukan olehnya itu memungkiri kewajipannya atau tidak: Re City Equitable Fire Insurance Co Ltd (1925).

Ungkapan actus non fecit reum nici menssit rea yang bermaksud "suatu perbuatan seseorang itu tidaklah menjadikannya bersalah kecuali mempunyai niat yang salah" adalah maksim yang menjelaskan konsep niat yang salah sebagai prasyarat seseorang pengarah untuk dipertanggungkan kepada sesuatu kesalahan. Apakah pula yang dimaksudkan dengan ungkapan "disengajai" atau "dengan sengaja"? Seksyen 39 Kanun Kesiksaan mendefinisikannya sebagai yang berikut:

"seseorang dikatakan penyebab kepada sesuatu kejadian "dengan sengaja" apabila ia yang menyebabkan kejadian itu dengan jalan yang ia telah bermaksud hendak menyebabkannnya, atau dengan jalan yang pada masa menggunakan jalan itu, ia ketahui atau ada sebab mempercayai mungkin menyebabkan kejadian itu."

Seseorang pengarah tidaklah boleh dipertanggungkan dengan suatu kemungkiran kepada Akta jika dia melakukannya tanpa pengetahuannya, melainkanlah jika dia sengaja menutup sebelah mata mengenai apa yang berlaku. Jika kemungkiran berkenaan adalah satu kegagalan syarikat untuk memfailkan penyata, seseorang pengarah boleh berhujah dengan kewajaran bahawa, selepas melantik kakitangan yang kelihatan kompetens untuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran syarikat, dia tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan, dan pasti sekali dengan ketiadaan unsur-unsur "yang disedari dan disengajainya", dia tidak akan bertanggungan.

Memandangkan seseorang pengarah pada amnya tidak bertanggungan ke atas kemungkiran kepada Akta yang dilakukan oleh kakitangan syarikat, seksyen berkaitan dengan akaun syarikat menunjukkan bagaimana perlunya pengarah-pengarah untuk mendapatkan perkhidmatan pekerja-pekerja yang boleh dipercayai dan kompetens. Di bawah seksyen 167, tiap-tiap syarikat, dan pengarah-pengarah dan pengurus-pengurusnya hendaklah menyebabkan akaun dan rekod-rekod lain disimpan dengan cara yang sedemikian yang mencukupi untuk menggambarkan transaksi dan kedudukan kewangan syarikat, dan memungkinkan akaun keuntungan dan kerugian dan kunci kira-kira yang benar dan saksama disediakan dan disimpan dengan cara yang memudahkan diaudit secara yang sewajarnya.

Seksyen 169 menghendaki supaya pengarah-pengarah membentangkan di hadapan syarikat pada tiap-tiap mesyuarat agung tahunan suatu akaun keuntungan dan kerugian dan kunci kira-kira tahunan syarikat yang disediakan menurut kehendak Akta. Penalti am kerana kemungkirannya terkandung dalam seksyen 171. Seseorang pengarah adalah melakukan kesalahan berkenaan jika dia gagal untuk mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan peruntukan skesyen 169 berkenaan dipatuhi, atau dia telah dengan sengaja menyebabkan syarikat memungkirinya. Penaltinya ialah penjara sehingga lima tahun atau didenda sehingga RM 30,000 ringgit. Walau bagaimanapun seseorang pengarah boleh membuat pembelaan di bawah seksyen 171 jika dia dapat membuktikan bahawa dia mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai, dan sememangnya mempercayai bahawa seseorang yang boleh dipercayai dan kompetens telah diberikan kewajipan supaya memastikan kehendak Akta yang berkenaan dipatuhi dan seseorang berkenaan berada dalam kedudukan yang boleh melaksanakan kewajipanya itu.

Walau bagaimanapun pengarah-pengarah tidaklah boleh melindungi diri mereka dengan hanya mengambil kakitangan perakaunan untuk menjalankan kerja-kerja akaun. Mereka berkewajipan untuk memastikan bahawa kakitangan berkaitan adalah boleh dipercayai dan sekaligus kompetens dan dalam kedudukan yang boleh melakukanm kerja berkenaan. Jika pengarah-pengarah telah mengambil langkah-langkah tersebut barulah mereka boleh secara munasabahnya bebas daripada bertanggungan secara sendiri daripada mematuhi peruntukan Akta yang berhubungan dengan akaun syarikat.

Seksyen 303 mengenakan penalti kepada pegawai-pegawai syarikat bila mana buku-buku yang sewajarnya tidak disimpan semasa tempoh dua tahun terdahulu daripada bermulanya penggulungan atau penyiasatan di bawah Akta. Dalam hal-keadaan itu, seseorang pengarah akan bertanggungan melainkanlah dia bertindak dengan jujur, dan sebagai tambahan dapat menunjukkan bahawa dalam hal-keadaan yang mana perniagaan syarikat dijalankan, keingkarannya boleh dimaafkan.

REMEDI STATUTORI TERHADAP PENGARAH

Jika pemegang-pemegang syer atau pemegang debentur tidak berpuas hati dengan cara hal-ehwal syarikat dikendalikan, mereka boleh memohon, di bawah seksyen 197, untuk melantik seorang atau lebih pemeriksa untuk memeriksa hal-ehwal syarikat. Permohonan hendaklah dibuat kepada Menteri, dan perlu dibuat oleh tidak kurang daripada 200 orang anggota, atau anggota-anggota yang memegang tidak kurang daripada 10% syer-syer terbitan syarikat, atau dalam hal pemegang debentur, oleh pemegang-pemegang yang tidak kurang daripada 20% nilai nominal debentur yang diterbitkan.

Permohonan hendaklah disokong oleh bukti-bukti mengenai alasan-alasan permohonan dibuat, dan motif pemohon meminta penyiasatan, dan mereka boleh dikehendaki untuk menyediakan sekuriti bagi kos pembiayaan penyiasatan berkenaan. Untuk mewajarkan penyiasatan dibuat di bawah seksyen tersebut, adalah perlu untuk menunjukkan salah laku di pihak yang mengawal syarikat, atau berlakunya tindakan yang tidak adil terhadap minoriti. Fakta mengenai kerugian yang memusnahkan yang dihadapi oleh syarikat bukanlah merupakan satu bukti atau alasan yang baik: Re Mercantile Finance Co (1894).

Pemeriksa dikehendaki untuk mengemukakan laporan dan jika dalam laporan berkenaan kelihatan bahawa mana-mana orang telah melakukan kesalahan berhubung dengan syarikat maka pendakwaan boleh dimulakan. Begitu juga jika daripada laporan itu kelihatan kepada Menteri bahawa prosiding perlu dibuat untuk kepentingan awam, boleh dibawa terhadap syarikat berkaitan dengan apa-apa fraud, misfeasans atau salah laku yang lain berkaitan dengan syarikat, Menteri boleh membawa prosiding itu atas nama syarikat untuk mendapatkan semula ganti rugi atau mana-mana harta yang disalahgunakan atau disimpan dengan cara yang salah.

Sebagai alternatif kepada permohonan kepada Menteri, pemegang-pemegang syer sendiri mempunyai kuasa di bawah seksyen 199 (1) untuk melantik pemeriksa. Walau bagaimanapun penggunaan kuasa ini memerlukan suatu ketetapan khas diluluskan, dan oleh itu hanya boleh dibuat dengan persetujuan majoriti pemegang-pemegang syer. Apa-apa tindakan hasil daripada laporan seseorang pemeriksa yang dilantik melalui ketetapan khas adalah menjadi soal syarikat.

Akhir sekali melalui seksyen 207 (1) Menteri boleh dengan inisiatifnya sendiri melantik pemeriksa tanpa diminta. Pemegang syer minoriti mempunyai remedi statutori selanjutnya. Di bawah seksyen 181 mana-mana anggota yang mengadu bahawa hal-ehwal syarikat telah dikendalikan dengan cara yang menindas seorang atau lebih anggota-anggota boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan relif. Permohonan boleh juga dibuat di bawah seksyen itu oleh Menteri. Dalam memberikan relif, mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan syarikat digulung. Sebagai alternatif, mahkamah boleh memerintahkan agar hal-ehwal syarikat diatur semula di masa hadapan, atau memerintahkan pembelian syer mana-mana anggota oleh anggota-anggota lain.

RELIF OLEH MAHKAMAH

Jika pengarah-pengarah telah bertindak secara jujur dan munasabah, liabiliti kerana memungkiri kewajipan tidak semestinya tidak dapat dielakkan. Seksyen 354 (1) adalah suatu seksyen yang memberikuasa kepada mahkamah untuk memaafkan mana-mana pegawai syarikat (termasuk pengarah) daripada liabiliti kerana kecuaian, kemungkiran kewajipan, atau pecah amanah, jika kelihatan kepada mahkamah bahawa, jika walaupun seseorang pegawai syarikat itu boleh bertanggungan, dia telah bertindak jujur dan munasabah, dan bahawa, dengan melihat kepada semua hal-keadaan kes berkenaan, seseorang pegawai itu boleh dimaafkan. Untuk mendapatkan relif di bawah seksyen tersebut orang yang terlibat tidak perlu menunggu sehingga prosiding dimulakan terhadapnya. Dia boleh memohon kepada mahkamah, jika dia mahu, jika dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu tuntutan boleh dibuat terhadapnya: seksyen 354.

Dalam memohon di bawah seksyen 354 (1), beban membukti terletak kepada pemohon untuk menunjukkan, bahawa dalam semua hal-keadaan yang dipertimbangkan, dia perlu dimaafkan: Re J Franklin & Son Ltd (1937). Bantahan daripada pemegang-pemegang syer hanyalah merupakan satu daripada hal-keadaan yang boleh diambil kira, dan tidaklah menghalang mahkamah daripada memberikan relif dalam kes yang sewajarnya: Re Gilt Edge Safety Glass Ltd (1940).

Ratifikasi

Syarikat, boleh, melalui mesyuarat agung, memaafkan pengarah kerana kemungkiran kewajipan atau membenarkan pengarah melakukan sesuatu yang membawa kepada kemungkiran kewajipan kepada syarikat. Mesyuarat agung boleh:

  • mengesahkan sesuatu tindakan pengarah itu sebagai cacat kerana salah aturan dalam prosedur: Bamford lwn Bamford (1970); asalkan tindakan itu tidak di luar kuasa syarikat: Quin & Axtens Ltd lwn Salmon (1909).
  • meratifikasikan sama ada secara prospektif atau dengan dikebelakangkan pelaksanaan kuasa-kuasa pengarah untuk tujuan yang kolateral, yakni tujuan yang selain daripada yang diberikuasa oleh Perkara-perkara Persatuan: Bamford lwn Bamford (1970).
  • membenarkan pengarah bertransaksi dengan syarikat dengan syarat terma-terma dan syarat-syarat kontrak adalah adil: Burland lwn Earle (1902) dan Clarkson lwn Davies (1923).
  • meratifikasikan secara retrospektif sahaja sesuatu tindakan pengarah yang di luar kuasa yang diberikan oleh Perkara-perkara Persatuan tetapi dalam keupayaan mesyuarat agung: Grant lwn United Kingdom Switchback Railways (1888) dan Irvine lwn United Bank of Australia (1877).
  • melepaskan pengarah daripada liabiliti kerana kemungkiran kewajipan berjaga-jaga dan mengguna kemahiran jika pengarah tidak memperoleh apa-apa keuntungan daripadanya: Pavlides lwn Jensen (1956) dan Daniels lwn Daniels (1978).

Pengarah-pengarah tidak boleh melepaskan harta syarikat dan kemudiannya menggunakan kuasa mengundi mereka sebagai pemegang syer dalam mesyuarat agung untuk meratifikasikan perbuatan mereka itu: Cook lwn Deeks (1916). Kelulusan oleh rakan pengarah yang lain adalah tidak mencukupi: Furs Ltd lwn Tomkies (1936). Persetujuan dalam mesyuarat agung yang formal tidak perlu asalkan semua pemegang syer mengakuieseansnya: Re Duomatic Ltd (1969).

TINDAKAN TERHADAP PENGARAH

Rukun Plaintif Sebenar

Pada prinsipnya, syarikat sahaja yang boleh mengambil tindakan ke atas pengarah yang memungkiri kewajipannya kepada syarikat. Dalam erti kata yang lain, plaintif sebenar dalam tindakan sivil terhadap pengarah adalah syarikat sendiri (atas nama syarikat sendiri) dan bukannya pemegang syer secara individu.

Walau bagaimanapun mahkamah boleh membenarkan seseorang pemegang syer untuk menguatkuasakan haknya kepada syarikat dengan mendakwa atas namanya sendiri jika wujudnya fraud terhadap minoriti. Dalam Burland lwn Earle (1902), Lord Davey menyatakan bahawa, mahkamah boleh membenarkan tindakan dibuat oleh pemegang syer secara individu jika pengarah yang akan diambil tindakan itu memegang dan mengawal majoriti syer dalam syarikat, dan oleh itu tidak memungkinkan tindakan ke atasnya dibuat oleh syarikat. Sebelum mahkamah membenarkan pemegang syer yang memohon untuk mengambil tindakan itu perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa wujudnya fraud terhadap minoriti dan pengarah yang bersalah itu mengawal syarikat, dan dengan itu mengelakkan syarikat daripada mengambil tindakan atas nama syarikat.

Dalam menentukan sama ada pengarah yang bersalah itu mengawal syarikat atau tidak, memadailah dibuktikan bahawa dia boleh atau bersanggupan melalui cara memanipulasikan kedudukannya dalam syarikat untuk memastikan tindakan tidak dibuat oleh syarikat: Prudential Assurance Co lwn Newman Industries Ltd (1982). Walau bagaimanapun, jika keputusan untuk tidak mengambil tindakan itu dibuat oleh orang yang berkecuali yang selain daripada pengarah yang bersalah itu, mahkamah biasanya tidak membenarkan tindakan dibuat oleh pihak minoriti: Smith & YL lwn Croft & YL (1986).

Bentuk-Bentuk Remedi Sivil

Tindakan terhadap pengarah yang memungkiri kewajipannya kepada syarikat boleh dibuat melalui cara yang berikut:

  • mendapatkan semula keuntungan rahsia yang dibuat oleh pengarah yang terlibat.
  • menuntut ganti rugi terhadap pengarah yang terlibat: Mahensan lwn Malaysian Government Officers Cooperative Housing Society (1978).
  • melalui Amanah Konstruktif.
  • melalui Perintah Anton Piller.
  • lalui Injunksi Mareva.

Amanah Konstruktif

Apabila pengarah yang bersalah kerana kemungkiran kewajipan kepada syarikat memindahkan harta yang diperolehinya melalui kemungkiran tersebut kepada pihak ketiga, maka undang-undang mempertanggungjawabkan kepada pihak ketiga berkenaan untuk memegang harta tersebut sebagai pemegang amanah konstruktif, dan harta yang terlibat akan dipegang secara amanah konstruktif. Dengan itu pihak ketiga tersebut akan menanggung kewajipan fidusiari kepada syarikat sebagai ganti pengarah berkenaan. Ini membenarkan syarikat untuk meminta pemulangan harta tersebut dan juga mendakwa untuk mendapatkan ganti rugi jika berlaku kemungkiran kewajipan pemegang amanah konstruktif itu.

Amanah konstruktif wujud apabila pihak ketiga berkenaan melakukan salah satu daripada yang berikut:

  • menerima harta yang dipunyai oleh orang yang bersalah secara tak sah (knowing receipt): Rolled Steel Products (Holding) Ltd lwn British Steel Corporation (1985) dan Belmount Finance lwn William Furniture (1980).
  • membantu orang bersalah dalam perbuatan memungkiri kewajipan (knowing assistance): Selangor United Estates Ltd lwn Craddock (1968).

Perintah Anton Piller

Perintah Anton Piller menghendaki defenden membenarkan agen plaintif untuk masuk ke premis defenden, menggeledah dan menyita beberapa dokumen dan harta tertentu. Permohonan untuk mendapatkan perintah ini dibuat secara ex parte dan perintah itu dikeluarkan berdasarkan kepada affidavit yang dikemukakan oleh plaintif. Oleh kerana ianya dibuat secara ex parte pihak defenden tidak akan mengetahuinya.

Jika pihak defenden gagal mematuhi suatu Perintah Anton Piller, defenden akan dihukum kerana menghina mahkamah dan keengganan itu boleh dijadikan bukti terhadapnya: Wardle Fabrics Ltd lwn G Myristics Ltd. Dalam Anton Piller KGV lwn Manufacturing Processes Ltd & YL (1976), Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa dalam keadaan-keadaan yang amat terkecuali:

  • di mana plaintif mempunyai kes prima facie yang kuat, dan
  • kerosakan atau kerugian sebenar kepada plaintif amatlah ketara, dan
  • telah ada bukti-bukti yang jelas bahawa defenden mempunyai material penting yang mereka mungkin akan musnahkan atau hapuskan yang akan mengagalkan proses keadilan sebelum sebarang permohonan inter parte boleh dibuat,

maka mahkamah mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk memerintahkan defenden membenarkan plaintif memasuki premis defenden bagi memeriksa dan membawa keluar material berkenaan.

Injunksi Mareva

Dalam kes Iraqi Ministry of Defence & YL lwn Arcepey Shipping Co SA (1980), Hakim Donaldson menyebut mengenai tujuan injunksi Mareva dikeluarkan -

"...bagi tujuan menghalang defenden-defenden luar negara membuat diri mereka tak lekang oleh keputusan mahkamah dengan cara membawa keluar aset-aset mereka dari bidang kuasa atau dengan menghapuskan aset-aset mereka dalam bidang kuasa kepada pemegang-pemegang saham atau orang-orang lain yang boleh bersetuju dihapuskan dan melakukannya sedemikian sebelum penghakiman atau perlaksanaan dibuat."

Dalam kes Bank Bumiputra Malaysia Berhad lwn Lorraine Osman (1987), mahkamah menggariskan tiga intisari keperluan yang pemohon (plaintif) perlu memuaskan mahkamah sebelum perintah Injunksi Mareva boleh dikeluarkan oleh mahkamah, seperti yang berikut:

  • plaintif mestilah menunjukkan bahawa mereka ada kes yang baik untuk dihujahkan.
  • plaintif mestilah mengemukakan bukti-bukti bahawa defenden mempunyai aset dalam bidang kuasa.
  • bahawa wujudnya risiko yang aset-aset berkenaan akan dikeluarkan daripada bidang kuasa atau akan dihapuskan dalam bidang kuasa yang menjadikannya tidak dapat diperolehi atau tidak dapat dikesan sebelum keputusan mahkamah dibuat.

Persoalannya ialah, bagaimana membuktikan yang terdapat risiko yang aset-aset dipindahkan sebelum penghakiman disempurnakan? Hakim Edgar Joseph Jr dalam kes Pacific Centre Sdn Bhd lwn United Engineers (M) Bhd (1984) memberi jawapannya sebagai yang berikut:

"...adalah memadai untuk palintif cuma menunjukkan bahawa ada risiko akan aset itu dilupuskan yang memberi kesan kekecewaan kepada plaintif dalam cubaannya untuk mendapat hasil daripada sesuatu penghakiman yang mungkin ia akan perolehi terhadap defenden..."