ke laman utama syarikat.com
KE LAMAN BERIKUTNYA
 
PENGENALAN

Satu daripada keunikan syarikat ialah ianya bersifat kekal turun temurun (perpetual succession): seksyen 16 (5). Pertukaran atau ketiadaan anggota-anggota yang membentuknya, pengarah-pengarah dan pengurus-pengurus yang mengurusnya, pekerja-pekerja yang bekerja untuknya, hatta tanpa perniagaan sekalipun tidak akan mematikan syarikat. Sebaik sahaja diperbadankan menurut undang-undang syarikat terus hidup, kekal turun-temurun sehinggalah diakhirkan hayatnya oleh undang-undang. Syarikat dilahirkan oleh undang-undang dan hanya boleh dimatikan oleh undang-undang.

Syarikat terus hidup sehinggalah daftarnya di Pejabat Pendaftar Syarikat dipotong dan dibubarkan. Pembubaran sesebuah syarikat biasanya berlaku selepas proses penyelesaian (liquidation) atau penggulungan (winding up) disempurnakan. Syarikat juga boleh dibubarkan di bawah s308. Seksyen 308 memberikuasa kepada Pendaftar Syarikat untuk memotong daripada daftar, dan membubarkan syarikat, jika beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa syarikat berkenaan tidak menjalankan perniagaan atau tidak beroperasi.

Ungkapan "penggulungan" (winding up") dan "penyelesaian" (liquidation) mempunyai pengertian yang sama. Penggulungan atau penyelesaian adalah suatu proses di mana aset-aset syarikat dihimpun, hutang-hutang syarikat dibayar dan lebihan aset-asetnya dibahagikan di kalangan anggota-anggotanya. Sehingga tersempurnanya proses ini, syarikat terus wujud sebagai suatu entiti undang-undang.

Syarikat digulung kerana beberapa sebab. Biasanya syarikat digulung kerana ia telah menjadi tak solven (insolvent) atau ketidakupayaan membayar hutang-hutangnya. Jika demikian sebabnya, penggulungan syarikat merujuk kepada suatu proses menghimpunkan semula (realised) aset-aset syarikat dan kemudiannya dibahagikan kepada pemiutang-pemiutang sebagai bayaran kepada hutang-hutang yang kena dibayar (due) kepada mereka.

Ada kalanya syarikat yang solven (solvent) juga digulung. Misalnya, anggota-anggota syarikat mengambil keputusan menggulung syarikat mereka untuk mendapatkan semula (realised) pelaburan mereka. Mahkamah juga boleh memerintahkan sesebuah syarikat supaya digulung, sama ada untuk mennamatkan suatu tindakan penindasan terhadap anggota-anggota di bawah seksyen 181 (2)(e), atau kerana Mahkamah sendiri berpendapat adalah adil dan saksama untuk berbuat demikian di bawah seksyen 218 (1)(I).