ke laman utama syarikat.com kembali ke Kuliah Asas 1
 
 
Tanggungjawab mendedahkan maklumat korporat

Dengan memperbadankan sebuah syarikat, anda mendapat suatu keistimewaan yang tidak dapat anda perolehi daripada struktur perniagaan yang lain, iaitu liabiliti anda sebgai anggota syarikat adalah terhad. Terhad dalam erti kata bahawa tanggungan anda ke atas tanggungan syarikat adalah terhad kepada amaun syer pegangan anda yang belum berbayar sahaja. Biar betapa beratpun tanggungan syarikat, anda tidak menumpang bebannya. Asal saja anda membayar secara tunai berbayar penuh atas tiap-tiap syer yang anda pegangi, anda bebas daripada sebarang tanggungan! Walaupun begitu, keistimewaan yang anda perolehi dengan memperbadankan syarikat, terpaksa anda balasi dengan terpaksa pula mendedahkan maklumat korporat syarikat anda kepada awam. Undang-undang memberikan keistimewaan liabiliti terhad kepada syarikat dan dalam masa yang sama, sebagai imbangannya syarikat diehendaki pula untuk mendedahkan maklumat korporatnya kepada awam.

Kenapa perlunya syarikat mendedahkan maklumat korporatnya kepada awam? Pendedahan maklumat korporat adalah penting bagi melindungi kepentingan pelabur (yang terdiri daripada pemegang-pemegang syer dan pemegang-pemegang debentur), pemiutang, pekerja, pengguna dan orang awam. Kelima-lima kumpulan dalam 'masyarakat korporat' ini perlu dilindungi oleh undang-undang daripada tindak-tanduk syarikat yang akan memberikan kesan langsung atau tidak langsung kepada mereka. Apatah lagi dengan wujudnya pemusatan kawalan pengurusan di kalangan segelintir golongan pengurus yang dikenali sebagai pengarah-pengarah syarikat, satu-satunya cara terbaik yang dapat dilakukan oleh undang-undang ialah dengan mewajibkan syarikat mendedahkan maklumat korporatnya menurut kehendak Akta Syarikat 1965.

BENTUK-BENTUK PENDEDAHAN MAKLUMAT KORPORAT

Maklumat korporat syarikat didedahkan melalui tiga cara yang utama: melalui pejabat berdaftar atau Pejabat Pendaftar Syarikat atau dengan cara penerbitan nama pada dokumen urus niaga, atau peragaan nama syarikat di pejabat, pejabat berdaftar atau tempat syarikat menjalankan perniagaan.

Pendedahan di Pejabat Berdaftar

Syarikat anda perlu mendedahkan maklumat korporatnya dalam bentuk daftar dan dokumen-dokumen tertentu di pejabat berdaftarnya. Maklumat korporat syarikat anda yang tersimpan di pejabat berdaftar merupakan maklumat korporat yang asal, kerana hampir semua maklumat korporat syarikat anda bermula di sini. Walau bagaimanapun, pejabat berdaftar syarikat anda masih kurang berkesan sebagai ejen pendedahan maklumat korporat kerana akses atau keterbukaannnya kepada awam adalah terhad. Tidak semua orang awam dan tidak semua maklumat korporat syarikat yang boleh dirujuk di pejabat berdaftar.

Pendedahan di Pejabat Pendaftar Syarikat

Maklumat korporat yang asal diwujudkan dan disimpan di pejabat berdaftar didedahkan semula dalam bentuk penyata, dokumen, notis dan akaun di Pejabat Pendaftar Syarikat. Biarpun maklumat korporat yang tersimpan di sini adalah bersifat 'sekunder', tetapi maklumat berkenaan terbuka kepada semua orang awam. Semua orang berhak untuk menyemak maklumat korporat syarikat yang ada dengan dikenakan fee tertentu dan boleh juga memperoleh salinan dokumen syarikat serta lembaran maklumat korporat syarikat.

Penerbitan dan peragaan nama syarikat

Nama syarikat anda perlu dizahirkan pada semua bentuk dokumen syarikat. Nama syarikat anda juga perlu diperagakan di pejabat berdaftar dan pejabat-pejabat lain atau tempat perniagaan syarikat anda. Penzahiran nama syarikat pada dokumen dan tempat-tempat berkenaan merupakan satu bentuk pendedahan yang berkesan mengenai identiti dan aktiviti sesebuah syarikat kepada khalayak umum.

Prinsip Notis konstruktif

Pendedahan maklumat korporat dalam fail syarikat di Pejabat Pendaftar Syarikat adalah sejajar dengan prinsip 'notis konstruktif'. Mengikut prinsip ini, oleh kerana orang awam mempunyai peluang untuk memeriksa dokumen dalam fail syarikat di Pejabat Pendaftar Syarikat, maka undang-undang mengandaikan yang seseorang itu telah memeriksa fail syarikat dan tahu mengenai kandungannya sebelum seseorang itu berurusan dengan syarikat berkenaan, biarpun seseorang itu tidak pernah melihat atau memahaminya. Jika anda berurusan dengan sesebuah syarikat, undang-undang mengandaikan yang anda mengetahui mengenai maklumat korporat syarikat berkenaan yang terkini. Undang-undang telah mengandaikan yang anda telah memperoleh maklumat korporat syarikat berkenaan yang terkini daripada Pejabat Pendaftar Syarikat, walaupun anda tidak mengetahuinya, tidak memahaminya atau anda tidak pernah walau sekali pun memperolehinya. Prinsip notis konstruktif ini begitu penting jika anda berurusan dengan sesebuah syarikat, kerana anda sekurang-kurangnya perlu mengetahui mengenai keupayaan syarikat berkenaan untuk berkontrak, kuasa pengarah sebagai ejennya, daftar gadaiannya, kelulusan dan ketetapan mesyuarat agungnya. Anda juga perlu kepada maklumat korporat yang lain, seperti akaun syarikat dan anda barangkali juga perlu menyemak dokumen-dokumen am yang lainnya berkaiatan dengan sesebuah syarikat, walaupun maklumat-maklumat korporat berkenaan tidak termasuk dalam prinsip 'notis konstruktif'.

FUNGSI PEJABAT BERDAFTAR

'Pejabat Berdaftar' adalah 'rumah' bagi syarikat anda. Syarikat perlu mempunyai pejabat berdaftar di dalam Malaysia daripada tarikh syarikat memulakan perniagaan atau dalam tempoh 14 hari daripada tarikh pemerbadanannya. Pejabat berkenaan perlu sentiasa dibuka kepada orang awam sekurang-kurangnya tiga jam sehari pada waktu urusan biasa tiap-tiap hari, kecuali hari Sabtu, hari minggu dan cuti am.

Semasa pejabat berdaftar dibuka sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat perlu hazir di pejabat berdaftar. Jika beliau tiada, beliau perlu diganti oleh seorang ejen atau seorang setiausaha biasa yang mewakilinya.

Jika syarikat anda menukar pejabat berdaftar, notis mengenainya perlulah dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat. Perubahan atau pertukaran itu hanya akan berkuatkuasa pada tarikh notis berkenaan diserahkan kepada Pendaftar Syarikat.

Sesuatu dokumen boleh disampaikan kepada syarikat dengan meninggalkan atau menghantarnya dengan pos berdaftar kepada pejabat berdaftarnya tidak kira sama ada syarikat berkenaan menjalankan perniagaan di tempat itu atau tidak. Penyampaian di tempat menjalankan perniagaan yang lain atau pejabat berdaftar lamanya bukanlah satu penyampaian yang baik.

FUNGSI PEJABAT PENDAFTAR SYARIKAT

Jika anda seorang pengarah, pengurus, setiausaha syarikat atau jika anda adalah orang yang sering beruurusan dengan syarikat, anda tidak dapat mengelakkan diri daripada berurusan dengan Pendaftar Syarikat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Anda barangkali berurusan melalui setiausaha syarikat anda atau anda mungkin juga berurusan terus dengan pejabat berkenaan.

Pejabat Pendaftar Syarikat adalah salah satu bahagian di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pejabat ini diketuai oleh Pendaftar Syarikat dengan dibantu oleh Timbalan Pendaftar Sayrikat, Penolong Pendaftar Syarikat dan kakitangan yang lain. Apa-apa yang ditetapkan atau dibenarkan dilantik, diberikuasa atau yang perlu dilakukan atau ditandatangani oleh Pendaftar Syarikat sebagai mana yang diperuntukkan oleh Akta, boleh dilakukan atau ditandatangani oleh mana-mana Timbalan atau Penolong Pendaftar Syarikat dan adalah sama sah dan berkesannya seolah-olah dilakukan atau ditandatangani oleh Pendaftar Syarikat. Jika anda berurusan dengan mana-mana Timbalan atau Penolong Pendaftar Syarikat, anda tidak perlu syak mengenai apa-apa larangan atau batasan yang ditetapkan kepada mereka kerana tiap-tiap tindakan atau peninggalan mereka sejauh yang memberi kesan kepada seseorang itu adalah sah dan berkesan atau berkuatkuasa sama seperti jika ianya dilakukan atau ditinggalkan oleh Pendaftar Syarikat.

Maklumat korporat syarikat disimpan dan diurus di Pejabat Pendaftar Syarikat di Kuala Lumpur dan di Pejabat-pejabat Pendaftar Syarikat Cawangan di hampir semua ibu negeri. Walau bagaimanapun maklumat korporat syarikat yang disimpan di pejabat-pejabat cawangan berkenaan adalah terhad bagi syarikat-syarikat yang mempunyai pejabat berdaftar dalam lingkungan negeri berkaitan sahaja.

Fail syarikat dibuka sebaik sahaja diperbadankan dan dokumen-dokumen syarikat selepas pemerbadanan dikemaskinikan daripada masa ke semasa. Selain daripada disenggara dalam bentuk fail, maklumat korporat juga disenggara dalam bentuk mikrografi.

Jika anda berminat untuk memperolehi maklumat korporat syarikat, anda boleh memperolehnya dengan membayar fee yang ditetapkan. Antara lainnya, anda boleh mendapatkan maklumat korporat syarikat dalam beberapa bentuk. Pertamanya anda boleh memeriksa apa-apa dokumen yang diserahkan atau difailkan dengan Pendaftar Syarikat, melainkan dokumen yang telah dimusnahkan atau dihapuskan. Keduanya, mendapatkan perakuan pemerbadanan mana-mana syarikat atau perakuan lain yang dikeluarkan di bawah Akta. Ketiganya, mendapatkan salinan atau cabutan daripada mana-mana dokumen atau perakuan yang layak untuk diperiksa dan salinan yang diperakui benar oleh Pendaftar Syarikat.

Jika transparensi sesuatu dokumen atau perakuan telah dikeluarkan untuk pemeriksaan kepada anda, anda tidak boleh lagi mendapatkan salinan asal dokumen atau perakuan bekenaan. Suatu salinan atau cabutan daripada mana-mana dokumen yang diserahkan atau difailkan kepada Pendaftar Syarikat yang telah diperakui benar oleh beliau adalah sama sahnya dengan dokumen asalnya.

Tidak semua dokumen syarikat yang anda hajati boleh anda perolehi untuk disemak di Pejabat Pendaftar Syarikat kerana sebahagiannya mungkin telah dimusnahkan menurut seksyen 11(11). Dokumen-dokumen berikut mungkin telah dimusnahkan oleh Pendaftar Syarikat:

  • penyata penguntukan syer secara tunai yang telah diserahkan atau difailkan selama enam tahun atau lebih
  • penyata tahunan atau kunci kira-kira yang telah diserahkan atau difailkan selama tujuh tahun atau lebih
  • dokumen gadaian yang mana memorandum penyelesaian gadaiannya telah didaftarkan selama tujuh tahun atau lebih
  • dokumen-dokumen lain (yang selain daripada Memorandum atau Perkara-perkara Persatuan atau dokumen-dokumen lain yang menyentuhnya) yang telah diserahkan, difailkan atau didaftarkan selama lima belas tahun atau lebih.
  • dokumen syarikat yang telah dibubar atau dikensel daripada daftar selama lima belas tahun atau lebih.

Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan kekal disimpan oleh Pejabat Pendaftar Syarikat selama syarikat masih belum dibubar atau dikensel daripada daftar sehungga lima belas tahun selepas dibubar atau dikensel daripada daftar.

DAFTAR-DAFTAR SYARIKAT

Undang-undang menghendaki supaya syarikat menyenggara daftar-daftar yang berikut:

  • daftar anggota-anggota
  • daftar pemegang syer substansial
  • daftar pemegang debentur
  • daftar pemegang kepentingan
  • daftar pengarah, pengurus dan setiausaha
  • daftar pemegangan syer pengarah
  • daftar gadaian

Tidak semua syarikat perlu menyenggara kesemua daftar di atas. Misalnya, 'syarikat sendirian berhad' tidak perlu menyenggara daftar pemegang syer substansial. Begitu juga dengan lain-lain daftar yang hanya perlu disenggarakan jika syarikat perkara-perkara yang berkaitan dengan daftar berkenaan melibatkan syarikat anda. Walau bagaimanapun, yang pasti, syarikat anda mestilah sekurang-kurangnya menyenggara daftar anggota dan daftar pengarah, pengurus dan setiausaha.

Undang-undang tidak menetapkan mengenai bentuk khusus sesuatu daftar. Daftar boleh berbentuk buku berjilid atau dalam lain-lain bentuk yang bersifat kekal atau dalam bentuk sistem komputer yang boleh dikeluarkan semula dalam bentuk yang kekal.

PENDAFTARAN DOKUMEN BERKANUN

Ada dua kategori dokumen yang perlu dizahirkan oleh syarikat dengan menyerahkannya dalam bentuk penyata, dokumen dan notis kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh tertentu selepas berlakunya peristiwa korporat yang dikehendaki oleh Akta:

  • penyata, dokumen atau notis mengenai peristiwa korporat yang berlaku pada satu-satu masa
  • Penyata Tahunan yang dibuat secara tahunan yang mengandungi maklumat korporat yang penting pada kedudukan termuatkhir pada tarikh tertentu

Semua bentuk penyata, dokumen atau notis itu adalah suatu replika daripada rekod asal di dalam daftar atau dokumen lain di pejabat berdaftar. Penyata, dokumen atau notis berkenaan perlu mengambil bentuk dan gaya yang ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Syarikat 1966 (Peraturan 3). Gaya persembahan sesuatu penyata, dokumen atau notis perlu mematuhi peraturan 6(1), Peraturan-peraturan Syarikat 1966.

Selain daripada itu penyata, dokumen atau notis akan ditolak daripada didaftarkan oleh Pendaftar Syarikat jika:

  • mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang
  • mengandungi perkara-perkara yang palsu atau mengelirukan
  • mempunyai apa-apa peninggalan atau salah gambaran
  • tidak mematuhi kehendak Akta
  • mengandungi ralat, pengubahan atau padaman

Penyata, dokumen atau notis yang tidak lengkap seperti yang tersebut akan ditolak oleh Pendaftar Syarikat dengan memohon syarikat atau orang yang bagi pihak syarikat yang menyerahkannya supaya:

  • dipinda, dipenuhi dan difailkan semula
  • dokumen baru difailkan semula sebagai gantinya
  • disertakan dengan dokumen yang lengkap sebagai pelengkapnya

Pendaftar Syarikat juga boleh menghendaki supaya diserahkan kepadanya dokumen tertentu atau maklumat tertentu yang pada pendapatnya sama ada untuk menolak atau mendaftar sesuatu dokumen.

Mahkamah atau Mahkamah Sesyen boleh membuat perintah arahan bagi menguatkuasakan kewajipan untuk menyediakan (termasuk menyerahkan atau 'menfailkan', meminda atau menyempurnakan dan menfailkan semula) penyata, dokumen dan notis jika selepas 14 hari daripada tarikh penerimaan notis mengenainya daripada Pendaftar Syarikat seseorang atau sesebuah perbadanan itu gagal melaksanakannya. Mahkamah atau Mahkamah Sesyen boleh membuat perintah arahan supaya melaksanakannya atas permohonan mana-mana anggota atau pemiutang perbadanan itu atau Pendaftar Syarikat atau Pegawai Penerima. Perintah itu boleh memperuntukkan bahawa semua kos berkaitan dengan permohonan itu tertanggung kepada perbadanan atau pegawainya atau orang berkenaan.

Jika Memorandum, Perkara-perkara Persatuan atau dokumen-dokumen lain yang telah diserahkan atau difailkan kepada Pendaftar Syarikat hilang atau musnah, syarikat berkenaan boleh memohon kebenaran untuk menyerahkan sesalinan dokumen itu semula, sama seperti yang asalnya. Pendaftar Syarikat kemudiannya boleh mengeluarkan notis kepada orang berkenaan dengan cara yang difikirkan patut. Pendaftar Syarikat boleh melalui notis bertulis mengarahkan supaya diserahkan semula dokumen berkenaan dalam dalam tempoh 14 hari atau dalam tempoh yang lebih lama yang dibenarkan olehnya. Jika Pendaftar Syarikat berpuas hati atau mempunyai sebab untuk untuk mempercayai bahawa kehilangan, kemusnahan, ketepatan salinan dkumen itu sendiri, maka beliau akan memperakukannya dan mengarahkannya diserahkan semula. Sebaik sahaja diserahkan, daripada tarikh yang dinyatakan dalam perakuan itu sebagai tarikh serahan atau penfailan, dokumen berkenaan berkuatkuasa dan efektif seperti yang asalnya.

Mahkamah boleh, dengan perintah selepas menerima permohonan daripada mana-mana orang yang terkilan dan selepas notis kepada mana-mana orang lain yang Mahkamah arahkan, sahkan, ubahkan atau batlkan perakuan itu dan perintah itu boleh diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dan hendaklah didaftarkan olehnya. Walau bagaimanapun semua bayaran, kontrak, urusan, tindakan, dan sesuatu yang dilakukan dengan suci hati sebelum pendaftaran perintah itu dan dengan ketergantungan kepada dan kepercayaan mengenai perakuan itu akan menjadi sah dan berkuatkuasa walaupun dengan pengubahan atau pemabatalan itu. Tidak ada fee yang dikenakan kerana menyerahkan dokumen berkenaan. Keingkaran dalam mematuhi arahan Pendaftar Syarikat berkenaan adalah suatu kesalahan ke atas syarikat dan pegawainya.

PENERBITAN DAN PERAGAAN NAMA SYARIKAT

Nama syarikat anda hendaklah terdapat dalam huruf rumi yang mudah dibaca pada meterainya, segala surat perniagaan, penyata akaun, invois, notis rasmi, penerbitan, bil pertukaran, nota janji hutang, pengendorsan, cek, pesanan, resit dan surat kredit bagi atau yang berupa sebagai dikeluarkan atau ditandatangani oleh atau bagi pihak syarikat. Keingkaran pada mematuhinya adalah satu kesalahan.

Jika syarikat anda telah bertukar nama, nama yang dahulu hendaklah juga terdapat di bawah nama sekarang pada semua dokumen, surat perniagaan, penyata akaun, invois, notis rasmi, penerbitan, bil pertukaran, nota janji hutang, pengendorsan, cek, pesanan, resit, dan surat kredit, bagi, atau yang berupa sebagai dikeluarkan atau ditandatangani oleh atau bagi pihak, syarikat itu selama suatu tempoh yang tidak kurang daripada dua belas bulan daripada tarikh petukaran itu.

Jika seseorang pegawai syarikat atau mana-mana orang bagi pihak syarikat itu:

  • menggunakan atau membenarkan penggunaan apa-apa meterai yang berupa sebagai meterai syarikat yang pada padanya namanya tidak terdapat sedemikian
  • menandatangani, mengeluarkan atau membenarkan ditandatangani dan dikeluarkan bagi pihak syarikat apa-apa bil pertukaran, nota janji hutang, cek atau surat cara boleh niaga lain atau apa-apa pengendorsan, pesanan, resit atau surat kredit yang nama syarikat dan nama syarikat itu yang dahulu, jika berkaitan, tidak disebutkan
  • mengeluarkan atau membenarkan dikeluarkan apa-apa penyata akaun, invois atau notis rasmi atau penerbitan yang nama syarikat dan nama syarikat itu yang dahulu jika berkaitan tidak disebutkan maka pegawai syarikat itu atau mana-mana orang bagi pihak syarikat adalah bukan sahaja melakukan kesalahan tetapi juga bertanggungan kepada pemegang surat cara atau pesanan itu kepada amaun yang kena dibayar jika syarikat tidak membayarnya

Tiap-tiap syarikat hendaklah mengecat atau meletakkan, dan memastikan dicat atau diletakkan, namanya di tempat yang mudah kelihatan di bahagian luar tiap-tiap pejabat atau tempat di mana peniagaan dijalankan. Bagi pejabat berdaftar pula perkataan "Pejabat Yang Didaftarkan" juga hendaklah dicat atau diletakkan atau memastikan dicat atau diletakkan di luar pejabat berdaftar berkenaan. Keingkaran pada mematuhinya adalah merupakan satu kesalahan.

PENYATA TAHUNAN DAN AKAUN SYARIKAT

Penyata Tahunan

Tiap-tiap syarikat perlu menyerahkan 'Penyata Tahunan' yang telah ditandatangani oleh pengarah, pengurus atau setiausaha syarikat kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh sebulan daripada mesyuarat agung tahunannya. Maklumat-maklumat yang perlu ada dalam Penyata Tahunan ditetapkan dalam Jadual Ke-8. Syarikat anda juga dikehendaki melampirkan sesalinan kunci kira-kira teraudit dan akaun keuntungan dan kerugian. Jika syarikat anda adalah daripada jenis 'syarikat yang terkecuali', syarikat anda dikecualikan daripada berbuat demikian. Butir-butir mengenai pengarah, pengurus dan setiausaha yang memegang jawatan sehingga ke tarikh Penyata Tahunan dibuat juga perlu dimasukkan bersama-sama dalamnya.

Akaun

Syarikat anda juga dikehendaki supaya menyenggara akaun yang lengkap dan menyediakan kunci kira-kira dan akaun keuntungan dan kerugian yang telah diaudit tiap-tiap tahun. Tiap-tiap syarikat perlu menyimpan rekod perakaunan dan rekod lain yang perlu bagi menjelaskan transaksi dan kedudukan kewangannya dan menyediakan suatu kunci kira-kira dan akaun keuntungan dan kerugian. Tanggungjawab ini ditujukan khusus kepada pengarah-pengarah syarikat secara individu. Rekod perakaunan perlu disimpan selama tujuh tahun selepas penamatan sesuatu transaksi atau operasi yang berkaitan.

Rekod perakaunan perlu disimpan di pejabat berdaftar atau mana-mana tempat lain yang difikirkan patut oleh pengarah-pengarah. Jika disimpan di luar Malaysia, penyata mengenainya perlu dihantar dan disimpan di suatu tempat dalam Malaysia. Penyata itu hendaklah dalam bentuk dan kandungan yang membolehkan kunci kira-kira dan akaun keuntungan dan kerugian boleh disediakan dan hendaklah pada setiap masa terbuka untuk pemeriksaan oleh pengarah-pengarah.

Rekod perakaunan hendaklah terbuka untuk pemeriksaan oleh mana-mana pengarah atau [jika perintah mahkamah diperolehi] mana-mana juruaudit yang bertindak bagi pihak pengarah. Hak untuk memeriksa boleh dikutkuasakan hanya oleh penngarah. Bekas pengarah tidak mempunyai hak berkenaan. Apa-apa perintah mahkamah yang memberikuasa kepada seseorang juruaudit untuk memeriksa rekod berkenaan bagi pihak seseorang pengarah akan menjadi tidak berkuatkuasa selepas penyingkiran pengarah.

Pada tiap-tiap mesyuarat agung tahunan syarikat, pengarah-pengarah hendaklah membentangkan di hadapan mesyuarat itu suatu akaun keuntungan dan kerugian yang dibuat sehingga ke suatu tarikh yang tidak melebihi enam bulan sebelum tarikh mesyuarat itu. Kunci kira-kira yang dibuat sehingga ke suatu tarikh yang sama juga perlu dibentangkan di hadapan mesyuarat pada masa yang sama. Kedua-duanya perlu diaudit terlebih dahulu.

Bentuk sesuatu akaun syarikat ditetapkan dalam Jadual ke-9. Kunci kira-kira dan akaun keuntungan dan keerugian mestilah memberikan gambaran benar dan saksama mengenai hal-ehwal kewangan syarikat dan keuntungan atau kerugian syarikat dalam tempoh perakaunan tertentu. Akaun perlu diserahkan bersama-sama dengan:

  • laporan pengarah yang dibuat mengikut ketetapan pengarah dan ditandatangani oleh sekurang-kurangnya dua daripada mereka yang melaporkan mengenai keuntungan dan kerugian syarikat pada penghujung tahun kewangan
  • pernyataan yang ditandatangani oleh dua orang pengarah bagi pihak pengarah-pengarah lain yang menyatakan sama ada akaun keuntungan dan kerugian dan kunci kira-kira menunjukkan gambaran benar dan saksama perniagaan dan kewangan syarikat dan sama ada wujudnya asas untuk mempercayai bahawa syarikat boleh membayar hutangnya bila ianya kena dibayar
  • laporan juruaudit ke atas akaun syarikat

Terma 'gambaran benar dan saksama' barangkali boleh ditafsirkan sebagai akaun tidaklah boleh mengelirukan. Pengarah-pengarah perlu untuk mengambil langkah-langkah yang munasabah bagi memastikan peruntukan Akta mengenai akaun dipatuhi. Jika akaun tidak menunjukkan gambaran benar dan saksama mengenai hal-ehwal syarikat, pengarah-pengarah adalah bertanggungan dan boleh didakwa.

Sesalinan akaun syarikat perlu dikirimkan kepada semua orang yang layak menerima notis mesyuarat agung sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat di mana akaun dibentangkan di hadapan anggota-anggota. Mana-mana anggota syarikat atau pemegang debentur boleh memohon sesalinan akaun, yang perlu dibekalkan dengan percuma oleh syarikat.

RUJUKAN

A. AKTA SYARIKAT 1965

Seksyen 4.

Seksyen 5B.

Seksyen 6A.

Seksyen 69B (2).

Seksyen 69C (2).

Seksyen 69D (1), (2).

Seksyen 69E (1), (2)(b).

Seksyen 69F (2).

Seksyen 69G (2).

Seksyen 69H.

Seksyen 69L (1), (2).

Seksyen 69M.

Seksyen 69N (1).

Seksyen 69O (1), (2), (3), (4), (6)(b), (7).

Seksyen 70 (1), (3), (5).

Seksyen 84 (1).

Seksyen 92 (2).

Seksyen 103 (2).

Seksyen 111.

Seksyen 115 (2), (3).

Seksyen 118.

Seksyen 119 (1).

Seksyen 120 (1).

Seksyen 123 (1).

Seksyen 134 (1), (8), (9), (11), (13).

Seksyen 135 (1)(a)(b)(c).

Seksyen 139 (3).

Seksyen 141 (1), (2), (5), (6), (9).

Seksyen 143 (1).

Seksyen 158 (1), (5).

Seksyen 159 (1)(a)(b).

Seksyen 160 (1), (2), (3).

Seksyen 162 (2)(a).

Seksyen 163 (1), (4).

Seksyen 164 (1), (4).

Seksyen 165 (4), (5), (6).

Seksyen 166.

Seksyen 167 (1), (2), (3), (4), (6).

Seksyen 169 (1), (3), (4), (5), (14), (15).

Seksyen 170 (1), (2).

Seksyen 173 (8).

Seksyen 174 (6).

Seksyen 171 (1).

Seksyen 350.

Seksyen 358 (1).

B. SENARAI KES MAHKAMAH

Summit Company (M) Sdn Bhd lwn Nokko Products (M) Sdn Bhd (1985)

1 MLJ 68.

Sabatier lwn The Trading Company (1927) 1 Ch 495, 507.

Pac Asian Services Pte Ltd lwn European Asian Bank A/G (tidak dilaporkan), Rayuan Sivil No 27 tahun 1986, Mahkamah Rayuan Singapura.

PT Pelajaran Nasional Indonesia lwn Joo Seang & Co Ltd (1958) MLJ 113.

Leong Sun Wing lwn Wah Hup Engineering Works Sdn Bhd, Saman Pemula C166/84 (tidak dilaporkan) Mahkamah Tinggi Malaysia.

Haw Par Brothers (Pte) Ltd lwn Dato Aw Kow (1973) 2 MLJ 169.

Richard Charles Tarling lwn PP (1981) 1 MLJ 173.