ke laman utama syarikat.com
 
 

MUKADIMAH

Kod Etika Pengarah Syarikat (selepas ini disebut ‘Kod Etika’) diperkenalkan oleh Pendaftar Syarikat pada 8 April 1996 yang lalu. Saya sengaja memilih tajuk apitan "Penghayatan Sebuah Ideal" kepada tajuk dasar "Kod Etika Pengarah Syarikat" sebagai ‘gelaran’ kertas ini bagi memberi isyarat kepada pembaca bahawa kod etika ini janganlah sangat diharapkan sebagai suatu kanun yang perlu dipatuhi, tetapi alangkah baiknya jika ianya dipatuhi! Pada pendapat saya kod kelakuan yang terkandung di dalamnya adalah bercampur baur di antara kod kelakuan yang boleh dikuatkuasakan dengan sendirinya, dengan kod kelakuan yang perlu disokong oleh peruntukan statut, serta kod kelakuan yang semata-mata bersandarkan kepada suatu ‘pengharapan’ sahaja. Kod Etika ini barangkali sesungguhnya adalah penggabungan di antara fakta dan idealisme!

Dalam membuat kupasan dan memberikan panduan mengenai kesemua kandungan Kod Etika, saya memilih untuk mengganggapnya sebagai satu pandangan peribadi saya yang didasarkan kepada kefahaman sendiri dan penyelidikan peruntukan statut, undang-undang lazim, keputusan Mahkamah dan peruntukan perlembagaan syarikat yang releven. Dalam perkara-perkara yang berunsur pengurusan dalam Kod Etika, saya memilih untuk tidak mengulasnya secara yang komprehensif. Semua ulasan dan pandangan yang terkandung dalam kertas ini tidak sekali-kali mewakili atau layak untuk mewakili pandangan Pendaftar Syarikat sebagai badan yang menggubal dan mentadbir perlaksanaan Kod Etika.

Saya memilih untuk menggunakan tiga pendekatan dalam mengulas kandungan Kod Etika: memperincikan kandungan tiap-tiap perenggan kod, memberikan panduan yang bersesuaian dengan kehendak tiap-tiap kod kelakuan yang diperincikan itu, dan memberikan komentar di mana yang wajar.

Memandangkan saya bukannya orang yang berautoriti untuk menafsirkan Kod Etika, saya memilih untuk tidak bertanggungjawab atas sebarang kesan daripada apa juga tindakan yang berdasarkan kepada maklumat yang terkandung dalam kertas ini atau apa-apa ralat atau peninggalan di dalamnya. Saya juga tidak sekali-kali cuba menyampaikan nasihat kepada pembaca kertas ini. Dengan demikian saya dengan secara nyata menafikan semua, mana-mana dan apa-apa liabiliti kepada mana-mana orang yang membaca kertas ini berkaitan dengan apa juga dan akibat daripada apa juga yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan oleh mana-mana orang yang bersandarkan kepada, sama ada seluruhnya atau sebahagiannya, atas semua atau mana-mana bahagian daripada kandungan kertas ini. Jika nasihat undang-undang atau bantuan kepakaran yang lain diperlukan, khidmat orang yang kompetens perlu diperole

RASIONAL PENGENALAN KOD ETIKA PENGARAH SYARIKAT

Latar Belakang

Perenggan A, yang merupakan pengenalan kepada Kod Etika menyebut:

"Malaysia semakin bergantung kepada sektor swasta bagi pertumbuhan yang berkekalan dalam aktiviti perdagangan dan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, lebih-lebih lagi dengan perkembangan ekonomi yang baik dan pengswastaan operasi-operasi perkhidmatan pos, telekomunikasi, penjanaan kuasa dan sistem pembentungan negara mendedahkan laporan dan akaun syarikat kepada penelitian yang sangat mendalam. Suasana perniagaan dan undang-undang berterusan menjadi lebih kompleks dan ini telah mengenakan suatu tuntutan yang lebih bagi kecekapan yang munasabah di kalangan pengarah-pengarah syarikat. Adalah penting wujudnya suatu tahap kecekapan tingkahlaku perlakuan korporat yang mempunyai keprofesionalan dan kebolehpercayaan untuk mendukung integriti korporat yang baik."

[Malaysia is increasingly dependent on private sector for sustainable growth of trade and business activities and the economy as a whole, more so with the buoyant economy and the privatisation of the nation’s postal, telecommunication, power and sewerage treatment operations have exposed company reports and accounts to unusually close scrutiny. The business environment and laws are continually becoming more complex and these have imposed a greater demand for reasonable competence among company directors. It is important that there exists an acceptable level of corporate behaviour not devoid of professionalism and credibility, to uphold good corporate integrity. Experiences within the country have critically exposed the need to formulate standards of corporate behaviour to create an ethical corporate climate.]

Dalam perenggan pengenalan di atas, disebutkan tiga faktor yang mendorong kepada perlunya wujud tingkah laku perlakuan korporat yang mempunyai ciri-ciri profesionalisme dan kebolehpercayaan bagi mendokong integriti korporat:

  1. semakin pentingnya pendedahan hal-ehwal syarikat dalam laporan dan akaun syarikat bagi membolehkan masyarakat korporat mengetahui kedudukan dan perkembangan hal-ehwal korporat dan kewangan syarikat.
  2. persekitaran perniagaan dan perdagangan yang semakin kompleks yang (perlu) disejajari dengan peruntukan (dan tafsiran) undang-undang yang semakin kompleks.
  3. struktur dan mekanisme undang-undang yang semakin menjadi kompleks akibat daripada kompleksnya persekitaran perniagaan dan perdagangan.

Perlunya Mengawal Perlakuan Pengarah

Perlakuan pengarah syarikat perlu dikawal sama ada dalam bentuk peruntukan undang-undang statut yang diperkukuhkan oleh keputusan mahkamah, atau melalui inisiatif pihak syarikat sendiri melalui peruntukan dalam perlembagaan syarikat, dan sebagai pelengkapnya, perlu diwujudkan suatu Kod Etika pengarah syarikat.

Terdapat sekurang-kurangnya enam sebab kenapa perlunya kawalan tingkah laku pengarah syarikat:

  1. untuk menjaga kepentingan pemegang syer.
  2. untuk menjaga kepentingan pemiutang.
  3. untuk mejaga pengguna (sama ada orang perseorangan, pihak swasta dan agensi kerajaan) yang berurusan dengan syarikat.
  4. untuk melindungi pekerja.
  5. untuk memelihara ketertiban sosial.
  6. untuk memelihara alam sekitar.

Prinsip

Perenggan B kepada kod etika membentangkan prinsip-prinsip yang menunjangi Kod Etika yang diperkenalkan itu. Perenggan tersebut menyebut:

"Prinsip yang ke atasnya kod ini didasarkan adalah prinsip-prinsip yang berkaitan dengan ketelusan, integriti, kebertanggungjawapan dan tanggungjawab sosial korporat"

[The principles on which this Code rely are those that concern transparency, integrity, accountability and corporate social responsibilities.]

Kod Etika adalah berasaskan dan berlandaskan kepada empat tunjang:

  1. ketelusan.
  2. integriti.
  3. kebertanggungjawapan.
  4. tangggungjawab sosial korporat

Ketelusan dalam konteks Kod Etika adalah merujuk kepada perlunya pendedahan maklumat hal-ehwal korporat syarikat kepada khalayak umum terutamanya kepada pemegang syer, pemiutang dan orang yang berurusan dengan syarikat. Ketelusan juga merujuk kepada pentingnya pengarah syarikat untuk akses kepada perkembangan maklumat hal-ehwal korporat syarikatnya dan juga akses kepada nasihat hal-ehwal korporat daripada pegawai syarikatnya, terutamanya setiausaha syarikat. Prinsip ketelusan ini sebenarnya telah sekian lama diperkenalkan dan diiktiraf oleh undang-undang melalui rukun ‘Notis Konstruktif’. Mengikut rukun ini, seseorang yang berurusan dengan syarikat disifatkan oleh undang-undang sebagai mengetahui mengenai maklumat yang terkandung dalam dokumen awam syarikat walaupun orang berkenaan sebenarnya tidak mengetahuinya. Dalam konteks Malaysia, beberapa dokumen syarikat telah disifatkan oleh undang-undang sebagai dokumen awam, antara lain sebagai berikut:

  1. dokumen perlembagaan syarikat yang terkandung dalam Memorandum & Perkara Perkara Persatuan (Memorandum & Articles of Association) dan apa-apa dokumen yang menguatkuasakan pindaan kepada dokumen perlembagaan tersebut.
  2. dokumen yang berkaitan dengan gadaian syarikat yang didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat.
  3. dokumen yang menjadi keterangan prima facie perlantikan atau pengosongan jawatan pengarah-pengarah syarikat: K.L. Engineering Sdn. Bhd. & YL lwn Arab Malaysia Finance Berhad (1994) 6 KANUN (2).

Integriti yang menjadi asas Kod Etika merujuk kepada kewajipan pengarah syarikat untuk:

  1. menggunakan hak dan kuasa yang ada padanya atau yang diberikan oleh syarikat kepadanya dengan ikhlas dan suci hati untuk manfaat syarikat keseluruhannya.
  2. menggunakan kemahiran dan profesionalisme dirinya secara yang munasabah untuk manfaat syarikat keseluruhannya.
  3. bertindak secara berjaga-jaga dalam menangani hal-ehwal pengurusan syarikat.

Kebertanggungjawapan merujuk kepada perlunya seseorang pengarah syarikat untuk bertanggungjawab atas semua tindakannya dan mengambil daya usaha yang munasabah untuk memastikan tindakannya itu membawa manfaat kepada syarikat, dan mengawal selia pegawai atau pekerja syarikat yang lain suapaya mematuhi dan mencapai objektif syarikat.

Tanggungjawab sosial korporat merupakan suatu tindak balas konstruktif oleh pengarah syarikat kepada perubahan-perubahan nilai dan kehendak pengguna, pekerja dan masyarakat umum dalam setiap tindakannya mengurus syarikat untuk memenuhi tujuan syarikat.

Objektif

Dalam perenggan C kepada kod etika dibentangkan objektif kod etika sebagai yang berikut:

"Kod Etika ini dirumuskan untuk meningkatkan standard pentadbiran korporat dan tingkah laku korporat dengan maksud mencapai tujuan berikut:

  1. Untuk mewujudkan standard tingkah laku etika bagi pengarah berdasarkan kepercayaan dan nilai yang boleh diterima, yang dipegang atau didukung oleh seseorang.
  2. Untuk mendukung semangat tanggungjawab dan kebertanggungjawapan sosial sejajar dengan perundangan, peraturan dan garispanduan yang mentadbir sesuatu syarikat."

[This Code of Ethics is formulated to enhance the standard of corporate governance and corporate and corporate behaviour with a view to achieving the following objectives:

  1. To establish standards of ethical conduct for directors based on acceptable belief and values one upholds.
  2. To uphold the spirit of social responsibility and accountability in line with the legislations, regulations governing a company.]

Kod Etika bertujuan untuk dijadikan rumusan bagi mencapai dua matlamat:

  1. meningkatkan standard pentadbiran korporat (corporate governance).
  2. meningkatkan standard tingkah laku korporat. melalui dua langkah yang berikut dikenalpasti:
  3. dengan mewujudkan suatu standard tingkah laku etika pengarah berasaskan nilai dan kepercayaan seseorang.
  4. dengan mendokong semangat tanggungjawab dan kebertanggungjawapan sosial korporat yang sejajar dengan undang-undang dalaman dan luaran syarikat.

LITUPAN KOD ETIKA PENGARAH SYARIKAT

Dalam perenggan D kepada Kod Etika, digariskan sempadan litupan yang dilitupi oleh kod etika. Perenggan tersebut mendefinisikan pengarah (yang dilitupi oleh kod etika) sebagai berikut:

"Dalam konteks kod ini, seseorang pengarah syarikat ertinya mana-mana orang yang memegang jawatan pengarah sesuatu perbadanan dengan nama apa juga disebut, dan termasuklah seseorang mengikut arahan dan petu njuknya pengarah sesuatu perbadanan pada lazimnya bertindak, dan seorang pengarah silih atau gantian. Seorang pengarah juga termasuk kedua-dua pengarah eksekutif dan juga pengerusi eksekutif dan bukan eksekutif."

[In the context of this Code, a company director means any person occupying the position of director of a corporation by whatever name called, and includes a person in accordance with whose directions and instructions the directors of a corporation are accustomed to acting, and an alternate or substitute director. A director also includes both executive and non-executive director as well as executive and non-executive chairman.]

Berasaskan kepada definisi di atas, kod etika ditujukan kepada:

  1. Pengarah syarikat yang dilantik oleh syarikat.
  2. Pengarah bayangan, iaitu seseorang yang tidak dilantik sebagai pengarah syarikat tetapi tindak-tanduknya (arahan atau petunjuknya) lazim mempengaruhi keputusan lembaga pengarah.
  3. Pengarah gilir atau ganti, iaitu seseorang yang dilantik untuk menggantikan atau menggiliri seseorang pengarah yang melantiknya (sebagai pengarah gilir atau ganti).
  4. Pengerusi syarikat.

Pengarah dan pengerusi syarikat (kecuali pengarah bayangan), meliputi kedua-dua, eksekutif dan bukan eksekutif. Walaupun kod ini ditujukan kepada ‘pengerusi syarikat’, rujukan perlu dibuat kepada Perkara-perkara Persatuan bagi menentukan sama ada terdapat peruntukan mengenai perlantikan ‘pengerusi syarikat’.

Definisi Pengarah Syarikat

Seksyen 4 mendefinisikan ‘pengarah’ sebagai:

"…mana-mana orang, tidak kira dengan apa jua namanya disebut, yang memegang jawatan pengarah sesuatu syarikat, dan termasuklah seorang yang mengikut arahan-arahan atau petunjuk-petunjuknya pengarah-pengarah syarikat itu lazimnya bertindak dan seorang pengarah gilir atau ganti."

Jelas sekali kod etika pengarah syarikat menerima pakai takrif seksyen 4 tersebut. Sebagai tambahan kod etika pengarah syarikat meliputi juga pengerusi mesyuarat (sama ada yang eksekutif atau bukan eksekutif) yang sebelumnya tidak diiktiraf sewajarnya oleh undang-undang (apakah pengiktirafan oleh kod etika pengarah syarikat dengan sendirinya merupakan suatu pengiktirafan di sisi undang-undang?)

Pengarah Lantikan

Pengarah lantikan ialah pengarah yang telah dilantik secara sempurnanya menurut undang-undang, dan disenaraikan sebagai pengarah syarikat dalam Borang 49 yang didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat. Walaupun begitu, seseorang pengarah yang dilantik secara tidak sempurna tetap dianggap sebagai seorang pengarah sehinggalah kecacatan dalam perlantikannya diketahui: seksyen 127. Begitu jugalah seseorang pengarah yang telah dilantik tetapi namanya tidak disenaraikan dalam Borang 49 yang didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat tetap dianggap sebagai pengarah oleh undang-undang: Yap Sing Hock & SL lwn PP (1991) 1 MSCLC 90,648.

Pengarah Bayangan

Pengarah bayangan ialah seseorang yang arahan-arahan atau petunjuk-petunjuknya dipatuhi dan diikuti oleh pengarah-pengarah yang dilantik. Berdasarkan kepada beberapa kes mahkamah, bank yang mencampuri dan mempengaruhi keputusan lembaga pengarah syarikat, pemegang-pemegang syer yang menguasai syarikat, dan syarikat induk boleh dianggap sebagai pengarah bayangan: Kuwait Asia Bank EC lwn National Mutual Life Nominees Ltd (1990) BCC 567.

Walau bagaimanapun ketiga-tiga golongan tersebut tidaklah secara automatik dianggap sebagai pengarah bayangan oleh undang-undang. Segalanya bergantung kepada hal keadaan sesuatu kes itu, dan sejauhmanakah seseorang itu mencampuri dan mempengaruhi keputusan lembaga pengarah syarikat. Tujuan undang-undang menganggap seseorang sebagai pengarah bayangan hanyalah sebagai mekanisme untuk mensabitkan seseorang kepada sesuatu liabiliti di sisi-sisi undang-undang dan tidak sekali-kali untuk memberikan hak kepada orang berkenaan sebagai seorang pengarah dalam sesebuah syarikat.

Seseorang yang melantik orang lain sebagai proksi bagi mewakili kepentingannya dalam lembaga pengarah tidaklah secara automatik boleh dianggap sebagai pengarah bayangan selagi arahan-arahan atau petunjuk-petunjuknya tidak dipatuhi dan diikuti oleh pengarah proksi berkenaan. Begitu jugalah dengan seseorang yang menasihati pengarah-pengarah syarikat atas keupayaan profesional tidak juga boleh dianggap sebagai pengarah bayangan walaupun nasihatnya itu lazim dipatuhi dan diikuti oleh pengarah-pengarah syarikat, selagi tidak melangkau batas-batas profeasionalnya: Kuwait Asia Bank EC lwn National Mutual Life Nominees Ltd (1990) BCC 567.

Pengarah Gilir atau Ganti

Pengarah Gilir atau Ganti ialah seseorang yang dilantik oleh seseorang pengarah syarikat bagi menggilirinya atau menggantikannya sebagai pengarah dalam tempoh waktu tertentu. Perlantikan dan penyingkirannya perlu dibuat secara bertulis oleh pengarah yang melantiknya dan kemudiannya dibentangkan di hadapan pengarah-pengarah lain bagi mendapatkan kelulusan. Pengarah gilir atau ganti hanya boleh dilantik jika terdapat peruntukan yang membenarkan perlantikannya dalam perlembagaan syarikat. Pengarah gilir atau ganti disenaraikan dalam Borang 49 yang didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat.

Kategori Pengarah

Walaupun selama ini undang-undang tidak mengkategorikan pengarah, tetapi kod etika pengarah syarikat mengkategorikan pengarah kepada pengarah eksekutif dan bukan eksekutif. Pengarah eksekutif ialah seseorang pengarah yang, selain daripada memegang jawatan pengarah, juga memegang jawatan sepenuh masa dengan syarikat. Sebaliknya, pengarah bukan eksekutif pula hanya memegang jawatan pengarah tetapi tidak memegang jawatan sepenuh masa dengan syarikat.

Peri pentingnya kategori pengarah tersebut ialah dalam menentukan prosedur dan kesan undang-undang dalam perlantikan, saraan dan penyingkiran seseorang pengarah. Perlantikan, saraan dan penyingkiran pengarah bukan eksekutif hanya tertakluk kepada perlembagaan syarikat dan Akta Syarikat 1965 sahaja sedangkan bagi pengarah eksekutif pula, perlantikan, saraan dan penyingkirannya juga ditentukan oleh kontrak perkhidmatannya dengan syarikat.

Pengarah Urusan

Pengarah Urusan hanya boleh dilantik jika terdapat peruntukan mengenai perlantikannya dalam perlembagaan syarikat. Pengarah Urusan tidak semestinya mempunyai kuasa yang luas dan tertinggi dalam hierarki kuasa dalam lembaga pengarah syarikat. Keluasan kuasa dan ketinggian hierarkinya dalam pengurusan syarikat bergantung kepada peruntukan perlembagaan syarikat dan bentuk mandat yang diberikan oleh lembaga pengarah kepadanya. Ruang lingkup kuasanya juga tertakluk kepada apa-apa pengubahan oleh lembaga pengarah dari semasa ke semasa.

Pengerusi

Kod Etika Pengarah Syarikat juga ditujukan kepada Pengerusi syarikat, yang selama ini tidak wujud dalam kamus ‘undang-undang.’ Pengerusi syarikat sama ada yang eksekutif atau yang bukan eksekutif dianggap sebagai ‘pengarah’ dalam konteks kod etika. Litupan yang luas sehingga merangkumi Pengerusi syarikat nampaknya bersesuaian dengan syarikat awam atau syarikat besar sahaja. Ini kerana dalam syarikat awam, seseorang Pengerusi ada kalanya dilantik berjawatan eksekutif, ataupun jika tidak dilantik, sekurang-kurangnya mempunyai kuasa yang dominan dalam syarikat. Ini berlainan sekali dengan syarikat persendirian yang bersaiz kecil, yang mana kedudukan Pengerusi hanyalah terhad kepada hal-ehwal mesyuarat syarikat sahaja, malah kerap kalinya hanya wujud pada namanya sahaja.

KOD KELAKUAN

Pada peranggan E kod etika, disenaraikan kod kelakuan pengarah syarikat, yang terbahagi kepada tiga kategori, iaitu pentadbiran korporat, hubungan dengan pemegang syer, pekerja, pemiutang dan pelanggan, dan tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

Kod kelakuan pengarah syarikat dalam pentadbiran korporat menggariskan 12 kod kelakuan yang perlu dipatuhi oleh pengarah syarikat. Kesemua 12 kod itu boleh dibahagikan kepada lima bentuk kewajipan:

  1. kewajipan fidusiari.
  2. kewajipan menggunakan kemahiran.
  3. kewajipan berusaha dan menggunakan usaha yang munasabah.
  4. kewajipan berjaga-jaga.
  5. kewajipan pengisian pengetahuan dan maklumat korporat.

Jelas sekali yang kod etika dalam kategori ini adalah ambilan langsung daripada undang-undang lazim, duluan kehakiman dan peruntukan statut yang berkaitan langsung dengan kewajipan pengarah syarikat, kecuali kod kelakuan yang berkaitan dengan dengan kewajipan pengisian pengetahuan dan maklumat korporat yang lebih merupakan suatu terokaan baru oleh kod etika ini.

Bahagian kedua daripada kod kelakuan menggariskan tiga kewajipan pengarah syarikat dalam hubungannya dengan pemegang syer, pekerja, pemiutang dan pelanggan. Kod kelakuan yang digariskan dalam bahagian kedua ini juga adalah penerusan kewajipan yang telah diperkenalkan oleh undang-undang lazim, duluan kehakiman dan peruntukan statut. Walau bagaimanapun terdapat dua bentuk perhubungan baru yang masih belum diperakui oleh undang-undang tempatan tetapi diperkenalkan oleh kod etika ini, iaitu kewajipan pengarah syarikat dalam hubungannya dengan pekerja dan pelanggan. Di United Kingdom dan Singapura dan di negara-negara Komanwel lainnya hubungan pengarah syarikat dengan pekerja sudah agak lama diperkenalkan, tetapi hubungan pengarah syarikat dengan pelanggan nampaknya merupakan suatu terokaan baru, yang mungkin berasaskan kepada peruntukan yang diperkenalkan sejak beberapa dekad yang lalu di kalangan negara-negara Kesatuan Ekonomi Eropah.

Kod kelakuan dalam bahagian ketiga menyentuh mengenai kewajipan sosial dan alam sekitar yang perlu dipatuhi oleh pengarah. Daripada lima kod kelakuan yang diperkenalkan, sebahagiannya mempunyai kuatkuasa statut dan sebahagian lagi tidak lebih daripada suatu ‘harapan’ semata!

KOD KELAKUAN: PENTADBIRAN KORPORAT

Apa itu pentadbiran korporat? Mengikut Philip TK Noh, pentadbiran korporat atau corporate governance merujuk kepada suatu proses dan struktur yang digunakan untuk mengarah dan mengurus perniagaan dan hal-ehwal sesuatu perbadanan bagi tujuan meningkatkan nilai jangka panjang kepada pemegang syer dan daya maju kewangan sesuatu perniagaan. Proses dan struktur itu mendefinisikan pembahagian kuasa dan kebertanggungjawapan di antara pemegang-pemegang syer, lembaga pengarah dan pihak pengurusan, dan boleh memberi kesan kepada stakeholder lain seperti pekerja, pelanggan, pembekal dan masyarakat: Principles, Practice and Prospects of Corporate Governance: The Malaysian Legal Framework (1994) J3 MLJ ix.

Secara ringkasnya pentadbiran korporat merujuk kepada mekanisme pengarahan dan pengurusan syarikat melalui struktur dan mekanisme pembahagian kuasa di antara pemegang syer, lembaga pengarah dan pihak pengurusan untuk mencapai objektif jangka panjang syarikat untuk manfaat pemegang-pemegang syer dan stakholder lain seperti pekerja, pelanggan, pembekal dan masyarakat.

Bagi mencapai objektif pentadbiran korporat itu, Kod Etika menggariskan 12 kod kelakuan yang boleh dijadikan panduan dan pedoman oleh pengarah syarikat.

Dalam kod kelakuan 1.1, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat dan tujuan, keupayaan dan kapasiti syarikat."

[Should have a clear understanding of the aims and objectives, capabilities and capacity of the company.]

Pengarah hendaklah memahami dengan jelas matlamat dan tujuan syarikat yang dia menjadi pengarahnya. Pengarah hendaklah juga memahami dengan jelas kemampuan dan keupayaan syarikat yang dia menjadi pengarahnya. Ruang lingkup matlamat dan tujuan syarikat boleh difahami dengan merujuk fasal tujuan-tujuan dalam Memorandum Persatuan. Kemampuan dan keupayaan syarikat atau lebih tepat, kuasa syarikat terkandung dalam Jadual Ketiga Akta Syarikat 1965 (sejauh yang tidak digugurkan oleh Memorandum Persatuan), seksyen 19 Akta Syarikat 1965, dan fasal kuasa dalam Memorandum Persatuan. Walau bagaimanapun pengarah perlu juga memahami kuasa yang ada pada lembaga pengarah yang dianggotainya. Kuasa yang ada pada lembaga pengarah biasanya terdapat dalam Perkara-perkara Persatuan, misalnya dalam perkara 73, Jadual A, Jadual Keempat Akta Syarikat 1965, dan apa-apa ketetapan mesyuarat agung. Kuasa pengarah secara individu boleh juga diberikan oleh ketetapan mesyuarat lembaga pengarah selepas menerima kuasa daripada Perkara-perkara Persatuan atau Mesyuarat Agung. Pendekata, pengarah perlu mengetahui tujuan dan kuasa syarikat, dan kuasa yang ada pada lembaga pengarah. Kod kelakuan ini menguatkan lagi dikta dalam kes John Fulton & Co Ltd, Re (1932) NI 35 (High Court, Northern Ireland) yang menyebutkan bahawa, "seseorang sepatutnya tidak memegang jawatan pengarah jika dia tidak mengetahui perlembagaan syarikatnya."

Sekurang-kurangnya seseorang pengarah perlu mengeatahui bahawa mengikut prinsip undang-undang, sesebuah syarikat tidaklah seperti seorang manusia yang sentiasa mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang sejauh yang diizinkan oleh kemampuan fizikal dan mentalnya. Pengarah harus memahami bahawa syarikat sebagai orang buatan undang-undang, tidak mempunyai kuasa secara semulajadi. Kuasa syarikat perlu ditetapkan oleh undang-undang dan diberikan melalui fasal tujuan-tujuan yang dinyatakan dalam Memorandum Persatuan. Pengarah juga harus pandai membezakan di antara ‘kuasa’ dengan ‘tujuan-tujuan’ dengan memahami bahawa ‘kuasa’ adalah keupayaan undang-undang untuk melakukan sesuatu perkara, padahal ‘tujuan-tujuan’ adalah objektif syarikat ditubuhkan. Pengarah perlu memahami bahawa syarikat yang diurusnya adalah ‘makhluk perlembagaan’ yang pada setiap masa dikawal dan perlu diberikuasa oleh perlembagaan.

Peri pentingnya seseorang pengarah untuk memahami ‘kuasa’ dan ‘tujuan’ syarikat tidaklah mencukupi. Seseorang pengarah juga harus bijaksana dalam mengenalpasti garis sempadan yang membahagi dan mengagihkan ‘kuasa’ di antara ‘kuasa’ pemegang syer (melalui mesyuarat agung) dengan ‘kuasa’ pengarah-pengarah (melalui mesyuarat lembaga pengarah). Seseorang pengarah yang bistari juga perlu bijaksana dalam mengenalpasti ‘kuasa-kuasa’ yang akan durus secara langsung oleh lembaga pengarah dengan ‘kuasa-kuasa’ yang elok diperturunkan untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan syarikat. Tanpa ‘pembahagian kuasa’ yang bijaksana, sudah pasti objektif pentadbiran korporat yang berkesan tidak akan dicapai.

Dalam kod kelakuan 1.2, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah menumpukan masa dan usaha untuk menghadiri mesyuarat dan untuk mengetahui apa yang dikehendaki daripada lembaga dan setiap pengarahnya, dan untuk menunaikan fungsi-fungsi itu."

[Should devote time and effort to attend meetings and to know what is required of the board and each of its directors, and to discharge those functions.]

Mengikut kod kelakuan ini, pengarah hendaklah menguntukkan masa dan menggunakan usaha yang munasabah untuk menghadiri mesyuarat, terutamanya mesyuarat lembaga pengarah. Pengarah perlu mengetahui tugas dan peranan lembaga pengarah dan tugas dan peranan tiap-tiap pengarah yang menganggotai lembaga pengarah. Pengarah hendaklah menjalankan tugas dan peranan sebagai anggota lembaga pengarah dan dalam hal keadaan tertentu sebagai wakil kepada lembaga pengarah. Tugas dan peranan lembaga pengarah adalah untuk membuat keputusan pengurusan seperti yang digariskan dalam perlembagaan syarikat, dan untuk memastikan peruntukan Akta Syarikat 1965 dan statut lain yang berkaitan dipatuhi spenuhnya. Perlembagaan syarikat, terutamanya Perkara-perkara Persatuan, menggariskan peraturan-peraturan dalaman syarikat yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh lembaga pengarah. Pada amnya Akta Syarikat 1965 memperuntukkan 138 perkara yang perlu dipatuhi oleh lembaga pengarah, dan dalam perkara tertentu, oleh tiap-tiap pengarahnya.

Kod kelakuan ini menarik daripada dua aspek. Pertamanya, ia seolah-olah menjelaskan suatu persoalan yang menjadi tanda-tanya kepada kebanyakan pengarah, sama ada mereka diwajibkan atau tidak untuk menghadiri mesyuarat lembaga pengarah. Keduanya, kod kelakuan ini kelihatan ‘berbeza’ (saya teragak-agak untuk menggunakan ungkapan ‘bertentangan’) dengan prinsip undang-undang lazim dan duluan kehakiman yang diterimapakai di Malaysia yang tidak mewajibkan pengarah untuk menghadiri mesyuarat syarikat. Dalam aspek kedua, izinkan saya memetik dikta masyhur seorang hakim, Hakim Romer dalam kes Re Equitable Fire Insurance Co Ltd (1925) Ch. 407, yang antara lain menyebut:

"…pengarah tidak terikat untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada syarikatnya. Kewajipannya adalah sela-menyela, sekejap ada dan sekejap tiada, melainkan jika beliau merupakan pengarah eksekutif. Bagi pengarah biasa kewajipannya adalah dilaksanakan di mesyuarat lembaga. Itupun undang-undang tidak memaksa pengarah supaya menghadiri kesemua mesyuarat. Malah pengarah tidak boleh dikatakan telah tidak bertindak bona fide hanya oleh sebab tidak menghadiri mesyuarat."

Jelas sekali bahawa undang-undang tidak mewajibkan pengarah menghadiri mesyuarat. Undang-undang sememangnya membezakan tanggungjawab di antara pengarah eksekutif dan bukan eksekutif. Pengarah bukan eksekutif hanya melaksanakan kewajipannya dalam mesyuarat lembaga pengarah, yang dia tidak wajib menghadirinya! Pengarah eksekutif pula perlu melaksanakan kuasanya pada di dalam dan di luar mesyuarat lembaga pengarah.

Tidak terdapat apa-apa peruntukan dalam Akta Syarikat 1965 atau mana-mana Akta lain dan juga keputusan kes (selain daripada Kod Etika ini!) yang memastikan agar pengarah hadir di mesyuarat lembaga pengarah dengan tekun. Perkara 72 kepada Jadual A, Jadual Keempat Akta Syarikat 1965 ada memperuntukkan bahawa jawatan seseorang pengarah itu adalah dilucutkan sekiranya beliau telah, selama enam bulan tidak hadir di mesyuarat lembaga tanpa kebenaran daripada pengarah lain. Akan tetapi ini adalah hanya peruntukan Perkara-perkara Persatuan, yang tidak boleh berkuatkusa melainkan jika diterima masuk sebagai Perkara-perkara Persatuan sesebuah syarikat. Lagipun enam bulan adalah jangka masa yang amat panjang untuk dibiarkan seseorang yang mempunyai kewajipan fidusiari mengabaikan tanggungjawabnya.

Dalam kes Pang Ten Fatt & SL lwn Tawau Transport Co Sdn Bhd & YL (1986) 1 MLJ 179, mahkamah telah memutuskan bahawa jawatan seorang pengarah adalah terlucut secara automatik apabila beliau telah tidak hadir di empat mesyuarat lembaga dalam masa tiga bulan. Akan tetapi, kali ini juga mahkamah bertindak bergantung kepada perkara 75 (d) iaitu Perkara-perkara Persatuan sebuah syarikat sendirian berhad yang berbunyi, antara lain, bahawa jawatan seorang pengarah adalah dilucutkan sekiranya beliau tidak hadir di tiga mesyuarat lembaga pengarah untuk jangka masa tiga bulan terus-menerus, mengikut mana-mana yang lebih lama, tanpa kebenaran khas daripada para pengarah.

Tanpa peruntukan Perkara-perkara Persatuan, tidak ada apa-apa peruntukan yang boleh memaksa pengarah bertindak dengan tekun. Saya berpendapat bahawa undang-undang yang mengawal kehadiran mesyuarat dan penyerahan tugas ini adalah teramat longgar. Pemegang syer telah meletakkan kepercayaan yang sepenuhnya ke atas pengarah. Kepercayaan ini haruslah dipikul dengan lebih serius. Dengan membenarkan pengarah mengtakhadirkan dirinya (ponteng) samalah dengan memberikan kebebasan kepadanya untuk bersikap tidak bertanggungjawab. Malah adalah ironic bagi undang-undang yang memerlukan perjalanan tugas bagi manfaat syarikat, sekiranya undang-undang juga membenarkan pengarah agar tidak hadir di mesyuarat lembaga, dan juga memindahkan tugas dengan begitu senang. Daripada sudut ini memang kenalah pada tempatnya Pendaftar Syarikat memperkenalkan kod kelakuan ini. Syabas Pendaftar Syarikat! Tetapi bolehkan kod kelakuan ini dikuatkuasakan?

Dalam kod kelakuan 1.3, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah memastikan pada setiap masa bahawa syarikat diuruskan dengan sepatutnya dan dikawal dengan berkesan."

[should ensure at all times that the company is properly managed and effectively controlled.]

Kod kelakuan ini mempunyai dua cabang, pertamanya menghendaki supaya pengarah mengurus syarikat dengan sempurna, dan keduanya menghendaki pengarah supaya mengawal syarikat dengan berkesan. Kedua-dua cabang ini perlu dilihat daripada dua sudut kewajipan yang berbeza. Yang pertama adalah suatu kewajipan pengurusan, di mana pengarah perlu menunjukkan suatu darjah kepandaian pengurusan yang tinggi. Yang keduanya pula, menghendaki agar pengarah sentiasa berwaspada dan tidak cuai dalam melaksanakan kewajipan jawatannya.

Dalam kes yang sama, Hakim Romer menyebut:

"…dalam melaksanakan kewajipannya tidak perlu menunjukkan satu darjah kepandaian yang lebih tinggi daripada yang wajar daripada seseorang yang mempunyai kepandaian dan pengalamannya. Pengarah yang tidak mempunyai kelulusan profesional dan tidak pula mempunyai pengalaman yang mendalam tidak boleh dikatakan tidak bertindak bona fide jika keputusan atau tindakannya mengenai sesuatu palaburan syarikat adalah sesuatu yang tidak akan dibuat oleh pengarah yang ada kelulusan perakaunan ataupun yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun. Beban kewajipan undang-undang ke atas mereka adalah berlainan. Malah boleh dikatakan bahawa pengarah tidaklah bertanggungan ke atas kesalahan biasa daripada segi perniagaan. Mereka hanyalah bertanggungan jika terdapatnya mala fide dan juga kecuaian."

Berdasarkan keputusan mahkamah di atas jelas sekali yang walaupun pengarah dikehendaki menjalankan kewajipan pengurusannya dengan baik tetapi dia tidak dikehendaki menunjukkan satu darjah kecekapan pengurusan yang melebihi taraf kelayakan dan pengalamannya. Malah pengarah boleh untuk tidak cekap pengurusannya, asalkan dia jujur dalam menjalankan kewajipan jawatannya.

Dalam cabang yang kedua, pengarah hendaklah bertindak berhati-hati (berjaga-jaga) daalm segala tindak tanduknya. Dalam kes Lagunas Nitrate Co lwn Lagunas Syndicate (1899) 2 Ch 392, Lord Lindley MR menyebut:

"…jika pengarah-pengarah bertindak dalam lingkungan kuasa yang ada pada mereka, jika mereka bertindak dengan berjaga-jaga yang secara munasabahnya boleh diharapkan daripada mereka, dengan mengambil kira pengetahuan dan pengalaman mereka, dan jika mereka bertindak dengan jujur untuk kepentingan syarikat yang mereka wakili, mereka telah melaksanakan kewajipan mereka di sisi undang-undang dan juga di sisi ekuiti kepada syarikat."

Dalam kes Re Denham & Co (1883) 25 ChD 752, seorang pengarah telah mencadangkan pembayaran dividen daripada modal syarikat. Mahkamah memutuskan bahawa pengarah berkenaan tidak bertanggungan kerana kecuaian. Mahkamah mengatakan bahawa dia hanyalah ‘orang kampung’ dan bukannya ‘seorang akauntan’ yang boleh memahami selok belok kewangan syarikat.

Seseorang pengarah tidak perlu menunjukkan darjah berjaga-jaga yang lebih tinggi daripada yang wajar daripada seseorang yang mempunyai kelayakan dan pengalamannya. Pengarah tidak bertanggungan ke atas sebarang kerugian akibat daripada kesilapan dalam memberi pertimbangan: Re Brazilian Rubber Plantations and Estates Ltd (1911) 1 Ch 425.

Dalam kod kelakuan 1.4, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah mengikut perkembangan hal ehwal syarikat dan dimaklumkan tentang pematuhan syarikat akan perundangan yang releven dan kehendak kontrak."

[Should stay abreast of the affairs of the company and be kept informed of the company’s compliance with relevant legislations and contractual requirements.]

Kod kelakuan ini mempunyai dua unsur utama. Pertamanya, pengarah hendaklah mengikuti perkembangan hal-ehwal syarikatnya. Keduanya, pengarah juga hendaklah memastikan dirinya dimaklumkan mengenai keperluan mematuhi undang-undang dan kontrak yang berkaitan. Bagaimana pengarah hendak mengikuti perkembangan hal-ehwal syarikatnya? Tidak ada jalan lain melainkan melalui tiga cara sahaja: aktif menghadiri mesyuarat syarikat, sentiasa berkomunikasi dengan setiausaha syarikat dan pegawai korporat yang lain, dan berusaha mengetahui mengenai maklumat korporat syarikat dengan sentiasa merujuk rekod-rekod syarikat di pejabat berdaftar dan maklumat syarikat dikemaskinikan dengan Pendaftar Syarikat. Kehendak supaya pengarah memastikan dirinya dimaklumkan mengenai keperluan mematuhi undang-undang dan kontrak juga hanya boleh dicapai jika pengarah sentiasa berinteraksi dengan setiausaha syarikat dan pegawai korporat syarikat yang lain. Bagi syarikat yang tidak mempunyai setiausaha syarikat sepenuh masa, jalan terbaik yang ada pada seseorang pengarah untuk mengetahui mengenai keperluan undang-undang dan kontrak tertentu adalah dengan aktif menziarahi setiausaha syarikatnya!

Dalam kod kelakuan 1.5, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah bertegas supaya dimaklumkan tentang segala yang penting kepada syarikat supaya pengurusan korporat menjadi berkesan."

[Should insist on being kept informed on all matters of importance to the company in order to be effective in corporate management.]

Kod kelakuan ini tidak banyak berbeza dengan kod kelakuan 1.4, cumanya dalam kod kelakuan ini, pengarah diminta supaya mengambil sikap tegas supaya dirinya dimaklumkan tentang perkara-perkara penting berkaitan dengan pengurusan korporat bagi membolehkannya mengurus syarikat secara yang berkesan.

Dalam kod kelakuan 1.6, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah menghadkan dirinya menjadi pengarah syarikat kepada suatu bilangan yang dia boleh menumpukan dengan sebaiknya, masanya dan keberkesanannya; setiap pengarah menjadi hakimnya sendiri tentang keupayaannya dan bagaimana sebaiknya menguruskan masanya secara berkesan dalam syarikat yang dalamnya dia menjadi pengarah."

[Should limit his directorship pf companies to a number in which he can best devote his time and effectiveness; each director is an own judge of his abilities and how best to manage his time effectively in the company in which he holds directorship.]

Pengarah dikehendaki oleh kod kelakuan ini supaya memegang jawatan pengarah dalam sejumlah syarikat yang dia mampu dan boleh memberi tumpuan masa dan kecekapannya. Ukuran ‘sejumlah syarikat’ dalam kod ini terlalu subjektif dan relatif sifatnya. Seseorang pengarah itu sendiri yang berhak menentukan berapa jawatan pengarah yang mampu dipegangi atau disandangnya. Dengan memberi kebebasan kepada pengarah mengukur kemampuan masing-masing, kod ini tidak lebih daripada satu pengharapan dan rayuan supaya pengarah tidak memegang jawatan pengarah dalam banyak syarikat. Saya berpendapat sikap sesetengah orang untuk memegang jawatan pengarah, dalam banyak hal, bukanlah kerana ingin memegang jawatan pengarah, tetapi lebih merupakan kerana terpaksa atau gemar menubuhkan syarikat (yang secara tidak langsung dia menjadi pengarah) tanpa memikirkan apa-apa obligasi di sisi undang-undang. Biasanya seseorang yang mempunyai syarikat yang bermasalah atau yang sering tidak mematuhi peruntukan undang-undang, menyediakan ‘remedi sendiri’ dengan menubuhkan syarikat baru. Ironiknya remedi ini cukup berkesan! Nampaknya semangat kod kelakuan ini kurang sesuai diterapkan kepada pengarah syarikat persendirian yang membentuk 98% daripada jumlah syarikat di Malaysia, tetapi mungkin sesuai kepada pengarah syarikat awam yang ada kalanya memilih untuk memegang jawatan pengarah dalam sejumlah syarikat yang dia tidak mampu mengurusnya atas dorongan kewangan!

Dalam kod kelakuan 1.7, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah mempunyai akses kepada nasihat dan perkhidmatan setiausaha syarikat yang bertanggungjawab kepada lembaga untuk memastikan prosedur, kaedah dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi."

[Should have access to the advice and services of the company secretary, who is responsible to the board to ensure proper procedures, rules and regulations are complied with.]

Kod kelakuan ini mempunyai dua cabang yang berasingan tetapi berkaitan. Pertamanya, pengarah dikehendaki supaya mendapatkan nasihat dan perkhidmatan setiausaha syarikat. Keduanya, disebutkan bahawa setiausaha syarikat bertanggungjawab kepada lembaga pengarah (bukan kepada pengarah!) dalam memastikan syarikat mematuhi prosedur, kaedah dan peraturan yang berkaitan. Dalam cabang yang pertama, diperuntukkan bahawa pengarah berhak untuk mendapatkan, pertamanya, nasihat setiausaha syarikat, dan keduanya, perkhidmatan setiausaha syarikat. Mendapatkan perkhimatan setiausaha syarikat adalah satu perkara biasa, yang sememangnya diketahui oleh pengarah. Semua jenis perkhidmatan yang dipersetujui antara syarikat dengan setiausaha syarikat boleh diperolehi daripada setiausaha syarikat. Yang memerlukan penjelasan ialah mengenai mendapatkan nasihat setiausaha syarikat. Apakah nasihat yang boleh diperolehi atau yang boleh diberikan oleh setiausaha syarikat? Kod kelakuan itu hanya menyebutkan mengenai nasihat tentang prosedur, kaedah dan peraturan yang berkaitan.

Seseorang pengarah sememangnya perlu berusaha untuk mengetahui mengenai hak dan obligasinya di sisi undang-undang, dan mendapatkan nasihat undang-undang apabila timbul keraguan mengenainya: Re Duomatic Ltd (1969) 1 All ER 161. Tetapi bolehkah setiausaha syarikat menasihati pengarah? Jika boleh, apakah ruang lingkup nasihat yang boleh diberikannya? Adakah setiausaha syarikat berkewajipan memberikan nasihat kepada pengarah syarikat?

Dalam kes Mohamad bin Othman & SL lwn Shattar bin Abdul Rahim & YL 2 MLJ (1987) 695 pada 697 Syed Agil Barakbah SCJ antara lainnya menyebut mengenai hubungan pengarah dengan setiausaha syarikat:

"Setiausaha sesebuah syarikat adalah pegawai pentadbirannya dan tugasnya adalah untuk menguatkuasakan keputusan Lembaga Pengarah dengan menderaf dan menandatangani kontrak dan perkara-perkara pentadbiran lain. Dia tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan perdagangan bagi pihak syarikat…"

"Memang Perkara-perkara Persatuan boleh memberikuasa kepada pengarah-pengarah untuk mewakilkan mana-mana kuasa mereka kepada mana-mana agen yang dipilih oleh mereka dan bukanlah suatu perkara asing bagi mereka untuk mewakilkannya kepada setiausaha yang juga seorang pengarah…"

"Beliau (setiausaha berkenaan) hendaklah mematuhi arahan-arahan daripada pengarah-pengarah dan menguatkuasakan ketetapan mereka dengan menerbitkan notis, mengirim edaran, menulis surat, dan sebagainya."

Dalam mendapatkan nasihat dan perkhidmatan daripada setiausaha syarikat, seseorang pengarah perlu memberi perhatian kepada empat perkara yang berikut:

  1. setiausaha hanya bertanggungjawab kepada pengarah-pengarah (yakni lembaga pengarah) dan bukannya kepada pengarah (pengarah-pengarah secara individu).
  2. setiausaha hanya bertindak melalui arahan atau keputusan oleh majoriti ahli lembaga pengarah.
  3. setiausaha tidak boleh membuat keputusan dalam perkara-perkara perniagaan atau perdagangan.
  4. setiausaha hendaklah bertindak secara bebas dan berkecuali tanpa dorongan mana-mana pihak, dan hendaklah sejajar dengan kehendak undang-undang.

Dalam kod kelakuan 1.8, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah pada setiap masa melaksana-kan kuasanya bagi maksud yang ia diberikan demi faedah dan kejayaan syarikat"

[Should at all times exercise his powers for the purposes they were conferred, for the benefit and prosperity of the company.]

Kod kelakuan ini menghendaki pengarah syarikat supaya menggunakan kuasa yang ada padanya, bukan sahaja untuk tujuan yang dibenarkan, tetapi juga untuk tujuan yang ditetapkan sahaja. Ini bermakna bahawa walaupun pengarah menggunakan kuasanya dalam perkara-perkara yang syarikat mempunyai kuasa atau diberikuasa oleh syarikat, pengarah berkenaan tetap melakukan kesalahan jika dia bertindak bukan untuk tujuan yang ditetapkan.

Seseorang pengarah mungkin bertindak dengan jujur untuk manfaat syarikat tetapi masih dianggap oleh undang-undang sebagai memungkiri kewajipan fidusiari jika dia menyalahgunakan aset syarikat (misalnya) atau jika dia menggunakan kuasa yang diwakilkan kepadanya bukan untuk tujuan yang ditetapkan: Belmont Finance Corporation Ltd lwn Williams Furniture Ltd (no. 2) (1980) 1 All ER 393, 405. Jika seseorang pengarah menyalahgunakan aset syarikat dia akan memungkiri kewajipannya kepada syarikat walaupun tindakannya itu dibuat dengan jujur atau untuk manfaat syarikat: Re Duomatic Ltd (1969) 2 Ch 365 (Mahkamah Tinggi, England).

Dalam kod kelakuan 1.9, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah menzahirkan dengan serta merta segala kepentingan kontrak samada secara langsung atau secara tidak langsung dengan syarikat."

[Should disclose immediately all contractual interests whether directly or indirectly with the company.]

Kod kelakuan ini menghendaki supaya pengarah mendedahkan dengan serta merta semua kepentingannya dalam kontrak (secara langsung atau tidak langsung) dengan syarikat. Kod kelakuan ini adalah ambilan daripada seksyen 131 (1) Akta Syarikat 1965, yang menyebut:

"Tertakluk kepada seksyen ini, tiap-tiap pengarah sesebuah syarikat yang dengan apa-apa cara, sama ada secara langsung atau tak langsung, berkepentingan dalam suatu kontrak atau kontrak dicadangkan dengan syarikat itu hendaklah, dengan seberapa segera yang praktik selepas fakta-fakta yang releven telah sampai ke pengetahuannya, mengisytiharkan jenis kepentingannya itu di mesyuarat pengarah-pengarah syarikat itu."

Mahkamah telah kerap memutuskan bahawa kontrak yang sedemikian adalah pada amnya boleh terbatal atas opsyen syarikat itu, melainkanlah jika telah terdapat pendedahan sepenuhnya oleh pengarah mengenai kepentingannya di dalam kontrak itu: Aberdeen Railway lwn Blaikie (1854) 1 Macq. Ms 461; dan North-West Transportation Co lwn Beatty (1887) 60 R. ms 300.

Sebabnya cukup jelas. Sesuatu kontrak yang sedemikian mungkin akan meletakkan pengarah dalam kedudukan kepentingannya sendiri dan tanggungjawabnya terhadap syarikat akan bertentangan. Padahal sesebuah syarikat mempunyai hak mendapat khidmat pengarahnya dan pada amnya diupah oleh syarikat itu. Ia berhak mendapat dan diberi nasihat dan pendapat mengenai apa-apa perkara yang dikemukakan kepada lembaga pengarah. Dengan ini pengarah mestilah memastikan bahawa mereka berada dalam kedudukan apabila nasihat dan pendapat yang diberi itu tidak berasaskan kepentingan diri sendiri.

Walau bagaimanapun Akta Syarikat telah mengesahkan kontrak yang sedemikian jika pengarah yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tak langsung dalam sesuatu kontrak syarikatnya itu, mendedahkan kepentingannya itu kepada lembaga pengarah: seksyen 131 (1). Apabila sesuatu pendedahan yang sedemikian telah dibuat dan pengarah tersebut tidak mengambil bahagian dalam keputusan mengenai kontrak itu, maka beliau adalah terlepas daripada apa-apa tanggungan lagi.

Subseksyen (5) kepada seksyen 131 juga adalah peruntukan untuk menentukan tiadanya pertentangan kepentingan itu. Subseksyen itu berbunyi:

"Tiap-tiap pengarah suatu syarikat yang memegang apa-apa jawatan, atau memiliki apa-apa harta yang dengannya, sama ada secara secara langsung atau tak langsung, kewajipan atau kepentingan mungkin diwujudkan bercanggahan dengan kewajipan atau kepentingannya sebagai pengarah, hendaklah mengisytiharkan di suatu mesyuarat pengarah-pengarah syarikat itu fakta dan jenis, sifat dan takat percanggahan itu."

Peruntukan untuk memastikan bahawa tiada kepentingan yang bertentangan ini juga kerap terdapat dalam Perkara-perkara Persatuan sesebuah syarikat. Misalnya perkara 81 Jadual A kepada Jadual Keempat Akta Syarikat 1965 menyebut:

"Seseorang pengarah hendaklah jangan mengundi dalam keputusan yang berkait dengan mana-mana kontrak atau kontrak yang dicadangkan dengan syarikat, jika beliau mempunyai kepentingan, atau apa-apa perkara yang wujud daripadanya, dan jika beliau mengundi maka undinya hendaklah jangan dikira."

Keperluan pendedahan ini adalah bergantung kepada pengarah yang menyedari akan kepentingannya. Sekiranya beliau sebenarnya tidak mengetahui dan menyedari akan wujudnya kepentingan beliau dalam sesuatu kontrak, maka kegagalan pendedahan tidaklah menjadi satu kesalahan. Ini telah diputuskan oleh Yang Arif Hakim Chang Min Tat dalam kes Lim Foo Yong lwn PP (1976) 2 MLJ ms 259. Yang Arif Hakim tersebut telah mengatakan bahawa adalah wajar dan munasabah bagi pengarah yang tidak mempunyai pengetahuan tentang kepentingannya dalam mana-mana kontrak tidak mempunyai kewajipan pendedahan. Hakim Yang Arif itu berkata lagi bahawa seksyen 131 (1) adalah mengatakan tentang pengetahuan yang berkaitan dengan kepentingan dalam kontrak yang releven. Kepentingan itu mungkin secara langsung atau tak langsung.

Dengan mengenakan peruntukan inilah maka si tertuduh dalam kes Tan Sri Tan Hiau Tsin lwn PP (1979) 1 MLJ ms 73 didapati bersalah. Mahkamah Persekutuan telah berkata bahawa apabila si tertuduh dilantik sebagai pengarah Syarikat Folex, beliau dikenakan tanggungan mendedahkan kepentingannya dalam sebuah syarikat lain iaitu Syarikat Hwa Chiang adalah terlibat di dalam satu projek turnkey dengan Folex. Dengan itu kepentingan si tertuduh dalam Syarikat Hwa Chiang adalah jenis kepentingan yang kena didedahkan mengikut seksyen 131.

Pendedahan yang diperlukan oleh seksyen 131 Akta Syarikat 1965 adalah merupakan pendedahan kepada lembaga pengarah sahaja. Setakat manakah berkesannya pendedahan kepada rakan sendiri dalam mengelakkan pertentangan kepentingan ini adalah sesuatu yang boleh disangsikan.

Dalam kod kelakuan 1.10, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah tidak mengalihkan untuk manfaatnya sendiri apa-apa peluang perniagaan yang sedang dijalankan oleh syarikat, atau boleh digunakan olehnya maklumat sulit yang diperolehi oleh sebab jawatannya untuk manfaatnya sendiri atau orang lain."

[Should neither divert to his own advantage any business opportunity that the company is pursuing, nor may he use confidential information obtained by reason of his office for his own advantage or that of others.]

Kod kelakuan ini mempunyai dua cabang. Cabang yang pertama adalah ambilan daripada undang-undang lazim mengenai kewajipan fidusiari pengarah yang disekat daripada mendapatkan kekayaaan daripada kedudukannya sebagai pengarah. Bezanya cuma kod kelakuan ini menghadkannya kepada suatu tindakan mengalihkan peluang perniagaan syarikat untuk manfaatnya sendiri atau orang lain, padahal keadaan itu hanyalah salah satu daripada aspek pertentangan kepentingan. Saya hairan bagaimana kod kelakuan ini meninggalkan aspek-aspek lain yang berkait rapat dengan perkara itu. Kod kelakuan ini seolah-olah memetik sehelai daun dalam satu rumpunan daun daripada sebatang ranting! Cabang kedua adalah sebenarnya ambilan daripada peruntukan seksyen 132 Akta Syarikat 1965 mengenai penyalahgunaan maklumat syarikat untuk manfaat sendiri atau orang lain. Kedua-dua cabang kod kelakuan ini akan kita bincangkan bersama.

Kedudukan pengarah sebagai seorang fidusiari tidak membenarkan pengarah itu mendapatkan kekayaan, keuntungan atau manfaat lain (misalnya, dengan mengalihkan peluang-peluang perniagaan syarikat untuk manfaat sendiri atau orang lain), walau betapa kecil sekalipun. Misalnya, pengarah tidak boleh menerima komisyen daripada mana-mana pihak ketiga kerana telah menguruskan apa-apa urusniaga di antara pihak ketiga dengan syarikatnya. Apa yang dilakukan oleh pengarah itu adalah hanya merupakan kewajipannya sahaja. Sekiranya beliau memperoleh manfaat kewangan, beliau mestilah menyerahkannya kepada syarikat itu. Ini adalah berasaskan prinsip fidusiari yang memerlukan pengarah bertindak untuk manfaat syarikat dan bukan untuk dirinya sendiri. Keperluan ini adalah satu keperluan yang ketat dan tidak bergantung kepada persoalan sama ada syarikat telah menanggung kerugian atau tidak atau telah memudaratkan atau tidak akibat daripada tingkahlaku pengarah itu. Asalkan sahaja keuntungan dan kekayaan diperoleh daripada kedudukannya sebagai pengarah, beliau mestilah menyerahkannya kepada syarikat.

Aspek kewajipan fidusiari ini dimaktubkan ke dalam seksyen 132 Akta Syarikat 1965. Subseksyen (2) kepada seksyen itu berbunyi:

"Seorang pegawai atau ejen suatu syarikat hendaklah jangan menggunakan secara tak wajar apa-apa maklumat yang diperoleh melalui kedudukannya sebagai pegawai atau ejen syarikat itu untuk mendapatkan, dengan secara langsung atau tak langsung, manfaat untuk dirinya atau untuk mana-mana orang lain atau untuk membawa kemudaratan kepada syarikat itu."

Pegawai atau ejen yang melanggar peruntukan itu adalah bertanggungan untuk memulangkan keuntungan yang telah diperolehnya, dan juga bertanggungan ke atas apa-apa kemudaratan yang dialami oleh syarikat itu. Pegawai atau ejen tersebut juga boleh dipenjara selama lima tahun atau didenda sebanyak RM 30,000 atau kedua-duanya sekali: seksyen 132 (3).

Seksyen baru yang dikuatkuasakan oleh Akta Syarikat seperti seksyen 132A, 132B, 132C dan 132D merupakan seksyen yang diwujudkan untuk mengawal pengarah daripada menggunakan maklumat mengenai harga syer bagi mengkayakan diri mereka. Seksyen tersebut amatlah diperlukan di negara ini apabila pengarah dan mereka yang berkait dengan syarikat telah menggunakan bursa saham sebagai jentera untuk mengkayakan diri mereka tanpa mengendahkan kesan negatif terhadap masyarakat keseluruhannya. Kini semangat seksyen-seksyen itu dimasukkan pula sebagai sebahagian daripada kod kelakuan pengarah syarikat.

Seksyen di atas hanyalah menyentuh tentang maklumat sahaja. Sebenarnya undang-undang yang mengharamkan pengkayaan diri secara tak wajar oleh pengarah ini adalah lebih luas daripada itu. Ini kerana subseksyen (5) kepada seksyen 132 memperuntukkan:

"Seksyen ini adalah sebagai tambahan kepada dan bukannya membatalkan mana-mana undang-undang bertulis yang lain atau kaedah undang-undang yang berkait dengan kewajipan atau tanggungan pengarah atau pegawai sesebuah syarikat."

Kesan subseksyen ini yang nyata ialah undang-undang lazim Inggeris mengenai kewajipan fidusiari pengarah syarikat adalah diserapkan ke Malaysia, dan undang-undang lazim Inggeris yang berkait dengan kewajipan fidusiari pengarah syarikat adalah sesuatu yang amat ketat. House of Lords di dalam kes klasik Regal Hastings lwn Gulliver (1942) 1 AER ms 378 telah menggunakan ujian "…jika beliau bukan seorang pengarah, bolehkah beliau mendapat keuntungan itu?" Jika jawapannya "tidak", maka pengarah itu adalah bertanggungan untuk menyerahkan kekayaaan yang didapatinya.

Dengan itu, jika seseorang pengarah itu telah dibayar komisyen, atau mendapat kontrak atau tender oleh sebab dan melalui kedudukannya sebagai pengarah kepada syarikat, maka beliau adalah bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat keuntungan yang diperolehinya itu. Ini adalah satu prinsip yang ketat yang tidak mengira niat baik atau buruk di pihak pengarah. Jika dapat dibuktikan bahawa kekayaan atau keuntungan itu didapati oleh sebab dan melalui kedudukannya sebagai pengarah, maka beliau adalah bertanggungan: Phipps lwn Boardman (1967) 2 AC ms 46.

Dalam kes Regal Hastings lwn Gulliver (1942) 1 AER ms 378, tindakan pengarah membeli syer di dalam syarikat Regal adalah satu tindakan bona fide semata-mata untuk menjayakan projek syarikatnya. Dalam kes tersebut pengarah Regal bersetuju membeli 3,000 syer syarikat itu bagi membolehkan perniagaan panggung wayang syarikat itu diperluaskan. Kemudiannya, apabila kesemua syer Regal dijual kepada pembeli lain yang merupakan satu syarikat kewangan, para pengarah tersebut telah mendapat keuntungan daripada jualan syer mereka. Berikutnya, syarikat Regal Hastings, yang kini di dalam tangan kumpulan baru, menuntut agar segala keuntungan yang diperoleh diserahkan kembali kepada syarikat.

House of Lords telah membenarkan permintaan itu. Lord Russel of Killowen menggunakan ujian yang merupakan satu soalan, iaitu adakah kelima-lima pengarah memperoleh syer yang membawa keuntungan itu oleh sebab dan melalui tugas mereka sebagai pengarah Regal? Jawapannya memang nyata. Oleh sebab mereka pengarahlah, maka mereka telah membeli syer tersebut, dan dengan itu mereka dikehendaki menyerahkan segala keuntungan itu. Penyerahan ini diarahkan walaupun tindak berunsur mala fide, dan walaupun golongan pembeli barulah yang akhirnya mendapat manfaat. Begitulah ketatnya undang-undang lazim Inggeris yang menguasai kewajipan fidusiari.

Kekerasan dan ketegasan kewajipan ini telah berkali-kali dikenakan dan dipakai oleh mahkamah di negara yang mengikuti prinsip undang-undang lazim Inggeris ini. Alasan kepada ketegasan ini adalah untuk memastikan agar pengarah tidak mengabai dan mensia-siakan syarikatnya. Sekiranya pengarah boleh dibenarkan mengkayakan diri mereka melalui kedudukan mereka, maka sudah tentulah kepentingan syarikat akan tergugat. Pengarah yang menghadapi dilemma pertentangan kepentingan di antara kepentingannya dirinya sendiri dengan kepentingan syarikatnya sudah tentulah akan mengutamakan dirinya.

Dalam kes Industrial Consultants lwn Cooley (1972) 2 AER ms 162, seorang arkitek, Cooley, yang juga Pengarah Urusan syarikat plaintif telah berunding dengan Eastern Gas Board untuk mendapatkan kontrak bagi pihak syarikat plaintif. Akan tetapi rundingan itu gagal oleh sebab Gas Board telah menawarkan kontrak itu kepada Cooley melalui kedudukannya sebagai seorang arkitek. Cooley berhenti daripada menjadi pengarah kepada syarikat plaintif dan mengambil kontrak itu. Dalam tindakan yang diambil oleh syarikat plaintif, mahkamah telah mengarahkan Cooley supaya menyerahkan segala manfaat daripada kontrak tersebut kepada syarikat plaintif. Telah terdapat pelanggaran kewajipan fidusiari di sini walaupun syarikat plaintif tidak mungkin memperoleh kontrak tersebut.

Hal yang begitu juga berlaku ke atas tiga orang pengarah di Malaysia yang telah mendapat kekayaan hasil pelanggaran kewajipan fidusiari. Dalam kes Avel Consultants Sdn. Bhd. lwn Mohd Zain Yusof (1985) 2 MLJ ms 209, sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan sebagai perunding dan penasihat dalam kerja kejuruteraan telah berkontrak dengan Sistem Televisyen Malaysia. Kemudiannya, tiga orang pengarah syarikat itu, semasa menjadi pengarah, telah menubuhkan syarikat lain, iaitu perunding AJZ, dengan menjalankan perniagaan yang sama, dan telah cuba mencuri pelanggan Avel Consultants. Mereka juga telah mengambil langkah serong sehingga kontrak di antara Avel Consultants dengan Sistem Televisyen Malaysia dan mendapat keuntungan yang lumayan. Mahkamah telah mengisytiharkan mereka sebagai pemegang amanah untuk syarikat Avel bagi kesemua yuran perunding yang didapati oleh mereka hasil daripada kontrak tersebut.

Amat jelaslah bahawa peruntukan Akta Syarikat 1965 dan penyerapan prinsip undang-undang lazim Inggeris menjadikan kewajipan fidusiari itu sesuatu yang amat ketat. Akan tetapi keadaan yang ketat ini sekali lagi dilonggarkan dalam keadaan tertentu. Misalnya, sesuatu pelanggaran fidusiari pengarah yang bukan bersifat ultra vires syarikat, boleh dimaafkan.

Dalam kes Regal Hastings terdapat satu dikta yang menyatakan bahawa sekiranya pengarah berkenaan telah mendedahkan urusan mereka kepada satu mesyuarat agung syarikat itu, dan ahli-ahli di mesyuarat agung itu memaafkan dan mengesahkan tindakan mereka, maka mereka adalah dilepaskan daripada apa-apa tanggungan.

Dalam kes New Zealand Netherlands Society ‘Oranje’ Incorporated lwn Kuys & SL (1973) 2 AER ms 1222, Majlis Privy telah memutuskan bahawa sesebuah syarikat boleh, melalui satu perjanjian, membebaskan seseorang pengarah daripada mana-mana tugas fidusiarinya. Dalamkes ini, mahkamah mengaku akan ketegasan dan kekerasan prinsip kewajipan fidusiari. Akan tetapi dalam keadaan tersebut, perjanjian yang dibuat di antara kedua-dua pihak untuk membebaskan pengarah daripada kewajipan fidusiari adalah sah dan munasabah.

Dalam kod kelakuan 1.11, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah pada setiap masa bertindak dengan suci hati sesungguhnya kepada syarikat dalam apa-apa transaksi dan bertindak dengan jujur dan bertanggungjawab pada melaksanakan kuasanya dalam menunaikan kewajipannya."

[Should at all times act with utmost good faith towards the company in any transaction and to act honestly and responsibly in the exercise of his powers in discharging his duties.]

Kod ini adalah ambilan daripada peruntukan seksyen 132 (1) kepada Akta Syarikat 1965 yang, antara lainnya berbunyi:

"Seorang pengarah hendaklah pada bila-bila masa bertindak dengan jujur…dalam menjalankan kewajipan jawatannya."

Bezanya cuma dalam kod kelakuan ini, terdapat ungkapan ‘bertanggungjawab’ selepas ungkapan ‘jujur’. Tidak dapat dipastikan fungsi sebenar ungkapan ‘bertanggungjawab’ itu. Barangkali untuk tujuan pengukuhan kepada kewajipan untuk ‘bertindak dengan jujur’. Saya berpendapat bahawa ungkapan ‘jujur’ dalam seksyen 132 (1) (seperti yang akan ditunjukkan selepas ini) sudah mencukupi untuk menjadikan seseorang pengarah itu ‘bertanggungjawab.’ Persoalannya ialah ungkapan ‘jujur’ itu sukar dinilai. Apakah nilai ‘jujur’ itu berasaskan kayu ukur seperti dalam perenggan C kod etika, atau seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen (5) kepada seksyen 132 kepada Akta Syarikat 1965?

Walau apapun yang pasti seseorang pengarah mestilah menjalankan segala tugas dan kewajipannya bona fide untuk manfaat syarikatnya. Ini adalah kewajipan yang dipikul oleh tiap-tiap pengarah sebagai individu.

Tujuan utama seseorang pengarah mestilah untuk berkhidmat bagi kepentingan syarikatnya. Walau bagaimanapun terpulanglah kepada pengarah untuk memilih cara bagaimana khidmat itu harus dijalankan, melainkan jika cara yang dipilih itu begitu tidak munasabah sehingga tidak ada orang lain yang waras yang akan memilih cara tersebut sekiranya diberi tugas dan kewajipan yang sama. Pengarah mestilah bertindak dengan ikhlas dan berhati-hati dan mestilah juga menggunakan kepandaiannya. Sekiranya pengarah telah bertindak dengan ikhlas maka beliau tidak boleh disalahkan kerana tindakan cuai daripada segi perdagangan. Kalau hanya setakat kegagalan kewajipan oleh sebab kurang kepandaian sahaja, tanpa unsur mala fide, maka pengarah adalah dimaafkan.

Dalam kod kelakuan 1.12, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah sedia memberi keputusan yang bebas dan jika perlu, secara terang menentang jika kepentingan penting syarikat menghadapi risiko."

[Should be willing to exercise independent judgement and, if necessary, openly oppose if the vital interest of the company is at stake.]

Dalam kod kelakuan ini pengarah seolah-olah ‘diminta’ supaya berani bertegas dan membuat perkiraan dan keputusan yang bebas, malah jika perlu membantah dalam perkara-perkara yang membawa risiko kepada syarikat jika dia bersikap berdiam diri. Hubungan dengan Pemegang Syer,

KOD KELAKUAN: PERHUBUNGAN KORPORAT

Dalam kod kelakuan 2.1, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah peka dengan kepentingan pemegang syer, pekerja, pemiutang dan pelanggan syarikat."

[Should be conscious of the interest of shareholders, employees, creditors and customers of the company.]

Kod kelakuan ini menjadikan pengarah berkewajipan untuk peka kepada kepentingan pemegang syer, pekerja, pemiutang dan pelanggan syarikat. Ini merupakan satu dimensi baru dalam undang-undang syarikat. Sebelum kod etika ini diperkenalkan undang-undang seolah-oleh mengiktiraf dua bentuk perhubungan sahaja, iaitu hubungan dengan pemegang syer dan hubungan dengan pemiutang. Malah ironiknya, apabila terdapat pertembungan kepentingan, pengarah perlu mengutamakan pemegang syer jika syarikat masih solven, dan mengutamakan pemiutang jika syarikat menjadi tidak solven. Kedudukan pekerja, apatah lagi pelanggan tidak diberi perhatian serius oleh undang-undang. Malah sehingga kertas ini ditulis, tidak ada sebarang peruntukan yang ‘membolehkan’ pengarah menjaga kepentingan pekerjanya. Adalah diharapkan agar dengan pengenalan kod kelakuan ini, akan disusuli pula dengan peruntukan statut yang sewajarnya. Jika tidak, kod kelakuan ini pasti akan ‘kehilangan taringnya.’

Saya berpendapat, dalam menangani kod kelakuan ini, lima rukun undang-undang yang berikut perlu diberi perhatian serius oleh pengarah syarikat:

  1. Semasa syarikat masih solven pengarah harus mengutamakan kepentingan pemegang syer keseluruhannya. Pengarah tidak boleh bertindak untuk kepentingan pemegang syer tertentu atau kumpulan pemegang syer tertentu: Mills lwn Mills (1938) 60 CLR ms 150. Pengarah tidak boleh mengutamakan kepentingan pekerja mengatasi kepentingan syarikat: Park lwn Daily News (1962) Ch 927; (1962) 2 AER ms 129.
  2. Jika syarikat masih aktif berniaga pengarah boleh bertindak untuk kepentingan pekerja, dan tidak perlu bertindak untuk kepentingan pemiutang: Hampson lwn Prince’s Patent Candle Co (1876) 24 WR ms 754.
  3. Jika syarikat berada di ambang pembubaran, pengarah harus mengutamakan kepentingan pemiutang mengatasi kepentingan-kepentingan lain.
  4. Pengarah hendaklah memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada syarikat walaupun syarikat itu adalah sebahagian daripada anggota dalam syarikat kumpulan.
  5. Pengarah boleh melaksanakan kuasa syarikat untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan sumbangan patriotik, kebajikan dan membantu Malaysia dalam peperangan: seksyen 19, Akta Syarikat 1965.

Dalam kod kelakuan 2.2, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah pada bila-bila masa menggalakkan keprofesionalan dan meningkatkan kecekapan pengurusan dan pekerja."

[Should at all times promote professionalism and raise competency of management and employee.]

Dalam kod kelakuan ini, pengarah berkewajipan untuk berusaha menggalakkan profesionalisme dan kecekapan dalam pengurusan dan juga di kalangan pekerja syarikat. Ini merupakan kewajipan berusaha yang perlu ditanggung oleh seseorang pengarah. Kod kelakuan ini kelihatan sebagai satu ‘panduan’ sahaja.

Dalam kod kelakuan 2.3, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"Hendaklah memastikan langkah-lanngkah keselamatan yang mencukupi dan menyediakan perlindungan sepatutnya kepada pekerja di tempat kerja."

[Should ensure adequate safety measures and provide proper protection to workers and employees at work places.]

Kod kelakuan ini bersesuaian sekali dengan peruntukan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Alam Sekitar 1974. Di bawah Akta Keselamatan dan Kesiahatan Pekerja 1994, pengarah (jika konteks merangkumkannya sebagai ‘majikan’) adalah berobligasi untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja syarikat. Maksud ungkapan ‘keselamatan’ dan ‘kesihatan’ merangkumi juga ‘kebajikan’ pekerja.

KOD KELAKUAN: TANGGUNGJAWAB SOSIAL DAN ALAM SEKITAR

Dalam kod kelakuan 3.1, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah memastikan bahawa langkah-langkah yang perlu diambil mengikut undang-undang untuk menggulung atau memotongkan daftar syarikat jika syarikat itu tidak memulakan perniagaan atau telah terhenti daripada menjalankan perniagaan dan tidak mungkin akan memulakan perniagaan di masa akan datang atau menjalankan semula perniagaan mengikut mana-mana yang berkenaan."

[Should ensure that necessary steps are taken in accordance with the law to properly wind-up or strike-off the company register if the company has not commenced business or has ceased to carry on business and is not likely to commence business in future or again to carry on business as the case may be.]

Kod ini menjadikan pengarah bertanggungjawab untuk menggunakan usaha yang munasabah untuk menggulung atau mengkensel syarikat daripada daftar jika syarikat yang diurusi oleh mereka itu telah tidak aktif atau tidak mempunyai kemungkinan aktif di masa hadapan. Kod kelakuan ini juga lebih merupakan satu ‘permintaan’ oleh penggubal kod etika ini.

Dalam kod kelakuan 3.2, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah mengamalkan sikap objektif dan positif dan memberi kerjasama seerat-eratnya demi kebaikan bersama apabila berurusan dengan pihak berkuasa kerajaan atau badan pengawalselia."

[Should adopt an objective and positive attitude and give the utmost cooperation for the common good when dealing with governmental authorities or regulatory bodies.]

Kod kelakuan ini menjadikan pengarah sebagai orang yang seharusnya mengambil daya usaha untuk memastikan syarikat memberi kerjasama yang erat kepada pihak berkuasa kerajaan atau badan pengawalselia ketika berurusan dengannya.

Dalam kod kelakuan 3.3, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah memastikan penggunaan sumber alam secara berkesan, dan memperbaiki kauliti hidup dengan menggalakkan tanggungjawab sosial korporat."

[Should ensure effective use of natural resources, and to improve quality of life by promoting corporate social responsibilities.]

Kod kelakuan ini menjadikan pengarah berkewajipan untuk:

  1. memastikan sumber alam dimanfaatkan secara yang berkesan.
  2. memberi sumbangan ke arah memperbaiki kualiti hidup masyarakat dengan menggalakkan tanggungjawab sosial korporat.

Adalah baiknya jika tanggungjawab sosial korporat ini dimasukkan sebagai salah satu fasal wajib di dalam Memorandum Persatuan syarikat.

Dalam kod kelakuan 3.4, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah lebih proaktif kepada keperluan masyarakat dan memberi bantuan dalam program-program kemasyarakatan selaras dengan aspirasi konsep ‘Masyarakat penyayang’ dalam Wawasan 2020."

[Should be more proactive to the needs of the community and to assist in society related programme inline with the aspirations of the concept of ‘Caring Society’ in Vision 2020.]

Kod kelakuan ini meminta ‘pengarah’ supaya peka kepada kehendak masyarakat dan membantu sebarang program kemasyarakatan. Dalam melaksanakan kod kelakuan ini, pengarah hendaklah berhati-hati, dengan memastikan yang syarikat mempunyai kuasa untuk ‘memberi bantuan dalam program kemasyarakatan’, dengan melihat apakah ianya termasuk dalam takrif ungkapan ‘kebajikan’ dalam seksyen 19 kepada Akta Syarikat 1965. Bagi mendokong kod kelakuan ini, adalah lebih baik kuasa syarikat ‘untuk memberi bantuan dalam program kemasyarakatan’ dimasukkan secara nyata dalam kuasa syarikat di dalam Memorandum Persatuan syarikat.

Dalam kod kelakuan 3.5, diperuntukkan bahawa, pada melaksanakan kewajipannya, seseorang pengarah -

"hendaklah memastikan agar aktiviti-aktiviti dan operasi syarikat tidak memudaratkan masyarakat keseluruhan serta membantu untuk memerangi inflasi."

[Should ensure that the activities and the operations of the company do not harm the interest and well being of the society at large and to assist in the fight against inflation.]

Kod kelakuan ini menghendaki supaya pengarah memastikan aktiviti dan operasi syarikat tidak memudaratkan masyarakat keseluruhan dan di samping itu membantu memerangi inflasi.

PENUTUP

Kod etika ini merupakan satu permulaan yang baik bagi menangani beberapa masalah berkaitan dengan kewajipan pengarah syarikat yang dirasakan semakin luntur dewasa ini. Kod etika ini mempunyai beberapa keistimewaan:

  1. Kod Etika ini boleh dijadikan penyokong kepada statut, undang-undang lazim dan doktrin duluan dalam menggariskan kewajipan pengarah syarikat.
  2. Kod Etika ini boleh mengisi kekosongan yang ada pada peruntukan statut dewasa ini terutamanya daripada aspek tanggungjawab sosial korporat dan peri pentingnya perlindungan pekerja syarikat dilindungi sepenuhnya.
  3. Kod Etika ini boleh dijadikan garis panduan yang sememangnya bersifat ‘pedoman’ kepada pengarah syarikat untuk mengetahui secara sepintas lalu mengenai tanggungjawab mereka sebagai pegawai korporat syarikat.
  4. Kod Etika ini boleh dijadikan panduan kepada penggubal perlembagaan syarikat (yang juga biasanya adalah bakal pengarah syarikat) untuk memasukkan peruntukan kod etika ini yang bersesuaian ke dalam perlembagaan syarikat masing-masing.

Kod etika ini tidak dapat lari daripada beberapa kelemahan, yang sebahagiannya boleh diperbaiki atau diperkukuhkan dengan tindakan susulan tertentu:

  1. susunan Kod Etika ini tidak dibuat mengikut turutan yang baik supaya pengarah syarikat boleh mengikutinya dengan mudah.
  2. terdapat peruntukan kod yang didahului oleh kewajipan yang khusus dan kemudiannya diikuti oleh kewajipan umum yang lebih luas.
  3. terdapat beberapa peruntukan kod etika ini yang mengambil cabang kecil daripada kewajipan pengarah syarikat yang telah ditetapkan oleh undang-undang dengan meninggalkan cabang-cabang lain yang berkaitan.
  4. terdapat peruntukan Kod Etika ini yang bertindih di antara satu sama lain sehingga sukar dikenalpasti perbezaannya yang nyata.
  5. jika bahasa boleh dijadikan nilaian, sebahagian daripada kandungan kod ini (jelas sekali pada perenggan pengenalan) terdapat ketidaksejajaran maksud dan susuk ayat antara petikan bahasa Inggeris dan petikan bahasa Melayunya.

Adalah dicadangkan agar kandungan yang baik daripada kod ini dijadikan satu permulaan yang baik untuk meminda atau menambah peruntukan dalam Akta Syarikat 1965 supaya niat murni Kod Etika ini akan menjadi sesuatu yang berwibawa, dan bukannya suatu idealisme semata. Saya berpendapat bahawa kod kelakuan yang menyentuh mengenai perkara yang berikut ini elok disusuli dengan pindaan kepada Akta Syarikat 1965:

  1. kewajipan pengarah untuk menggunakan usaha yang munasabah untuk menghadiri mesyuarat.
  2. kewajipan pengarah untuk melindungi kepentingan pekerja.
  3. memperkenalkan suatu bentuk ‘organ’ baru dalam bentuk ‘wakil pekerja’ sebagai pelengkap kepada lembaga pengarah dan mesyuarat agung bagi syarikat awam atau syarikat persendirian yang bersaiz besar.

Akhir sekali, alangkah baiknya jika Pendaftar Syarikat mewajibkan tiap-tiap syarikat supaya melaporkan mengenai pematuhan kepada Kod Etika ini di dalam laporan pengarah dalam Penyata Kewangan teraudit yang dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat. Laporan berkenaan bolehlah menyatakan mengenai sejauhmanakah sesuatu kod kelakuan itu dipatuhi dan memberi alasan jika terdapat mana-mana kod kelakuan yang tidak atau tidak dapat dipatuhi.

Wallahu-A’lam Bissawab.

MD RODZI HARUN

114 Taman Pulai Jaya, Jalan Langgar, 05460 Alor Setar, Kedah Darul Aman

Sore 24 Zulhijjah 1416