ke laman utama syarikat.com
KE LAMAN BERIKUTNYA
 
PENGGULUNGAN SUKARELA OLEH ANGGOTAPEMIUTANG

Jika pengarah-pengarah gagal untuk menfailkan suatu pengisytiharan kesolvenan, penggulungan akan dibuat sebagai penggulungan sukarela oleh pemiutang. Memandangkan syarikat adalah tak solven, syarikat dikehendaki memanggil mesyuarat pemiutang-pemiutang. Mesyuarat ini perlu diadakan pada hari yang sama atau hari berikutnya selepas tarikh mesyuarat agung luar biasa syarikat yang meluluskan ketetapan khas utnuk menggulung syarikat. Notis mesyuarat pemiutang-pemiutang ini perlu dikeluarkan kepada tiap-tiap pemiutang pada masa yang sama dengan notis memanggil mesyuarat agung luar biasa: seksyen 260 (1).

Pengurusan penggulungan sukarela oleh pemiutang dikongsi bersama oleh anggota-anggota dan pemiutang-pemiutang tetapi pemiutang-pemiutang yang menguasai prosidingnya. Pemiutanglah yang akan melantik penyelesai dan merekalah juga yang akan memutuskan mengenai komposisi mana-mana jawtankuasa penyiasatan.

Prosedur Awal

Tertakluk kepada tambahan dan variasi yang berikut, prosedur awalnya adalah sama sahaja dengan prosedur penggulungan sukarela oleh anggota.

Langkah pertama, pengarah-pengarah mengadakan mesyuarat lembaga pengarah bagi menetapkan tarikh mesyuarat agung luar biasa dan mesyuarat pemiutang. Kedua-dua mesyuarat ini perlu diadakan dalam tempoh sebulan daripada tarikh pengisytiharan berkanun dibuat.

Langkah kedua, pengarah-pengarah kemudiannya akan membuat akuan berkanun dalam Borang 65A - Akuan Berkanun Mengenai Ketidakmampuan Syarikat Untuk Meneruskan Perniagaan dan Mesyuarat Syarikat dan Mesyuarat Pemiutang Telah Dipanggil (Statutory Declaration if Inability of Company to Continue Business and that Meetings of the Company and Its Creditors have been Summoned). Akuan ini hendaklah diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dan Pegawai Penerima.

Langkah ketiga, selepas akuan berkanun itu dibuat pengarah-pengarah hendaklah melantik penyelesai diluluskan (approved liquidator) sebagai penyelesai sementara (provisional liquidator). Penyelesai sementara mempunyai dan boleh menjalankan semua fungsi dan kuasa penyelesai dalam penggulungan sukarela oleh pemiutang dan tertakluk kepada apa-apa batasan dan sekatan sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan. Perlantikan penyelesai sementara hendaklah berterusan selama sebulan daripada tarikh perlantikannya (atau untuk suatu tempoh lanjut yang Pegawai Penerima membenarkannya dalam kes-kes tertentu) atau sehingga perlantikan penyelesai, yang mana yang lebih awal. Notis mengenai perlantikannya bersama-sama dengan Borang 65A hendaklah diiklankan dalam akhbar-akhbar yang edarannya meliputi seluruh Malaysia dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perlantikannya. Penyelesai sementara berhak untuk menerima upah atau saraan dengan cara peratusan atau selainnya sebagaimana yang ditetapkan.

Langkah keempat, pada mesyuarat agung luar biasa suatu ketetapan khas akan diluluskan untuk menggulung syarikat secara sukarela kerana tidak dapat meneruskan perniagaannya atas sebab-sebab laibiliti, dan juga untuk melantik seorang penyelesai diluluskan (approved liquidator) untuk bertindak sebagai penyelesai bagi proses penggulungan berkenaan. Syarikat hendaklah dalam tempoh tujuh hari selepas kelulusan ketetapan itu menyerahkan kepada Pendaftar Syarikat sesalinan ketetapan berkenaan dalam Borang 11. Berikutnya, dalam tempoh 10 hari selepas ketetapan yang sama itu diluluskan, syarikat juga perlu menghebahkan notis mengenai ketetapan itu dalam akhbar yang mempunyai edaran di seluruh Malaysia: s254(2).

Syarat-syarat mengenai mesyuarat pemiutang:

  • mesyuarat perlu diadakan pada hari yang sama dengan mesyuarat agung luar biasa atau sehari selepasnya
  • notis mesyuarat perlu dikeluarkan pada masa yang sama dengan tarikh pengeluaran notis mesyuarat agung luar biasa
  • mesyuarat perlu diadakan pada masa dan tempat yang memudahkan majoriti daripada pemiutang (berasaskan nilai piutang)(keputusan pengerusi sama ada masa dan tempat mesyuarat itu dijalankan adalah memudahkan majoriti pemiutang adalah muktamad; dan jika dia membuat keputusan yang masa dan tempat itu tidak bersesuaian, maka mesyuarat dengan sendirinya akan luput dan mesyuarat selanjutnya perlu dipanggil (s260(7)&(8))

dan hendaklah:

  • memberikan notis kepada pemiutang tidak kurang daripada 7 hari penuh
  • mengirimkan kepada tiap-tiap pemiutang bersama-sama dengan notis itu suatu penyata yang menyenaraikan nama semua pemiutang dan amaun tuntutan masing-masing: s260(2)
  • notis mesyuarat itu perlu diiklan tujuh hari sebelum tarikh mesyuarat dalam akhbar yang mempunyai edaran di seluruh Malaysia: s260(3); pengarah-pengarah boleh melantik seorang daripada ahli mereka untuk hadir, dan boleh dilantik oleh pemiutang untuk mempengerusikan mesyuarat itu: s260(4)(b)&(6).

Langkah kelima, pada mesyuarat pemiutang:

  • pengarah yang dilantik oleh lembaga pengarah untuk menghadiri mesyuarat hendaklah mempengerusikan mesyuarat dan setiausaha hendaklah menghadirinya dan hendaklah mendedahkan kepada mesyuarat hal-ehwal syarikat dan hal keadaan yang membawa kepada cadangan penggulungan titu: s260(4)(b)&(5).
  • suatu penyata lengkap mengenai hal-ehwal syarikat (dengan menunjukkan aset-aset dan kaedah dan cara mana penilaian aset-aset itu dibuat) bersama-sama dengan sesenarai pemiutang dan amaun anggaran tuntutan masing-masing perlu dibentangkan di hadapan mesyuarat pemiutang: s260(4)(a)
  • seorang penyelesai bolehlah dicalonkan. Jika pemiutang dan syarikat itu mencalonkan orang yang berbeza sebagai penyelesai, maka orang yang dicalon oleh pemiutang yang akan menjadi penyelesai. Jika tiada siapa yang dicalon oleh pemiutang, orang yang dicalonkan oleh syarikat yang akan menjadi penyelesai: s260(1)
  • suatu jawatankuasa penyiasatan boleh dilantik, mengandungi tidak melebihi lima orang: s262(1). Jika meysurat agung luar biasa ditangguhkan dan ketetapan untuk penggulungan diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa yang tertangguh, mana-mana ketetapan yang diluluskan pada mesyuarat pemiutang hendaklah berkuatkuasa seolah-olah telah diluluskan sebaik sahaja selepas kelulusan ketetapan penggulungan: s260(9)
  • penyelesai hendaklah dalam tempoh 14 hari daripada perlantikannya menyerahkan kepada Pendaftar Syarikat dan Pegawai Penerima notis megenai perlantikannya dan alamat pejabatnya dalam Borang 73: s280(1)
  • syarikat hendaklah menyebabkan ungkapan "dalam penggulungan" ("in liquidation") dicatatkan selepas nama syarikat pada tiap-tiap invois, pesanan barangan atau surat urusan yang dikeluarkan oleh atau bagi pihak syarikat atau pemiutang: s283(1)
  • penyelesai kemudiannya akan memberi notis kepada juruaudit, bank, peguamcara, pembekal, pelanggan dan kakitangannya mengenai perlantikannya sebagai penyelesai. Penyelesai hendaklah kemudiannya mengambilalih aset-aset syarikat dan memindahkan kepada namanya sebagai penyelesai, menukar penandatangan bank atau menutup akaun semasa syarikat dan membuka akaun semasa yang baru (dalam penggulungan). Dengan terlantiknya penyelesai, kuasa pengarah-pengarah berakhir, melainkan atas persetujuan jawatankuasa penyiasatan atau pemiutang: s261(4).

Kesan Kepada Harta dan Prosiding

Semua penahanan (attachment), sekuestrasi (sequestration), distres (distress ) atau penyempurnaan (execution) yang berkuatkuasa terhadap estet (estate) atau yang memberi kesan kepada syarikat selepas bermulanya penggulungan secara sukarela oleh anggota hendaklah batal: s263(1). Selepas bermulanya penggulungan, tiada tindakan atau prosiding boleh berjalan dengan atau dimulakan terhadap syarikat melainkan jika mendapat pelepasan Mahkamah dan tertakluk kepada terma-terma yang dikenakan oleh Mahkamah: s263(2).