ke laman utama syarikat.com
KE LAMAN BERIKUTNYA
 
PENGGULUNGAN SUKARELA

Seksyen 211 mengenalpasti dua bentuk penggulungan:

  • penggulungan sukarela (voluntary winding up)
  • penggulungan oleh Mahkamah (compulsory winding up / winding up by court)
  • penggulungan sukarela oleh anggota (members’ voluntary winding up
  • penggulungan sukarela oleh pemiutang (creditors’ voluntary winding up)

Seksyen 258 dan 259 menyentuh mengenai penggulungan sukarela oleh anggota dan seksyen-seksyen 260-263 pula menyentuh mengenai penggulungan sukarela oleh pemiutang. Seksyen-seksyen 254-257 dan seksyen-seksyen 264-276 pula mengandungi peruntukan mengenai kedua-dua bentuk penggulungan sukarela tersebut.

Menurut s254 (1) jika salah satu daripada hal keadaan berikut berlaku, syarikat boleh digulung secara sukarela:

  • apabila tempoh hayat sesebuah syarikat yang ditetapkan oleh Memorandum & Perkara-perkara Persatuan (Memorandum & Articles of Association) telah tamat
  • berlakunya apa-apa perkara atau kejadian yang diperuntukkan oleh Memorandum & Perkara-perkara Persatuan bahawa syarikat akan dibubarkan
  • bila mana mesyuarat agung syarikat meluluskan suatu ketetapan (resolution) untuk menggulung syarikat secara sukarela
  • jika syarikat meluluskan ketetapan khas (special resolution) untuk menggulungkan syarikat.

Pada amalannya sebab pertama yang tersebut di atas jarang sekali berlaku. Jika ianya berlaku, kelulusan ketetapan biasa sudah cukup untuk menggulung sesebuah syarikat.

Sesebuah syarikat boleh digulung secara sukarela oleh anggota jika :

  • pengarah-pengarahnya berpendapat bahawa syarikat boleh membayar sepenuhnya semua hutang-hutangnya dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh bermulanya penggulungan ( yakni syarikat adalah solven), dan
  • syarikat memutuskan untuk menggulung syarikat melalui keketapan khas: seksyen 254.

Bagaimanapun jika selepas itu didapati syarikat tidak berkeupayaan membayar atau menyediakan bayaran bagi melunasi sepenuhnya hutang-hutangnya, penyelesai (liquidator) hendaklah memanggil suatu mesyuarat pemiutang-pemiutang (creditor’s meeting). Dalam mesyuarat itu, penyelesai hendaklah membentangkan suatu penyata aset-aset dan liabiliti-liabiliti, dan memaklumkan mengenai perkembangannya kepada mereka: seksyen 259 (1). Jika ini berlaku penggulungan tersebut akan menjadi suatu penggulungan sukarela oleh pemiutang

Jika atas sebab-sebab liabiliti syarikat tidak dapat meneruskan perniagaannya, syarikat boleh memutuskan melalui ketetapan khas (special resolution) untuk menggulung syarikat, dan penggulungan itu akan menjadi suatu penggulungan sukarela oleh pemiutang, dan akan terus menerus melalui proses penggulungan berkenaan, meskipun selepas itu didapati yang bayaran sepenuhnya hutang syarikat boleh dibuat oleh syarikat kepada semua pemiutangnya. Syarikat dikehendaki untuk memanggil suatu mesyuarat pemiutang (creditor’s meeting): seksyen 255..

Penggulungan sukarela sesebuah syarikat akan bermula pada tarikh ketetapan diluluskan untuk menggulungkannya secara sukarela. Tetapi jika penyelesai sementara (provisional liquidator) telah dilantik sebelum ketetapan itu diluluskan, penggulungan berkenaan akan bermula apabila Borang 65A diserahkan kepada Pendaftar Syarikat: seksyen 154 (6).

Jika petisyen telah dikemukakan kepada Mahkamah untuk menggulung syarikat kerana gagal membayar hutang, syarikat berkenaan tidak boleh meluluskan ketetapan untuk menggulungkannya secara sukarela sehinggalah mendapat pelepasan daripada Mahkamah: seksyen 276.

Kesan Penggulungan Sukarela

Daripada tarikh bermulanya penggulungan (commencement of winding up) syarikat tidak boleh menjalankan perniagaan kecuali jika penyelesai berpendapat bahawa dengan menjalankan perniagaan akan memanfaatkan proses penggulungan itu sendiri. Walau bagaimanapun kedudukan syarikat sebagai sebuah badan korporat dan kuasa korporat syarikat terus kekal sehinggalah ianya dibubarkan.

Kuasa pengarah-pengarah akan berakhir pada masa penyelesai dilantik kecuali jika penyelesai membenarkan mereka untuk meneruskan tugas jawatan masing-masing atau jika dibenarkan oleh mesyuarat agung syarikat dengan persetujuan penyelesai: seksyen 258 (2). Mana-mana pemindahan syer dan mana-mana pengubahan dalam status anggota-anggota yang dibuat selepas bermulanya penggulungan akan menjadi batal melainkanlah jika mendapat kebenaran penyelesai: seksyen 256 (2).

Pekerja-pekerja tidak akan dibuang kerja melainkan jika syarikat adalah tak solven. Pekerja-pekerja akan terus memegang jawatan nmasing-masing di bawah kontrak perkhidmatan yang baru.