ke laman utama syarikat.com
 
 
Perlantikan pengarah biasanya dikawal oleh dua sumber undang-undang yang utama, iaitu Perkara-perkara Persatuan dan Akta. Pada amnya tidak ada syarat khusus yang ditetapkan oleh undang-undang kepada seseorang yang akan dilantik menjadi pengarah. Tidak ada kelayakan tertentu sama ada kelayakan pendidikan, akademik mahupun pengalaman yang perlu ada pada seseorang pengarah. Sebelum Akta dipinda pada tahun 1992 (yang berkuatkuasa pada 10 September 1992) semua orang, tanpa mengira umur, boleh menjadi pengarah. Malah sesebuah syarikat pun boleh menjadi pengarah! Pindaan tersebut kemudiannya mengubah kelonggaran ini dengan memperkenalkan dua syarat asas. Pengarah hendaklah terdiri daripada ‘orang biasa’ (yakni ‘manusia biasa’) dan hendaklah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun. Secara tidak langsung, pindaan berkenaan tidak lagi membenarkan ‘orang buatan’ (yakni ‘syarikat’) daripada bertindak sebagai pengarah.

BILANGAN PENGARAH

Seksyen 122 memperuntukkan bahawa tiap-tiap syarikat hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pengarah yang mempunyai tempat tinggal yang utama atau satu-satunya dalam Malaysia: seksyen 122 (1). Pengarah hendaklah terdiri daripada orang biasa yang cukup umur: seksyen 122 (2). Jika syarikat hanya mempunyai dua orang pengarah, maka pengarah-pengarah itu hendaklah tidak termasuk pengarah gilir atau ganti: seksyen 122 (1A). Walau apapun yang terkandung dalam Akta atau Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan syarikat atau dalam apa-apa perjanjian dengan syarikat, seseorang pengarah tidak boleh meletakkan jawatan atau mengosongkan jawatan jika dengan perletakan atau pengosongan jawatannya itu menyebabkan bilangan pengarah dalam syarikat menjadi kurang daripada dua orang: seksyen 122 (6). Pengarah pertama perlu dinamakan sama ada dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan: seksyen 122 (3).

Akta menetapkan bilangan minimum pengarah syarikat sebagai tidak kurang daripada dua orang. Dalam menentukan bilangan minimum tersebut, dua kriteria diambil kira. Pertamanya, bilangan minimum itu hendaklah tidak termasuk pengarah gilir dan ganti. Misalnya, jika ABC Sdn Bhd mempunyai tiga orang pengarah, dua daripadanya adalah pengarah gilir atau ganti, maka ABC Sdn Bhd tidak memenuhi kehendak minimum yang ditetapkan. Keduanya, bilangan minimum itu perlu sekurang-kurangnya termasuk dua orang yang mempunyai tempat tinggal yang utama atau satu-satunya di dalam Malaysia. Jika ABC Sdn Bhd mempunyai tiga orang pengarah, dua daripadanya tidak mempunyai tempat tinggal yang utama atau satu-satunya di dalam Malaysia, mengikut takrifan seksyen 122, ABC Sdn Bhd hanya mempunyai bilangan pengarah minimum seorang sahaja.

Berasaskan kepada kedua-dua kriteria tersebut, seseorang pengarah tidak boleh meletakkan jawatan atau mengosongkan jawatannya jika dengan perletakan jawatannya itu bilangan pengarah menjadi kurang daripada dua orang. Misalnya, andaikan XYZ Sdn Bhd mempunyai tiga orang pengarah, A, B dan C. A dan B mempunyai tempat tinggal yang utama atau satu-satunya di dalam Malaysia sedangkan C tidak mempunyai tempat tinggal yang utama dan satu-satunya di dalam Malaysia. Bagi memenuhi syarat seksyen 122 (6), A atau B tidak boleh meletakkan jawatan atau mengosongkan jawatan. Walaupun jika salah seorang daripada mereka meletakkan atau mengosongkan jawatan bilangan minimum pengarah masih lagi tinggal dua orang, tetapi baki dua orang yang ada itu tidak memenuhi syarat seksyen 122 (6). Hanya tinggal seorang saja yang mempunyai tempat tinggal yang utama atau satu-satunya di dalam Malaysia. Seorang lagi, iaitu C tidak mematuhi syarat seksyen 122 (6) walaupun beliau boleh menjadi pengarah syarikat. Kesimpulannya, A dan B sampai bila-bila pun tidak boleh meletakkan atau mengosongkan jawatannya melainkanlah jika seorang lagi pengarah yang mempunyai tempat tinggal yang utama atau satu-satunya di dalam Malaysia dilantik bagi menggantikan tempat mereka. Sebaliknya C boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa pun kerana perletakan jawatannya akan menyebabkan bilangan pengarah menjadi dua orang dan kedua-duanya adalah mempunyai tempat tinggal yang utama atau satu-satunya di dalam Malaysia. Ketaksahan perletakan jawatan atas sebab-sebab di atas berkuatkuasa walaupun terdapat peruntukan perjanjian atau peruntukan dalam Perkara-perkara Persatuan yang membenarkan perletakan jawatan berkenaan. Bagaimana pula jika seseorang itu hilang kelayakan menurut Akta daripada menjadi pengarah? Ketaksahan perletakan jawatan berkenaan tidaklah termasuk seseorang yang hilang kelayakan untuk menjadi pengarah. Ini bermakna seseorang yang hilang kelayakan menurut Akta untuk bertindak sebagai pengarah boleh mengosongkan jawatannya walaupun pengosongannya itu menyebabkan bilangan pengarah menjadi kurang daripada dua orang.

PRASYARAT UMUM

Seksyen 122 hanya memperuntukkan mengenai bilangan minimum pengarah dalam syarikat tetapi tidak menetapkan bilangan maksimumnya. Oleh itu bilangan pengarah-pengarah boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa asalkan pada setiap masa bilangan pengarah tidak boleh kurang daripada dua orang. Pertambahan atau pengurangan bilangan pengarah itu boleh dibuat dengan ketetapan biasa dalam mesyuarat agung.

Dalam satu kes Australia, mahkamah memutuskan bahawa tertakluk kepada kehendak statutori mengenai bilangan minimum pengarah yang tidak boleh kurang daripada dua orang pada setiap masa, syarikat boleh mengadakan satu peruntukan dalam Perkara-perkara Persatuan yang menyerahkan kuasa kepada pengarah-pengarah untuk menamakan seorang yang lain sebagai pengarah sewaktu dia masih memegang jawatan sebagai pengarah: Whitehouse & SYL lwn Carlton Hotel Pty Ltd (1987).

Jika Perkara-perkara Persatuan memperuntukkan mengenai bilangan minimum pengarah sedangkan bilangan pengarah yang memegang jawatan adalah kurang daripada bilangan minimum yang ditetapkan itu, pengarah-pengarah yang ada tidak boleh bertindak sama sekali, melainkanlah jika terdapat peruntukan (seperti perkara 84, Jadual A) dalam Perkara-perkara Persatuan yang membenarkan pengarah yang ada bertindak walau apapun adanya kekosongan jawatan pengarah dalam syarikat.

RE SCOTTISH PETROLEUM CO (1883)

Perkara-perkara Persatuan syarikat berkenaan menetapkan bilangan minimum pengarahnya kepada empat orang. Akibat daripada perletakan jawatan beberapa orang pengarahnya, baki pengarah yang ada tinggal dua orang sahaja. Persoalannya ialah adakah tindakan dua orang pengarah yanng tinggal itu sah? Mahkamah memutuskan bahawa tindakan mereka adalah sah kerana Perkara-perkara Persatuan syarikat berkenaan membenarkannya. (Perkara-perkara Persatuan syarikat berkenaan mempunyai peruntukan yang hampir sama dengan perkara 84, Jadual A).

Keputusan mahkamah di atas perlu dibaca dengan hati-hati kerana tindakan pengarah-pengarah yang di bawah bilangan minimum dianggap sah kerana Perkara-perkara Persauan membenarkannya. Andaikan Perkara-perkara Persatuan ABC Sdn Bhd menetapkan bilangan minimum pengarahnya kepda empat orang. Berlaku suatu perletakan jawatan pengarah, menyebabkan bilangan pengarah-pengarah menjadi kurang daripada empat orang. Pengarah-pengarah yang terbaki itu tidak dapat bertindak, dan jika mereka bertindak juga, tindakan mereka adalah tidak sah kecualilah Perkara-perkara Persatuan membenarkannya.

Pengarah Hendaklah Seorang Biasa

Di United Kingdom, sesebuah syarikat atau perbadanan yang lain boleh dilantik menjadi pengarah syarikat. Di dalam Malaysia sebelum pindaan Akta pada tahun 1992, Akta menyepi mengenainya (secara tidak langsung membenarkannya), tetapi dalam pindaan tahun 1992, Akta tidak lagi membenarkan perlantikan pengarah yang selain daripada orang biasa. Jadinya, di dalam Malaysia pengarah hendaklah terdiri daripada orang biasa (yakni, manusia) dan bukannya syarikat atau perbadanan lain: seksyen 122 (2).

Di sisi undang-undang 'syarikat' adalah 'orang buatan undang-undang', kebalikan kepada 'orang biasa' iaitu manusia. Kedua-duanya, baik 'orang biasa' atau 'orang buatan undang-undang' mempunyai dua hak yang hampir sama, iaitu hak untuk bertindak menurut undang-undang dan hak untuk memiliki harta atas nama sendiri. Jadinya, apabila Akta mensyaratkan supaya pengarah syarikat hendaklah terdiri daripada orang biasa, ianya bermakna sesebuah syarikat tidak boleh menjadi pengarah. Pengarah hendaklah seorang manusia biasa.

Begitu juga firma 'perkongsian' tidak boleh dilantik menjadi pengarah syarikat kerana ianya adalah terlalu asing daripada konsep jawatan pengarah itu sendiri yang memerlukan pertimbangan dan tanggungjawab individu: Commercial Management Ltd lwn Registrar of Companies (1987).

Selain daripada itu pengarah yang akan dilantik hendaklah seorang yang cukup umur, iaitu yang berumur tidak kurang daripada lapan belas tahun: Akta Umur Dewasa 1971.

Akuan Berkanun

Seksyen 123 (4) memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang yang hendak dilantik sebagai pengarah syarikat perlu terlebih dahulu membuat dan menyerahkan suatu akuan berkanun dalam Borang 48A kepada Pendaftar Syarikat. Akuan Berkanun berkenaan mengandungi satu perakuan oleh orang yang membuat akuan tersebut bahawa dia tidak bertindak bertentangan dengan seksyen 125 dan 130 dan bahawa dia bersetuju untuk bertindak sebagai pengarah. Kesan undang-undang daripada seksyen tersebut ialah, Akuan Berkanun itu boleh digunakan untuk 'mengestop' orang yang membuat akuan daripada menafikan dirinya adalah seorang pengarah.

Istilah 'mengestop' dalam konteks akuan berkanun tersebut ialah, seseorang yang telah menandatangani Borang 48A dengan membuat perakuan bahawa dia bersetuju untuk bertindak sebagai pengarah, tidak boleh menafikan yang dia adalah seorang pengarah. Ini kerana persetujuannya itu merupakan bukti bahawa dia adalah seorang pengarah.

Kelayakan Syer

Seksyen 124 memperuntukkan, antara lainnya bahawa:

"...tiap-tiap pengarah yang dikehendaki oleh Perkara-perkara Persatuan supaya memegang kelayakan syer tertentu dan yang belum lagi memperoleh kelayakan itu, hendaklah memperoleh kelayakannya dalam masa dua bulan daripada perlantikannya atau suatu masa yang lebih singkat seperti yang ditetapkan oleh Perkara-perkara Persatuan...."

Kesimpulan yang boleh dibuat daripada seksyen tersebut ialah, jika Perkara-perkara Persatuan menghendaki supaya pengarah-pengarah mempunyai kelayakan syer, maka pengarah perlu memperoleh syer kelayakan dalam bilangan yang ditetapkan itu dalam tempoh dua bulan daripada tarikh perlantikannya atau dalam tempoh yang lebih singkat daripada itu, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara-perkara Persatuan. Seksyen tersebut selanjutnya memperuntukkan bahawa, melainkan jika diperuntukkan oleh Perkara-perkara Persatuan sebagai yang sebaliknya, kelayakan syer mana-mana pengarah syarikat hendaklah dipegang secara tunggal olehnya dan tidak boleh dipegang secara bersesama dengan pengarah lain. Jika kelayakan itu tidak diperolehi dalam tempoh yang ditetapkan oleh seksyen tersebut, atau jika seseorang pengarah itu terhenti daripada memegang syer kelayakan tersebut, dia hendaklah mengosongkan jawatannya dan tidak boleh dilantik semula sebagai pengarah sehinggalah dia memperoleh kelayakannya.

Walaupun Akta tidak mensyaratkan supaya seseorang yang akan dilantik menjadi pengarah perlu mepunyai kelayakan syer, tetapi jika Perkara-perkara Persatuan menghendakinya, pengarah perlu mendapatkan kelayakan syernya seperti, dan dalam tempoh yang ditetapkan oleh Perkara-perkara Persatuan itu. Dalam Re North Australian Territory Co, kes Archer (1892), Lindley MR menyebut:

"Kelayakan syer adalah wajar atas alasan bahawa ianya bagi memastikan pihak pengurusan mempunyai iltizam persendirian kepada syarikat..."

Dengan menetapkan syer kelayakan, bukan syarikat sahaja yang mendapat manfaatnya tetapi juga pengarah. Dengan memegang syer kelayakan, seseorang pengarah akan dapat menikmati faedah hak keanggotaan dalam syarikat dan oleh itu mempunyai locus standi untuk memanfaatkan seksyen 181 dan 218 jika dan apabila perlu. Sebagai pemegang syer juga dia boleh menghendaki supaya syarikat mematuhi Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan syarikat apabila perlu, seperti dalam kes Salmon lwn Quin & Axtens Ltd (1909). Kes ini hanya dapat difahami jika kes berikut difahami terlebih dahulu:

ELEY LWN POSITIVE GOVERNMENT SECURITY LIFE ASSURANCE CO LTD (1876)

Eley mendakwa syarikat kerana mungkir kontrak. Syarikat tempat dia bekerja menyingkirkannya sebagai peguam cara walaupun terdapat peruntukan dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat berkenaan bahawa dia dilantik menjadi peguamcara syarikat. Mahkamah Rayuan menolak tuntutannya dan sebaliknya memutuskan bahawa Eley tidak boleh bersandar kepada peruntukan Perkara-perkara Persatuan syarikat berkenaan untuk menguatkuasakan haknya sebagai anggota syarikat dalam kedudukan jawatannya sebagai peguamcara.

Kes di atas menunjukkan bahawa Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan sebagai satu bentuk kontrak statutori tidaklah melanjutkan hak seorang anggota syarikat kepada seseorang walaupun orang berkenaan adalah juga seorang anggota syarikat, jika anggota berkenaan menuntut dalam keupayaan sebagai orang luar yang bukan anggota syarikat.

Andaikan A adalah seorang anggota ABC Sdn Bhd dan Perkara-perkara Persatuan syarikat tersebut melantiknya sebagai seorang Pengarah urusan. Dalam kedudukannya sebagai anggota syarikat, A mempunyai hak untuk meminta syarikat mematuhi peruntukan Perkara-perkara Persatuannya supaya melantik A sebagai Pengarah urusan syarikat. Tetapi jika A meminta atas kedudukannya sebagai Pengarah urusan, A tidak mempunyai hak untuk meminta syarikat untuk mematuhi peruntukan Perkara-perkara Persatuan syarikat berkenaan.

Berlainan daripada kes di atas, dalam kes Salmon lwn Quin & Axtens Ltd (1909), walaupun isunya adalah sama iaitu berkenaan dengan penguatkuasaan hak orang yang di luar syarikat, tetapi Salmon yang meminta syarikat untuk menguatkuasakan hak vetonya yang diberikan oleh Perkara-perkara Persatuan syarikat, telah berjaya dalam tuntutannya itu. Persoalannya ialah, mengapa ini berlaku? Ini kerana, sebagai pemegang syer, Salmon hanyalah menuntut supaya syarikat mematuhi Memorandum dan Perkara-perkara Persatuannya. Secara tidak langsung Salmon boleh menguatkuasakan haknya sebagai orang luar syarikat atas sifatnya sebagai pengarah urusan untuk memveto dengan mendakwa atas keupayaannya sebagai anggota syarikat yang menguatkuasakan hak keanggotaan yang sama.

Pengajaran daripada kes Salmon ialah, pengarah-pengarah boleh menguatkuasakan hak tertentu yang diberikan kepada mereka sebagai pengarah-pengarah walaupun hak itu mungkin merupakan hak orang luar, jika mereka menguatkuasakannya melalui 'hak keanggotaan yang sama' yang hanya boleh dilakukan jika pengarah adalah juga seorang pemegang syer.

HILANG KELAYAKAN PENGARAH

Bankrap

Seksyen 125 memperuntukkan satu kaedah umum bahawa seseorang bankrap yang tidak mendapat pelepasan daripada mahkamah tidak boleh bertindak sebagai pengarah syarikat dan tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan syarikat. Seseorang yang bankrap yang terus bertindak sebagai pengarah adalah melakukan satu kesalahan yang boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau didenda RM 100,000.00 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tujuan seksyen di atas adalah untuk melindungi kepentingan orang awam memandangkan seorang bankrap secara prima facie adalah seorang yang tidak sesuai untuk diamanahkan untuk mengurus atau mengarah syarikat terutamanya syarikat berhad. Dalam kes Australia, Re Altim Pty Ltd (1968) dan Re Mc Quillan (1988), diputuskan bahawa mahkamah tidak berkecenderungan untuk memberi pelepasan kepada seorang bankrap menguruskan syarikat atas alasan tersebut.

Sabitan Seksyen 130

Seksyen 130 memperuntukkan bahawa orang yang berikut tidak boleh bertindak sebagai pengarah syarikat atau penajanya atau dengan apa-apa cara yang secara langsung atau tidak langsung terlibat atau mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat, melainkan jika terlebih dahulu mendapat pelepasan daripada mahkamah:

· seseorang yang disabitkan atas apa-apa kesalahan yang berkaitan dengan penajaan, pembentukan atau pengurusan suatu perbadanan.

· seseorang yang disabitkan atas apa-apa kesalahan yang melibatkan fraud atau kecurangan dengan hukuman penjara tiga tahun atau lebih.

· seseorang yang disabitkan atas apa-apa kesalahan di bawah seksyen 132, 132A dan 303.

Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen 130 akan hilang kelayakan untuk bertindak sebagai pengarah berkuatkuasa secara automatik selama tempoh lima tahun, dan jika dipenjarakan hilang kelayakan berkenaan berkuatkuasa selepas dilepaskan daripada penjara. Jika tidak mendapat pelepasan daripada mahkamah, tetapi seseorang yang telah hilang kelayakan di bawah seksyen 130 terlibat dalam pengurusan syarikat, maka dia telah melakukan kesalahan dan boleh dipenjarakan selama lima tahun atau didenda RM 100,000.00 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Alasan di sebalik seksyen 125 itu adalah untuk melindungi orang awam daripada berurusan dengan syarikat yang diurus oleh orang yang tidak sesuai. Seksyen tersebut bertujuan sebagai satu sekatan dan imbangan untuk mendukung keyakinan awam. Dalam kes AG lwn Derrick Chong Soon Choy & 3YL (1985), Mahkamah Rayuan Singapura mengesahkan pandangan Bowen CJ dalam kes Re Magna Alloys & Research Pty Ltd (1975) sebagai yang berikut:

"...bahawa seksyen 130 bertujuan untuk melindungi orang awam dan mengelakkan struktur korporat daripada digunakan untuk menjejaskan kedudukan kewangan pelabur, pemegang syer, pemiutang dan pengguna yang berurusan dengan syarikat. Dengan penguatkuasaan seksyen berkenaan, adalah diharapkan ianya boleh melindungi struktur korporat daripada dipergunakan oleh seseorang individu dengan cara yang bercanggah dengan standard perdagangan yang sewajarnya."

Pelepasan daripada mahkamah

Tidaklah bermakna seseorang yang disabitkan di bawah seksyen 130 tidak boleh mengurus syarikat. Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen tersebut masih boleh mengurus syarikat asalkan dia mendapat pelepasan daripada mahkamah.

AG LWN DERRICK CHONG SOON CHOY & 3YL (1985)

Pihak peguam negara telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Privy mengenai keputusan Ketua Hakim yang memberikan pelepasan kepada Derrick Chong (yang disabitkan di bawah seksyen 130 untuk melibatkan diri dalam pengurusan sebuah syarikat). Derrick Chong telah disabitkan dengan kesalahan berkenaan dengan penajaan, pembentukan dan pengurusan suatu perbadanan, dan secara khususnya disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 39 dan 365 (5) iaitu kesalahan menawarkan syer kepada awam tanpa prospektus. Majlis Privy meluluskan permohonan pihak Peguam Negara itu. Dalam kes ini dua perkara utama disimpulkan. Pertamanya, keputusan untuk memberikan pelepasan kepada permohonan di bawah seksyen 130 adalah satu budi bicara semata. Keduanya, dalam memberikan pelepasan, tanggungjawab untuk membuktikan kenapa seseorang yang disabitkan itu perlu dilepaskan untuk membolehkannya terlibat dalam pengurusan, terletak kepada orang yang mengemukakan rayuan itu.

Berdasarkan keputusan-keputusan kes mahkamah berkaitan dengan pemberian pelepasan kepada pengarah-pengarah yang hilang kelayakan di bawah seksyen 30, asas-asas yang berikut biasanya diambilkira oleh mahkamah dalam mempertimbangkan pemberian pelepasan berkenaan:

  • ciri-ciri tindakan yang dilakukan oleh pengarah berkenaan yang membawa kepada kesalahan di bawah seksyen 130.
  • sejauh manakah penglibatan pengarah berkenaan dalam penajaan, pembentukan dan pengurusan syarikat yang bertentangan dengan seksyen 130.
  • latar belakang tingkah laku seseorang pengarah berkenaan terutamanya dalam hal-ehwal yang berkaitan dengan perniagaan atau pengusahaan.
  • struktur, jenis dan saiz syarikat yang pengarah berkenaan bercadang untuk mengurus atau menjadi pengarahnya jika diberikan pelepasan kelak.
  • ciri-ciri perniagaan syarikat yang pengarah berkenaan bercadang untuk mengurus atau menjadi pengarahnya.
  • maslahah umum, pemegang syer, pemiutang dan pekerja syarikat jika pengarah berkenaan diberi pelepasan untuk mengurus syarikat berkaitan.
  • risiko kepada umum dan kepada pemegang syer, pemiutang dan pekerja syarikat jika pengarah berkenaan dibenarkan untuk menjadi pengarah atau mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Had Umur

Seksyen 126 memperuntukkan mengenai had umur seseorang pengarah. Mengikut seksyen ini, seseorang yang berumur melebihi 70 tahun tidak boleh dilantik menjadi pengarah syarikat awam atau anak syarikat kepada syarikat awam. Tidak ada had umur yang dikenakan kepada pengarah syarikat persendirian.

Jawatan pengarah yang dikosongkan oleh pengarah yang hilang kelayakan akan menjadi kosong pada tarikh berakhirnya mesyuarat agung tahunan selepas mencapai umur 70 tahun. Sebagai contoh, jika A, seorang pengarah, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70 pada 4.11.1995, dan mesyuarat agung tahunan yang diadakan selepas itu dibuat pada 13.2.1996, maka jawatan A akan menjadi kosong pada dan mulai daripada 13.2.1996. Walaupun had umur maksimum ditetapkan oleh Akta kepada pengarah-pengarah syarikat awam sahaja, tetapi Perkara-perkara Persatuan Syarikat Sendirian Berhad juga boleh mengadakan peruntukan sedemikian. Jika peruntukan demikian dibuat, kehendak mengenai umur maksimum akan berkuatkuasa.

Seksyen 129 hendaklah dibaca bersama-sama dengan seksyen 135 yang mengenakan kewajipan umum kepada pengarah untuk mendedahkan maklumat tertentu, khususnya mengenai tarikh dia akan mencapai umur 70 tahun. Notis ini perlu diberikan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh selepas dia menjadi pengarah. Seseorang yang berumur melebihi 70 tahun boleh dilantik sebagai pengarah syarikat awam atau anak syarikat kepada syarikat awam jika syarat-syarat berikut dipatuhi:

  • notis mengenai ketetapan untuk melantik orang berkenaan diberikan kepada syarikat.
  • tempoh notis hendaklah tidak lewat daripada 14 hari sebelum ketetapan diusulkan (walau bagaimanapun, Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan syarikat boleh memanjangkan tempoh berkenaan).
  • ketetapan itu mestilah diluluskan dengan majoriti tiga-perempat daripada yang hazir dan mengundi.

Pengarah Dua Buah Syarikat Tak Solven Yang Digulung

Seksyen 130A memperuntukkan bahawa pengarah kepada dua buah syarikat tak solven yang digulung selang lima tahun di antaranya akan hilang kelayakan menjadi pengarah. Permohonan untuk menghilangkan kelayakan pengarah yang terlibat boleh dibuat oleh Menteri atau Pegawai Penerima: seksyen 130A (2). Syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang pengarah yang terlibat boleh dihilangkan kelayakannya ialah:

  • dia telah menjadi pengarah syarikat A yang pada bila-bila masa telah digulung dan menjadi tak solven pada masa itu (sama ada semasa dia menjadi pengarah atau selepas itu).
  • dia telah menjadi pengarah syarikat B yang telah digulung dalam tempoh lima tahun daripada tarikh syarikat A digulung.
  • tingkah lakunya sebagai pengarah syarikat A dan B yang menjadikannya tidak sesuai untuk mengambil bahagian dalam pengurusan sesebuah syarikat: seksyen 130A (1)(a).

Pengarah yang terlibat perlu diberi notis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum permohonan untuk mendapatkan perintah hilang kelayakannya itu boleh dibuat: seksyen 130A (3). Dia boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pelepasan untuk mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat dengan memberi notis yang tidak kurang daripada 10 hari kepada Pendaftar Syarikat mengenai niatnya itu: seksyen 130A (4).

CARA-CARA PERLANTIKAN

Pengarah pertama dilantik dengan cara dinamakan sama ada dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan. Selain daripada itu, perlantikan berikutnya ditetapkan oleh Perkara-perkara Persatuan syarikat.

Dinamakan Dalam Perkara-perkara Persatuan

Menurut seksyen 122(3), pengarah pertama perlu dinamakan dalam Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan. Biasanya kebanyakan syarikat memilih untuk menamakan pengarah-pengarah pertama dalam Perkara-perkara Persatuan. Perlantikan ini berkuatkuasa daripada tarikh syarikat diperbadankan.

Biasanya penandatangan-penandatangan Memorandum adalah pengarah-pengarah pertama syarikat, walaupun tidak ada alasan undang-undang yang menghendaki supaya penandatangan dan pengarah pertama mestilah orang yang sama. Begitu juga kebanyakan orang sering menganggap bahawa pengarah-pengarah pertama yang dinamakan dalam Memorandum adalah merupakan penaja sesebuah syarikat. Anggapan seperti ini dalam banyak hal-keadaan adalah suatu salah-anggapan.

Perlantikan melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah

Perkara 68, Jadual A memperuntukkan mengenai perlantikan pengarah-pengarah selepas pengarah-pengarah pertama, sebagai yang berikut:

"Pengarah-pengarah hendaklah mempunyai kuasa pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa untuk melantik mana-mana orang menjadi pengarah, sama ada untuk mengisi kekosongan biasa atau sebagai tambahan kepada pengarah-pengarah yang ada, tetapi bilangan pengarah hendaklah pada bila-bila masa tidak melebihi bilangan yang ditetapkan menurut peraturan-peraturan ini. Mana-mana pengarah yang dilantik itu hendaklah memegang jawatan sehingga mesyuarat agung tahunan yang berikutnya dan hendaklah berkelayakan untuk dilantik semula tetapi hendaklah tidak diambil kira dalam menentukan pengarah-pengarah yang akan bersara secara giliran dalam mesyuarat itu."

Pengarah-pengarah mempunyai kuasa untuk menambah bilangan pengarah yang ada tetapi tidak boleh melebihi bilangan yang ditetapkan dalam Perkara-perkara Persatuan. Penambahan itu dibuat melalui perlantikan oleh mesyuarat lembaga pengarah. Pengarah yang dilantik itu akan bersara pada mesyuarat agung tahunan yang berikutnya, tetapi tidak dibilang sebagai termasuk dalam pengarah-pengarah yang akan bersara secara giliran. Pengarah yang dilantik itu layak untuk dipilih semula menurut peruntukan Perkara-perkara Persatuan, misalnya perkara 64, Jadual A.

Perlantikan Melalui Mesyuarat Agung Tahunan

Kebanyakan syarikat memakai perkara 67, Jadual A yang memberi kuasa kepada pemegang-pemegang syer dalam mesyuarat agung tahunan untuk melantik pengarah tambahan. Perkara 67, Jadual A menyebut:

"Syarikat boleh dari semasa ke semasa melalui ketetapan biasa dalam mesyuarat agung menambah atau mengurangkan bilangan pengarah-pengarah, dan boleh juga menentukan dalam giliran mana bilangan yang ditambah atau dikurangkan itu akan bersara daripada jawatan."

Walaupun Akta tidak menetapkan yang perlantikan perlu dibuat oleh pengarah-pengarah dalam mesyuarat agung, tetapi penyingkiran pengarah mesti diluluskan oleh pemegang-pemegang syer: seksyen 128(1).

Larangan hak pemegang syer untuk melantik pengarah

Walaupun tidak diperuntukkan dalam Jadual A sesetengah syarikat (terutamanya syarikat awam) mempunyai satu lagi peruntukan dalam Perkara-perkara Persatuannya, misalnya dengan menyebutkan bahawa:

"Tiada anggota, yang bukan seorang pengarah yang bersara atau seorang pengarah yang dilantik di bawah perkara 91 (pengarah-pengarah pertama yang dinamakan dalam Memorandum) atau perkara 92 (pengarah yang dilantik oleh lembaga pengarah) hendaklah, melainkan diperakui oleh pengarah-pengarah untuk pemilihan, berkelayakan untuk menjadi pengarah dalam mana-mana mesyuarat agung, melainkan dia, atau anggota-anggota lain yang becadang untuk mencadangkan perlantikannya, mempunyai tujuh hari genap dan tidak lebih daripada empat belas hari sebelum mesyuarat itu meninggalkan di pejabat satu notis bertulis yang telah ditandatangani, menandakan calonnya untuk jawatan itu, atau niat anggota berkenaan untuk mencadangkannya."

Tujuan perkara di atas adalah untuk mengelakkan pemegang-pemegang syer daripada mencalonkan seseorang pengarah secara tiba-tiba dan membuatkan lembaga pengarah tidak sempat bersedia.

Panduan Penyenaraian Bursa Saham Kuala Lumpur memperuntukkan bahawa Perkara-perkara Persatuan syarikat awam yang disenaraikan mestilah memasukkan kehendak pemberian notis tersebut di atas kepada tempoh minimum sebelas hari, dan bukannya tujuh hari. Panduan Penyenaraian Bursa Saham Kuala Lumpur menyebutkan:

"Tiada sesiapapun, yang bukan seorang pengarah yang bersara hendaklah berkelayakan untuk dipilih memegang jawatan pengarah dalam mana-mana mesyuarat agung melainkan beberapa anggota-anggota yang bercadang untuk mengusulkannya telah, sekurang-kurangnya tujuh hari genap sebelum mesyuarat itu, meninggalkan di pejabat berdaftar syarikat itu satu notis bertulis yang telah ditandatangani oleh proksi, memberikan persetujuannya terhadap pemilihan itu dan menandakan calonnya untuk jawatan itu, atau niat anggota berkenaan untuk mengusulkannya, dengan syarat dalam hal seseorang yang diperakukan oleh pengarah-pengarah untuk pemilihan, notis dalam tempoh tiga puluh hari genap adalah diperlukan, dan notis mengenai setiap dan tiap-tiap calon untuk pemilihan kepada lembaga pengarah hendaklah disampaikan kepada pemegang-pemegang syer berdaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum mesyuarat yang mana pemilihan berkenaan akan dibuat."

Syarikat persendirian boleh melantik dua atau lebih pengarah dengan satu ketetapan sahaja. Sebaliknya, bagi syarikat awam ketetapan perlu diluluskan secara berasingan bagi pemilihan setiap orang pengarah melainkan terdapatnya persetujuan sebulat suara mengenainya: seksyen 126(1). Tujuan peruntukan sedemikian adalah untuk memberi peluang kepada pemegang-pemegang syer untuk tidak bersetuju atas pemilihan seseorang pengarah tetapi tidak menjejaskan pemilihan keseluruhan ahli lembaga pengarah.

Pemilihan Oleh Pihak Ketiga

Pemilihan pengarah-pengarah oleh pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam syarikat adalah satu perkara biasa bagi syarikat yang berbentuk usaha sama. Pemegang syer asing, misalnya dalam konteks Dasar Ekonomi Baru sentiasa berada di pihak yang minoriti, oleh itu mereka terpaksa dalam kedudukan mereka sebagai pemegang syer minoriti supaya mereka masih mempunyai hak representasi dalam lembaga pengarah. Ini boleh dilakukan jika Perkara-perkara Persatuan memberikan perlindungan yang secukupnya kepada mereka. Di dalam Malaysia, undang-undang menetapkan yang sesuatu pegangan yang melebihi 50% boleh melantik 100% daripada ahli lembaga pengarah. Bagi memenuhi kehendak ini, Perkara-perkara Persatuan yang khusus diperkenalkan dengan memperuntukkan bahawa pemegang peratus tertentu daripada jumlah syer syarikat layak untuk beberapa kerusi tertentu dalam keahlian lembaga pengarah syarikat.

Perlantikan Melalui Penyerahhakan Jawatan

Seksyen 138 memperuntukkan bahawa Perkara-perkara Persatuan (atau suatu perjanjian) boleh memberi kuasa kepada pengarah untuk menyerahhakan jawatannya sebagai pengarah kepada seseorang yang lain tertakluk kepada kelulusan melalui ketetapan khas dalam mesyuarat agung.

Perlantikan Pengarah Ganti

Perkara 82, Jadual A memperuntukkan bahawa pengarah-pengarah boleh melantik seseorang untuk menggantikan tempatnya. Borang atau surat perlantikan yang ditandatangani oleh pengarah yang melantiknya itu perlu dikemukakan kepada mesyuarat lembaga lembaga pengarah untuk mendapatkan kelulusan lain-lain ahli lembaga pengarah. Lembaga pengarah boleh menolak cadangan perlantikan itu tetapi tidak boleh melantik seseorang yang lain sebagai ganti tanpa persetujuan pengarah berkenaan.

PERWAKILAN DALAM LEMBAGA

Seseorang pemegang syer yang mempunyai jumlah pelaburan yang besar dalam sesebuah syarikat sudah pasti ingin memastikan dia mempunyai hak untuk melantik seorang atau lebih pengarah dalam lembaga pengarah. Bagi melindungi pelaburannya, dia tentunya ingin agar peruntukan Perkara-perkara Persatuan memberinya kuasa untuk melantik pengarah-pengarah syarikat.

RAFFLES HOTEL LTD LWN MALAYAN BANKING BHD (1966)

Malayan Banking Berhad (Maybank) adalah pemberi pajak satu lot tanah kepada Raffles Hotel. Raffles Hotel adalah penerima pajak tanah itu. Perkara-perkara Persatuan Raffles Hotel memperuntukkan bahawa pemberi pajak hendaklah mempunyai kuasa untuk melantik pengarah syarikat yang menerima pajak. Maybank melantik dirinya sebagai pengarah. Raffles Hotel memohon supaya diisytiharkan bahawa perlantikan itu tak sah. Mahkamah memutuskan bahawa oleh kerana Maybank bukanlah anggota syarikat, maka peruntukan. Perkara-perkara Persatuan itu tidak memberinya sebarang hak untuk melantik pengarah syarikat, dan oleh itu perlantikan itu adalah tak sah.

Persoalannya ialah, bagaimanakah caranya supaya pihak tertentu boleh memastikan kepentingan mereka dilindungi melalui perwakilan dalam keahlian lembaga pengarah. Cara-cara yang berikut telah terbukti memberi kesan:

1. Membahagikan syer kepada kelas-kelas syer yang berbeza. Peruntukan boleh dibuat dalam Perkara-perkara Persatuan dengan memberikan kuasa kepada pemegang syer dalam kelas syer tertentu untuk melantik pengarah dalam bilangan tertentu dan menyingkirkan mana-mana pengarah melalui notis oleh majoriti pemegang kelas syer berkenaan.

2. Mengadakan kontrak berasingan. Perwakilan dalam lembaga pengarah boleh juga dibuat dengan mengadakan satu kontrak berasingan di antara syarikat dengan pemegang-pemegang syer yang menguasai syarikat. Apabila seseorang mempunyai hak melalui kontrak untuk melantik pengarah, maka hak itu boleh dikuatkuasakan melalui pelaksanaan spesifik, seperti dalam kes British Murac Syndicate Ltd lwn Alperton Rubber Co Ltd (1915).

Walau bagaimanapun dalam kes Wilton Group plc lwn Abrams (1990), mahkamah Inggeris memutuskan bahawa terma-terma yang terkandung dalam satu kontrak penjualan syer berkaitan dengan syarikat awam yang disenaraikan tidak dapat diterima. Di dalam Malaysia, pendirian yang sama diambil oleh mahkamah. Kaedah Kriteria Penyenaraian Sekuriti menyebutkan bahawa:

"Komposisi lembaga pengarah hendaklah menunjukkan struktur pemunyaan dalam syarikat. Tiap-tiap syarikat yang disenaraikan hendaklah mempunyai pengarah-pengarah bebas, yakni pengarah-pengarah yang bukan pegawai syarikat; sama ada tidak ada hubungan dengan pegawainya ataupun mewakili pegangan keluarga atau berpusat-pusat syernya; dan yang mengikut pandangan lembaga pengarah syarikat, mewakili pemegang syer awam, dan adalah bebas daripada apa-apa hubungan yang akan menganggu perjalanan pertimbangan yang bebas."