Make your own free website on Tripod.com
ke laman utama syarikat.com
 
 
Makalah ini bertujuan untuk menyampaikan semua perkara yang berkaitan dengan pendrafan Memorandum & Perkara-perkara Persatuan syarikat persendirian yang terhad mengikut syer. Makalah ini cuba menganalisis secara komprehensif tetapi mudah pengetahuan teori dan praktik mengenai struktur dan mekanisme Memorandum & Perkara-Perkara Persatuan dan cara-cara tertentu untuk mendrafnya. Semua rujukan kepada syarikat adalah merujuk kepada syarikat persendirian yang terhad mengikut syer yang berbentuk ‘rapat’, dan semua rujukan kepada seksyen tertentu adalah merujuk kepada Akta Syarikat 1965 atau enakmen yang sama sebelumnya.

CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN SYARIKAT

Tiap-tiap syarikat hendaklah mempunyai perlembagaan bertulis dalam bentuk dua dokumen:

  • Memorandum Persatuan
  • Perkara-perkara persatuan

Memorandum Persatuan hendaklah diserahkan kepada Pendaftar Syarikat sedangkan Perkara-perkara persatuan boleh diserahkan kepada Pendaftar Syarikat: s. 16 (1). Kedua-dua dokumen perlu diberikan kepada tiap-tiap anggota syarikat apabila diminta dan dibayar fee yang tidak melebihi RM 5.00: s. 34 (1).

"Memorandum mengandungi syarat-syarat asas yang berasaskannya sahaja syarikat dibenarkan untuk diperbadankan. Syarat-syarat itu diperkenalkan untuk faedah pemiutang, dan masyarakat luar, dan juga pemegang-pemegang syer. Perkara-perkara Persatuan adalah peraturan dalaman syarikat. Jika Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan bercanggah, Memorandum akan mengatasi.": mengikut Bowen LJ dalam Guiness lwn Land Corporation of Ireland (1882) 22 ChD 349 (Mahkamah Rayuan, England).

KANDUNGAN MEMORANDUM PERSATUAN

Kandungan Memorandum Persatuan [s. 18 (1)]:

  • nama syarikat
  • tujuan-tujuan syarikat
  • amaun dan cara mana modal syer syarikat dibahagikan kepada syer-syer amaun tetap
  • bahawa liabiliti anggota-anggota adalah terhad
  • suatu fasal yang menyatakan bahawa penandatangan-penandatangan berhasrat untuk membentuk menjadi suatu syarikat menurut Memorandum dan bahawa penandatangan-penandatangan masing-masing bersetuju untuk mengambil bilangan syer-syer yang dinyatakan bersetentangan dengan nama mereka masing-masing
  • nama penuh, alamat dan pekerjaan penandatangan nama pengarah-pengarah pertama (melainkan jika dinamakan dalam Perkara-perkara Persatuan): s. 122 (3)
  • nama setiausaha syarikat pertama (melainkan jika dinamakan dalam Perkara-perkara Persatuan): s. 139 (1A)
  • sekatan, batasan dan larangan menurut seksyen 15 (1) (melainkan jika disebutkan dalam Perkara-perkara Persatuan)

Fasal-fasal lain boleh dimasukkan dalam Memorandum Persatuan. Sebelum diperkenalkan subseksyen (1A) dan (1B) pada tahun 1996, fasal berkenaan (fasal-fasal tak wajib) tidak boleh dipinda atau dipotong kerana Memorandum hanya boleh diubah menurut Akta (bermakna bahawa, hanya fasal-fasal wajib yang dinyatakan dalam Akta sahaja boleh diubah atau dipotong).: s. 21 (1). Dengan berkuatkuasanya subseksyen (1A), semua fasal-fasal dalam Memorandum boleh diubah melainkanlah jika Memorandum sendiri melarang pengubahan atau pemotongan peruntukan berkenaann. Walau bagaimanapun pengubahan atau pemotongan fasal-fasal berkaitan dengan hak kelas anggota tertentu: s.21 (1B)

KANDUNGAN PERKARA-PERKARA PERSATUAN

Kandungan Perkara-perkara Persatuan:

  • keseluruhan ‘Jadual A’, atau
  • ‘Jadual A’ yang diubahsuai, atau
  • Set lengkap Perkara-perkara yang tidak memasukkan keseluruhan ‘Jadual A’
  • Nama pengarah-pengarah syarikat yang pertama (melainkan jika telah dinamakan dalam Memorandum): s. 29 (1)
  • Nama setiausaha syarikat yang pertama (melainkan jika telah dinamakan dalam Memorandum): s. 139 (1A)
  • Sekatan, batasan dan larangan menurut s. 15 (1) (melainkan jika telah dinyatakan dalam Memorandum)

PENGUBAHAN MEMORANDUM PERSATUAN

Sebelum diperkenalkan subseksyen (1A) dan (1B) Memorandum Persatuan syarikat hanya boleh diubah dengan cara yang diperuntukkan oleh Akta: s.21 (1). Jika tidak ada peruntukan khusus dalam Akta yang membenarkan pengubahan fasal-fasal tertentu, fasal itu tidak boleh diubah. Apabila diperkenalkan subseksyen (1A), semua fasal dalam Memorandum boleh diubah atau dipotong melainkan jika Memorandum sendiri melarang pengubahan atau pemorongan peruntukan itu ( s.21 (1A)) atau yang melibatkan kepentingan kelas anggota tertentu: s.21 (1B).

Fasal apakah yang boleh diubah?

Sebelum diperkenalkan subseksyen (1A) dan (1B), pada amnya, sesuatu syarikat hanya boleh meminda fasal-fasal yang Akta peruntukkan supaya dimasukkannya dalam Memorandum Persatuan, iaitu:

  • fasal nama: s. 23
  • fasal tujuan-tuujuan: s. 28
  • fasal modal syer: s. 62 & 64
  • fasal liabiliti terhad: s. 25 & 26
  • DAN
  • apabila permohonan dibuat kepada Mahkamah untuk mendapatkan relif (di bawah s.181) atas alasan bahawa seseorang anggota atau pemegang debentur telah tidak dilayani dengan adil.

Bolehkah keseluruhan Memorandum Persatuan dipotong?

Ya! Semua fasal dalam Memorandum boleh dipotong kecuali:

  • fasal yang Memorandum sendiri tetapkan supaya tidak dipotong
  • fasal yang menyentuh hak kelas anggota tertentu

Bolehkah fasal persatuan dalam Memorandum Persatuan dipinda atau dipotong? Jika TIDAK, bolehkah kita berhujah bahawa fasal persatuan tidak diperuntukkan supaya dimasukkan dalam Memorandum Persatuan? ATAU adakah kerana tidak ada peruntukan khusus dalam Akta yang membenarkan pengubahan fasal tersebut?

TUJUAN-TUJUAN DAN KUASA SYARIKAT

Sesuatu syarikat dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti yang dinyatakan secara nyata dalam fasal tujuan-tujuannya. Sebagai tambahan syarikat mempunyai kuasa yang mana boleh sama ada nyata atau tersirat, yakni syarikat dibenarkan walaupun tidak disebutkan secara khusus dalam fasal tujuan-tujuan.

Tujuan-tujuan adalah pernyataan tujuan syarikat, padahal kuasa adalah cara yang boleh mencapai tujuan tersebut. Oleh itu natijahnya kuasa selalunya bergantung kepada tujuan-tujuan untuk penafsiran, ia tidak sekali-kali boleh berdiri sendiri.

Tujuan fasal tujuan-tujuan adalah untuk:

  • melindungi pemegang syer yang mengetahui daripadanya tujuan-tujuan wang mereka digunakan, dan untuk
  • melindungi orang yang berurusan dengan syarikat, yang boleh mengetahui daripadanya mengenai takat kuasa syarikat.

Seseorang yang berkontrak dengan syarikat disifatkan sebagai mengetahui tentang fasal tujuan-tujuannya, walaupun dia tidak pernah membacanya dan dengan itu, jika syarikat dalam membuat kontrak itu bertindak secara ultra vires, pihak luar yang suci hati tidak boleh mendakwa syarikat atas kontrak tersebut.

RUKUN PENTAFSIRAN

Rukun Tujuan-tujuan Utama:

Jika Memorandum Persatuan menyatakan tujuan-tujuan syarikat dalam siri perenggan-perenggan dan satu perenggan, atau dua perenggan yang pertama atau tiga perenggan, kelihatan membentuk ‘tujuan-tujuan utama’ syarikat, semua perenggan-perenggan lain dianggap hanyalah sebagai sampingan kepada ‘tujuan-tujuan utama’ dan terhad atau dikawal oleh olehnya: mengikut Salmon LJ dalam Anglo Overseas Agencies Ltd lwn Green (1961)

Rukun Tujuan-tujuan Bebas:

Rukun pentafsiran tujuan-tujuan utama boleh diketepikan oleh suatu peruntukan yang bersesuaian dalam fasal tujuan-tujuan yang menyatakan bahawa "semua tujuan-tujuan adalah tujuan-tujuan utama dan semua fasal mestilah ditafsirkan secara bebas di antara satu sama lain": Anglo Overseas Agencies Ltd lwn Green (1961) 1 QB 1.

Rukun Tujuan-tujuan Berungkapan Subjektif:

Rukun pentafsiran tujuan-tujuan utama boleh juga dielakkan dengan memasukkan ‘fasal tujuan-tujuan berungkapan subjektif’ dalam Memorandum. Fasal seperti itu memberikuasa kepada syarikat untuk menjalankan apa-apa perniagaan yang pada pendapat pengarah-pengarah boleh dijalankan secara berkesannya oleh syarikat yang berhubung dengan atau bersampingan dengan perniagaan am syarikat: Bell Houses lwn City Wall Properties (1965) 2 QB 656 (Mahkamah Rayuan, England)

Rukun dalam Re Introductions Ltd lwn National Provincial Bank (1970):

Meminjam wang bukanlah suatu aktiviti bebas biarpun ianya diperuntukkan dengan nyata dalam fasal tujuan-tujuan bahawa syarikat mempunyai, sebagai suatu tujuan bebas, kuasa untuk meminjam wang. Meminjam adalah kuasa, bukannya tujuan-tujuan. Kuasa meminjam wujud hanya untuk meluaskan tujuan-tujuan intra vires dan bukan dengan sendirinya suatu tujuan: Re Introductions Ltd lwn National Provincial Bank (1970) Ch 199 (Court of Appeal, England).

DOKTRIN ULTRA VIRES

Ciri-ciri doktrin ultra vires:

(a) Sesuatu syarikat tidak boleh melakukan apa-apa perkara yang tidak diberikuasa oleh fasal tujuan-tujuan dalam Memorandum Persatuannya. Tindakan sedemikian adalah ultra vires.

(b) Sesuatu tindakan atau transaksi yang ultra vires adalah batal dan tidak mengikat syarikat: Ashbury Railway Carriage & Iron Co Ltd lwn Richie (1875) LR 7 HL 653 (House of Lords).

(c) Walaupun persetujuan sebulat suara daripada pemegang syer diperolehi, ianya tidak akan mengsahkan tindakan ultra vires dan tidak akan mengikat syarikat.

(d) Sesuatu syarikat tidak boleh memakai atau meratifikasikan secara berkesannnya suatu tindakan ultra vires tetapi boleh menerima pakai dan meluluskan suatu tindakan yang hanya tidak diberikuasa atau di luar aturan: Clarkson lwn Davies (1923) AC 100, 110 (Majlis Privy atas rayuan daripada Ontario)

Kedudukan pihak luar jika terdapat dakwaan tindakan ultra vires:

  • Adakah tindakan ultra vires secara tidaklangsung?
  • Adakah tindakan berkenaan dalam lingkungan Rukuan Tujuan-tujuan Berungkapan Subjektif?
  • Adakah kontrak intra vires pada zahirnya?
  • Adakah mungkin untuk dikesan?
  • Adakah tindakan itu suatu kemungkiran kuasa waranti?
  • Adakah berkemungkinan tindakan tort boleh diambil?
  • Apakah wujud subrogasi?

Kesan tindakan ultra vires dalam syarikat:

(a) Suatu tindakan ultra vires boleh dihalang sebelum dilakukan sepenuhnya oleh seseorang anggota, pemegang debentur yang dijamin oleh gadaian terapung atau oleh pemegang amanah kepada pemegang debentur berkenaan: s. 20 (2)(b).

(b) Isu mengenai tidak adanya keupayaan syarikat boleh ditimbulkan dalam apa-apa tindakan oleh syarikat atau anggota terhadap pegawai sekarang atau dahulu syarikat: s. 20 (2)(b).

(c) Fakta bahawa sesuatu syarikat telah bertindak melampaui keupayaannya boleh disandarkan dalam apa-apa peisyen oleh Menteri bagi menggulung syarikat: s.218 (1) & 205.

(d) Jika sesuatu tindakan adalah ultra vires ianya tidak boleh dijadikan intra vires biarpun dengan persetujuan sebulat suara anggota-anggotanya: Ashbury Railway Carriage & Iron Co Ltd lwn Richie (1875) LR 7 HL 653 (House of Lords).

Tafsiran s. 120 (1):

"Tiada perbuatan atau perbuatan yang dikatakan sesuatu syarikat..... dan tiada pemindahhakan atau pemindahmilikan harta, sama ada harta tanah atau harta alih, kepada atau oleh sesuatu syarikat boleh menjadi tak sah semata-mata oleh sebab fakta bahawa syarikat itu adalah tak berkeupayaan atau tak berkuasa untuk melakukan perbuatan itu atau untuk menyempurnakan atau mengambil pemindahhakan atau pemindahmilikan itu."

Kewujudan seksyen ini bererti doktrin ultra vires secara praktikalnya telah luput di Malaysia tetapi saki baki kesannya masih ada, sepanjang yang berkaitan dengan pihak luar.

PENGUBAHAN FASAL TUJUAN-TUJUAN

Sesuatu syarikat boleh melalui ketetapan khas, menambah, mengubah atau memotong fasal tujuan-tujuannya dalam Memorandum Persatuan: s. 28

Turutan peristiwa:

(a) 21 hari notis ketetapan untuk meminda tujuan-tujuan hendaklah diberikan kepada:

  • semua anggota, dan
  • pemegang amanah kepada pemegang debentur syarikat, atausemua pemegang dbentur secara terus (jika tidak ada pemegang amanah): s. 28 (2) & (3).

(b) Ketetapan itu mestilah diluluskan oleh majoriti tiga perempat yang hadir dan mengundi pada mesyuarat sebagai ketetapan khas.

(c) Tunggu selama 21 hari jikalau ada bantahan terhadap pengubahan itu: s. 28 (8).

(d) Selepas tamat tempoh 21 hari itu, ketetapan khas itu mestilah diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh 14 hari: s. 28 (9).

(e) Pengubahan itu akan berkuatkuasa pada hari diserahkan kepada Pendaftar Syarikat: s. 28 (10).

BANTAHAN TERHADAP PENGUBAHAN FASAL TUJUAN-TUJUAN

Siapa yang berhak membantah?

(a) Seorang anggota atau anggota-anggota yang memegang sekurang-kurangnya 5% daripada modal syer terbitan syarikat, atau

(b) Seorang pemegang debentur (atau pemegang-pemegang) yang memegang sekurang-kurangnya 5% nilai nominal debentur syarikat.

Kesan bantahan:

(a) Pengubahan tidak akan berkuatkuasa melainkan disahkan oleh Mahkamah.

(b) Keputusan Mahkamah adalah berasaskan budi bicaranya yang mengambil kira hak dan kepentingan anggota-anggota dan pemiutang syarikat: s. 28 (7)(a).

(c) Dalam keputusannya, Mahkmah boleh:

  • mengkensel pengubahan
  • mengesahkan sebahagian daripada pengubahan
  • mengesahkan pengubahan seperti asalnya: s. 28 (7)(d).

(d) Pengesahan boleh tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat tertentu sebagaimana yang difikirkanm patut untuk dikenakan oleh Mahkamah.

(e) Beban membukti adalah ke atas orang yang membantah pengubahan itu untuk menunjukkan bahawa pengubahan itu adalah tidak adil dalam perkara tertentu: Carruth lwn Imperial Chemical Industries (1937) AC 707 (House of Lords)

(f) Perintah Mahkamah hendaklah diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh 14 hari selepas keputusan Mahkamah: s. 28 (9).

(g) Jika Mahkamah mengesahkan pengubahan itu (sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya) pengubahan itu akan berkuatkuasa pada hari pengubahan ketetapan: s.28 (10).

PENGUBAHAN PERKARA-PERKARA PERSATUAN

Kehendak mengenai pengubahan:

(a) Sesebuah syarikat boleh, melalui ketetapan khas mengubah atau menambah Perkara-perkara Persatuannya tetapi tertakluk kepada Akta dan kepada mana-mana syarat dalam Memorandum Persatuannya: s.31 (1).

(b) Dalam mengundi ketetapan untuk meminda Perkara-perkara Persatuan, anggota-anggota perlu menimbangkan sama ada untuk faedah syarikat keseluruhannya: Allen lwn Gold Reefs of West Africa Ltd (1900) 1 Ch 656 (Mahkamah Rayuan, England).

(c) Anggota-anggota yang menentukan apa yang memberi faedah kepada syarikat. Mahkamah tidak akan campur tangan melainkan keputusan itu dibuat secara yang tidak munasabah: Carruth lwn Imperial Chemical Industries Ltd (1937) AC 707,765 (House of Lords).

(d) Ketetapan untuk mengubah perkara-perkara boleh dicabar jika orang yang mengundi menyokongnya tidak mengundi secar suci hati misalnya, bila mereka disorongo oleh niat jahat: Peter’s American Delicacy Co Ltd lwn Heath (1939) 61 CLR 457, 482(Mahkamah Tinggi, Australia)

(e) Ketetapan tersebut juga boleh dicabar jika kesannya mendiskriminasikan di antara yang majoriti dengan minoriti, dengan memberikan kepada majoriti kelebihan yang pihak majoriti diabaikan: Greenhalgh lwn Arderne Cinemas Ltd (1951) Ch 286 (Mahkamah Rayuan, England)

(f) Remedi kepada anggota yang membantah pengubahan Perkara-perkara ialah dengan mempetisyen di bawah s.181 untuk mendapatkan relif jika pengubahan itu menindas atau dibuat tanpa mengambilkira kepentingannya, atau jika ianya mendiskriminasikan secara tidak adil terhadapnya atau sebaliknya memudaratkannya.

Sekatan-sekatan kepada syarikat untuk mengubah Perkara-perkaranya:

(a) Kuasa untuk mengubah Perkara-perkara boleh untuk tidak dimasukkan melalui peruntukan dalam Memorandum Persatuan: s. 31 (1).

(b) Sekatan, batasan, dan larangan yang mesti terkandung dalam Perkara-perkara syarikat persendirian menurut s.15 (1) tidak boleh dipinda.

(c) jika terdapat peruntukan dalam Memorandum atau perkara-perkara yang memberikuasa pengubahan hak kelas hanya dengan persetujuan nisbah tertentu daripada pemegang syer kelas berkenaan sahaja, suatu pengubahan perkara-perkara yang mengubah boleh dihalang di bawah s. 65.

(d) Dalam kes syarikat persendirian yang bersifat rapat, Perkara-perkara yang menyentuh hak anggota, jika bercanggah dengan persefahaman yang terdahulu dicapai semasa syarikat diperbadankan: Pang Ten Fatt lwn Tawau Transport Co Sdn Bhd (1986) 1 MLJ 179 (Mahkamah Tinggi, Malaysia)

KESAN KONTRAKTUAL MEMORANDUM & PERKARA-PERKARA PERSATUAN

Seksyen 33 (1):

"Tertakluk kepada Akta ini, memorandum dan perkara-perkara hendaklah apabila didaftarkan mengikat syarikat dan anggota-anggotanya sama seolah-olah telah ditandatangani dan dimeterai oleh tiap-tiap anggota dan mengandungi waad di pihak tiap-tiap anggota untuk mematuhi kesemua peruntukan memorandum dan perkara-perkara itu."

Section 33 (1):

Kesan s. 33 (1):

(a) Syarikat terikat kepada tiap-tiap anggota atas keupayaannya sebagai anggota: Wood lwn Odessa Waterworks Co (1889) 42 ChD 636, 642 (Mahkamah Tinggi, England). Seseorang anggota boleh menguatkuasakan haknya untuk memastikan peruntukan memorandum dan perkara-perkara dipatuhi melalui injunksi, sama ada mandatori atau larangan: Rayfield lwn Hands (1960) Ch 1 (High Court, England). Adil atau tidak sesuatu Perkara tidaklah releven dalam menentukan sama ada ianya boleh dikuatkuasakan, Hak dan liabiliti anggota-anggota fi bawah perkara-perkara Persatuan adalah soal obligasi kontraktual: Wong Kim Fatt lwn Leong & Co Sdn. Bhd. (1976) 1 MLJ 140 (Mahkamah Tinggi, Malaysia).

(b) Tiap-tiap anggota terikat kepada syarikat. Oleh itu peruntukan dalam perkara-perkara yang merujuk pertikaian di antara seseorang anggota dengan syarikat kepada penimbangtara akan berkuatkuasa ke atas anggota itu asalkan pertikaian itu menyentuh mengenai hak-hak keanggotaan: Hickman lwn Kent Sheep Breeders Association (1915) 1 CH 881 (Mahkamah Tinggi, England)

(c) Anggota-anggota adalah secara kontraktual mengikat satu sama lain: Rayfield lwn Hands (1960) Ch 1 (Mahkamah Tinggi, England).

(d) Perkara-perkara hanyalah suatu kontrak di kalangan angota-anggota syarikat. Pihak luar bukanlah pihak kepada kontrak itu dan oleh itu tidak boleh menguatkuaskan apa-apa hak yang memoprandum atau perkara-perkara berupa untuk memberikannya kepada mereka: Raffles Hotel Ltd lwn Malayan Banking Bhd (N0. 2) (1966) 1 MLJ 206 (Mahkamah Persekutuan Malaysia di Singapura).

(e) Walaupun Perkara-perkara bukanlah suatu kontrak dengan pihak luar, berkemungkinan pihak luar boleh mempunyai kontrak dengan syarikat yang mengggabungkan terma-terma Perkara-perkara untuk waktu itu. Jika sesuatu kontrak menggabungkan terma-terma Perkara-perkara untuk waktu itu, suatu pengubahan Perkara-perkara semestinya kana mengubah kontrak: British Equitable Assurance Ltd lwn Baily (1906) AC 35 (House of Lords). walau bagaimanapun pengubahan itu hanya boleh menyentuh kontrak itu secara secara prospektif dan bukannya secara kebelakangan: Swabey lwn Port Darwin Gold Mining Co (1889) 1 Meg 385 (Mahkamah Rayuan, England).