ke laman utama syarikat.com
KE LAMAN BERIKUTNYA
 
PENGGULUNGAN SUKARELA OLEH ANGGOTA

Penggulungan sukarela oleh anggota hanya boleh dibuat jika syarikat adalah solven. Dalam penggulungan sukarela oleh anggota, proses penggulungan dikawal sepenuhnya oleh anggota-anggota syarikat. Merekalah yang akan melantik penyelesai. Pemiutang akan dibayar sepenuhnya dan tidak mengambil bahagian langsung dalam proses penggulungan. Jika terdapat keperluan supaya mengagihkan kepada pemiutang atau anggota-anggota atau hal keadaan lain, adalah lebih baik jika penyelesai mendapatkan tanggung rugi (indemnity) daripada pemegang-pemegang syer.

Prosedur Awal

Langkah pertama pengarah-pengarah hendaklah menyiasat hal-ehwal syarikat dan kemudiannya membentuk suatu pendapat (form an opinion) bahawa syarikat berkemampuan untuk membayar semua hutang-hutangnya dalam tempoh tidak lewat daripada 12 bulan daripada tarikh penggulungan bermula.

Langkah kedua pengarah-pengarah hendaklah mengadakan mesyuarat lembaga pengarah dan membuat Akuan Kesolvenan (Declaration of Solvency dalam Borang 66. Jika syarikat mempunyai dua orang pengarah, akuan ini perlu ditandatangani kedua-dua pengarah. Jika syarikat mempunyai lebih daripada dua orang pengarah, akuan ini perlu ditandatangani oleh majoriti daripada pengarah-pengarah. Akuan ini perlu dibuat dalam tempoh lima minggu sebelum ketetapan untuk menggulungkan syarikat secara sukarela diluluskan, dan kemudiannya diserahkan kepada Pendaftar Syarikat sebelum tarikh notis memanggil mesyuarat (yakni mesyuarat yang mana ketetapan untuk menggulungkan syarikat secara sukarela diusulkan untuk diluluskan) dikeluarkan. Akuan ini hendaklah mengandungi penyata hal-ehwal syarikat yang menunjukkan:

  • aset-aset pada jangkaan nilai pengghasilan (expected realisable value);
  • laibiliti-liabiliti syarikat; dan
  • anggaran perbelanjaan penggulungan

yang dibuat sehingga ke tarikh terakhir yang praktikal sebelum pengisytiharan itu diperbuat.

Jika seseorang pengarah membuat perakuan berkenaan tanpa alasan yang munasabah bahawa syarikat berkemampuan untuk membayar sepenuhnya hutang-hutangnya dalam tempoh yang dinyatakan dalam akuan berkenaan, pengarah berkenaan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda RM 10,000 atau kedua-duanya sekali. Memandangkan penalti yang begitu berat, pengarah-pengarah hendaklah benar-benar yakin mengenai kedudukan kewangan syarikat sebelum membuat keputusan untuk membuat perakuan dalam mesyuarat lembaga pengarah berkenaan.

Dalam mesyuarat lembaga pengarah yang sama, pengarah-pengarah hendaklah juga memutuskan mengenai tarikh mesyuarat agung yang akan diadakan bagi meluluskan ketetapan untuk menggulungkan syarikat dan untuk memberikuasa kepada setiausaha untuk mngeluarkan notis yang perlu bagi memanggil mesyuarat agung.

Hak-hak pemegang debentur (debenture holder) atau saham debentur (debenture stock) atau saham pinjaman (loan stock) perlulah dipertimbangkan dan tindakan yang sewajarnya perlu diambil sebelum sebarang cadangan untuk meluluskan ketetapan untuk menggulungkan syarikat dibuat.

Langkah ketiga, pada mesyuarat agung luar biasa (extraordinary general meeting), ketetapan untuk menggulung syarikat secara sukarela dan ketetapan untuk melantik penyelesai diluluskan: seksyen 258 (1). Biasanya kedua-dua ketetapan ini didraf dalam satu ketetapan tunggal sahaja. Jenis-jenis ketetapan yang akan diluluskan bergantung kepada hal keadaan berikut:

  • ketetapan biasa: jika tempoh yang ditetapkan untuk kelangsungan syarikat telah tamat atau wujudnya apa-apa perkara yang menyebabkan syarikat digulung.
  • ketetapan khas: jika tiada sebarang alasan yang khusus atau alasan lain selain daripada alasan di atas.

Langkah keempat, selepas ketetapan untuk menggulung syarikat secara sukarela dan ketetapan untuk melantik penyelesai diluluskan, syarikat hendaklah:

  • dalam tempoh tujuh hari menyerahkan kepada Pendaftar Syarikat sesalinan ketetapan (dalam Borang 11), dan
  • dalam tempoh 10 hari, memberikan notis mengenai ketetapan itu di dalam akhbar yang mempunyai edaran di seluruh Malaysia.

Kegagalan mematuhi kedua-dua peraturan ini akan memungkinkan dikenakan penalti RM 1000 penalti ingkar. Penyelesai hendaklah dalam tempoh 14 hari selepas perlantikannya menyerahkan kepada Pendaftar Syarikat dan kepada Pegawai Penerima (Official Receiver) suatu notis perlantikannya dan alamat pejabatnya dalam Borang 71: seksyen 280 (1). Kesalahan kerana mengingkarinya ialah RM 1000 dan penalti ingkar.

Pada tiap-tiap invois, pesanan barangan atau surat perniagaan atau urusan (yang dikeluarkan oleh atau bagi pihak syarikat atau penyelesai atau penerima atau pengurus) yang mana nama syarikat dicatatkan, ungkapan "dalam penggulungan" ("in liquidation") atau "dalam penggulungan sukarela" ("in voluntary liquidation") hendaklah dicatatkan di hujung atau di bawah nama syarikat yang sedia tercatat itu: seksyen 283. Penalti kerana keingkaran ialah RM 500.

Langkah kelima, penyelesai akan kemudiannya memaklumkan mengenai perlantikannya kepada juruaudit, peguamcara, penginsurans (jika ada), bank dan (bagi syarikat besar) pekerja, pembekal dan pelanggan. Penyelesai kemudiannya akan mengambilalih harta (dan memindahkan kepada namanya sebagai penyelesai), akaun bank, pelaburan dsb. Biasanya akaun semasa bank yang baru itu dibuka untuk memindahkan semua baki dalam semua akaun-akaun bank lain kepada akaun baru itu yang mana penyelesai itu akan menjadi penandatangannya. Penyelesai boleh dikehendaki untuk menunjukkan bukti perlantikannya (melalui Borang 11 - ketetapan, dan Borang 71).