ke laman utama syarikat.com ke Kuliah Asas 5
 
 
Dokumen awam syarikat

Perlembagaan syarikat terkandung dalam dua dokumen: Memorandum Persatuan dan Perkara-perkara Persatuan, atau sering disebut sebagai Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan. Perlembagaan syarikat adalah lebih kompleks daripada perjanjian perkongsian, malah merupakan suatu dokumen yang mewujudkan sesebuah syarikat dan menentukan hala cara pengurusan dan pentadbiran syarikat.

Selepas syarikat didaftarkan anda akan menerima salinan Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan, Buku Minit, Meterai Syarikat dan Perakuan (Sijil) Pemerbadanan. Salinan Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan bersama-sama dengan Perakuan Pemerbadanan biasanya perlu diserahkan kepada pihak bank sebelum anda membuka akaun syarikat anda.

MEMORANDUM PERSATUAN

Kandungan memorandum

Memorandum Persatuan (atau biasanya disebut sebagai ‘Memorandum’ sahaja) adalah piagam syarikat anda. Memorandum memaparkan perlembagaan sesebuah syarikat dan menetapkan kuasa dan kewajipannya sebagai ‘orang buatan undang-undang’. Memorandum syarikat berhad perlu menyatakan yang berikut: fasal nama, fasal pejabat berdaftar, fasal tujuan-tujuan, fasal liabiliti, fasal modal syer, dan fasal persatuan.

Nama syarikat

Melainkan jika syarikat anda adalah sebuah syarikat tidak berhad, nama syarikat anda perlu mempunyai perkataan ‘Berhad’ atau singkatan ‘Bhd.’ di hujung namanya. Perkataan ‘Berhad’ itu menunjukkan bahawa syarikat anda adalah sebuah syarikat yang mempunyai liabiliti yang terhad atau dalam erti kata lain, liabiliti anda sebagai pemegang syer terhad kepada amaun syer yang tak berbayar yang anda pegang. Ia menunjukkan bahawa anda tidak bertanggungan (untuk menyumbangkan kepada aset syarikat jika ditakdirkan yang syarikat anda digulung kelak) melebihi daripada amaun tak berbayar bagi syer yang anda pegang atau jika anda telah membayar penuh bagi yer-syer yang anda pegang, anda tidak menanggung apa-apa liabiliti lagi. Jika syarikat anda adalah sebuah syarikat persendirian, perkataan ‘Sendirian’ atau singkatan ‘Sdn.’ perlu ada pada sebahagian daripada dan di akhir nama syarikat anda. Ini bermakna bahawa jika syarikat anda adalah sebuah ‘Syarikat Berhad’ daripada jenis ‘Persendirian’ maka perkataan ‘Sendirian Berhad’ atau singkatannya merupakan sebahagian daripada dan di akhir nama syarikat anda. Kerana keperluan inilah barangkali yang mendorong orang selalu menamakan sesebuah syarikat persendirian yang terhad mengikut syer sebagai sebuah ‘Syarikat Sendirian Berhad’.

Pejabat berdaftar

Memorandum syarikat tidak diwajibkan oleh undang-undang supaya menyatakan mengenai pejabat berdaftar. Walau bagaimanapun, biasanya syarikat memilih untuk memasukkan satu fasal mengenai pejabat berdaftar dengan hanya menyebut bahawa "Pejabat Berdaftar akan terletak dalam Malaysia". Pernyataan fasal ini mewujudkan ‘domisil’ syarikat atau dalam erti kata lain merupakan satu pernyataan bahawa syarikat adalah sebuah syarikat Malaysia.

Pejabat berdaftar tidak semestinya adalah tempat syarikat menjalankan perniagaan. Pejabat berdaftar adalah ‘rumah’ syarikat, seperti juga ‘rumah’ anda yang tidak semestinya tempat anda bekerja. Biasanya pejabat berdaftar sesebuah syarikat adalah pejabat setiausaha syarikat atau akauntan syarikat, di mana daftar dan rekod disimpan, dan merupakan tempat di mana semua bentuk penyampaian atau serahan berkaitan dengan urusan hal-ehwal korporat syarikat dialamatkan atau disampaikan.

Alamat pejabat berdaftar syarikat perlu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh sebulan daripada tarikh syarikat diperbadankan. Alamat pejabat berdaftar syarikat anda boleh saja ditukarkan seberapa kerap yang anda suka asalkan anda mengemukakan notis mengenainya dalam tempoh sebulan daripada tarikh perubahan alamat berkenaan. Sebarang pertukaran alamat pejabat berdaftar syarikat akan hanya berkuatkuasa pada tarikh notis mengenainya diterima oleh Pendaftar Syarikat; bukannya pada tarikh ketetapan syarikat. Ini bermakna undang-undang hanya akan mengiktiraf perubahan alamat pejabat berdaftar syarikat anda yang baru apabila Pendaftar Syarikat menerima notis mengenai perubahan alamat tersebut.

Tujuan-tujuan syarikat ditubuhkan

Fasal ini merupakan fasal ketiga dalam Memorandum, yang menggariskan senarai tujuan-tujuan syarikat ditubuhkan atau dalam erti kata yang mudah, jenis perniagaan syarikat yang anda perbadankan. Anda perlu menjelaskan bidang perniagaan yang akan dijalankan oleh syarikat anda secara khusus. Lebih daripada itu, tujuan-tujuan yang digariskan dalam Memorandum adalah matlamat sebenar mengapa syarikat dipebadankan. Syarikat boleh dipetisyen untuk digulung jika matlamat berkenaan tidak dapat dicapai.

Anda boleh mengubah fasal tujuan-tujuan tersebut, dengan kelulusan satu ketetapan khas 75% daripada pemegang syer dan hasrat anda untuk mengubahnya boleh dibatalkan oleh mahkamah jika pemegang syer minoriti atau pemegang debentur memohon kepada mahkamah dalam tempoh 21 hari daripada tarikh ketetapan itu diluluskan, jika mahkamah berpendapat bahawa permohonan mereka adalah wajar. Ini bermakna anda terpaksa menunggu selama 21 hari selepas ketetapan diluluskan untuk memastikan pengubahan fasal tujuan-tujuan itu dapat dikuatkuasakan, jika dalam tempoh itu tiada apa-apa bantahan dibuat. Selepas itu barulah salinan Memorandum yang diubah itu bersama-sama dengan salinan ketetapan yang membenarkan pengubahan itu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat. Sehingga segalanya ini dilakukan anda dan syarikat anda tidak boleh bertindak atas perubahan itu.

Pada amnya syarikat anda tidak boleh menjalankan perniagaan yang tidak disenaraikan dalam fasal tujuan-tujuan. Sebarang tindakan yang di luar kuasa syarikat seperti yang digariskan dalam fasal tujuan-tujuan adalah satu tindakan lampau kuasa atau ultra vires. Oleh itu anda harus cuba menyenaraikan segala bentuk perniagaan yang dapat anda fikirkan untuk disenaraikan dalam fasal tujuan-tujuan supaya anda boleh menjalankan apa saja perniagaan yang anda fikirkan patut. Bagi mengizinkan anda berbuat demikian, anda perlu memasukkan fasal yang berikut di akhir fasal tujuan-tujuan syarikat anda:

"...tiap-tiap tujuan hendaklah dianggap sebagai tujuan utama yang bebas dan berasingan dan tidak ada tujuan yang dinyatakan boleh disifatkan sebagai mewakili atau sampingan kepada yang lain."

Pengarah-pengarah tidak boleh meminjam atau melabur bagi pihak syarikat melainkan mereka diberikan kuasa untuk melakukannya dalam fasal tujuan-tujuan. Oleh itu bagi memastikan pengarah-pengarah sentiasa mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak syarikat, dan dengan itu melicinkan proses perlaksanaan urus niaga syarikat, anda perlu memastikan rangka Memorandum anda dirangka sebegitu rupa supaya pengarah mempunyai kuasa yang luas tetapi wajar. Tetapi anda tidak perlu bimbang kerana seksyen 19 Akta Syarikat 1965 memberikan kuasa yang luas kepada syarikat seperti yang disenaraikan dalam Jadual Ke-3nya. Jika Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan syarikat anda tidak menggugurkan atau mengubah senarai kuasa tersebut, maka secara automatik syarikat anda mempunyai kuasa yang luas. Jika Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan syarikat anda menggugurkannya atau mengubahnya, prosedur di atas perlu dipatuhi dan anda perlu menyenaraikan kuasa-kuasa berkenaan seperlunya.

Biar seluas manapun anda merangka fasal tujuan-tujuan dalam Memorandum, sesetengah tindakan atau transaksi kadangkala boleh berada di luar kuasa syarikat dan kuasa pengarah-pengarah syarikat anda. Walau bagaimanapun jika pihak luar yang berurusan dengan syarikat anda tidak menyedari mengenai batasan kuasa berkenaan dan mereka bertindak secara yang suci hati, mereka boleh menguatkuasakan hak mereka ke atas syarikat.

Kuasa pengarah-pengarah atau pegawai syarikat yang lain perlu dikawal bagi memastikan mereka tidak bertindak dengan terlalu bebas dan yang mungkin menjejaskan syarikat atau kepentingan pemegang-pemegang syer keseluruhannya. Anda boleh melakukannya melalui dua cara: pertamanya, semua transaksi mestilah dilakukan oleh wakil syarikat (biasanya pengarah-pengarah atau pegawai syarikat yang lain) yang sekurang-kurangnya mempunyai 'kuasa nyata' untuk melakukannya dan mestilah kemudiannya diluluskan oleh lembaga pengarah; keduanya, pengarah-pengarah juga hendaklah bertindak secara 'suci hati' untuk kepentingan syarikat keseluruhannya supaya (misalnya, jika pinjaman yang dibuat oleh seseorang pengarah untuk tujuan yang di luar fasal tujuan-tujuan syarikat yang digariskan dalam Memorandum dan tindakan itu pula dibuat secara tidak suci hati) boleh diketepikan biarpun semua pengarah-pengarah menyetujui transaksi berkenaan.

Jika transaksi berkenaan tidak diluluskan oleh lembaga pengarah, pengarah atau pegawai syarikat yang bertanggungjawab boleh bertanggungan secara sendiri kepada syarikat dan boleh juga bertanggungan kepada pihak ketiga. Sebaliknya jika ketara kepada pihak luar yang berurusan dengan syarikat bahawa pegawai syarikat yang bertindak bagi pihak syarikat itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak syarikat sedangkan ia bertindak juga dengan mengelirukan pihak luar berkenaan, maka pihak yang berurusan dengan syarikat itu tidak mempunyai hak terhadap syarikat tetapi hanya boleh bertindak terhadap syarikat yang mengelirukannya.

Liabiliti anggota-anggota

Fasal keempat yang wajib dinyatakan dalam Memorandum ialah mengenai liabiliti anggota-anggota. Bagi syarikat berhad, pernyataannya berbunyi:

"Liabiliti anggota-anggota adalah terhad."

Ungkapan tersebut bermaksud bahawa, jika syarikat digulung, pemegang-pemegang syer hanya akan bertanggungan kepada pemiutang kepada amaun yang masih ditanggungnya (yang masih tidak dibayar olehnya) ke atas syer yang dipegang. Ini terpakai bagi semua pemegang syer, termasuk pengarah-pengarah yang memegang syer, tetapi pengarah-pengarah menanggung liabiliti tambahan sebagai pegawai syarikat.

Jika syarikat terus menjalankan perniagaan lebih daripada enam bulan selepas bilangan anggotanya menjadi kurang daripada dua orang, pemegang syer yang tunggal itu dengan disedarinya adalah bertanggungan ke atas hutang syarikat yang dibuat dalam tempoh itu.

Jika dibenarkan oleh Perkara-perkara Persatuan, liabiliti anggota-anggota yang terhad boleh diubah menjadi tidak terhad melalui ketetapan khas yang diluluskan oleh 75% daripada anggota-anggota.

Modal dibenarkan

Fasal kelima yang perlu dinyatakan dalam Memorandum ialah mengenai 'modal dibenarkan'. Modal dibenarkan adalah takat maksimum syer-syer boleh diterbitkan kepada pemegang-pemegang syer. Persoalannya, berapa amaun yang wajar anda tetapkan dalam Memorandum? Segalanya terpulang kepada anda. Barangkali ada dua pertimbangan yang perlu anda fikirkan. Pertamanya, sejauh mana syarikat anda akan menerbitkan kepada pemegang-pemegang syer untuk mendapatkan modal. Keduanya, penetapan modal dibenarkan melibatkan pembayaran fee tertentu kepada Pendaftar Syarikat.

Biasanya kebanyakan orang memilih untuk menetapkan modal dibenarkan kepada RM 100,000.00, kerana fee yang kena dibayar bagi modal dibenarkan yang tidak melebihi RM 100,000.00 ialah RM 1,000.00. Jika anda memilih untuk menetapkan modal yang lebih kecil, anda tentu akan rugi kerana jumlah fee yang kena dibayar adalah sama, sedangkan jika anda menetapkan modal dibenarkan yang lebih, anda terpaksa pula membayar fee yang lebih.

Bahagian modal yang dinyatakan dalam Memorandum yang dipohon beli dalam tunai atau dalam nilai aset semasa pemerbadanannya dikenali sebagai 'modal diterbitkan'. Apa-apa baki yang tak berbayar bagi sesuatu syer yang dipohon beli dikenali sebagai 'syer tidak dipanggil', dan jika ini berlaku, liabiliti pemegang syer berkenaan (yang masih tidak membayar baki syernya yang telah dipohon beli itu) adalah terhad kepada amaun yang tak berbayar itu. Amaun itu, jika masih tidak dibayar oleh pemegang syer berkenaan sehingga syarikat digulung hendaklah dibayar kepada pemiutang sebagai sumbangan kepada aset syarikat. Sebagai tambahan, fasal modal boleh juga menyentuh mengenai 'hak kelas', tetapi biasanya peruntukan berkaitan dengan hak kelas dimasukkan sebagai sebahagian daripada Perkara-perkara Persatuan.

Fasal modal syer boleh diubah untuk menambah, menyatukan atau membahagikan modal syer kepada amaun syer yang beramaun besar atau mengurangkan modal syer kepada amaun modal syer yang beramaun kecil, dengan meluluskan ketetapan khas oleh pemegang-pemegang syer. Sekali lagi, pengubahan itu perlu dimaklumkan kepada Pendaftar Syarikat dengan menyerahkan notis mengenai perubahan itu bersama-sama dengan salinan ketetapan yang membenarkan pengubahan itu dan salinan Memorandum yang diubah.

Penandatangan

Nama penandatangan-penandatangan (nama penuh dan alamat tiap-tiap seorang) kepada Memorandum dinyatakan dalam fasal keenam, iaitu ‘fasal persatuan’. Antara lain fasal berkenaan menyatakan bahawa penandatangan-penandatangan itu berhasrat supaya dibentuk menjadi suatu syarikat menurut Memorandum dan masing-masing bersetuju mengambil bilangan syer-syer dalam modal syarikat (modal dibenarkan seperti dinyatakan dalam fasal kelima) yang dinyatakan bersetentangan dengan nama mereka masing-masing. Penandatangan hendaklah sekurang-kurangnya terdiri daripada dua orang dan penandatanganan mereka perlu dibuat di hadapan saksi yang selain daripada mereka sendiri yang perlu juga menandatangani dan mencatatkan alamatnya.

PERKARA-PERKARA PERSATUAN

Fungsi Perkara-perkara Persatuan

Perkara-perkara Persatuan mengandungi peraturan-peraturan yang berhubungan dengan hal-ehwal 'pengurusan dalaman syarikat'. Ia menggariskan perhubungan di antara syarikat dengan pemegang-pemegang syer, perhubungan sesama pemegang-pemegang syer, perlantikan dan kuasa-kuasa pengarah-pengarah dan perjalanan mesyuarat syarikat.

'Jadual A' sebagai model contoh

Jadual A, Jadual Ke-4, Akta Syarikat 1965 memaparkan suatu set Perkara-perkara Persatuan contoh yang dideraf khusus untuk syarikat yang terhad mengikut syer. Anda tidak dikehendaki oleh undang-undang supaya mematuhi mematuhi dan 'menerima pakai' set contoh berkenaan. Anda boleh mengubahnya atau menderaf Perkara-perkara Persatuan syarikat anda sendiri. Jika anda tidak mengubahnya atau menggantikannya, set contoh itu akan menjadi Perkara-perkara Persatuan syarikat anda. Begitu juga jika anda menderaf yang baru, set contoh berkenaan tetap terpakai kepada syarikat anda selagi anda tidak menggugurkannya.

Kandungan Perkara-perkara Persatuan

Jika syarikat anda adalah sebuah Syarikat Sendirian Berhad, Perkara-perkara Persatuan syarikat anda perlu sekurang-kurangnya mempunyai perkara-perkara yang berikut:

1. Fasal permulaan

Sebaiknya dalam perenggan pertama, anda perlu sama ada menggugurkan terus peraturan-peraturan yang terkandung dalam Jadual A, Jadual Ke-4 Akta Syarikat 1965 atau dengan menyatakan bahawa peraturan-peraturan tersebut terpakai kepada syarikat anda setakat yang tidak bertentangan dengan peraturan-peraturan yang anda derafkan secara khusus itu atau anda menyenaraikan peraturan-peraturan tertentu yang tidak dipakai dalam peraturan-peraturan yang anda deraf.

2. Fasal definisi

Beberapa istilah perlu anda definisikan seperti Akta, Perkara-perkara, Pejabat, Meterai, Pengarah, Setiausaha dan sebagainya. Tujuan definisi ini ialah, selain daripada membataskan penggunaannya seperti yang anda mahu ianya dimaksudkan, definisi berkenaan juga akan memudahkan dan meringkaskan pernyataan perkataan-perkataan berkenaan yang mungkin berulang beberapa kali dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat anda. Misalnya, barangkali anda tidak mahu mengulang sepenuhnya perkataan Akta Syarikat 1965 setiap kali peraturan tertentu merujuk kepada Akta berkenaan; jadi anda perlu menakrifkannya awal-awal lagi dengan memakai kependekannya sebagai ‘Akta’ sahaja.

3. Fasal larangan kepada syarikat persendirian

Fasal ini adalah fasal wajib bagi sesebuah Syarikat Sendirian Berhad. Anda perlu membuat peruntukan mengenai yang berikut:

  • sekatan pindahmilik syer
  • batasan bilangan anggota kepada 50 orang
  • larangan kepada syarikat untuk mempelawa orang awam untuk memohon beli syer atau debentur syarikat
  • larangan kepada syarikat untuk mempelawa orang mendeposit wang dengan syarikat

Modal Syer

Paling penting, anda perlu memperuntukkan mengenai kuasa menerbitkan syer, misalnya anda boleh memperuntukkan bahawa:

"Syarikat hendaklah tidak menerbitkan syer selain daripada yang berbayar penuh semasa pengumpukkan."

Anda juga boleh memperuntukkan mengenai hak-hak kelas syer tertentu (misalnya 'syer keutamaan') jika anda memilih untuk menerbitkan syer keutamaan, selain daripada 'syer biasa'. Butiran ketiga yang mungkin perlu anda peruntukkan ialah mengenai jenis syer-syer yang akan anda terbitkan sama ada syer biasa yang berperingkat sama rata dalam semua keadaan atau anda mungkin ingin agar syer diterbitkan mengikut kelas-kelas tertentu.

Mesyuarat pemegang syer

Anda perlu menetapkan kuorum dalam mesyuarat pemegang-pemegang syer. Anda mungkin boleh menetapkan kuorum sebagai dua orang atau anda mungkin lebih cenderung untuk menetapkan kuorum sebagai termasuk proksi secara umum atau anda ingin agar proksi berkenaan memegang majoriti modal syer atau peratus tertentu dalam modal syer. Anda boleh juga memperuntukkan secara langsung bahawa orang tertentu perlu hazir dalam mesyuarat dan tanpa kehazirannya tidak akan wujud kuorum. Jika anda memilih cara terakhir ini, kebaikannya ialah pemegang syer minoriti tidak dapat menguasai pengundian dalam mesyuarat tetapi sebaliknya menjejaskan mesyuarat syarikat jika beliau sering tidak dapat hazir.

Pengarah-pengarah

Anda boleh menetapkan bilangan maksimum atau minimum pengarah yang boleh dilantik. Anda perlu juga memberi kuasa kepada pengarah-pengarah untuk melantik pengarah-pengarah tambahan asalkan tidak melebihi daripada bilangan maksimum yang ditetapkan. Anda boleh juga menghadkan kuasa melantik dan menyingkirkan pengarah-pengarah kepada anggota-anggota yang memegang majoriti syer terbitan tertentu.

Pengarah Gilir

Seseorang pengarah juga perlu diberi kuasa untuk melantik 'Pengarah Gilir' sebagai penggantinya untuk hazir dan mengundi bagi pihaknya dalam semua mesyuarat pengarah-pengarah. Peruntukan mengenai perlantikan Pengarah Gilir juga adalah wajar diperuntukkan. Antara peruntukan-peruntukan yang penting mengenainya ialah mengenai perlantikan, pengundian, pengosongan jawatan dan menyifatkannya sebagai ejen kepada pengarah yang melantiknya.

Kuasa meminjam

Peruntukan mengenai kuasa meminjam kepada pengarah-pengarah untuk meminjam bagi pihak syarikat adalah satu peruntukan yang penting dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat anda. Anda perlu memberi kuasa kepada pengarah-pengarah untuk menjalankan kuasa meminjam yang ada pada syarikat, dan anda boleh memilih sama ada membataskan amaun pinjaman atau memilih untuk lebih terbuka dengan tidak membataskan amaunnya.

Perkara-perkara Persatuan perlu ditandatangani oleh penanda- tangan-penandatangan Memorandum dan di hadapan seorang saksi (selain daripada penandatangan-penandatangan berkenaan) yang juga akan menurunkan tandatangan beserta nama dan alamatnya. Bilangan syer yang yang dipersetujui diambil oleh penandatangan-penandatangan tidak perlu dinyatakan dalam Perkara-perkara Persatuan.

Pengubahan Perkara-perkara Persatuan

Anda boleh mengubah perkara-perkara dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat anda, asalkan anda memastikan yang pemegang-pemegang syer minoriti tidak akan berjaya mendakwa dan membuktikan yang pengubahan itu hanya memanfaatkan pihak pengurusan atau memanfaatkan pemegang-pemegang syer majoriti sahaja, dan sebaliknya merugikan mereka dan juga syarikat. Pengubahan boleh dibuat dengan ketetapan khas yang diluluskan oleh 75% daripada pemegang-pemegang syer. Salinan Perkara-perkara Persatuan yang diubah itu perlu diberikan kepada pemegang-pemegang syer jika diminta dan dibayar fee tertentu oleh mereka. Notis mengenai pengubahan itu juga perlu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh empat belas hari daripada tarikh pengubahan. Pengubahan demikian akan berkuatkuasa daripada tarikh notis berkenaan diterima oleh Pendaftar Syarikat.

Ikatan Perkara-perkara Persatuan

Sebaik sahaja Perkara-perkara Persatuan didaftarkan, ianya mengikat syarikat dan pemegang-pemegang syernya seolah-olah semua mereka telah menandatanganinya. Perkara-perkara Persatuan akan menajdi suatu kontrak di antara syarikat dengan pemegang-pemegang syer dan di antara sesama pemegang-pemegang syer. Pemegang-pemegang syer dengan itu boleh menguatkuasakan hak-hak mereka di bawah Perkara-perkara Persatuan berkenaan diantara satu sama lain sebagai pemegang-pemegang syer tanpa keterlibatan syarikat . Mana-mana individu pemegang syer boleh menguatkuasakan haknya terhadap syarikat. Perkara ini begitu penting kerana sebagai sebuah syarikat persendirian, syarikat anda tidak bebas untuk memindahkan syer syarikat sesuka hati. Syer-syer hanya boleh diurus atau diuntukkan dikalangan pemegang-pemegang syer yang ada terlebih dahulu sebelum diuntukkan kepada pihak diluar syarikat. Pemegang-pemegang syer yang ada, mempunyai hak membeli dahulu dalam setiap terbitan syer-syer yang baru. Begitu jugalah hak terhadap syarikat adalah penting bagi pemegang-pemegang syer terutamanya apabila syarikat menjanjikan pembayaran dividen tetapi sebaliknya tidak membayarnya.

Pengarah -pengarah berada dalam kedudukan yang hampir sama dengan pemegang-pemegang syer. Mereka tidak mempunyai hak untuk dibayar gaji melainkan jika Perkara-perkara Persatuan mengisytiharkan dan menetapkan amaunnya. Amaun berkenaan, jika ditetapkan sekalipun, masih boleh diubah dengan persetujuan tiga perempat daripada pemegang-pemegang syer. Lain-lain hak anda sebagai pengarah bergantung kepada kontrak perkhidmatan anda yang sepatutnya terkandung dalam perjanjian yang berasingan dan bebas daripada Perkara-perkara Persatuan. Perjanjian inipun perlukan kelulusan daripada syarikat dalam mesyuarat agung jika ianya untuk tempoh tetap melebihi lima tahun, yang mana syarikat hanya boleh membatalkannya dalam hal-keadaan yang khusus. Kontrak berkenaan perlu dikemukakan kepada pemegang-pemegang syer untuk diteliti dalam mesyuarat agung dan perlu ada di pejabat berdaftar untuk diperiksa selewat-lawatnya empat belas hari sebelum mesyuarat agung.

RUJUKAN

A. AKTA SYARIKAT 1965

Seksyen 15 (1), (4).

Seksyen 16 (1).

Seksyen 16A.

Seksyen 16B.

Seksyen 18 (1)(e)(f).

Seksyen 18 (1)(c)(g)(h), (2).

Seksyen 21 (1), (4).

Seksyen 22 (1), (2), (4).

Seksyen 23 (1),(2)(3)(6)(7).

Seksyen 24 (1), (2).

Seksyen 25.

Seksyen 26.

Seksyen 28 (2), (3), (6), (7)(a)(d), (8), (9), (10).

Seksyen 29 (1), (3), (4), (5).

Seksyen 30 (2).

Seksyen 31 (1), (2).

Seksyen 33 (1), (3).

Seksyen 34 (1).

Seksyen 39 (3).

Seksyen 62 (1), (2), (4), (5).

Seksyen 64 (1),(4), (5), (6),(7).

Seksyen 65.

Seksyen 119 (1).

Seksyen 120.

Seksyen 121 (1), (1A), (3).

Seksyen 122 (3).

Seksyen 139 (1A).

Seksyen 152.

Seksyen 176.

Seksyen 181.

Seksyen 255.

Jadual A, Jadual Ke-4.

Peraturan 25, Jadual Ke-2.

B. KES-KES MAHKAMAH

Allen lwn Gold Reefs of West Africa Ltd (1900) 1 Ch 656.

Andrews lwn Gas Meter Co (1897) Ch. 361.

Angostura Bitters Ltd lwn Kerr (1933) AC 550, PC.

British Equitable Assurance Co Ltd lwn Bally (1906) AC 35.

Crown Bank, Re (1890) 44 Ch. D. 634.

Duncan Gilmour & Co Ltd, Re (1952) 2 All ER 871.

Eley lwn Positive Government Life Assurance Co (1876) 1 Ex parte

8.

Gasque lwn I.R.C. (1940) 2 K.B. 801.

German Date Coffee Co, Re (1882) 20 Ch. D. 169.

Greenhalgh lwn Arderne Cinemas Ltd (1990) Ch 286.

Guiness lwn Land Corporation of Ireland (1882) 22 Ch. D. 349.

Hickman lwn Kent or Romney Marsh Sheep Breeders

Association(1915) 1 Ch 881.

Laxon & Co, Re (No.2) (1892) 3 Ch. 555.

New Finance & Mortgage Co. Ltd, In re (1975) Ch 420; (1975)

1 All E.R. 184.

Pang Ten Fatt lwn Tawau Transport Co Sdn. Bhd (1986) MLJ 179.

Peter's American Delicacy Co Ltd lwn Heath (1939) 61 CLR 457.

Punt lwn Symons & Co Ltd (1903) Ch 506.

R lwn Registrar of Joint Stock Companies, ex parte More (1931)

2 KB 197.

Raffles Hotel Ltd lwn Malayan Banking Berhad (1966) 1 MLJ 206.

Rayfield lwn Hands (1960) Ch 1.

Salmon lwn Quin & Axtens Ltd (1909) 1 Ch 311.

Salomon lwn A Salomon & Co Ltd (1897) A.C. 22.

Scandinavian Bank Group plc, Re (1988) Ch. 87.

Southern Foundries (1926) Ltd lwn Shirlaw (1940) AC 701.

Swabey lwn Port Darwin Gold Mining Co (1889) 1 Meg. 385.

Welton lwn Saffery (1897) AC 299.

Wong Kim Fatt lwn Leong & Co Sdn Bhd (1976) 1 MLJ 140.

Wood lwn Odessa Waterworks Co (1889) 42 ChD 636.