ke laman utama syarikat.com ke Kuliah Asas 9
 
 
Siapakah 'pengarah'?

Siapakah pengarah? Satu soalan yang kelihatan mudah tetapi sebenarnya kompleks. Ianya mudah kerana anda sebagai pengarah sememangnya tahu bahawa selagi anda tidak meletakkan jawatan atau tidak disingkirkan sebagai pengarah, anda adalah seorang pengarah. Anda sebenarnya adalah seorang pengarah yang dilantik. Persoalannya, terdapatkah pengarah yang tidak dilantik? Pastinya anda sendiri pun tahu mengenainya, kerana anda mungkin pernah melantik seseorang menggantikan tempat anda sebagai pengarah. Memang benar, pengarah yang dimaksudkan itu adalah ‘pengarah gilir’ atau ‘pengarah ganti’. Tetapi pengarah gilir atau ganti juga dilantik, walaupun hanya dilantik oleh anda sendiri sebagai ahli lembaga pengarah. Jadi, siapakah pengarah yang tidak dilantik, baik oleh anda ataupun oleh lembaga pengarah, mahupun oleh syarikat dalam mesyuarat agung, tetapi masih dianggap oleh undang-undang sebagai ‘pengarah’? Pengarah yang dimaksudkan itu dikenali sebagai ‘pengarah bayangan’. Pengarah bayangan ialah seseorang yang walaupn tidak dilantik tetapi memberi arahan atau suruhan di sebalik tabir, dan lazimnya arahan atau suruhannya itu diikuti oleh pengarah-pengarah yang dilantik. Seksyen 4 Akta Syarikat 1965 memberi definisi ‘pengarah’ sebagai yang berikut:

"...mana-mana orang, tidak kira dengan apa jua namanya disebut, yang memegang jawatan pengarah sesuatu syarikat, dan termasuklah seseorang yang mengikut arahan-arahan atau petunjuk-petunjuknya pengarah-pengarah syarikat itu lazimnya bertindak dan seorang pengarah gilir dan ganti."

Pada amnya 'pengarah' boleh dikategorikan kepada tiga: pengarah yang dilantik, pengarah gilir atau ganti dan pengarah bayangan.

Pengarah adalah seperti 'raja berperlembagaan' yang terikat oleh terma-terma piagam syarikat yang terkandung dalam Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan. Pengarah bertanggungjawab kepada syarikat dan bukannya kepada pemegang syer secara individu. Pengarah diharapkan oleh syarikat (bayangan kepada kehendak pemegang-pemegang syer) untuk bertindak secara jujur untuk kepentingan syarikat keseluruhannya. Pengarah tidak boleh membuat keuntungan dalam kedudukannya sebagai pengarah syarikat dengan memperalatkan syarikat. Jika seseorang pengarah berkepentingan dalam kontrak yang melibatkan syarikatnya, dia perlu mendedahkan kepada pemegang-pemegang syer.

Kehendak mengenai pengarah

Pengarah-pengarah pertama perlu dinamakan dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan, tetapi biasanya dinamakan dalam Perkara-perkara Persatuan. Pengarah-pengarah pertama akan secara automatik terlantik pada tarikh syarikat diperbadankan. Perlantikan selepas itu dibuat mengikut peruntukan Akta dan butir-butir mengenainya perlu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat. Tiap-tiap syarikat perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pengarah. Pengarah syarikat tidak semestinya terdiri daripada pemegang syer atau anggota syarikat. Pengarah hendaklah seorang biasa yang cukup umur, yakni yang berumur tidak kurang daripada 18 tahun. Sekurang-kurangnya dua orang pengarah hendaklah mempunyai tempat tinggal yang satu-satunya atau yang utama di dalam Malaysia.

Jika Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan menghendaki supaya pengarah-pengarah mempunyai syer kelayakan, kelayakan berkenaan perlu diperolehi dalam tempoh dua bulan selepas perlantikannya atau dalam tempoh yang singkat seperti mana yang ditetapkan oleh Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan.

Kewajipan pengarah

Sebagai seorang pengarah, anda tidak bertanggungjawab atas tindakan rakan pengarah anda yang tidak jujur asalkan anda sendiri bertindak dengan jujur dan munasabah, tetapi anda bertanggungjawab secara sendiri kepada pihak luar, kepada syarikat dan kepada pemegang-pemegang syer atas apa-apa tindakan anda yang tidak dibenarkan oleh Akta atau Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan. Anda juga bertanggungan secara sendiri jika anda menandatangani cek yang tidak dikeluarkan dengan nama syarikat yang tidak dicatatkan dengan sempurna, dan juga atas misfeasans (salah laku) seperti membuat keuntungan rahsia, tetapi anda tidak bertanggungan sendiri atas perbuatan takfeasans (tidak melakukan apa-apa). Anda boleh disingkirkan kerana tidak kompetens tetapi anda tidak semestinya bertanggungan atas sesuatu masalah kewangan. Seseorang pengarah mungkin melakukan sesuatu dengan teruk sekali atau tidak melakukan apa-apa pun, tetapi seseorang pengarah hanya akan bertanggungan jika bertindak secara cuai dan tidak jujur dan bertanggungjawab atas kerugian syarikat yang berpunca daripada kecuaian dan ketidakjujuran itu. Anda juga akan bertanggungan secara sendiri jika anda terlibat dalam menjalankan perniagaan untuk tujuan yang fraud atau terus-menerus menjalankan perniagaan dan berhutang walaupun anda tahu yang syarikat tidak mungkin dapat membayar hutang-hutang yang ditanggung kepada pemiutang. Jika begitu keadaannya, anda akan bertanggungan tanpa had untuk membayar hutang syarikat. Sebagai pengarah anda juga bertanggungan untuk membayar denda dan kemungkinan dipenjarakan jika anda secara sedar melakukan fraud.

Sebagai seorang rakyat biasa, pengarah juga tertakluk kepada peraturan-peraturan dan undang-undang umum yang lain seperti yang berkaitan dengan jenayah, tort dan sebagainya.

Semasa syarikat masih aktif, anda juga bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan pekerja-pekerja dan pemegang-pemegang syer asalkan ianya tidak mengatasi kepentingan syarikat keseluruhannya. Semasa syarikat berada di ambang pembubaran, kepentingan pemiutang pula perlu diutamakan melebihi kepentingan-kepentingan lain.

Kuasa Pengarah

Pada amnya syarikat boleh tidak mengaku bertanggungjawab ke atas transaksi perdagangan yang mana pengarah-pengarah atau pengurus-pengurus atasan melakukannya tanpa kuasa dan kebenaran daripada Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan atau lembaga pengarah. Walau bagaimanapun, kontrak yang dibuat bagi pihak syarikat tidak boleh dinafikan jika pihak luar yang berurusan dengan wakil syarikat bertindak secara suci hati dan transaksi itu diluluskan oleh syarikat. Ini tidaklah bermakna bahawa semua tindakan pekerja syarikat hatta yang di peringkat bawahan pun boleh dianggap sebagai mewakili syarikat dan boleh disandarkan oleh pihak luar sebagai suatu tindakan syarikat yang sah. Kontrak yang boleh disifatkan sebagai mewakili syarikat hendaklah dibuat oleh seseorang yang mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak syarikat dalam perjalanan perniagaan biasa syarikat atau oleh seseorang yang diberi kebenaran oleh syarikat.

Kontrak perkhidmatan pengarah

Kontrak perkhidmatan seseorang pengarah hendaklah dizahirkan di pejabat berdaftar atau tempat perniagaan syarikat dijalankan untuk diperiksa oleh pemegang-pemegang syer dalam waktu urusan pejabat. Jika tidak terdapat kontrak bertulis, syarikat hendaklah menyimpan apa-apa catatan atau memorandum bertulis mengenainya, dan notis mengenai alamat sesuatu kontrak , nota atau memorandum itu disimpan perlu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat. Amaun aggregat gaji pengarah, pencen lampau dan semasa dan pampasan kerana kehilangan jawatan pengarah perlu juga ditunjukkan dalam akaun syarikat.

Transaksi kewangan pengarah

Pengarah-pengarah dan keluarga mereka tidak boleh memperoleh opsyen atas syer atau debentur syarikat, walaupun mereka menerimanya sebagai alangan, dan butir-butir pemegangan dan urusan berkaitan dengan debentur perlu didedahkan kepada syarikat.

Pengosongan jawatan pengarah

Seseorang pengarah boleh disingkirkan daripada jawatan pada bila-bila masa dengan undi majoriti pemegang-pemegang syer, selepas diberi notis 30 hari sebelum mesyuarat agung berkenaan. Kelayakan untuk mendapat pampasan bergantung kepada terma-terma dalam kontrak perkhidmatannya. Seseorang pengarah perlu memberikan notis bertulis mengenai cadangan atau hasratnya untuk meletakkan jawatannnya, dan jika Perkara-perkara Persatuan membenarkannya untuk melantik penggantinya, perlantikan penggantinya itu perlu disahkan oleh satu ketetapan khas oleh pemegang-pemegang syer. Perkara-perkara Persatuan biasanya memperuntukkan supaya sebahagian daripada pengarah-pengarah (biasanya sepertiga) untuk bersara setiap tahun secara bergilir, dan mereka boleh, jika layak, untuk dilantik semula. Walau bagaimanapun, seseorang pengarah tidak boleh mengosongkan jawatannya jika dengan pengosongan jawatan itu mewnyebabkan bilangan pengarah menjadi kurang daripada dua orang.

Pengarah Urusan

Seseorang 'pengarah urusan' hanya boleh dilantik jika terdapat peruntukan yang nyata dalam Perkara-perkara Persatuan. Seperti juga dengan lain-lain pengarah, apa-apa yang boleh dilakukan atau boleh diterima dalam bentuk ganjaran, bergantung kepada peruntukan Perkara-perkara Persatuan dan kontrak perkhidmatannya.

PENGURUS SYARIKAT

Kedudukan pengurus dalam syarikat

Siapakah 'pengurus'? 'Pengurus' ialah seseorang yang mengurus 'keseluruhan hal-ehwal syarikat' dan bukan semata-mata sebagai ejen yang diarahkan untuk melakukan satu perkara atau sebagai pengkhidmat yang hanya melakukan sesuatu perkara yang diarahkan. Pengurus ialah seseorang yang diamanahkan untuk mengurus 'keseluruhan hal-ehwal syarikat'. Pengurus berada dalam dua kedudukan yang ekstrim dalam hirarki organisasi syarikat: di antara pengarah-pengarah yang merangka dasar syarikat dengan para pekerja yang bertanggungjawab melaksanakan dasar yang ditetapkan oleh pengarah-pengarah. Pengurus ialah seseorang yang menjalankan tugas mengawal selia hal-ehwal korporat syarikat yang membayangkan ciri-ciri dasar umum syarikat. Pengurus tidak semestinya menjadi ahli lembaga pengarah dan tidak perlu tertakluk kepada arahan yang khusus daripada lembaga pengarah.

Representasi pengurus

Pengurus adalah pegawai kanan syarikat dalam kategori pengurusan atasan dengan kewajipan yang lebih luas daripada pekerja biasa dan hampir menyamai dengan apa yang ditanggung oleh pengarah-pengarah kepada majikan korporat mereka. Seperti juga dengan pengarah, seseorang pengurus perlu setia dalam hubungannya dengan syarikat, selalu bersuci hati dalam setiap tindakan pengurusan dan sentiasa mengelakkan daripada wujudnya pertentangan kepentingan di antara kepentingan syarikat dengan kepentingan sendiri. Ringkasnya pengurus menanggung kewajipan fidusiari kepada syarikat kerana segala tindakan mereka boleh dianggap sebagai tindakan syarikat.

Syarikat akan bertanggungan secara 'vikarius' atas tindakan-tindakan tort pengurus-pengurusnya asal saja tindakan berkenaan adalah dalam ruang lingkup kewajipan mereka. Begitu juga syarikat boleh bertanggungan atas tindakan-tindakan pengurus-pengurusnya bagi pihak dan untuk kepentingan syarikat.

Sebagai pengurus tindakan anda boleh dianggap sebagai tindakan syarikat sendiri jika anda bertindak menurut kuasa syarikat yang diwakilkan kepada anda oleh pengarah-pengarah. Dalam hal keadaan demikian tindakan anda adalah mengikat syarikat.

SETIAUSAHA SYARIKAT

Kehendak mengenai setiausaha syarikat

Syarikat anda perlu mepunyai sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat. Setiausaha syarikat pertama perlu dinamakan dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan. Seseorang setiausaha syarikat perlu sama ada dilesenkan oleh Pendaftar Syarikat atau menjadi ahli penuh badan profesional yang ditetapkan oleh menteri, yang pada masa ini terdiri daripada Malaysian Association of The Institute of Chartered Secretaries and Administrators, Malaysian Institute of Accountants, Malaysian Association of Certified Public Accountants, Bar Council, Sarawak Advocates dan Sabah Law Society. Jika anda seorang pengarah anda juga boleh menjadi setiausaha syarikat jika anda memenuhi salah satu daripada syarat di atas, cuma anda tidak boleh menandatangani sesuatu dokumen yang memerlukan tandatangan kedua-dua orang pengarah dan setiausaha syarikat sekali gus. Anda tidak boleh menandatangani sesuatu dokumen atas dua keupayaan sebagai pengarah dan setiausaha syarikat sekali gus.

Setiausaha syarikat biasanya dilantik oleh lembaga pengarah. Setiausaha syarikat adalah seorang pegawai syarikat dan bertanggungan dengan cara yang sama seperti seorang pengarah dan dikecualikan daripada menanggung liabiliti atas terma-terma yang sama.

Kuasa setiausaha syarikat

Pada amnya seseorang setiausaha syarikat terlibat dalam urusan pentadbiran dan tidak boleh terlibat dalam urusan perniagaan syarikat. Setiausaha syarikat mempunyai kuasa zahir untuk menjalankan tugas-tugas kewajipannya yang berkaitan dengan pentadbiran hal-ehwal korporat syarikat seperti penyenggaraan daftar-daftar syarikat, penjagaan meterai biasa, pengendalian prosedur dan prosiding mesyuarat, penyediaan dokumen berkanun syarikat, penyeliaan maklumat korporat syarikat dan sebagainya.

JURUAUDIT

Kehendak mengenai juruaudit

Tiap-tiap syarikat perlu melantik juruaudit. Juruaudit pertama dilantik oleh lembaga pengarah dan juru audit yang berikutnya perlu dilantik oleh syarikat dalam mesyuarat agung. Pada prinsipnya juruaudit hendaklah seorang juruaudit yang diluluskan yang boleh dilantik daripada kalangan yang pada pendapat menteri yang berkaitan dengan kewangan sebagai mempunyai kelakuan yang memuaskan dan kompetens. Pada praktiknya juruaudit hendaklah merupakan seorang ahli penuh Malasyian Institue of Accountants atau badan-badan profesional lain yang layak untuk didaftarkan sebagai ahli Malaysian Institute of Accountants dan dilesenkan oleh Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

Kewajipan juruaudit

Tugas juruaudit yang utama ialah mempersembahkan laporan audit ke atas akaun tahunan syarikat kepada pemegang-pemegang syer dalam mesyuarat agung tahunan. Mereka bertanggungjawab kepada pihak pengurusan yang membayar fee kepada mereka. Mereka juga bertanggungjawab kepada pemegang-pemegang syer yang perlu dilindungi oleh mereka. Seperti pegawai korporat yang lain juga, juruaudit diharapkan supaya jujur dan cekap, dan sebagai penasihat profesional, tanda pengakuan mereka adalah diperakukan dan menjadi asas sandaran syarikat dan pihak-pihak yang berurusan dengan syarikat. Tanggungjawab juruaudit hanyalah untuk memastikan kunci kira-kira dan akaun keuntungan dan kerugian disediakan dengan sempurna menurut kehendak undang-undang dan memberikan gambaran yang tepat dan adil mengenai kedudukan kewangan syarikat dan mengenai keuntungan dan kerugian syarikat.

Juruaudit adalah 'penjaga' dan bukannya 'pemburu' dan tidak menjamin bahawa buku dan akaun syarikat menggambarkan kedudukan kewangan sebenar syarikat. Tanggungjawab juruaudit cuma terhadap apa-apa kerugian yang berpunca daripada kecuaian atau fraud mereka. Semua laporan dan kesimpulan yang dibuat oleh mereka hendaklah didasarkan kepada penyiasatan yang wajar. Dalam menjalankan kewajipan auditan, juruaudit berhak untuk akses kepada semua dokumen-dokumen dan maklumat-maklumat yang perlu. Adalah menjadi satu kesalahan jenayah jika anda dengan sengaja mengelirukan juruaudit anda. Jika akaun dan buku kewangan syarikat anda dicurigai atau juruaudit tidak dapat memperoleh maklumat yang mencukupi daripadanya, perihal berkenaan perlu dinyatakan oleh juruaudit dalam laporannya.

Bukanlah menjadi kewajipan juruaudit untuk melaporkan sesuatu mengenai kewangan syarikat kepada pihak berkuasa (kecuali dalam perkara-perkara tertentu), tetapi juruaudit perlu melaporkannya kepada pemegang-pemegang syer dengan memberikan maklumat yang sepenuh dan sewajarnya untuk dipersembahkan kepada pemegang-pemegang syer dalam mesyuarat agung. Jika majoriti pemegang syer melakukan kesalahan dan cuba pula menunggangi pemegang syer minoriti, tanggungjawab juruaudit adalah untuk menonjolkan dan mendedahkan penyelewengan kewangan syarikat dalam akaun tahunan syarikat.

Saraan juruaudit

Saraan juruaudit ditetapkan oleh pihak yang melantik mereka. Bagi juruaudit pertama yang dilantik oleh pengarah-pengarah, lembaga pengarahlah yang menetapkan saraan kepada mereka. Begitu juga keadaannya bagi juruaudit yang berikutnya yang dilantik oleh syarikat dalam mesyuarat agung, maka mesyuarat agunglah yang menetapkan saraannya. Dalam hal keadaan tertentu seseorang juruaudit dilantik oleh kerajaan dan dalam konteks ini kerajaanlah yang menetapkan saraan mereka.

PEMEGANG SYER

Hak pemegang syer

Asalkan pihak pengurusan bertindak dengan suci hati dan untuk kepentingan syarikat keseluruhannya, pemegang syer minoriti tidak mempunyai kuasa untuk masuk campur dalam urusan perniagaan syarikat.

Seseorang pemegang syer secara individu boleh mendakwa syarikat atas namanya sendiri untuk melindungi hak individunya, misalnya untuk memaksa lembaga pengarah untuk menerima undinya. Walau bagaimanapun, biasanya seseorang pemegang syer tidak boleh mengharapkan undang-undang untuk melindungi sesuatu yang disifatkan olehnya sebagai kepentingan syarikat atau untuk masuk campur dalam pengurusan dalaman syarikat, kerana semua tindakan perlu diambil oleh syarikat sendiri.

Ini bermakna bahawa kehendak majoriti pemegang syer adalah sebenarnya mewakili kehendak syarikat dan syarikat dalam mesyuarat agung mempunyai kuasa tunggal untuk memutuskan sama ada sesuatu pertikaian perlu dibawa ke mahkamah atau tidak. Jelasnya jika syarikat difraud, syarikat sahajalah yang akan mengambil tindakan ke atas orang yang memfraudnya itu, dan pemegang syer hanya boleh mengambil tindakan ke atas pihak yang memfraud itu jika lembaga pengarah sendiri adalah terdiri daripada pihak yang memfraud. Meskipun begitu mereka masih terpaksa membuktikan kes prima facie dan jika kerosakan terhadap syarikat tidak menjejaskan mereka secara individu, mereka tidak boleh mengambil tindakan.

Seseorang pemegang syer, walau bagaimanapun boleh menghalang pihak pengurusan daripada bertindak secara yang tak sah atau melampaui kuasa yang diberikan kepada mereka oleh Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan. Mereka boleh memohon kepada mahkamah jika hal-ehwal syarikat telah dikendalikan dengan cara yang menjejas kepentingan mereka. Walaupun begitu, melainkan jika terdapat dakwaan fraud, Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan boleh meratifikasikan hampir semua tindakan lembaga melalui ketetapan biasa dalam mesyuarat agung. Jika pemegang syer minoriti masih ingin untuk mengambil tindakan terhadap pemegang-pemegang syer yang menguasai syarikat, cara yang boleh dilakukan oleh mereka ialah melalui tindakan mahkamah dan selepas itu barulah, melainkan dalam keadaan yang terkecuali, jika pemegang syer majoriti belum mengesahkan transaksi berkenaan.

Walau bagaimanapun jika pemegang-pemegang syer bertindak dengan tegas dan boleh membuktikan kepentingan mereka telah terjejas, mahkamah boleh melaksanakan kawalan ketat ke atas syarikat, misalnya dengan mengarahkan supaya pemegang-pemegang syer majoriti keluar atau syarikat melakukannya dengan mengurangkan modal. Mahkamah juga boleh mengarahkan supaya Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan diubah atau mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan bagi pihak syarikat.

Jika hanya kerana lembaga pengarah tidak berperanan dengan cekap, pemegang-pemegang syer tidak boleh melakukan apa-apa. Mahkamah boleh membantunya, bagaimanapun, jika pemegang syer majoriti tidak mengongsi keuntungan akibat daripada 'kecuaian lampau' dan dia tidak perlu membuktikan adanya fraud. Kecuaian biarpun membawa kepada kerugian, tidak akan mendapat dokongan yang sama dan biasanya pemegang syer perlu buktikan bahawa wujudnya manipulasi oleh pemegang syer majoriti dalam kedudukan mereka yang menguasai syarikat untuk memperoleh sesuatu yang tak sepatutnya.

Pertimbangan yang sama terpakai kepada petisyen pemegang-pemegang syer kepada mahkamah bagi penggulungan wajib atas alasan bahawa ianya adalah 'adil dan saksama' untuk menggulung syarikat. Mahkamah hanya akan membuat perintah jika pada pendapatnya pemegang-pemegang syer tidak mempunyai remedi yang lain dan adalah munasabah syarikat digulung.

Sebagai jalan terakhir, syarikat sendiri (dengan meluluskan satu ketetapan khas), atau sekurang-kurangnya 200 orang pemegang syer atau sekurang-kurangnya 10% daripada pemegang syer terbitan boleh memohon kepada menteri untuk menyiasat syarikat. Pemegang-pemegang syer mestilah mempunyai alasan yang munasabah sebelum boleh memohon menteri untuk menyiasat dan perlu memberikan sekuriti kepada

kos penyiasatan berkenaan dalam amaun yang pada pendapat menteri adalah wajar.

Menteri akan melantik penyiasat jika difikirkannya bahawa pihak pengurusan akan atau telah mengurus syarikat dengan tujuan untuk memfraud atau mengelirukan pemegang-pemegang syer atau pemiutang atau mengurus syarikat untuk tujuan fraud atau tujuan yang tak sah atau dengan cara yang telah atau akan menindas kepentingan pemegang-pemegang syer, meskipun syarikat telah digulung secara sukarela. Penyiasat yang dilantik berhak untuk akses kepada semua maklumat yang diperlukan, buku dan dokumen. Penyiasatan berkenaan boleh membawa kepada pendakwaan, mengetatkan kawalan pengurusan, memerintahkan pembelian syer pemegang syer minoriti atau dibubarkan. Syarikat sendiri boleh menuntut ganti rugi atau mendapatkan semula aset daripada pihak pengurusan.

RUJUKAN

A. AKTA SYARIKAT 1965

Seksyen 4.

Seksyen 16 (7).

Seksyen 19 (1)(a).

Seksyen 20 (1).

Seksyen 39 (4).

Seksyen 67.

Seksyen 122 (1), (2), (3).

Seksyen 123 1).

Seksyen 124 (3), (4).

Seksyen 125 (1).

Seksyen 126 (1), (2).

Seksyen 128 ((1), (2), (3), (7), (8).

Seksyen 129 (1), (2), (3), (4), (6).

Seksyen 130.

Seksyen 130A.

Seksyen 131 (1), (5), (8).

Seksyen 132 (1), (3)(a), (5).

Seksyen 132A.

Seksyen 132C.

Seksyen 132E.

Seksyen 132F.

Seksyen 132G.

Seksyen 133 (1)(a)(b)(c), 2(a)(b), (3), (4), (5).

Seksyen 133A.

Seksyen 135 (1), (2)(a)(b)(c), (2A).

Seksyen 137 (1), (5)(a)(b)(d)(c)(e), (7).

Seksyen 138 (1).

Seksyen 139 (1), (1A)(1B), (3), (4).

Seksyen 139A.

Seksyen 139B.

Seksyen 139C.

Seksyen 139D.

Seksyen 140 (1).

Seksyen 141 (6)(b)(d).

Seksyen 143 (4).

Seksyen 145 (2).

Seksyen 153.

Seskyen 165 (7).

Seksyen 171.

Seksyen 172 (1).

Seksyen 181.

Seksyen 295 (1), (2).

Seksyen 303.

Seksyen 305 (1), (2).

Seksyen 354, (2).

Seksyen 363 (5).

Seksyen 370 (3).

Perkara 63, 66, 67, 58, 69, 70, 71, 72, 73, 74, 75, 76, 77, 78(d)(e),91,95 Jadual A.

B. KES-KES MAHKAMAH

Aberdeen Railway Co lwn Balikie Brothers(1843-60) All ER Rep 249.

Alexander Ward & Co Ltd lwn Samyang Navigation Co (1975)

1 WLR 673.

Avel Consultants Sdn Bhd & YL lwn Mohd Zain Yusof &

Dua YL (1985).

Bank Bumiputra Malaysia Bhd lwn Lorrain Osman (1985)

2 MLJ 237.

Burland lwn Earle (1902) AC 83.

Bushell lwn Faith (1970) AC 1099.

Chaterbridge Corporation Ltd lwn Lloyds Bank Ltd (1970) Ch 62.

City Equitable Fire Insurance Co Ltd, Re (1925) Ch 407.

Cook lwn Deeks (1916) 1 AC 554.

Ebrahimi lwn West bourne Galleeries Ltd (1973) AC 360.

Eley lwn Positive Government Life Assurance Co (1876) 1 Ex D 88.

Foss lwn Harbottle (1843) 2 Hare 461.

Freeman & Lockyer lwn Buckhurst Park Properties (

Mangal) Ltd (1964) 2 QB 480.

Hedley Byrne & Co Ltd lwn Heller & Partners Ltd (1963)

2 All ER 575.

J.E.B. Fasteners Ltd lwn Marks, Bloom & Co (1981) 3 All ER 289.

Kingston Cotton Mills Co, Re (No 2) (1892) 2 Ch 279.

Marshall's Valve Gear Co lwn Manning, Wardle & Co (1909)

1 Ch 267.

North-West Transportation Co Ltd lwn Beatty (1887)

12 App Cas 589.

Panorama Developments (Guildford) Ltd lwn Fidelis

Furnishing Fabrics Ltd (1971) 2 QB 711.

Percival lwn Wright (1902) 2 Ch 421.

Quin & Axtens Ltd lwn Salmon (1909) AC 442.

Raja Nong Chik lwn PP (1971) 1 MLJ 190.

Regal (Hastings) Ltd lwn Gulliver (1942) 1 All ER 378.

Royal British Bank lwn Turquand (1856) 6 E & B 327.

Shaw (John) & Sons (Salford) Ltd lwn Shaw (1935) 2 KB 113.

Smith & Fawcett Ltd, Re (1942) Ch 304.

Soliappan lwn Lim Yoke Fan (1968) 2 MLJ 21.

Southern Foundries (1926) Ltd lwn Shirlaw (1940) AC 701.

Thomas Gerrard & Son Ltd, Re (1967) 2 All ER 525.