ke laman utama syarikat.com
 
 
Anda berhak gembira memegang jawatan pengarah syarikat, tetapi dalam masa yang sama anda harus sedari bahawa ‘kerusi’ pengarah syarikat sememangnya ‘panas ‘. Panas kerana dua sebab. Pertama, jawatan pengarah memberikan kuasa yang dominan kepada anda bersama-sama dengan rakan pengarah yang dalam syarikat. Kesenimbungan syarikat terletak di bahu anda. Pendek kata hidup dan mati syarikat berada di tangan anda. Kedua, kerana dominannya kuasa anda sebagai pengarah syarikat dan kuatnya pergantungan syarikat kepada kesan daripada tindak-tanduk anda, maka undang-undang mengenakan serentetan kewajipan dan liabiliti terhadap anda. Dengan demikian anda harus secara rasional menyeimbangkan di antara kuasa yang ada pada anda dan kewajipan dan liabiliti yang dikenakan oleh undang-undang kepada anda. Risalah ini bertujuan memberikan panduan umum dan ringkas kepada anda. Anggaplah ianya sebagai satu panduan permulaan kepada anda dalam emastikan supaya anda benar-benar berada di atas landasan yang digariskan oleh undang-undang.

KEWAJIPAN FISUDIARI

Undang-undang mengganggap anda sebagai ejen dan pemegang amanah kepada syarikat anda. Anda mempunyai perhubungan fidusiari kepada syarikat anda. Dalam erti kata yang mudah, sebagai seorang pengarah, anda terikat di sisi undang-undang untuk menggunakan hak dan kuasa yang ada pada anda atau yang diberikan oleh oleh syarikat kepada anda dengan ikhklas dan suci hati untuk manfaat syarikat anda.

Sebagai seorang ejen kepada syarikat anda, terdapat empat kewajipan utama yang mengikat anda:

  •  Anda hendaklah bertindak untuk kepentingan syarikat keseluruhannya.
  • Anda tidak boleh mengkayakan diri daripada kedudukan anda sebagai pengarah.
  • Anda tidak boleh menempatkan diri anda dalam keadaan pertentangan kepentingan; antara kepentingan peribadi anda dengan kepentingan syarikat.
  • Anda hendaklah bertindak dengan wajar dan untuk tujuan yang dibenarkan sahaja.

Kewajipan Fidusiari 1:
Kewajipan Bertindak Untuk Kepentingan Syarikat Keseluruhannya

  • Semasa syarikat anda masih solven (suatu kedudukan aset yang melebihi liabiliti) anda harus mengutamakan kepentingan kepentingan pemegang syer keseluruhannya. Anda tidak boleh bertindak untuk kepentingan pemegang syer tertentu atau kumpulan pemegang syer tertentu. Anda tidak boleh mengutamakan kepentingan pekerja mengatasi kepentingan syarikat.
  • Jika syarikat anda masih aktif berniaga anda boleh bertindak untuk kepentingan pekerja. Anda tidak perlu bertindak untuk kepentingan pemiutang.
  • Apabila syarikat anda berada di ambang pembubaran, anda harus mengutamakan kepentingan pemiutang mengatasi kepentingan-kepentingan lain.
  • Anda hendaklah memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada syarikat anda walaupun syarikat anda itu adalah sebahagian daripada anggota dalam syarikat kumpulan tertentu.
  • Anda boleh melaksanakan kuasa syarikat untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan sumbangan patriotik, kebajikan dan bantuan peperangan kepada negara.

Kewajipan Fidusiari 2:
Kewajipan Untuk Tidak Mengkayakan Diri Daripada Kedudukan Sebagai Pengarah

  • Anda tidak boleh menerima komisen daripada mana-mana pihak dalam urusan pihak berkenaan dengan syarikat.
  • Anda tidak boleh menggunakan secara tak wajar maklumat syarikat yang diperolehi dalam kedudukan anda sebagai pengarah untuk kepentingan diri anda sendiri atau orang lain atau yang boleh memudaratkan syarikat.
  • Anda tidak boleh memanfaatkan maklumat mengenai harga saham untuk mengkayakan diri anda sendiri.
  • Anda tidak boleh megkayakan diri anda secara yang tak wajar walaupun anda berniat baik. 

Kewajipan Fidusiari 3:
Kewajipan Untuk Tidak Mewujukan Pertengan Kepentingan

  • Apabila wujudnya pertentangan kepentingan di antara kepentingan anda dengan kepentingan syarikat, abnda harus mengutamakan kepentingan syarikat.
  • Jika anda mempunyai apa-apa kepentingan dalam apa-apa kontrak (sama ada secara langsung atau tidak langsung) dengan syarikat, anda perlu seberapa segera yang munasabah mendedahkannya dalam mesyuarat lembaga pengarah. Anda tidak boleh mengambil bahagian dalam membuat keputusan mengenai kontrak berkenaan.
  • Anda tidak boleh bertanding dengan syarikat anda atau menjadi pengarah syarikat lain yang bermusuhan dengan syarikat anda jika anda tidak yakin untuk dapat bertindak dengan adil dan tidak berbelah bagi.
  • Jika anda seorang pengarah proksi, anda bertanggungjawab kepada syarikat anda, nukannya kepada syarikat yang mmelantik anda sebagai pengarah proksi. 

Kewajipan Fidusiari 4:
Kewajipan Bertindak Wajar dan Untuk Tujuan Yang Ditetapkan Sahaja

  • Anda tidak boleh menyalahgunakan atau menguntukkan aset-aset syarikat secara yang tak sepatutnya, walaupun anda tidak mendapat sebarang manfaat daruipada tindakan anda itu.
  • Anda perlu menggunakan kuasa yang diletakhakkan kepada anda untuk maksud dan tujuan yang dibenarkan sahaja, bukannya untuk kepentingan peribadi anda atau untuk tujuan yang tidak kena-mengena dengan kuasa yang diberikan itu.

KEWAJIPAN MENGGUNAKAN KEMAHIRAN  

  • Anda tidak disyaratkan untuk mempunyai apa-apa kemahiran untuk menjawat jawatan pengarah. Ketidakmahiran bukanlah satu kemungkiran kewajipan asalkan anda bertindak dengan jujur.
  • Jika anda dilantik menjadi pengarah kerana anda mempunyai kemahiran tertentu, maka anda perlu menunjukkan suatu tahap kemahiran yang munasabah.

KEWAJIPAN PRIHATIN DAN BERJAGA-JAGA 

  • Anda perlu menunjukkan darjah berjaga-jaga yang sewajar dengan kelayakan dan pengalaman anda.
  • Anda hendaklah berusaha untuk mengetahui mengenai hak dan obligasi anda di bawah undang-undang. Anda harus mendapatkan nasihat undang-undang apabila timbul keraguan mengenainya.
  • Anda hendaklah membuat siasatan yang munasabah apabila membuat sebarang perbelanjaan atau bayaran daripada wang syarikat anda.
  • Dalam menandatangani cek syarikat, anda perlu mengetahui tujuan bayaran dibuat dan sah atau tidaknya tujuan bayaran berkenaan.
  • Anda dan rakan pengarah yang lain boleh mewakilkan kuasa dan menaruh kepercayaan kepada pegawai syarikat yang lain kecuali jika terdapat hal keadaan yang munasabah untuk menaruh syak.

KEWAJIPAN BERUSAHA 

  • Anda tidak perlu memberikan perhatian sepenuhnya kepada hal-ehwal syarikat anda. Kewajipan anda adalah sela-menyela, sekepjap ada sekejap tiada, bergantung kepada keperluan dan hal keadaan. Anda tidak perlu menghaziri semua mesyuarat lembaga pengarah.
  • Jika anda seorang pengarh eksekutif yang bertugas sepenuh masa dengan syarikat, anda perlu memberi perhatian yang lebih kepada hal-ehwal syarikat anda, melebihi daripada kewajipan pengarah bukan eksekutif.
  • Anda tidak bertanggungjawab ke atas tindakan atau peninggalan rakan pengarah yang lain jika anda tidak hazir dalam mesyuarat lembaga pengarah yang berkaitan. Anda tidak bertanggungjawab, misalnya, atas hutang yang dibuat semasa ketiadaan anda, atas fraud yang dilakukan oleh rakan pengarah yang lain dan atas tingkah laku rakan pengarah yang lain.

TANGGUNGAN SENDIRI

Pada amnya anda tidak menanggung liabiliti yang dibuat oleh syarikat. Anda sebaliknya bertanggungan sendiri atas tuntutan pihak ketiga di luar syarikat, sama ada daripada segi kontrak, tort atau secara statutori.

Tanggungan Sendiri 1: Kontrak  

  • Anda bertanggungan sendiri jika anda menjamin perlaksanaan sesuatu kontrak.
  • Anda juga bertanggungan sendiri jika anda menandatangani sesuatu kontrak bagi pihak syarikat tanpa membuat representasi yang sempurna. Misalnya, jika anda menandatangai bagi pihak syarikat apa-apa bil pertukaran, nota janji hutang, cek atau suratcara boleh niaga lain yang di dalamnya nama syarikat tidak disebutkan dengan sempurna dalam huruf rumi yang mudah dibaca, anda bertanggungan kepada suatu penalti dan kepada pemegang suratcara itu sebanyak amaun yang klena dibayar oleh syarikat jika syarikat tidak membayarnya.
  • Anda bertanggungan sendiri ke atas kontrak yang dibuat oleh syarikat sebelum pemerbadanannya jika kontrak berkenaan tidak diratifikasikan oleh syarikat.
  • Anda juga bertanggungan sendiri kepada pihak ketiga di luar syarikat atas apa-apa kerugian yang ditanggung akibat daripada tindakan anda tanpa kuasa atau secara lampau kuasa.

Tanggungan Sendiri 2: Tort  

  • Anda tidak bertanggungan sendiri ke atas tort atas kesalahan sivil syarikat anda kecualilah jika terbukti bahawa anda adalah orang yang bersalah atau anda adalah majikan dan prinsipal kepada orang yang bersalah berkaitan dengan sesuatu tindakan salah atau bahawa tort dilakukan dengan arahan anda.

Tanggungan Sendiri 3: Statutori 

  • Jika anda secara sengaja membayar atau menyebabkan dibayar dividen bukan daripada keuntungan syarikat, and adalah melakukan kesalahan dan juga akan bertanggungan kepada pemiutang syarikat atas amaun hutang syarikat setakat yang dividen yang dibayar itu melebihi keuntungan syarikat.
  • Jika semasa penggulungan, kelihatan bahawa mana-mana perniagaan syarikat telah dijalankan dengan niat untuk menfraud pemiutang syarikat, dan anda didapati menjalankan perniagaan secara yang sedemikian rupa, anda akan bertanggungan sendiri tanpa had bagi semua atau mana-mana hutang syarikat atau tanggungan lain.
  • Jika anda mengetahui bahawa syarikat anda adalah tak solven, tetapi anda terus menjalankan perniagaan atau mendapatkan barangan atau perkhidmatan secara hutang tanpa kemungkinan yang munasabah syarikat boleh membayarnya, maka anda adalah bertanggungan secara sendiri tanpa had atas semua hutang tersebut.
  • Jika semasa penggulungan syarikat ternyata yang anda telah menyalahgunakan atau menyimpan atau menjadi bertanggungan atau bertanggungjawab atas apa-apa wang atau harta syarikat atau bersalah atas apa-apa misfeasans atau pecah amanah berkaitan dengan syarikat, mahkamah boleh, atas permohonan pelikuidasi atau mana-mana pemiutang, memeriksa tingkahlaku anda dan memaksa anda untuk membayar semuala atau memulangkan wang atau harta atau mana-mana bahagian daripadanya bersama faedah, atau menyumbangkan amaun tertentu kepada aset syarikat dengan cara pampasan sebagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah.
  • Anda juga boleh bertanggungan secara sendiri jika anda menerima apa-apa wang atau harta dalam tempoh dua tahun terdahulu daripada bermulanya penggulungan yang pada pandangan mahkamah adalah tidak adil kepada anggota-anggota syarikat yang lain.