ke laman utama syarikat.com
KE LAMAN BERIKUTNYA
 
PENYUMBANG (CONTRUBUTORIES)

Penyumbang (contributory) adalah seseorang yang bertanggungan untuk menyumbangkan kepada aset syarikat jika syarikat digulung. Bila syarikat digulung tiap-tiap anggota dahulu dan sekarang hendaklah bertanggungan untuk menyumbangkan kepada aset syarikat kepada amaun yang mencukupi untuk membayar hutang dan liabiliti dan kos caj dan perbelanjaan penggulungan, tertakluk kepada yang berikut (s214):

  • anggota dahulu tidak bertanggungan untuk menyumbang jika dia terhenti menjadi anggota selama setahun atau lebih sebelum bermulanya penggulungan.
  • anggota dahulu tidak bertanggungan untuk menyumbang berkaitan dengan apa-apa hutang atau liabiliti syarikat yang dibuat selepas dia terhenti daripada menjadi anggota.
  • anggota dahulu tidak bertanggungan untuk menyumbang melainkan jika kelihatan kepada Mahkamah bahawa anggota sekarang tidak berkeupayaan untuk memuaskan (satisfy) penyumbang seperti yang dikehendaki dibuat oleh mereka menurut Akta
  • bagi syarikat yang terhad mengikut syer (company limited by shares), sumbangan tidak perlu dibuat oleh mana-mana anggota melebihi amaun yang tidak berbayar bagi syer yang dia bertanggungan sebagai anggota dahulu dan sekarang
  • bagi syarikat yang terhad mengikut jaminan (company limited by guarantee), sumbangan tidak perlu dibuat oleh mana-mana anggota melebihi amaun yang diakujanji (undertaking) olehnya kepada aset syarikat jika berlaku penggulungan.
  • bagi syarikat yang terhad mengikut jaminan yang bermodal syer (company limited by shares with share capital), sebagai tambahan kepada amaun yang diakujanji (seperti yang tersebut di atas), anggota juga hanya perlu menyumbang setakat amaun syer tak berbayar yang dipeganginya.
  • mana-mana peruntukan yang terkandung dalam apa-apa polisi insurans atau kontrak lain di mana liabiliti anggota individu ke atas polisi atau kontrak adalah terbatas atau jika dana syarikat sahaja yang dipertanggungkan berkaitan dengan polisi atau kontrak itu hendaklah tidak menjadi tak sah (invalid).
  • amaun yang kena dibayar kepada mana-mana anggota atas sifatnya sebagai anggota melalui dividen, keuntungan atau selainnya bukanlah hutang syarikat yang kena dibayar kepada anggota berkenaan dalam kes berlakunya persaingan di antara dirinya dengan pemiutang lain yang tidak menjadi anggota syarikat, tetapi mana-mana amaun berkenaan boleh diambilkira bagi tujuan perkiraan akhir (final judgement) mengenai hak penyumbang sesama mereka.

Liabiliti penyumbang hendaklah mewujudkan hutang terakru (accrued debt) yang kena dibayar olehnya pada pasa liabilitinya bermula tetapi kena dibayar pada masa panggilan dibuat untuk menguatkuasakan liabiliti: s215.

Jika penyumbang meninggal dunia (sama ada sebelum atau selepas dia disenaraikan dalam senarai penyumbang), wakil dirinya hendaklah bertanggungan dalam proses pentadbiran (administration) untuk menyumbang kepada aset syarikat dalam melepaskan liabilitinya dan hendaklah menjadi penyumbang. Jika mereka ingkar dalam membayar apa-apa wang yang diperintahkan supaya dibayar oleh mereka, prosiding boleh diambil untuk mentadbir harta pusaka penyumbang yang maningggal dunia itu dan sebagai bayaran paksaan (compelling payment) daripada wang yang kena dibayar: s216(1).

Jika penyumbang menjadi bankrap atau menyerahhakan estetnya untuk kepentingan pemiutangnya, sama ada sebelum atau selepas dia telah diletakkan dalam senarai penymbang:

  • pemegang amanahnya hendaklah mewakilinya dalam semua tujuan penggulungan dan hendaklah menjadi penyumbang
  • kemungkinan boleh dibuktikan terhadap estetnya nilai anggaran liabilitinya bagi panggilan masa depan dan juga sebagai panggilan yang telah dibuat: s216(2).

Liabiliti Tidak Terhad Pengarah-Pengarah

Dalam penggulungan sesebuah syarikat berhad, mana-mana pengarah sama ada yang sekarang atau yang dahulu, jika liabiliti mereka adalah tidak terhad, hendaklah sebagai tambahan kepada liabilitinya, jika ada, untuk menyumbang sebagaimana seorang anggota biasa, bertanggungan untuk membuat sumbangan sebagaimana jika dia adalah seorang anggota sebuah syarikat berhad, pada masa bermulanya penggulungan, tetapi tertakluk kepada yang berikut:

  • pengarah yang dahulu tidak bertanggungan untuk membuat sumbangan lanjut jika dia terhenti daripada memegang jawatan selama setahun atau lebih sebelum bermulanya penggulungan
  • pengarah yang lepas tidak bertanggungan untuk membuat sumbangan lanjut berkaitan dengan apa-apa hutang atau liabiliti syarikat yang diabuat selepas dia terhenti daripada memegang jawatan
  • tertakluk kepada Perkara-perkara Persatuan syarikat, seseorang pengarah hendaklah tidak bertanggungan untuk membuat sumbangan lanjut, melainkan jika Mahkamah meyifatkannya sebagai perlu untuk membuat sumbangan bagi menyelesaikan hutang atau liabiliti syarikat, dan kos, caj dan perbelanjaan penggulungan.

Jawatankuasa Penyiasat (Committee Of Inspection)

Suatu jawatankuasa penyiasat berfungsi untuk membantu dan menyelia tidakan penyelesai. Dalam penggulungan sukarela oleh pemiutang, pemiutang boleh, dalam mesyuarat yang dipanggil (summoned) oleh syarikat atau dalam mana-mana mesyuarat berikutnya, melantik suatu jawatankuasa penyiasat yang mengandungi tidak lebih daripada lima orang, sama ada terdiri daripada pemiutang atau tidak. Jika pemiutang melantik jawatankuasa berkenaan, syarikat dengan itu layak (dalam mesyuarat agung di mana ketetapan untuk penggulungan diluluskan atau pada bila-bila masa selepas mesyuarat agung itu) melantik lima orang untuk bertindak sebagai anggota kepada jawatankuasa itu. Pemiutang bagaimanapun boleh memutuskan bahawa semua atau mana-mana daripada lima orang itu yang dilantik oleh syarikat sepatutnya tidak menjadi anggota jawatankuasa, dan dengan itu, melainkan jika Mahkamah mengarahkan sebaliknya, mereka tidak boleh bertindak dalam jawtankuasa itu: s262(1) & (2).

Seseorang anggota jawatankuasa mempunyai kedudukan fidusiari dan tidak boleh, misalnya membeli apa-apa aset syarikat daripada penyelesai melainkan jika mendapat pelepasan Mahkamah. Jawatankuasa boleh bermesyuarat pada suatu selang waktu sebagaimana ianya boleh dengan sendirinya melantik atau bermesyuarat secara bulanan.