Make your own free website on Tripod.com
ke laman utama syarikat.com
 
 
[Makalah ini diambil daripada kertas kerja Md Rodzi Harun di Seminar dan Forum "Etika Pengarah Syarikat: Ketulusan dan Ketelusan Perkhidmatan" anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan. Edisi Video daripada pembentangan kertas kerja ini boleh dipesan melalui agensi berkenaan]

MUQADDIMAH

Assalamu ‘Alaikum wmth., wbth.

Kertas ini barangkali bukan merupakan suatu kertas kerja tetapi mungkin lebih sebagai suatu risalah mudah yang disediakan sebegitu rupa yang bersesuaian dengan niat saya untuk menyampaikan maklumat dan jika mungkin, sedikit ilmu, berkenaan dengan tanggungjawab pengarah syarikat daripada perspektif undang-undang dan amalan syarikat. Kandungan kertas ini ditujukan khusus untuk ditatapi, supaya difahami dan dihayati oleh pengarah-pengarah syarikat kerajaan khususnya dan pengarah-pengarah syarikat lain amnya. Pada amnya kertas ini cuba menggariskan dengan jelas isu-isu terpilih mengenai tanggungjawab pengarah syarikat yang pada pandangan saya sering disalahanggapkan. Inti pati kertas ini lebih ke arah membetulkan salah anggapan dan salah tafsiran berkenaan. Kertas ini tidak membincangkan tajuk ini secara ilmiah dan tidak sekali-kali merupakan suatu wacana ilmiah!

Saya memilih ungkapan tanggungjawab (sebagai menggantikan ungkapan kewajipan) sebagai tajuk kertas ini kerana dua sebab. Pertamanya, saya berkeyakinan bahawa ungkapan tanggungjawab itu lebih luas rangkuman maknanya daripada ungkapan kewajipan. Dalam konteks kertas ini, saya merujuk istilah tanggungjawab sebagai merangkumi tiga komponen: kewajipan, liabiliti dan kesalahan. Keduanya, kerana saya percaya kebanyakan orang lebih dapat menerima ungkapan tanggungjawab daripada ungkapan kewajipan.

Bagi memampatkan perbincangan, saya memilih tajuk apitan, "Menangani Masalah, Membetulkan Anggapan" bagi mendedahkan beberapa masalah kepengarahan syarikat yang perlu diselesaikan dan dalam masa yang sama untruk menggambarkan betapa perlunya kesemua salah anggapan mengenai tanggungjawab pengarah syarikat dibetulkan dan dikikiskan daripada hati sanubari pengarah-pengarah syarikat. Sepanjang perbincangan ini saya cuba mengenengahkan betapa seseorang pengarah itu menanggung amanah undang-undang yang bukan sahaja berat, tetapi amat kompleks.Segalanya bergantung kepada sejauh manakah seseorang pengarah syarikat itu benar-benar memahami dan menghayati tanggungjawab mereka di sisi undang-undang.Perbincangan ini akan menyentuh sebelas isu utama: konsep pengarah bayangan, pengarah eksekutif, pengarah urusan, pengerusi, perlantikan pengarah, ruang lingkup kuasa pengarah, hak saraan pengarah, pertentangan kepentingan, tanggungjawab untuk membentangkan akaun syarikat, liabiliti sendiri pengarah syarikat, dan paling utama sepintas lalu mengenai penguasaan dan pengurusan korporat (corporate governance).

Sepanjang perbincangan ini, ungkapan syarikat adalah merujuk kepada syarikat yang diperbadankan atau didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 atau enakmen-enakmen yang sama sebelumnya., melainkan konteksnya merujuk sebagai sebaliknya. Ungkapan syarikat kerajaan pula merujuk kepada syarikat yang kerajaaan (melalui agensinya) mempunyai kepentingan majoriti atau keseluruhannya. Semua peruntukan Akta yang dirujuk (yang disebut sebagai Akta atau seksyen tertentu) adalah merujuk kepada Akta Syarikat 1965, melainkanlah disebutkan secara nyata sebagai sebaliknya. Dalam merujuk kepada perlembagaan syarikat, Jadual A kepada Jadual Keempat, Akta Syarikat 1965 dirujuk sebagai panduan. Keputusan-keputusan Mahkamah yang dirujuk dalam perbincangan ini tidak semestinya mengikat di Malaysia (walaupun kebanyakannya merupakan suatu kes yang meyakinkan), tetapi lebih merupakan suatu ilustrasi untuk rujukan dan panduan perbincangan sahaja.

SEPINTAS LALU MENGENAI MEKANISME SYARIKAT

Daripada perspektif undang-undang, syarikat digerakkan oleh dua mekanisme, iaitu pengarah-pengarah yang bertindak secara kolektif dalam lembaga pengarah dan pemegang-pemegang syer yang bertindak secara kolektif dalam mesyuarat agung. Saya menyebut kolektif bagi menunjukkan bahawa tindakan secara individu oleh pengarah atau pemegang syer pada amnya tidak membawa sebarang kuatkuasa undang-undang.

Bentuk corporate governance di Malaysia biasanya memberikan kuasa pengurusan kepada pengarah-pengarah. Peranan pemegang-pemegang syer hanyalah sebagai pelabur modal dalam bentuk syer. Apabila hampir keseluruhan kuasa pengurusan diberikan kepada pengarah-pengarah, maka dengan sendirinya mereka mempunyai kuasa yang dominan. Lebih daripada itu pengarah disifatkan oleh undang-undang sebagai mewakili akal dan kemahuan syarikat. Saya ingin memetik dikta yang masyhur daripada Lord Denning MR dalam kes HL Bolton Engineering Co Ltd lwn TJ Graham & Sons Ltd (1957) 1 QB 159, 172, yang pengertiannya dalam bahasa Melayu seperti yang berikut:

"Dalam banyak hal syarikat boleh disamakan dengan sepasang tubuh manusia. Syarikat mempunyai otak dan pusat saraf yang mengawal apa yang dilakukannya. Syarikat juga mempunyai sepasang tangan yang memegang alat-alat dan bertindak mengikut arahan daripada pusat. Sebahagian orang dalam syarikat hanyalah semata-mata ejen dan pengkhidmat yang tidak lebih daripada sepasang tangan yang hanya melakukan kerja dan oleh itu tidak boleh dikatakan mewakili akal dan kemahuan syarikat. Yang lain pula adalah pengarah-pengarah dan pengurus-pengurus yang mewakili akal dan kemahuan langsung syarikat. Merekalah yang mengarah dan mengawal perlakuan syarikat. Keadaan akal pengurus-pengurus ini adalah keadaan akal syarikat dan boleh dianggap oleh undang-undang sebagai sedemikian."

Pengajaran daripada dikta tersebut ialah, mekanisme syarikat itu digerakkan oleh pengarah-pengarah dan oleh itu merekalah yang akan menanggung liabiliti! Komponen lain dalam syarikat, misalnya pekerja, adalah semata-mata tangan-tangan yang hanya bergerak dan digerakkan dengan izin dan arahan pengarah. Apabila berlaku sesuatu yang tidak kena, pengarah-pengarahlah yang dicari dan terkena badinya!

Adatnya apabila seseorang itu mempunyai terlalu banyak kuasa (dengan restu sistem ‘corporate governance’ yang sedia ada), sudah tentulah dia akan tercenderung untuk menyalahgunakan kuasa yang ada itu. Pihak yang menerima akibat daripada penyalahgunaa kuasa ini ialah pemegang-pemegang syer sebagai pelabur modal dan anggota syarikat. Bagi membanteras kecenderungan itu, undang-undang yang khusus perlu dikenakan kepada pengarah-pengarah. Pada masa ini ada dua bentuk undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas pengarah: pertamanya undang-undang luaran dalam bentuk Akta, dan keduanya melalui undang-undang dalaman, iaitu perlembagaan syarikat.

Undang-undang luaran yang berkaitan dengan pengarah syarikat bukan sahaja terkandung dalam Akta Syarikat 1965 atau statut subsidiarinya sahaja, tetapi juga bersumberkan kepada keputusan-keputusan mahkamah yang berkaitan yang mengikat di Malaysia. Sebagai pilihan, bagi menguatkan penguatkuasaan ke atas pengarah-pengarah undang-undang membenarkan perlembagaan syarikat (Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan) didraf sebegitu rupa yang dapat menambahkan keberkesanan penguatkuasaan itu. Terpulanglah kepada syarikat untuk melaksanakannya. Ini juga bergantung kepada kebijaksanaan corporate governance yang dimanfaatkan.

PERANAN PENGARAH

Kenapa anda memegang jawatan pengarah? Terdapat sekurang-kurangnya dua sebab. Pertamanya, anda mungkin bersama-sama dengan orang lain menubuhkan syarikat untuk menjalankan sesuatu perniagaan; dan pastinya (jika anda seorang yang bijaksana) anda akan bertindak sebagai pengarah kepada syarikat yang ditubuhkan itu. Keduanya, anda dijemput oleh sesuatu pihak untuk menjadi pengarah dalam syarikat yang dimiliki oleh pihak berkenaan. Saya percaya kebanyakan daripada anda adalah daripada kategori yang kedua ini.

Pengarah ialah orang biasa yang berumur tidak kurang daripada 18 tahun, berfikiran waras (tidak semestinya bijaksana) dan tidak bankrap. Kewajipan anda sebagai pengarah adalah kepada syarikat satu-satunya! Tugas anda sebagai pengarah adalah untuk memastikan kesejahteraan syarikat. Anda berkewajipan untuk mengutamakan kepentingan syarikat mengatasi semua kepentingan lain, sama ada kepentingan pemegang syer, pekerja, pemiutang, negara, atau diri anda sendiri. Ini kerana, jika syarikat tidak wujud, pemegang syer akan kehilangan nilai pelaburan mereka, pekerja akan hilang pekerjaan, pemiutang akan kehilangan peluang untuk mendapatkan semula hutang yang mereka berikan, pembekal akan kehilangan pelanggan, negara akan kehilangan warga korporat, dan anda akan kehilangan jawatan anda sebagai pengarah! Sebagai seorang pengarah anda hendaklah sentiasa bertindak berjaga-jaga supaya tidak berlaku sebarang pertentangan kepentingan di antara kewajipan kepada syarikat dengan kepentingan diri sendiri.

Seseorang pengarah berperanan sebagai ejen syarikat. Walaupun syarikat adalah suatu entiti undang-undang yang berasingan, ia tidak boleh menjalankan urusannya sendiri. Ia perlu bertindak melalui lembaga pengarahnya, atau melalui pegawai atau kakitangannya yang diberikuasa oleh lembaga pengarah. Dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat, lembaga pengarahlah yang diberikan kuasa untuk mengurus syarikat, kecuali dalam perkara-perkara yang Akta atau Perkara-perkara Persatuan sendiri yang menguntukkannya kepada pemegang syer dalam mesyuarat agung.

ISU 1:

Apabila Pengarah Syarikat Didalangi atau Dibayangi: campur tangan pihak yang berada di luar lembaga pengarah

Isu ini merupakan isu biasa dalam syarikat-syarikat kerajaan. Walaupun tidak ada kajian rasmi dibuat, berasaskan pengalaman saya berkeyakinan penuh bahawa terdapat campur tangan yang jelas oleh pihak-pihak luar dalam pengurusan dan proses membuat keputusan dalam lembaga pengarah syarikat. Ironik lagi ialah wujudnya proses penilaian semula oleh organ lain terhadap keputusan yang telah dibuat oleh lembaga pengarah sesebuah syarikat kerajaan. Tanpa menafikan yang unsur campur tangan sebegini mempunyai beberapa kebaikan, saya ingin menegaskan bahawa perlakuan sedemikian akan membawa implikasi undang-undang yang serius kepada pihak yang campur tangan. Ini kerana, walaupun pihak berkenaan tidak pernah dilantik sebagai pengarah, namun bagi maksud menanggung liabiliti daripada perbuatan campur tangan itu pihak berkenaan itu tetap dianggap oleh undang-undang sebagai pengarah syarikat yang terlibat. Ini kerana seksyen 4 menakrifkan pengarah sebagai yang berikut:

"...mana-mana orang, tidak kira dengan apa jua namanya disebut, yang memegang jawatan pengarah sesuatu syarikat, dan termasuklah seorang yang mengikut arahan-arahan atau petunjuk-petunjuknya pengarah-pengarah syarikat itu lazimnya bertindak dan seorang pengarah gilir atau ganti."

Pengarah bayangan ialah seseorang yang arahan-arahan atau petunjuk-petunjuknya dipatuhi dan diikuti oleh pengarah-pengarah yang dilantik. Dalam bahasa yang mudah jika seseorang yang tidak duduk dalam lembaga pengarah memberi arahan atau petunjuk kepada lembaga pengarah dan arahan atau petunjuk itu lazimnya diikuti atau dipatuhi oleh lembaga pengarah, maka orang berkenaan disifatkan sebagai pengarah bayangan.

Konsep pengarah bayangan ini boleh dengan mudah difahami jika kita merujuk kepada istilah shadow directors dalam bahasa Inggeris yang pada pendapat saya boleh juga diterjemahkan sebagai pengarah wayang kulit! Mengikut konsep ini, pihak luar berkenaan bertindak sebagai dalang yang mengawal setiap pergerakan lembaga pengarah yang bertindak sebagai pelakon terhormat.

Sebagai pedoman, berdasarkan kepada beberapa kes mahkamah, yang berikut pernah diputuskan sebagai pengarah bayangan:

  1. bank yang mencampuri dan mempengaruhi keputusan lembaga pengarah syarikat;
  2. pemegang-pemegang syer yang menguasai syarikat induk: Kuwait Asia Bank EC lwn National Mutual Life Nominees Ltd (1990) BCC 567.

Ketiga-tiga orang atau institusi yang tersebut tidaklah secara automatik dianggap sebagai pengarah bayangan. Ianya bergantung kepada hal keadaan sesuatu kes itu dan sejauh mana mereka mencampuri dan mempengaruhi keputusan lembaga pengarah sesebuah syarikat. Perlu ditegaskan bahawa tujuan undang-undang menganggap seseorang sebagai pengarah bayangan hanyalah sebagai mekanisme untuk mensabitkan seseorang kepada sesuatu liabiliti di sisi undang-undang dan tidak sekali-kali untuk memberikan hak kepada orang berkenaan sebagai seorang pengarah dalam sesebuah syarikat. Janganlah hendaknya kita beranggapan bahawa kita boleh menikmati hak sebagai pengarah dengan melakukan sesuatu supaya kita dikategorikan sebagai pengarah bayangan. Ingatlah bahawa peruntukan mengenai pengarah bayangan dalam seksyen 4 Akta adalah suatu senjata ampuh dan jalan singkat lagi mudah untuk mengheret seseorang kepada serentetan kesalahan di bawah Akta.

Seseorang yang melantik orang lain sebagai proksi bagi mewakili kepentingannya dalam lembaga pengarah tidaklah secara automatik boleh dianggap sebagai pengarah bayangan selagi arahan-arahan atau petunjuk-petunjuknya tidak dipatuhi dan diikuti oleh pengarah proksi berkenaan. Begitu jugalah dengan seseorang yang menasihatkan pengarah-pengarah syarikat atas keupayaan profesional tidak juga boleh dianggap sebagai pengarah bayangan walaupun nasihatnya itu lazim dipatuhi dan diikuti oleh pengarah-pengarah syarikat, selagi tidak melangkaui batas profesionalnya: Kuwait Asia Bank EC lwn National Mutual Life Nominees Ltd (1990) BCC 567

Bagaimana mengelak daripada terjebak dalam jerangkap pengarah bayangan yang dipasang siap oleh undang-undang? Jalan terbaiknya ialah dengan tidak campur tangan langsung dalam urusan lembaga pengarah. Jika anda terpaksa atau berminat untuk campur tangan dalam urusan lembaga pengarah elakkan daripada meninggalkan bekas-bekas yang boleh dimanfaatkan sebagai suatu keterangan.

Saya berpendapat bahawa isu pengarah bayangan ini menimbulkan kemelut yang serius dalam syarikat-syarikat kerajaan. Bagi syarikat anak kepunyaan keseluruhan (wholly-owned subsidiary) sesebuah agensi kerajaan, kewujudan pengarah bayangan adalah suatu keperluan. Ini kerana, tanpa campur tangan agensi berkaitan dalam lembaga pengarah syarikat, pengarah-pengarah yang kebetulan pula adalah terdiri daripada pegawai-pegawai agensi itu sendiri akan bebas sebebas-bebasnya untuk membuat keputusan yang pastinya akan menyimpang daripada objektif sebenar agensi berkenaan. Jika begitu keadaannya, bagaimana cara mengatasinya. Secara peribadi saya mempunyai dua cadangan. Pertamanya, jika benarlah pengarah bayangan itu diperlukan sesuatu perlu dilakukan dengan meminda perlembagaan syarikat sedemikian rupa yang memungkinkan mana-mana wakil korporat agensi berkaitan diiktiraf sebagai pengarah penguasa (governing director) yang mempunyai kuasa melampaui kuasa lembaga pengarah. Keduanya, seksyen 4 perlu rasanya dipinda supaya takrifan pengarah bayangan sebagai tidak termasuk agensi kerajaan atau wakil korporatnya dalam syarikat anak kepunyaan keseluruhan.

ISU 2:

Eksklusifnya Pengarah Eksekutif: benarkah Pengarah Eksekutif benar-benar mempunyai kedudukan yang eksekutif dan eksklusif?

Telah menjadi tanggapan umum bahawa pengarah eksekutif itu seolah-olah mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada pengarah bukan eksekutif. Anggapan sedemikian adalah salah sama sekali dan menyimpang jauh daripada prinsip undang-undang. Di sisi undang-undang, pada amnya semua pengarah mempunyai kuasa yang sama rata apabila bertindak secara bersama dalam lembaga pengarah dan tidak mempunyai sebarang kuasa apabila bertindak berseorangan di luar keizinan lembaga pengarah.

Siapakah pengarah eksekutif? Dengan menamakan seseorang sebagai pengarah eksekutif tidaklah akan menjadikannya seorang pengarah eksekutif. Seseorang dianggap sebagai pengarah eksekutif oleh undang-undang jika orang berkenaan tertakluk kepada perjanjian perkhidmatan dengan syarikat yang melantiknya sebagai pengarah. Dalam konteks syarikat kerajaan, pengarah eksekutifnya ialah seseorang yang mempunyai dan tertakluk kepada perjanjian perkhidmatan dengan syarikat kerajaan yang berkenaan. Seseorang eksekutif kepada sesebuah agensi kerajaan yang dilantik untuk mewakili agensi berkenaan sebagai pengarah dalam syarikat yang agensi berkenaan mempunyai kepentingan tidaklah semestinya menjadi seorang pengarah eksekutif dalam syarikat kerajaan itu selagi dia tidak mempunyai apa-apa perjanjian perkhidmatan dengan syarikat yang dia menjadi pengarah itu.

Walaupun pengarah eksekutif mempunyai kuasa yang sama rata sahaja dengan pengarah-pengarah lain, tetapi dalam konteks tanggungjawab, dia dikenakan tanggungjawab yang lebih berat dan bersifat objektif oleh undang-undang berbanding dengan pengarah-pengarah bukan eksekutif. Jika pengarah bukan eksekutif hanya bertanggungjawab ketika mengambil bahagian dalam mesyuarat lembaga pengarah sahaja, pengarah eksekutif mempunyai tanggungjawab secara sepenuh masa dan perlu pula menggunakan kemahiran dan usaha yang bersesuaian dengan kepakaran dan tugasan yang diberikannya: AWA Ltd v Daniels (1992) 10 ACLC 933. Bolehlah dikatakan bahawa pengarah eksekutif bertanggungjawab secara sepenuh masa kepada syarikat dan tertakluk kepada senarai tugas (jika ada) yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

ISU 3:

Pengarah Urusan Memimpin atau Dipimpin: benarkah Pengarah Urusan berkuasa dan berkedudukan lebih tinggi daripada ahli lembaga pengarah yang lain?

Salah satu salah anggapan yang meluas mengenai pengarah urusan ialah, pengarah urusan seolah-olah mempunyai kuasa yang lebih daripada pengarah-pengarah lain dan memimpin lembaga pengarah. Lanjutan daripada salah anggapan sebegini pengarah urusan sering mempunyai prestij yang tinggi dan menjadi ikutan ahli-ahli lembaga pengarah yang lain.

Di sisi undang-undang pengarah urusan hanya boleh dilantik jika terdapat peruntukan mengenai perlantikannya dalam perlembagaan syarikat. Perkhidmatan dan kuasanya juga tertakluk kepada peruntukan perlembagaan syarikat. Pengarah urusan tidak semestinya mempunyai kuasa yang luas dan tertinggi dalam hierarki kuasa dalam lembaga pengarah syarikat. Keluasan kuasa dan ketinggian hierarkinya dalam pengurusan syarikat bergantung kepada peruntukan perlembagaan syarikat dan bentuk mandat yang diberikan oleh lembaga pengarah kepadanya. Ruang lingkup kuasanya juga tertakluk kepada apa-apa pengubahan oleh lembaga pengarah dari semasa ke semasa.

Persoalannya ialah, bagaimana mungkin pengarah urusan mempunyai kuasa yang mengatasi lembaga pengarah jika kuasanya sendiripun diberikan oleh lembaga pengarah dan boleh diubahsuai dan ditarik balik oleh lembaga pengarah? Pengarah urusan sebenarnya hanyalah wakil lembaga pengarah untuk melaksanakan kerja-kerja harian yang tidak memerlukan kepada ketetapan oleh lembaga pengarah. Kerja yang dilakukan oleh Pengarah Urusan bukanlah kerja besar yang tidak dapat dilakukan lembaga pengarah tetapi sebaliknya adalah kerja kecil dan berulang-ulang yang membosankan lembaga pengarah!

ISU 4:

Kerusi Seorang Pengerusi: benarkah Pengerusi merupakan tonggak utama dalam hierarki syarikat

Pengerusi selalu dianggap sebagai menduduki kerusi yang empuk dan mempunyai keistimewaan yang mengatasi segala-galanya dalam syarikat. Akibatnya jawatan dan pemegang jawatan itu dihormati, dan ada kalanya dihormati serta dianggap mempunyai unsur keramat dalam hal-ehwal syarikat. Keputusan yang dibuat oleh pengerusi bukan sahaja dihormati tetapi seolah-olah tidak boleh disangkal.

Realiti sebenarnya (di sisi-sisi undang-undang) amat jauh berbeza. Di sisi undang-undang, pengerusi tidak mempunyai apa-apa kelebihan dan tidak mempunyai apa-apa kuasa istimewa yang mengatasi kuasa lembaga pengarah. Pengerusi hanyalah seorang pengarah yang diberi tanggungjawab mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah dan pada adatnya mempengerusikan juga mesyuarat agung. Perkara-perkara Persatuan syarikat hanya memberikan empat kuasa kepada pengerusi: mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah (perkara 85, Jadual A), menandatangani minit mesyuarat (seksyen 156), dan jika berlaku persamaan undi dalam mesyuarat, pengerusi mempunyai undi pemutus (perkara 53, Jadual A), dan akhir sekali, jika berlaku kacau bilau atau kaca ganggu dalam mesyuarat, pengerusi boleh menggunakan budi bicaranya untuk menangguhkan mesyuarat.

‘A chairman is nothing more than a man on a chair’. Jika diberi kerusi, ia duduk, jika ditarik kerusinya, ia akan jatuh. Begitulah ibarat kuasa seorang pengerusi. Kuasanya sentiasa tertakluk kepada restu setiap masa oleh orang yang memberinya kuasa!

ISU 5:

Perlantikan Pengarah Syarikat Kerajaan: siapa yang melantik?

Bagi syarikat kerajaan khususnya, pengarah seringkali dianggap sebagai dilantik oleh agensi kerajaan tertentu atau oleh pemimpin politik tertentu. Anggapan sebegini adalah tidak tepat sama sekali. Tidak ada sebarang kuasa (melainkan jika diperuntukkan secara khusus dalam perlembagaan syarikat bahawa pengarah boleh dilantik oleh agensi atau pemimpin politik tertentu) dalam perlembagaan syarikat atau Akta yang memberikan kuasa perlantikan yang sebegitu rupa. Pengarah biasanya dilantik oleh mesyuarat agung, atau ada kalanya terdapat peruntukan yang memberikuasa perlantikan kepada lembaga pengarah. Jika pun berlaku perlantikan pengarah yang kelihatan seolah-olah dilantik oleh agensi kerajaan tertentu atau pemimpin politik tertentu ianya tidak lebih daripada suatu syor atau perakuan yang boleh ditolak (atau diterima) oleh mesyuarat agung atau mesyuarat lembaga pengarah (mana yang berkenaan) tanpa banyak soal. Suatu isu yang menarik daripada perlantikan pengarah ialah pengarah yang dilantik itu berkecenderungan untuk setia kepada pihak atau orang yang melantiknya, bukannya kepada syarikat yang dia menjadi pengarah! Herotan pandangan ini perlu diperbetulkan segera.

ISU 6:

Ruang Lingkup Kuasa Pengarah: tiada beban batu digalas

Ada juga anggapan bahawa apabila menjadi pengarah dengan sendirinya seseorang itu mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak syarikat. Terdapat juga anggapan bahawa lembaga pengarah mempunyai kuasa yang tidak boleh dicabar oleh sesiapa. Kedua-dua anggapan itu adalah suatu salah anggapan yang bertentangan dengan semangat undang-undang.

Sebenarnya kuasa pengarah dilaksanakan melalui mesyuarat lembaga pengarah, dan bukannya melalui budi bicara individu pengarah berkenaan. Kuasa yang ada pada lembaga pengarah pula ditentukan oleh kebijaksanaan corporate governance melalui draf perlembagaan syarikat. Misalnya, bagi syarikat yang menerima pakai Jadual A keseluruhannya sebagai Perkara-perkara Persatuannya, perkara 73, Jadual A memperuntukkan:

"Pengarah-pengarah boleh menjalankan semua kuasa syarikat untuk meminjam wang dan untuk menggadai atau menanggung akujanji, harta, daripada modal yang tidak dipanggil, atau mana-mana bahagian daripada itu dan menerbitkan lain-lain debentur dan lain-lain jaminan sama ada secara langsung atau sebagai jaminan untuk mana-mana hutang, tanggungan, atau tanggungjawab terhadap syarikat atau terhadap mana-mana pihak ketiga"

Peruntukan tersebut memberikuasa kepada pengarah untuk mengurus perniagaan syarikat dan untuk menjalankan semua kuasa yang ada pada syarikat. Dalam menjalankan kuasanya, pengarah-pengarah membuat keputusan dalam ruang lingkup keupayaan syarikat seperti yang ditetapkan dalam fasal tujuan-tujuan dalam Memorandum Persatuan syarikat.

Jelaslah bahawa lembaga pengarah perlu diberikuasa terlebih dahulu oleh syarikat melalui Perkara-perkara Persatuan dan dalam masa yang sama sentiasa tertakluk kepada pengubahsuaian kuasanya (melalui kebijaksanaan corporate governance) oleh mesyuarat agung, dan peruntukan tertentu dalam Akta yang seolah-olah menganugerahkan beberapa kuasa eksklusif dan sentimental kepada pemegang syer dalam mesyuarat agung.

Sebagai panduan, pengarah-pengarah tidak mempunyai kuasa dalam perkara-perkara yang berikut:

(a) jika Akta menghendaki supaya keputusan dibuat oleh anggota-anggota dalam mesyuarat agung;

(b) jika Perkara-perkara Persatuan sendiri menghendaki supaya keputusan dibuat oleh anggota-anggota dalam mesyuarat agung.

Ini bermakna bahawa terdapat beberapa kuasa yang ditetapkan oleh Akta sebagai kuasa mutlak pemegang syer. Begitu juga (melalui kebijaksanaan corporate governance) mana-mana kuasa boleh diserahkan kepada pemegang syer melalui mesyuarat agung oleh peruntukan Perkara-perkara Persatuan syarikat. Selain daripada kuasa eksklusif pemegang syer yang dianugerahkan oleh Akta dan, perlembagaan syarikat (melalui peruntukan Perkara-perkara Persatuan) boleh distrukturkan dengan sebegitu rupa yang mengagihkan kuasa tertentu kepada pemegang syer atau pengarah-pengarah.

Walaupun mempunyai kuasa yang diperlukan, keputusan yang dibuat oleh pengarah-pengarah adalah tak sah jika mereka tidak menjalankan kuasa yang ada itu dengan cara yang mengikut pandangan mereka adalah untuk kepentingan syarikat keseluruhannya atau jika mereka tidak menjalankan kuasa yang diberikan oleh syarikat untuk maksud yang sah.

Suatu perkara yang perlu diambil ingatan oleh pemegang syer, terutamanya agensi kerajaan yang memegang syer dalam syarikat kerajaan (terutamanya yang memegang secara keseluruhannya) ialah, dengan penyerahan kuasa oleh Perkara-perkara Persatuan kepada pengarah-pengarah, mereka (sebagai pemegang syer) tidak boleh mengambil alih pengurusan atau membataskan kuasa pengarah-pengarah. Jika mereka ingin juga campur tangan, apa yang boleh dilakukan hanyalah sama ada dengan membuat keputusan melalui mesyuarat agung untuk mengubah peruntukan Perkara-perkara Persatuan yang berkaitan dengan kuasa pengarah-pengarah, lebih drastik lagi dengan menyingkirkan pengarah-pengarah menurut seksyen 128. Jika kedua-dua langkah itu tidak dilakukan, mereka tidak boleh sama sekali untuk campur tangan dalam urusan lembaga pengarah (atau urusan syarikat yang diurus oleh lembaga pengarah).

ISU 7:

Hak Kewangan dan Keistimewaan Pengarah: kerja pengarah adalah kerja sukarela

Apabila dilantik menjadi pengarah, terlintas di fikiran orang yang dilantik itu, sesenarai ganjaran kewangan dan kemudahan yang bakal diperolehinya. Apakah benar si pengarah itu mempunyai hak atau keistimewaan sedemikian? Jawabnya, sama sekali tidak! Anggapan sedemikian tidak lebih daripada igauan di siang hari.

Jawatan pengarah adalah jawatan suka rela. Dengan memegang jawatan pengarah, tidaklah secara automatik membawa bersamanya seberkas hak dan keistimewaan kewangan dan kemudahan. Kewajipan pengarah tidak lebih daripada untuk memperhambakan dirinya kepada syarikat (jika saya diizin menggunakan istilah sedemikian, walaupun begitulah anggapan sebenar common law) tanpa mengharapkan sebarang balasan. Jika adapun apa-apa ganjaran kewangan atau kemudahan yang diberikan, itu sebenarnya bukanlah hak tetapi lebih merupakan suatu belas ikhsan syarikat kerana mengenangkan jasa pengarah!

Izinkan saya memetik suatu dikta oleh Lindley J dalam kes Inggeris Re Newman & Co (1985) Ch 674, yang antara lainnya berbunyi:

"Directors have no right to be paid for their services, and cannot pay themselves or each other, or make presents to themselves out of the company’s assets unless authorised so to do by the instrument which regulates the company, or by the shareholders at a properly convened meeting."

Perkara 70, Jadual A, misalnya memperuntukkan bahawa pengarah-pengarah boleh menerima saraan sebagaimana yang ditetapkan oleh syarikat dalam mesyuarat agung dari semasa ke semasa. Perkara itu juga membenarkan pembayaran elaun perjalanan rasmi dan perbelanjaan rasmi yang ditanggung oleh pengarah yang ada hubungannya dengan urusan syarikat.

Sebarang bayaran yang berlebihan kepada pengarah boleh disifatkan sebagai suatu tindakan penindasan atau memudaratkan di bawah seksyen 181, terutamanya jika bayaran sedemikian menyebabkan dividen tidak dapat dibayar atau terpaksa dibayar dalam jumlah yang kurang. Perlakuan sebegini dianggap sebagai menindas pemegang syer yang tidak menjadi pengarah syarikat.

ISU 8:

Kewajipan Ketulusan dan Ketelusan Pengarah: bagaimana pengarah tidak boleh menempatkan dirinya dalam keadaan yang kepentingan syarikat bertentangan dengan kepentingan dirinya

Pada amnya pengarah adalah ejen dan pemegang amanah kepada syarikatnya. Pengarah secara bersesama dalam lembaga pengarah menguasai urusan syarikat, menggerakkannya dan menentukan tuju arah syarikat. Kelangsungan sesebuah syarikat terletak kepada lembaga pengarahnya. Persoalannya, kepada siapakah pengarah-pengarah perlu memberikan taat setianya? Berdasarkan beberapa keputusan mahkamah, dapatlah dirumuskan bahawa pengarah-pengarah adalah berkewajipan kepada syarikat keseluruhannya.

Dalam kes Percival lwn Wright (1902) 2 Ch 421, beberapa orang pemegang syer menemui lembaga pengarah syarikat, meminta agar lembaga pengarah syarikat membeli syer-syer yang mereka pegangi. Semasa perbincangan di antara kedua belah pihak berlangsung, pengarah-pengarah berkenaan tidak memberitahu mengenai suatu proses pengambilalihan syarikat berkenaan (yang memungkinkan kejatuhan dalam nilai syer syarikat). Persoalan penting dalam kes ini ialah, adakah pengarah-pengarah berkewajipan untuk memaklumkan mengenai perkara berkaitan kepada pemegang-pemegang syer berkenaan? Adakah dengan tidak berbuat demikian, pengarah-pengarah telah memungkiri kewajipan mereka? Mahkamah memutuskan bahawa pengarah-pengarah berkenaan tidak memungkiri kewajipan mereka. Kewajipan pengarah-pengarah untuk bertindak bagi kepentingan syarikat keseluruhannya tidak termasuk kepentingan kumpulan pemegang syer tertentu.

Apakah pula maksud kepentingan syarikat keseluruhannya? Hal keadaan sesuatu kes menentukan kepada siapakah pengarah-pengarah berkewajipan, misalnya dalam hal keadaan yang berikut:

(a) Semasa syarikat masih lagi solven, syarikat berkewajipan kepada pemegang-pemegang syer keseluruhannya. Pengarah-pengarah tidak boleh bertindak untuk kepentingan pemegang syer secara individu atau kumpulan pemegang syer tertentu sahaja: Mill lwn Mills (1937) 60 CLR 150. Semasa syarikat masih solven kepentingan pemiutang tidak tergolong sebagai kepentingan syarikat keseluruhannya. Pengarah yang bertindak dalam syarikat yang masih solven tidak perlu memikirkan kepentingan pemiutang;

(b) Semasa syarikat masih solven dan masih aktif menjalankan perniagaannya pengarah-pengarah perlu juga bertindak untuk kepentingan pekerja: Hampson lwn Prince's Patent Candle Co (1876) 45 LJ Ch 437;

(c) Jika syarikat di ambang pembubaran pengarah-pengarah hendaklah mengutamakan kepentingan pemiutang melebihi kepentingan syarikat atau kepentingan-kepentingan lain: Parke lwn Daily News (1962) Ch 927; Liquidator of West Mercia Safetywear Ltd lwn Dodd (1988);

(d) Pengarah-pengarah hendaklah memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada syrikatnya sendiri sahaja walaupun syarikatnya itu merupakan sebahagian daripada anggota dalam kumpulan syarikat-syarikat tertentu: Walker lwn Wimborne (1975) 137 CLR 1;

(e) Pengarah-pengarah boleh melaksanakan kuasa yang diberikan oleh seksyen 19 untuk kepentingan awam dan negara. Kuasa itu meliputi kuasa untuk memberikan sumbangan patriotik, kebajikan dan bantuan peperangan kepada negara, dan dalam menjalankan apa-apa perniagaan yang sah bagi membantu Malaysia dalam masa peperangan atau permusuhan yang melibatkan Malaysia.

Seksyen 131 menghendaki supaya seseorang pengarah syarikat mendedahkan kepada lembaga pengarah apa-apa kepentingan dalam kontrak di antaranya dengan syarikat. Kewajipan tersebut melibatkan juga orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah.

Walaupun pendedahan mengenai kepentingan seseorang pengarah dalam kontraknya dengan syarikat telah dibuat kepada lembaga pengarah, pengarah berkenaan masih tidak berhak menyimpan sebarang keuntungan daripada kontrak tersebut. Boleh atau tidaknya pengarah berkenaan menyimpan keuntungan daripada kontrak tersebut ditentukan sama ada oleh peruntukan perlembagaan syarikat, atau ratifikasi oleh mesyuarat agung.

Seksyen 132 (2) melarang seseorang pengarah daripada menggunakan maklumat yang diperolehi dalam kedudukan jawatannya untuk membuat keuntungan untuk dirinya sendiri. Seksyen tersebut antara lainnya menyebut:

"Seorang pegawai suatu syarikat (termasuk pengarah -p) tidak boleh menggunakan secara tidak patut apa-apa maklumat yang diperolehi oleh sebab jawatannya untuk mendapatkan, sama ada secara langsung atau tak langsung, apa-apa faedah bagi dirinya...."

Mengikut seksyen 132E, kontrak yang dibuat oleh pengarah dengan syarikat yang melibatkan transaksi harta substansial perlu terlebih dahulu diberikuasa oleh syarikat melalui mesyuarat agung. Misalnya, jika seseorang pengarah ingin menjual kepada syarikat atau membeli daripada syarikat satu atau lebih aset bukan tunai yang substansial, kelulusan terlebih dahulu daripada mesyuarat agung diperlukan. Suatu transaksi itu adalah substansial jika nilai pasaran sesuatu aset melebihi nilai RM 250,000.00 atau 10% daripada nilai aset bersih (yang ditunjukkan dalam kunci kira-kira yang terkemudian).

Jika seseorang pengarah syarikat gagal untuk mendapatkan kelulusan mesyaurat agung sebelum transaksi harta substansial itu dibuat, transaksi itu menjadi batal atas opsyen syarikat. Lebih daripada itu pengarah berkenaan akan bertanggungan untuk mengembalikan semula semua keuntungan yang diperolehinya itu kepada syarikat, dan bertanggungan juga untuk menggantirugi syarikat atas apa-apa kerugian daripada transaksi tersebut.

Dalam kes Canadian Aero Service lwn O’Malley (1973) 40 DLR (3D) 371,383, Laskin J menyenaraikan empat keadaan di mana wujudnya pertentangan kepentingan yang membawa kepada kemungkiran kewajipan fidusiari oleh pengarah:

(a) Pengarah tidak boleh menggunakan harta atau wang syarikat untuk membuat keuntungan untuk dirinya. Jika seseorang pengarah melakukan perbuatan sedemikian dia bukan sahaja memungkiri kewajipannya, tetapi juga dia bertanggungan untuk memulangkan semua keuntungan yang diperolehinya itu kepada syarikat;

(b) Seseorang pengarah tidak boleh menggunakan secara tak wajar maklumat syarikat yang diperolehi dalam kedudukannya sebagai pengarah untuk kepentingan dirinya, orang lain atau yang memudaratkan syarikat. Seksyen 132 (2) antara lainnya memperuntukkan bahawa pengarah hendaklah:

"...jangan menggunakan secara tak wajar apa-apa maklumat yang diperoleh melalui kedudukannya sebagai pegawai atau ejen syarikat itu untuk mendapatkan, dengan secara langsung atau tak langsung, manfaat untuk dirinya atau untuk mana-mana orang lain atau untuk membawa kemudaratan kepada syarikat itu..."

Seseorang pengarah yang melanggar larangan itu boleh dipertanggungkan untuk memulangkan keuntungan yang diperolehi itu kepada syarikat atas apa-apa kemudaratan yang dialami oleh syarikat, dan jika sabit kesalahan boleh juga didenda RM 30,000.00 atau dipenjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali. Pengarah tidak boleh menempatkan kepentingan dirinya secara yang bertentangan dengan kepentingan syarikat;

(c) Seseorang pengarah tidak boleh menggunakan kedudukan jawatannya untuk membuat keuntungan untuk dirinya sendiri. Seseorang pengarah tidak boleh menerima komisyen daripada pihak ketiga dalam urusan pihak ketiga berkenaan dengan syarikat. Sebarang manfaat kewangan yang diterima daripada urusan berkenaan perlu diserahkan kepada syarikat walaupun perbuatan pengarah itu tidak memudaratkan syarikat. Seseorang pengarah tidak boleh memanfaatkan maklumat mengenai harga saham untuk mengkayakan dirinya. Peruntukan mengenainya terdapat dalam seksyen 132A, 132B, 132C dan 132D;

(d) Seseorang pengarah tidak boleh menyimpan keuntungan yang dibuat atas kedudukan dan dalam masa perhubungan fidusiarinya dengan syarikat. Dalam kes Regal (Hastings) Ltd lwn Gulliver (1942) 1 All ER 378, syarikat memiliki sebuah pawagam di Hastings. Garston, seorang peguamcara syarikat, mengesyorkan kepada lembaga pengarah supaya membeli dua buah lagi pawagam dalam bandar itu. Memandangkan syarikat tidak mampu membiayai pembelian itu, suatu skim pengumpulan dana diperkenalkan, dengan Garston, semua pengarah-pengarah dan syarikat sendiri, masing-masing menyumbangkan dana untuk tujuan pembelian berkenaan. Skim itu berjaya dan syarikat berjaya membuat keuntungan yang lumayan. Kemudiannya, syarikat dijual kepada seorang pembeli. Di bawah pengurusan yang baru, syarikat mengambil tindakan tehadap pengarah-pengarah kerana membuat keuntungan peribadi daripada penjualan syer-syer yang dimiliki oleh mereka. House of Lord membuat rumusan bahawa, jika seseorang pengarah itu dibayar apa-apa komisyen atau mendapat apa-apa faedah kewangan oleh sebab atau melalui kedudukannya sebagai pengarah syarikat maka pengarah berkenaan telah melanggar kewajipan fidusiarinya kepada syarikat dan bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat kekayaan yang didapatinya itu. Lord Hussel of Killowen menyebut:

"Rukun ekuiti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kedudukan fidusiari mereka untuk membuat keuntungan, adalah bertanggungan untuk menyerahkan keuntungan itu, tidak sekali-kali bergantung kepada fraud atau ketiadaan bona fide, atau atas persoalan sedemikian atau pertimbangan atas sama ada keuntungan boleh atau sepatutnya sebaliknya diperolehi oleh syarikat, atau sama ada pembuat keuntungan itu adalah berkewajipan untuk mendapatkan sumber keuntungan itu untuk syarikat, atau sama ada dia mengambil risiko atau bertindak sebagaimana yang dilakukannya itu untuk kepentingan syarikat, atau sama ada syarikat telah sebenarnya rugi atau mendapat faedah daripada tindakannya itu. Liabiliti timbul hanya daripada keuntungan yang, dalam hal keadaan yang tersebut, telah dilakukan. Pembuat keuntungan, bagaimana jujur dan berniat apa sekalipun, tidak boleh melepaskan diri daripada risiko untuk dipertanggungjawabkan kepada syarikat."

Jika dapat dibuktikan bahawa kekayaan atau keuntungan itu didapati oleh sebab dan kedudukannya sebagai pengarah, maka pengarah yang terlibat adalah bertanggungan, tanpa mengira niat baik atau buruk di pihak pengarah: Phipps lwn Boardman (1967) 2 AC 46.

Seseorang pengarah tidak boleh bertanding dengan syarikatnya atau menjadi pengarah syarikat lain yang bermusuhan dengan syarikatnya jika dia mengutamakan salah satu daripada syarikat tersebut. Jika tindakan pengarah dalam kedua-dua syarikat tidak berbelah bahagi, maka pengarah dibenarkan untuk bertanding dengan syarikatnya ataupun menjadi pengarah kepada syarikat yang lain: Bell lwn Lever Brothers Ltd (1932) AC 161.

Seseorang pengarah proksi bertanggungjawab terhadap syarikatnya dan bukannya kepada orang yang melantiknya: Scottish Co-operative Wholesale Society lwn Meyer (1959) SC 110. Jika seseorang dilantik oleh syarikat menjadi pengarah syarikat anaknya, dia hendaklah bertindak untuk kepentingan syarikat anak berkenaan dan bukannya kepada syarikat yang melantiknya walaupun syarikat yang melantiknya itu adalah syarikat induk kepada syarikat anak tersebut.

Pengarah hendaklah bertindak secara wajar dan untuk tujuan yang dibenarkan sahaja. Seseorang pengarah tidak boleh menguntukkan aset syarikat secara yang tidak sepatutnya. Pengarah yang menyalahgunakan aset syarikat adalah melakukan satu pecah amanah: Belmount Finance Corporation Ltd lwn Williams Furniture Ltd (1980)1 All ER 393; dan boleh disabitkan dengan jenayah pecah amanah walaupun pengarah itu sendiri tindak mendapat apa-apa manfaat daripada tindakannya itu: PP lwn Tan Kok Liang (1986) No. DAC 1014-15 tahun 1986 (tidak dilaporkan) (Mahkamah Daerah, Singapura)

Pengarah perlu menggunakan kuasa yang diletakhakan kepadanya untuk maksud atau tujuan yang dibenarkan sahaja. Sebagai ejen fidusiari kepada syarikat, kuasa yang ada padanya tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadinya atau untuk tujuan yang tidak kena-mengena dengan kuasa yang diberikan itu. Dalam menentukan apakah maksud atau tujuan yang wajar itu, dua perkara perlu ditentukan:

(a) tujuan kuasa itu sendiri, dan

(b) tujuan substansial kuasa tersebut dilaksanakan.

Bagaimana mengelak daripada berlakunya pertentangan kepentingan atau jika terpaksa mewujudkan pertentangan kepentingan, bagaimana mengelak daripada liabilitinya? Saya ingin mengesyorkan empat langkah yang boleh anda ambil.

Pertamanya, anda hendaklah sentiasa bertindak secara yang pada pendapat anda adalah jujur dan untuk manfaat syarikat yang anda menjadi pengarahnya. Keduanya, anda jangan sekali-kali menempatkan diri anda dalam kedudukan yang kewajipan anda kepada syarikat dan kepentingan peribadi anda bertentangan. Sebagai panduan, anda hendaklah mengelak apa-apa transaksi di antara anda dengan syarikat yang anda menjadi pengarahnya. Jika anda terpaksa berbuat demikian, anda hendaklah memastikan anda tidak membuat sebarang keuntungan daripadanya. Ketiganya, anda hendaklah tidak menggunakan mana-mana aset syarikat atau menggunakan apa-apa maklumat yang dierolehi dalam kedudukan anda sebagai pengarahnya untuk membuat keuntungan untuk diri anda. Keempatnya, apa saja yang anda lakukan, apa saja keputusan yang anda buat sebagai seorang pengarah anda perlu mendedahkannya kepada syarikat sebaik sahaja berlakunya pertentangan kepentingan itu. Pada amnya, anda boleh selamat daripada bahana pertentangan kepentingan, jika anda sentiasa bertindak secara mendedahkan dan mendapatkan persetujuan syarikat

ISU 9:

Rekod Kewangan Syarikat: tanggungjawab pengarah memastikan akaun syarikat dibentangkan dalam lingkungan waktu yang ditetapkan

Di bawah seksyen 167, tiap-tiap syarikat, dan pengarah-pengarah dan pengurus-pengurusnya hendaklah menyebabkan akaun dan rekod-rekod lain disimpan dengan cara yang sedemikian yang mencukupi untuk menggambarkan transaksi dan kedudukan kewangan syarikat, dan memungkinkan akaun keuntungan dan kerugian dan kunci kira-kira yang benar dan saksama disediakan dan disimpan dengan cara yang memudahkan diaudit secara yang sewajarnya.

Seksyen 169 menghendaki supaya pengarah-pengarah membentangkan di hadapan syarikat pada tiap-tiap mesyuarat agung tahunan suatu akaun keuntungan dan kerugian dan kunci kira-kira tahunan syarikat yang disediakan menurut kehendak Akta. Penalti am kerana kemungkirannya terkandung dalam seksyen 171. Seseorang pengarah adalah melakukan kesalahan berkenaan jika dia gagal untuk mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan peruntukan seksyen 169 berkenaan dipatuhi, atau dia telah dengan sengaja menyebabkan syarikat memungkirinya. Penaltinya ialah penjara sehingga lima tahun atau didenda sehingga RM 30,000 ringgit. Walau bagaimanapun seseorang pengarah boleh membuat pembelaan di bawah seksyen 171 jika dia dapat membuktikan bahawa dia mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai, dan sememangnya mempercayai bahawa seseorang yang boleh dipercayai dan kompetens telah diberikan kewajipan supaya memastikan kehendak Akta yang berkenaan dipatuhi dan seseorang berkenaan berada dalam kedudukan yang boleh melaksanakan kewajipanya itu.

Walau bagaimanapun pengarah-pengarah tidaklah boleh melindungi diri mereka dengan hanya mengambil kakitangan perakaunan untuk menjalankan kerja-kerja akaun. Mereka berkewajipan untuk memastikan bahawa kakitangan berkaitan adalah boleh dipercayai dan sekaligus kompetens dan dalam kedudukan yang boleh melakukan kerja berkenaan. Jika pengarah-pengarah telah mengambil langkah-langkah tersebut barulah mereka boleh secara munasabahnya bebas daripada bertanggungan secara sendiri daripada mematuhi peruntukan Akta yang berhubungan dengan akaun syarikat.

ISU 10:

Bala Menjadi Pengarah: bagaimana pengarah boleh terjebak dalam jerangkap liabiliti sendiri dan bagaimana mengelakkannya

Sebagai seorang pengarah anda harus sentiasa berhati-hati kerana anda berkemungkinan akan terjebak dalam apa yang dikenali sebagai ‘liabiliti sendiri’. Dalam bahasa yang mudah, jika anda melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu yang diwajibkan, anda menanggung sendiri bahana daripada kesilapan, keslahan atau peninggalan itu, tidak kira apa pun niat sebenar anda! Pada amnya pengarah tidak menanggung apa-apa laibiliti sendiri ke atas hutang yang dibuat oleh syarikat tetapi sebaliknya menanggung liabiliti sendiri ke atas tuntutan pihak ketiga di luar syarikat, sama ada daripada segi kontrak, tort atau secara statutori.

Liabiliti Kontraktual

Seseorang pengarah akan menanggung liabiliti sendiri dalam kontrak syarikat apabila dia menerima liabiliti sendiri sama ada secara zahir atau tersirat. Secara zahirnya seseorang pengarah menanggung liabiliti sendiri jika dia menjamin pelaksanaan sesuatu kontrak. Secara tersirat pula seseorang pengarah akan menanggung liabiliti sendiri jika dia menandatangani sesuatu kontrak bagi pihak syarikatnya tanpa membuat representasi nama syarikat dengan sempurna. Ini kerana menurut prinsip ejensi, seseorang ejen akan menanggung liabiliti sendiri jika dia berkontrak bagi pihak prinsipalnya tanpa mendedahkan yang dia bertindak sebagai ejen kepada prinsipalnya.

Seksyen 121 (2)(c) antara lainnya memperuntukkan bahawa jika pegawai syarikat (termasuk pengarah) atau mana-mana orang menandatangani bagi pihak syarikat apa-apa bil pertukaran, nota janji hutang, cek atau suratcara boleh niaga lain yang di dalamnya nama syarikat tidak disebutkan dalam huruf rumi yang mudah dibaca, adalah bertanggungan kepada suatu penalti dan kepada pemegang suratcara itu sebanyak amaun yang kena dibayar oleh syarikat jika syarikat tidak membayarnya: Atkins & Co lwn Wardle (1889) 5 TLR 734.

Walaupun syarikat tidak bertanggungan ke atas kontrak yang dibuat sebelum pemerbadanannya, tetapi seseorang pengarah yang berupa bertindak bagi pihak syarikat tersebut akan bertanggungan secara sendiri kepada apa-apa implikasi daripada kontrak berkenaan. Kontrak yang sedemikian rupa berkuatkuasa sebagai suatu kontrak perseorangan di antara orang yang membuat kontrak berkenaan, dan orang berkenaan bukan sahaja bertanggungan ke atas kerugian kerana memungkiri waranti tersirat daripada kuasa yang diberikan tetapi juga bertanggungan sebagai pihak kepada kontrak tersebut: Kelner lwn Baxter (1866) LR 2 CP 174.

Seseorang pengarah akan bertanggungan secara sendiri kepada pihak ketiga di luar syarikat atas apa-apa kerugian yang ditanggung akibat daripada tindakan pengarah tanpa kuasa atau melampaui kuasa yang diberikan: Chapleo lwn Brunswick Permanent Benefit Building Society (1881) 6 QBD 696.

Pengarah tidak bertanggungan ke atas tort atau kesalahan sivil syarikatnya. Seseorang pengarah hanya akan bertanggungan ke atas tort jika dapat dibuktikan yang dia sendiri adalah orang yang bersalah atau dia adalah majikan atau prinsipal kepada orang yang bersalah berkaitan dengan sesuatu tindakan salah atau bahawa tort dilakukan dengan arahannya.

Liabiliti Statutori

Dividen hanya boleh dibayar daripada keuntungan: Warrington LJ dalam Ammonia Soda Co lwn Chamberlain (1918) 1 Ch 266. Ini bermakna bahawa syarikat tidak boleh memulangkan kepada pemegang syer apa-apa bahagian daripada nilai syer yang tidak dipohon beli oleh mereka hanya kerana mahu memberikan dividen. Seksyen 365 (1) memperuntukkan bahawa dividen tidak boleh dibayar kepada pemegang syer kecuali daripada keuntungan yang ada atau menurut seksyen 60 (dalam bentuk premium syer). Tiap-tiap pengarah yang secara sengaja membayar atau membenarkan supaya dibayar apa-apa dividen daripada yang diketahuinya bukan merupakan keuntungan syarikat (kecuali yang menurut seksyen 60) adalah melakukan kesalahan, dan boleh dipenjara selama 10 tahun atau didenda RM 250,000.00. Pengarah juga bertanggungan kepada pemiutang syarikat ke atas amaun hutang syarikat setakat yang dividen yang dibayar itu melebihi keuntungan yang ada.

Menurut seksyen 304 (1), jika semasa penggulungan, kelihatan bahawa mana-mana perniagaan syarikat telah dijalankan dengan niat untuk menfraud pemiutang syarikat, mahkamah boleh mengisytiharkan mana-mana orang (termasuk pengarah) yang disedarinya merupakan pihak yang menjalankan perniagaan secara yang sedemikian rupa, bertanggungan sendiri tanpa ada had tanggungan bagi semua atau mana-mana hutang syarikat atau tanggungan lain syarikat.

Jika pengarah misalnya, mengetahui bahawa syarikat adalah tak solven, terus menjalankan perniagaan dan mendapatkan barangan atau perkhidmatan secara hutang tanpa kemungkinan yang munasabah syarikat boleh membayarnya, maka pengarah yang terlibat adalah bertanggungan sendiri tanpa had atas semua amaun hutang tersebut.

Seksyen 303 (3) memperuntukkan bahawa semasa penggulungan syarikat, ternyata yang seorang pegawai syarikat (termasuk pengarah) yang dengan disedarinya adalah pihak yang berkontrak dalam sesuatu hutang syarikat yang pada masa itu tidak ada alasan yang mungkin atau munasabah untuk menjangkakan yang syarikat boleh / mampu membayar hutang tersebut, maka pegawai berkenaan (termasuk pengarah) adalah melakukan satu kesalahan.

Seksyen 304 (2) memperuntukkan bahawa jika seseorang disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 303 (3), maka mahkamah, dengan permohonan pelikuidasi atau mana-mana pemiutang atau penyumbang, boleh, jika difikirkan patut, mengisytiharkan orang yang disabitkan itu untuk bertanggungan sendiri tanpa had liabiliti untuk membayar kesemua atau mana-mana bahagian daripada hutang berkenaan.

Seksyen 305 (1) menyediakan remedi di mana, jika semasa penggulungan syarikat, ternyata yang mana-mana orang yang telah mengambil bahagian dalam pembentukan atau penajaannya, mana-mana pelikuidasi atau pegawai dahulu atau sekarang, telah menyalahgunakan atau menyimpan atau menjadi bertanggungan atau bertanggungjawab atas apa-apa wang atau harta syarikat atau bersalah atas apa-apa misfeasans atau pecah amanah berkaitan dengan syarikat. Dalam hal keadaan tersebut mahkamah boleh, atas permohonan pelikuidasi atau mana-mana pemiutang, memeriksa tingkah laku orang berkenaan dan memaksanya untuk membayar semula atau memulangkan wang atau harta atau mana-mana bahagian daripadanya bersama faedah, atau menyumbangkan amaun tertentu kepada aset syarikat dengan cara pampasan sebagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah. Seksyen ini merupakan satu remedi terus untuk menguatkuasakan, dalam penggulungan, suatu liabiliti yang sepatutnya dikuatkuasakan terhadap pengarah melalui tindakan biasa: Re City Equitable Fire & Insurance Co Ltd (1925) Ch 407.

Seksyen tersebut juga diperluaskan kepada penerimaan apa-apa wang atau harta oleh pengarah dalam tempoh dua tahun terdahulu daripada bermulanya penggulungan, sama ada dengan cara gaji atau selainnya, yang pada pandangan pengarah sebagai tidak adil kepada anggota-anggota syarikat yang lain: seksyen 305 (2).

ISU 11:

Muqaddimah kepada Corporate Governance: Apa dan untuk apa?

Apabila berbicara mengenai hal-ehwal korporat, orang sering memetik suatu istilah canggih yang seindah Wawasan 2020 iaitu corporate governance. Saya menghadapi kesukaran untuk menggunakan istilah Melayunya, kerana dalam tempoh tidak sampai setahun istilah ini telah berubah daripada pentadbiran korporat kepada penguasaan korporat. Bagi tujuan perbincangan di bawah isu ini, izinkan (dengan keberatan dan mengharapkan kemaafan) untuk menggunakan buat sementara waktu istilah corporate governance.

Apa itu corporate governance? Corporate governance (di sisi undang-undang) ialah, "suatu proses dan struktur yang digunakan untuk mengarah dan mengurus perniagaan (urusan) dan hal-ehwal syarikat untuk mencapai objektif dan meningkatkan nilai jangka panjang kepada pemegang syer dan kekukuhan kewangan perniagaan syarikat. Proses dan struktur itu menjelaskan pembahagian kuasa dan kebertanggungjawapan di kalangan pemegang syer, lembaga pengarah dan pihak pengurusan, dan akan meberi kesan kepada stakeholder lain seperti pekerja, pengguna, peniaga dan masyarakat."

Dalam bahasa yang mudah, corporate governance merupakan suatu proses menstrukturkan pembahagian dan perlaksanaan kuasa dan kebertanggungjawapan dalam syarikat melalui penstrukturan perlembagaan syarikat dan pelaksanaan dasar-dasar pengurusan yang boleh membawa ke arah pembaikan dan kenaikan nilai jangka panjang kepada syarikat, pemegang syer, pemiutang, pekerja, syarikat dan kepada khalayak luar yang terdiri daripada pengguna, peniaga, masyarakat dan negara.

Kenapa perlunya corporate governance? Saya berkeyakinan bahawa corporate governance diperlukan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan (atau sengaja ditinggalkan?) oleh undang-undang untuk memastikan pengawaseliaan dan penjanaan pengurusan syarikat bagi mencapai kesejahteraan syarikat sebagai institusi masyarakat. Telah terbukti bahawa matlamat kesejahteraan syarikat tidak akan dapat dicapai melalui peruntukan undang-undang apatah lagi undang-undang buatan manusia itu sendiri seakan kehilangan roh kesejahteraan. Tidak dapat tidak fungsi itu perlu diisi oleh suatu bentuk mekanisme kesedaran dan usaha melalui apa yang dinamai sebagai corporate governance.

Suatu contoh yang mudah betapa gagalnya mekanisme undang-undang ialah melalui kuatkuasa seksyen 130 kepada Akta yang antara lain menyebut:

"Subject to this Act the memorandum and articles shall when registered bind the company and the members....."

Bentuk kawal selia yang dikuatkuasakan oleh undang-undang melalui perlembagaan syarikat nampaknya hanya terhad kepada trihubungan: iaitu di antara syarikat dengan pemegang syer, pemegang syer dengan syarikat dan sesama pemegang syer. Ini merupakan satu kelemahan yang ketara kerana pengabaian beberapa bentuk perhubungan lain yang penting khususnya perhubungan syarikat dengan pengarah, pengarah dengan syarikat, pengarah dengan pemegang syer, pemegang syer dengan pengarah, pengarah sesama pengarah, syarikat dengan pemiutang, syarikat dengan pekerja, syarikat dengan pengguna, dan berbagai perhubungan lain lagi. Jelaslah bahawa undang-undang yang sedia ada melupakan (atau sengaja dilupakan demi kepatuhan kepada kerangka laissez faire yang menjadi ikutan?) aspek ikatan pengurusan yang pada pandangan saya merupakan suatu ikatan yang teras dan penting.

Di sisi undang-undang, pengarah dianggap sebagai orang luar atau orang asing yang tidak perlu diikat sebaliknya hanya mengawalnya dengan penuh santun melalui perhubungan ejen dan amanah yang longgar mengikut telunjuk common law yang dilahirkan oleh laissez faire. Undang-undang hanya merayu supaya pengarah bertindak secara jujur, misalnya melalui peruntukan seksyen 132 (1) yang menyebut:

"A director shall at all times act honestly and use reasonable diligence in the discharge of the duties of his office."

Peruntukan sebegini bukan sahaja tidak mencukupi, malah nilai jujur yang dikehendaki itu pula terlalu luwes dan tertakluk kepada ukuran common law Inggeris seperti mana yang diperuntukkan oleh subseksyen 5 kepada seksyen tersebut. Semua kelemahan dan kekurangan inilah kononnya cuba diatasi melalui corporate governance.

PENUTUP

Bersesuaian dengan tema seminar dan forum mengenai Etika Pengarah: Ketulusan dan Ketelusan Perkhidmatan ini, izinkan saya menutup kertas ini dengan harapan agar sesuatu perlu dilakukan ke arah merealisasikan corporate governance sebagaimana yang sepatutnya dan dalam masa yang sama memikirkan mengenai perlaksanaan Islamic corporate governance setidak-tidaknya untuk syarikat-syarikat anak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan Darul Naim ini. Kerajaan negeri Kelantan khususnya saya percaya, dengan sumber dan keinginan untuk menjulang Islam dan memayungi perkembangannya perlu mengorak seberapa banyak langkah untuk merelalisasikannya. Kita hanya berkata, meminta, membantu dan menunggu...

Wallahu ‘Alam...

Md Rodzi Harun, 320 Taman Rhu 3, Tikam Batu, 08600 Sungai Petani, Kedah Darul Aman. 4 Safar 1418 Hijrah / 10 Jun 1997 Masehi