Tanggapan umum mengenai
'syarikat' Apa
itu syarikat? Jika soalan ini ditujukan kepada umum,
secara rambangnya anda pasti boleh membuat kesimpulan
awal bahawa kebanyakan orang menganggap syarikat itu
sebagai, apa sahaja bentuk struktur perniagaan yang
dianggotai atau diusahakan oleh dua atau lebih orang yang
bermuafakat untuk menjalankan perniagaan bagi memperoleh
keuntungan. Sememangnya tanggapan demikian tepat sekali
jika dilihat daripada makna perkataan
syarikat itu sendiri. Walau bagaimanapun
tanggapan itu adalah tidak selari dengan sudut pandangan
undang-undang, kerana undang-undang tidak menganggap
sesuatu pemuafakatan perniagaan oleh dua orang atau lebih
itu secara mutlaknya boleh terus dianggap sebagai
syarikat. Perkongsian juga adalah satu bentuk
pemuafakatan dua atau lebih orang yang membentuk sesuatu
firma perniagaan tetapi tidak dianggap oleh undang-undang
sebagai syarikat. Sebenarnya yang mencirikan sesebuah
struktur perniagaan itu sebagai sebuah
syarikat bukanlah kerana bilangan anggota
yang membentuknya, tetapi kerana kewujudannya
sebagai suatu entiti dan
mekanismenya.
Konsep
'orang' di sisi undang-undang
Undang-undang merujuk
'syarikat' sebagai 'orang. Bukan 'orang biasa' seperti
manusia, tetapi adalah 'orang buatan' atau lebih tepat
lagi, 'orang buatan undang-undang'. Mengapa undang-undang
menganggap syarikat sebagai 'orang'? Apakah yang
dimaksudkan dengan 'orang'? 'Orang' di sisi undang-undang
mempunyai dua ciri utama: mempunyai hak untuk bertindak,
dan mempunyai hak untuk memiliki harta.
Sesiapa sahaja yang
mempunyai kedua-dua ciri itu, sama ada 'dia' seorang
'manusia biasa' atau sebuah 'persatuan yang
diperbadankan', undang-undang menganggapnya sebagai
'orang'. Dalam zaman mutakhir ini, barangkali semua
manusia mempunyai kedua-dua ciri tersebut. Kita sebagai
manusia mempunyai hak untuk bertindak di sisi
undang-undang untuk mempertahankan hak kita, dan boleh
juga diambil tindakan oleh orang lain atas perkara yang
sama. Kita juga mempunyai hak untuk memiliki harta
sekiranya kita mampu. Barangkali di zaman dahulu, ada
manusia yang tidak boleh dianggap sebagai 'orang', iaitu
hamba abdi! Seorang hamba abdi tidak mempunyai kedua-dua
ciri tersebut; tidak boleh bertindak dan tidak boleh
memiliki harta atas namanya sendiri.
Syarikat
sebagai 'orang buatan undang-undang'
Syarikat sememangnya
mempunyai hak untuk bertindak dan hak untuk memiliki
harta ataas namanya sendiri. Syarikat boleh bertindak
untuk menguatkuasakan haknya, dan dalam masa yang sama
boleh diambil tindakan oleh orang lain yang
mempertahankan hak mereka dalam hubungan mereka dengan
syarikat, dengan mengambil tindakan unadng-undang ke atas
syarikat. Syarikat juga boleh memmiliki harta atas nama
syarikat sendiri. Jika syarikat misalnya memiliki
sekeping tanah, tanah berkenaan adalah dimiliki atas nama
syarikat sendiri, bukannya atas nama pemegang-pemegang
syer, pengarah-pengarah atau sesiapa sahaja yang
mempunyai hubungan atau kepentingan dengan syarikat.
Biarpun anda 'memiliki' keseluruhan syer dalam syarikat,
tanah berkenaan misalnya, bukanlah tanah anda, tetapi
sebaliknya adalah kepunyaan syarikat.
Peruntukan
seksyen 16(5) mengenai konsep 'syarikat'
Barangkali konsep syarikat
akan lebih terjelas dengan meneliti peruntukan seksyen
16(5) seperti yang berikut:
"Pada dan mulai
dari tarikh pemerbadanan yang dinyatakan dalam
perakuan pemerbadanan itu, tetapi tertakluk kepada Akta
ini (Akta Syarikat 1965 -p), penandatangan-penandatangan
memorandum (Memorandum Persatuan -p) besama-sama
dengan mana-mana orang lain yang akan, dari masa ke
semasa, menjadi anggota syarikat itu hendaklah
menjadi suatu pertubuhan perbadanan (badan
korporat -p) dengan nama yang terkandung dalam
memorandum itu, yang boleh serta-merta menjalankan
segala fungsi sesuatu syarikat yang diperbadankan,
dan yang boleh mendakwa dan didakwa, dan yang kekal
turun-temurun dan mempunyai meterai biasa
dengan kuasa untuk memegangmilik tanah (termasuk
harta -p) tetapi dengan apa-apa liabiliti di
pihak anggota-anggota itu untuk menyumbangkan kepada
aset-aset syarikat sekiranya ia digulung
sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta ini."
Tabir
pemerbadanan
Syarikat adalah suatu
entiti undang-undang. Apakah yang dimaksudkan dengan
entiti? Pada amnya sesuatu itu dianggap
sebagai mempunyai entiti jika ianya wujud
secara sendiri, berasingan daripada orang yang
membentuknya, mengurusnya dan menganggotainya.
Syarikat adalah suatu entiti yang wujud secara sendiri
dan berasingan daripada penaja-penaja yang membentuknya,
pengarah-pengarah yang mengurusnya, dan pemegang-pemegang
syer yang menganggotainya. Apabila sesebuah syarikat
diperbadankan, seolah-olah suatu tabir direntang, yang
mengasingkan di antara syarikat dengan penaja-penaja,
pengarah-pengarah, pemegang-pemegang syer dan sesiapa
sahaja yang berkepentingan dalamnya. Tabir itu mewujudkan
suatu 'entiti'. Suatu 'entiti undang-undang yang
berasingan'!
Menyingkap
tabir pemerbadanan
Apakah sesebuah syarikat
itu dianggap sebagai mempunyai 'entiti undang-undang yang
berasingan' dalam semua hal-keadaan? Apakah 'tabir
pemerbadanan' itu benar-benar kebal? Jawapannya tentulah
tidak! Jika dalam semua hal-keadaan, syarikat dianggap
sebagai berasingan, pastinya prinsip 'entiti
undang-undang yang berasingan' itu akan dipergunakan oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan
sendiri dan mengeruhkan senario sektor korporat. Kes-kes
mahkamah , baik di luar negera mahu pun di negara kita
sendiri telah menjadi bukti betapa prinsip itu telah
disalahgunakan. Dengan yang demikian, dalam beberapa hal
keadaan, undang-undang telah 'menyingkap tabir
pemerbadanan' dan melihat realiti di sebalik personaliti
korporat setiap syarikat dan mengenal pasti
anggota-anggotanya secara individu atau
pengarah-pengarahnya daripada syarikat atau menafikan
terus 'personaliti berasingan' syarikat, misalnya dengan
mengganggap syarikat-syarikat dalam 'syarikat kumpulan'
sebagai satu entiti sahaja.
Beberapa peruntukan
tertentu dalam Akta dan Akta Cukai Pendapatan
1967 telah menyingkap tabir pemerbadanan, dalam
beberapa hal keadaan yang berikut:
Pertamanya, apabila
bilangan anggota syarikat menjadi kurang daripada dua
orang (kecuali syarikat subsidiari kepunyaan keseluruhan)
selama enam bulan atau lebih. Mana-mana anggota yang
menyedarinya adalah bertanggungan untuk membayar semua
hutang syarikat yang dikontrakkan selepas tarikh
tersebut.
Keduanya, semasa di
ambang pembubaran, jika kelihatan bahawa perniagaan
syarikat dijalankan dengan niat untuk memfraud pemiutang
atau untuk tujuan fraud yang lain, mahkamah boleh, dengan
permohonan pelikuidasi, mengisytiharkan bahawa mana-mana
orang yang secara disedarinya melakukan fraud berkaitan,
adalah bertanggungan untuk membuat sumbangan (jika ada)
kepada aset syarikat sebagai mana yang difikirkan patut
oleh mahkamah.
Ketiganya, semasa
di ambang pembubaran, jika kelihatan bahawa
pegawai-pegawai syarikat merupakan pihak yang berkontrak
dalam hutang syarikat sedangkan mereka mengetahui yang
syarikat tidak mungkin mampu membayarnya, mahkamah boleh
mengisytiharkan pegawai yang terlibat untuk bertanggungan
membayar kesemua atau sebahagian daripada hutang
tersebut.
Keempatnya, apabila
seseorang pegawai syarikat menandatangani atau
membenarkan supaya ditandantangani bagi pihak syarikat
apa-apa bil pertukaran, nota janji hutang, cek atau
pesanan barangan atau wang, dan nama syarikat tidak
dinyatakan dalam huruf yang mudah dibaca atau tidak
dinyatakan dengan lengkap, maka pegawai berkenaan adalah
melakukan kesalahan dan bertanggungan kepada pemegang
dokumen yang tersebut jika syarikat mungkir. Misalnya,
jika nama syarikat tidak mempunyai perkataan 'berhad'
sebagai sebahagian daripada namanya.
Kelimanya,
pengarah-pengarah yang membenarkan pembayaran dividen
sedangkan syarikat tidak membuat keuntungan, akan
bertanggungan kepada pemiutang hutang syarikat setakat
amaun dividen yang melebihi keuntungan berkaitan.
Keenamnya, apabila
syarikat adalah berkaitan di antara satu sama lain dan
membentuk suatu 'syarikat kumpulan', maka undang-undang
dalam hal-keadaan tertentu menganggap syarikat-syarikat
dalam kumpulan berkenaan sebagai 'satu entiti' dan
bukannya sebagai 'entiti yang berasingan'.
Ketujuhnya, Akta Cukai
Pendapatan 1967 menyingkap tabir pemerbadanan
sesebuah syarikat apabila 'personaliti korporat'
digunakan untuk mengelakkan daripada membayar cukai atau
mengelakkan daripada menanggung liabiliti berkaitan
dengan pemabayaran cukai.
Selain daripada campur
tangan statut, terdapat beberapa kes mahkamah yang
membentangkan hal keadaan yang mana tabir pemerbadanan
disingkap, antara lainnya sebagai yang berikut:
Pertamnya, apabila
mahkamah ingin memastikan sesebuah syarikat itu
diperalatkan oleh syarikat lain.
Keduanya, apabila
syarikat membeli syernya sendiri dalam suatu cadangan
pengambilalihan.
Ketiganya, apabila
syarikat induk mengelakkan daripada membayar gaji pekerja
syarikat subsidiarinya yang sepatutnya dibayar olehnya.
Keempatnya, apabila
syarikat diperbadankan dan didaftarkan untuk tujuan
fraud.
Kelimanya, apabila
syarikat digunakan sebagai 'selubung' untuk melindungi
pengarah-pengarah atau pemegang syernya daripada memenuhi
sesuatu kontrak penjualan.
Keenamnya, apabila
syarikat diperalatkan untuk mengelakkan seseorang
daripada didakwa menjadi pesaing kepada syarikat yang dia
menjadi pengarah.
Ketujuhnya,
syarikat bersekutu dianggap sebagai entiti ekonomi yang
tunggal.
Kelapannya, dalam
hal keadaan tertentu, 'pemunya baru' sesebuah syarikat
dianggap sebagai bersekutu dengan 'syarikat yang
dipunyainya'.
Kesembilannya,
apabila terbukti yang sesebuah syarikat subsidiari
bertindak sebagai ejen syarikat induknya.
Kesepuluhnya,
apabila mahkamah perlu menentukan pemunya sebenar sesuatu
aset yang telah ditukarkan pemilikannya kepada syarikat
untuk tujuan yang fraud atau lain-lain tujuan yang
menyalahi undang-undang.
KEJENISAN
SYARIKAT
Ciri-ciri
umum syarikat megikut jenis
Sebelum mengambil
keputusan untuk memperbadankan sesebuah syarikat, anda
perlu terlebih dahulu memutuskan jenis syarikat yang
bakal dibentuk. Ini kerana setiap jenis itu mempunyai
beberapa ciri yang berbeza dan boleh dimanfaatkan untuk
tujuan yang berbeza.
Anda perlu memilih di
antara syarikat berhad atau syarikat tidak berhad.
Kelemahan utama syarikat tidak berhad ialah,
anggota-anggotanya adalah 'bertanggungan sendiri' ke atas
hutang syarikat dan oleh itu kurang sesuai dipilih
sebagai struktur perniagaan untuk tujuan menjalankan
perniagaan. Tetapi jika syarikat yang dicadangkan untuk
diperbadankan itu bertujuan untuk memegang hak milik
tanah atau pelaburan, status liabiliti tidak
terhad itu tidaklah penting, sebaliknya memberi
beberapa kebaikan seperti boleh memulangkan modal syer
kepada anggota-anggota dan tidak perlu mendedahkan
kedudukan kewangan syarikat kepada awam. Dengan ketiadaan
liabiliti terhad juga, syarikat boleh diterima oleh pihak
tertentu yang berurusan dengan syarikat.
Jika anda memilih syarikat
berhad, anda sekali lagi perlu memilih sama ada untuk
membentuk 'syarikat yang terhad mengikut jaminan' atau 'yang
terhad mengikut syer'. Jika syarikat yang akan anda
bentuk itu bercadang untuk beroperasi bukan dengan tujuan
memperoleh keuntungan, syarikat yang terhad mengikut
jaminanlah yang paling sesuai. Syarikat yang terhad
mengikut syer paling sesuai jika anda bercadang untuk
membentuk syarikat yang akan menjalankan perniagaan
dengan bermotifkan keuntungan.
Sama ada syarikat yang
anda pilih berasaskan kriteria berhad atau tidak berhad,
sama ada yang 'bermodal syer' atau yang tidak
bermodal syer, anda mempunyai dua pilihan lagi, sama ada
anda ingin membentuk syarikat persendirian atau awam.
Kedua-dua jenis perniagaan ini memenuhi tujuan ekonomi
yang berbeza. 'Syarikat awam' bertujuan untuk mengumpul
modal daripada orang awam untuk menjalankan
perniagaannya. Syarikat persendirian pula kebanyakannya
cuma untuk mendapatkan taraf 'personaliti undang-undang'
yang berasingan ke atas perniagaan yang dijalankan. Jika
anda memilih untuk membentuk syarikat awam sekalipun,
adalah lebih baik bagi anda untuk memperbadankan syarikat
persendirian terlebih dahulu dan kemudiannya menukarkan
statusnya kepada syarikat awam. Cara begini lebih banyak
memberikan kebaikan dengan memudahkan beberapa prosedur
pendaftaran.
Daripada berbagai jenis
syarikat yang tersebut di atas, lebih kurang 98% daripada
jumlah syarikat di Malaysia yang pada masa ini berjumlah
lebih kurang 310,000 buah, adalah terdiri daripada
syarikat yang terhad mengikut syer daripada jenis
persendirian. Syarikat yang paling dominan ini sering
dirujuk sebagai 'Syarikat Sendirian Berhad'.
Syarikat
Sendirian Berhad
Pengertian
syarikat sendirian berhad
Jika anda merujuk Akta
Syarikat 1965, anda tidak akan temui suatu jenis
syarikat yang dinamai sedemikian. Sebenarnya syarikat
berkenaan, mengikut istilah undang-undang dikenali
sebagai 'syarikat persendirian yang terhad mengikut syer'.
Barangkali kerana undang-undang menghendaki supaya
syarikat daripada jenis ini dinamai dengan nama yang
mesti mengandungi perkataan 'Sendirian Berhad' atau
singkatannya 'Sdn. Bhd.' atau 'Sendirian
Bhd.' atau 'Sdn. Berhad', orang memilih untuk lebih
serasi menamakannya sebagai 'Syarikat Sendirian Berhad'.
Ciri-ciri
syarikat sendirian berhad
Selain daripada mempunyai
ciri-ciri liabiliti terhad dan bermodal syer, Syarikat
Sendirian Berhad mempunyai beberapa ciri khusus yang
membezakannya (dan sekaligus mempopularkannya) daripada
jenis syarikat yang lain.
1.
Batasan pindahmilik syer
Syarikat tidak boleh bebas
memindah milik syernya. Biasanya sekatan
kebebasan ini dibuat dalam dua bentuk, iaitu dengan
memberikan hak membeli dahulu kepada
anggota syarikat yang sedia ada sebelum syer boleh
dipindah milik kepada orang luar yang masih belum menjadi
anggotanya. Sekatan pindah milik syer juga ada
kalanya dibuat dengan memperuntukkan di dalam Memorandum
atau Perkara-perkara Persatuan bahawa pindah milik hanya
boleh dibuat dengan kelulusan lembaga pengarah.
2.
Batasan bilangan anggota.
Bilangan anggota syarikat
tidak boleh melebihi 50 orang. Bagi tujuan menentukan
bilangan anggota syarikat, syer yang dipegang secara
bersesama oleh dua orang atau lebih dianggap sebagai
dipegang oleh seorang sahaja. Begitu juga pekerja
syarikat atau subsidiarinya yang menjadi anggota tidak
dihitung dalam menentukan had bilangan
anggota-anggotanya.
3.
Larangan pelawaan awam mendeposit wang dan memohon beli
syer dan debentur.
Syarikat dilarang daripada
'memungut wang' daripada orang awam dengan
'mempelawa orang awam' untuk 'memohon beli syer'
atau debentur syarikat atau mempelawa mereka mendeposit
wang dengan syarikat.
Ciri-ciri yang
dibentangkan di atas menunjukkan bahawa Syarikat
Sendirian Berhad lebih bersifat tertutup dan
terhad kepada perkongsian perniagaan berbentuk keluarga,
rakan-rakan terdekat atau dalam bentuk usaha sama yang
terhad.
Kejenisan
syarikat sendirian berhad
Sesebuah Syarikat
Sendirian Berhad boleh merupakan 'Syarikat
Persendirian Terkecuali atau Syarikat
Persendirian Yang Tidak Terkecuali. Syarikat
Persendirian Terkecuali ialah sebuah syarikat
persendirian yang anggota-anggotanya bukan sebuah
perbadanan. Semua anggotanya terdiri daripada orang
biasa, tidak ada syarikat (atau perbadanan)
menganggotainya. Jumlah anggotanya pula tidak boleh
melebihi 20 orang. Paling istimewa, syarikat ini,
walaupun masih perlu menyediakan akaun tetapi tidak perlu
mendedahkannya kepada awam atau tidak perlu
menyerahkannya kepada Pendaftar Syarikat,
menjadikan maklumat kedudukan kewangannya lebih
tertutup kepada pengetahuan awam. Jika
sesebuah Syarikat Sendirian Berhad berkenaan tidak
mempunyai ciri-ciri tersebut, Syarikat Sendirian Berhad
berkenaan adalah sebuah Syarikat Persendirian
Yang Tidak Terkecuali. Perkataan tidak terkecuali
itu dengan sendirinya menunjukkan bahawa syarikat
masih perlu mengemukakan akaun yang teraudit kepada
Pendaftar Syarikat untuk dizahirkan kepada awam.
Bagaimana memperoleh
status Syarikat Persendirian Yang Terkecuali?
'Perakuan Pemerbadanan' syarikat anda tidak memberi
pengiktirafan sedemikian rupa. Segalanya bergantung sama
ada syarikat anda memenuhi kesemua ciri-ciri yang
tersebut di atas dan jika 'Penyata Tahunan' syarikat anda
mengandungi satu perakuan oleh pengarah, setiausaha dan
juru audit bahawa syarikat anda adalah sebuah Syarikat
Persendirian Yang Terkecuali pada masa yang
releven. Jika syarikat anda mempunyai anggota yang
melebihi 20 orang dan terdiri daripada orang
biasa (tiada seorang anggotapun yang terdiri
daripada sebuah syarikat atau perbadanan), syarikat anda
pastinya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan
status itu kerana syarikat anda cuma perlu mendapat
perakuan daripada pengarah dan setiausaha syarikat.
Anda mungkin kadangkala menghadapi masalah untuk
mendapatkan perakuan juru audit kerana biasanya
juru audit tidak cenderung untuk memperakukan sesebuah
syarikat sebagai Syarikat Persendirian Yang Terkecuali.
SYARIKAT
BERKAITAN
Hubungan
di antara syarikat
Seperti manusia, syarikat
juga boleh dikaitkan di antara satu sama lain. Realiti
perniagaan akur kepada wujudnya hubungan
kekeluargaan di antara syarikat. Hubungan
kekeluargaan di antara syarikat ini diiktiraf oleh
undang-undang. Undang-undang merujuk syarikat-syarikat
yang mempunyai hubungan kekeluargaan itu sebagai syarikat
berkaitan. Persoalannya, apakah kriteria yang
menetukan wujudnya perkaitan di antara sesebuah syarikat
dengan syarikat yang lain? Seksyen 6 Akta Syarikat
1965 memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat adalah
dianggap berkaitan dengan syarikat
yang lain jika antara kedua-duanya itu wujud perhubungan
pemegang subsidiari atau jika kedua-dua syarikat
berkenaan adalah syarikat subsidiari kepada
syarikat pemegang yang sama.
Misalnya, jika
syarikat B dan syarikat C adalah syarikat
subsidiari kepada syarikat pemegang A, maka
syarikat B adalah berkaitan dengan syarikat A
kerana kedua-duanya mempunyai hubungan
pemegang-subsidiari; dan, syarikat C dan A
juga adalah berkaitan kerana mempunyai hubungan
pemegang-subsidiari juga di antara
kedua-duanya. Begitu jugalah keadaannya, syarikat B dan
syarikat C adalah berkaitan di antara
satu sama lain kerana kedua-duanya adalah syarikat
subsidiari kepada syarikat pemegang yang sama,
iaitu syarikat A.
Pengertian
syarikat pemegang dan syarikat subsidiari
Sekali lagi persoalan
timbul, kenapa syarikat B dan syarikat C dianggap
mempunyai hubungan pemegang subsidiari
dengan syarikat A? Kenapa syarikat A dianggap
sebagai syarikat pemegang, manakala syarikat B
dan syarikat C dianggap sebagai syarikat
subsidiari? Seksyen 5 Akta Syarikat 1965
menjelaskan mengenainya. Berdasarkan contoh di atas,
syarikat A adalah syarikat pemegang
kepada syarikat B (dan juga syarikat C)
jika salah satu daripada syarat yang berikut dipenuhi:
syarikat A mengawal komposisi lembaga pengarah
syarikat B atau syarikat A mengawal lebih
daripada separuh kuasa mengundi syarikat B
atau syarikat A memiliki lebih daripada separuh modal
syer terbitan boleh undi syarikat B
atau syarikat B adalah subsidiari kepada syarikat C
yang juga adalah subsidiari kepada syarikat A.
Keempat-empat keadaan di
atas boleh difahami dengan jelas melalui tiga ujian yang
berikut:
Pertamanya, bagi
menentukan yang syarikat A mengawal komposisi
lembaga pengarah syarikat B, syarikat A
perlu mempunyai majoriti dalam mesyuarat agung syarikat B.
Ini bermakna A mempunyai undi majoriti dan dengan
itu boleh mengawal komposisi lembaga pengarah syarikat B.
Walau bagaimanapun, tidak semestinya syarikat A
perlu menguasai undi majoriti dalam mesyuarat agung
syarikat B, jika Perkara-perkara Persatuan
syarikat B memperuntukkan bahawa pengarah-pengarah
syarikat B tidak boleh dilantik tanpa persetujuan
syarikat A, atau dengan cara yang lain,
Perkara-perkara Persatuan syarikat B
memperuntukkan bahawa mana-mana pengarah syarikat A
adalah secara automatik menjadi pengarah syarikat B.
Selain daripada itu, kawalan komposisi lembaga pengarah
syarikat B oleh syarikat A boleh wujud jika
apa-apa kuasa yang releven yang dipegang oleh syarikat
subsidiari kepada syarikat A yang lain (misalnya
syarikat C) atau melalui penerima
namaan adalah diatribut kepada syarikat A
dalam menetukan kawalan dalam komposisi lemabaga pengarah
syarikat B. Misalnya, syarikat A
mempunyai 10% dan syarikat C, sebuah syarikat
subsidiari kepada syarikat A juga, mempunyai 20%
daripada syer terbitan berkuasa undi dalam syarikat B,
maka jumlah syer terbitan berkuasa undi syarikat C dicampur
dengan jumlah syer terbitan berkuasa undi syarikat A
(iaitu 60%) memberi kuasa kawalan kepada syarikat A
sebagai syarikat pemegang kepada syarikat B.
Keduanya, bagi
menentukan yang syarikat A memegang lebih daripada
separuh modal syer terbitan berkuasa undi syarikat B,
hendaklah terdapat suatu atribut daripada syer-syer yang
dipegang oleh penerima namaan atau syarikat subsidiarinya
kepada syarikat A. Misalnya,
syarikat A tidak disenaraikan dalam Daftar
Anggota-anggota syarikat B, tetapi syarikat A
memiliki 20% modal syer terbitan berkuasa undi atas nama
syarikat Y, penerima namaan syarikat A,
dan, syarikat X, suatu subsidiari kepada syarikat A,
didaftarkan sebagai pemegang 30% modal syer terbitan
boleh undi dalam syarikat B. Jadi B adlah
subsidiari kepada A kerana kedua-dua pegangan
dalam syarikat X dan syarikat Y masing-masing
atribut kepada syarikat A walaupun syarikat A
tidak menjadi anggota syarikat B. Ini juga kerana
syarikat X hanyalah sebuah subsidiari separa
milikan kepada syarikat A. Andaikan syarikat
A memiliki 60% modal syer terbitan boleh undi
dalam syarikat X (dan baki 40% dimiliki oleh orang
lain), maka semua pegangan syarikat X dalam
syarikat B mestilah diatribut kepada syarikat A.
Bukan hanya senkadar 60% itu sahaja. Walau bagaimanapun,
apa-apa syer atau kuasa yang dipegang atau dimiliki hanya
sebagai penerima namaan kepada orang lain tidak boleh
diambil kira. Misalnya, andaikan syarikat A
memiliki 99% daripada syer terbitan boleh undi dalam
syarikat B tetapi syer berkenaan didaftarkan atas
nama bank A sebagai penerima namaan
kepada syarikat A, maka syarikat A
sebenarnya merupakan syarikat pemegang, dan bukannya
bank A.
Ketiganya, jika
wujudnya struktur piramid dalam
perhubungan di antara subsidiari-subsidiari dengan
syarikat pemegang, maka syarikat pemegang berkenaan
dikenali sebagai syarikat ibu. Misalnya,
jika syarikat B dan syarikat C
masing-masing adalah subsidiari kepada syarikat A,
maka A adalah syarikat ibu kepada
syarikat B dan syarikat C.
Syarikat
pemegang utama
Seksyen 5A Akta
Syarikat 1965 memperkenalkan suatu bentuk perhubungan
di antara syarikat, iaitu syarikat pemegang
utama dan syarikat subsidiari kepunyaan
keseluruhan. Syarikat pemegang utama ialah suatu
'perbadanan' yang mempunyai subsidiari tetapi syarikat
itu sendiri tidak menjadi subsidiari kepada syarikat
lain. Misalnya, andaikan syarikat A tidak
menjadi subsidiari kepada mana-mana syarikat lain.
Syarikat A akan menjadi syarikat pemegang utama
kepada syarikat B dan syarikat C.
Sebaliknya syarikat B tidak menjadi syarikat
pemegang utama kepada syarikat C kerana syarikat B
adalah syarikat subsidiari kepada syarikat A.
Syarikat
subsidiari kepunyaan keseluruhan
Seksyen 5B Akta
Syarikat 1965 menakrifkan syarikat subsidiari kepunyaan
keseluruhan sebagai suatu subsidiari yang mana
semua syernya dimiliki oleh syarikat pemegang dan
penerima namaannya, syarikat subsidiari kepunyaan
keseluruhannya dan penerima namaan kepada syarikat
subsidiari kepunyaan keseluruhannya.
JENIS-JENIS
SYARIKAT YANG LAIN
Syarikat
pelaburan
Selain daripada syarikat
berkaitan, syarikat tertentu juga boleh dikategorikan
sebagai 'syarikat pelaburan'. Syarikat pelaburan ialah
syarikat awam yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan
Agung dalam Warta Kerajaan sebagai
syarikat pelaburan. Syarikat pelaburan ialah syarikat
yang terlibat dalam pelaburan sekuriti boleh pasar dengan
motif mendapatkan keuntungan, dan bukannya hanya untuk
melaksanakan kawalan.
Kejenisan syarikat, selain
daripada yang sememangnya ditetapkan oleh undang-undang,
boleh terdiri daripada berbagai jenis, bergantung kepada
sudut pandangan anda. Anda barangkali boleh, pada
pendapat anda, menjeniskan syarikat sebagai syarikat
kecil, sederhana dan besar mengikut saiz jualan,
prestasi, bilangan tenaga kerja atau mungkin juga
berdasarkan kepada modal syer.
Pertukaran
status syarikat
Sepanjang yang berkaitan
dengan undang-undang, kejenisan sesuatu syarikat yang
telah ditetapkan oleh undang-undang boleh berubah
statusnya, misalnya seperti yang berikut: syarikat tidak
berhad boleh bertukar status kepada syarikat berhad atau
syarikat awam boleh bertukar status kepada syarikat
persendirian atau syarikat persendirian boleh bertukar
status kepada syarikat awam.
Biar apapun pertukaran
status ke atas sesebuah syarikat, identiti sesebuah
syarikat berkenaan tidak akan berubah. Jika syarikat anda
telah berubah statusnya daripada syarikat persendirian
kepada syarikat awam misalnya, identiti syarikat anda
tidak berubah. Hak dan obligasi syarikat anda tetap sama
seperti sebelumnya. Cuma yang berbeza ialah. barangkali
kuasa yang ada pada syarikat anda yang mungkin bertambah
atau berkurang, dan obligasi undang-undang yang perlu
dipatuhi oleh syarikat anda mungkin semakin membebankan
atau mulai berkurangan. Kesimpulannya, perubahan status
atau jenis syarikat anda tidaklah menyentuh identiti
syarikat anda atau apa-apa hak dan obligasi syarikat anda
atau mencacatkan apa-apa prosiding oleh atau terhadap
syarikat anda; dan apa-apa prosiding undang-undang yang
mungkin telah diteruskan atau dimulakan oleh atau
terhadap syarikat anda melalui status (jenis) syarikat
anda yang dahulu boleh diteruskan atau dimulakan oleh
atau terhadap syarikat anda dengan status (jenis)
barunya.
RUJUKAN
A. AKTA
SYARIKAT 1965
Seksyen 4, 4A.
Seksyen 5, 5A, 5B.
Seksyen 6.
Seksyen 15 (1)(b).
Seksyen 16 (4), (5).
Seksyen 22 (4).
Seksyen 25 (1), (2), (4),
(5).
Seksyen 26 (1), (2), (3).
Seksyen 27 (1), (2), (7).
Seksyen 36.
Seksyen 121(c).
Seksyen 304 (1), (2).
Seksyen 365 (2)(b).
Jadual 8.
B. AKTA
CUKAI PENDAPATAN 1967
Seksyen 140 (1).
C.
KES-KES MAHKAMAH
Salomon lwn Salomon
& Co. Ltd (1897) A.C. 22.
Lee lwn Lee's
Air Farming Ltd (1960) 3 All E.R. 420.
Bank Bumiputera
Malaysia Berhad & YL lwn Lorren Esme Osman
& YL (1988) 1 MSCLC 90,024.
Zizi Press Sdn. Bhd.
lwn Sriba Hotels Sdn. Bhd. (1989) 1 MSCLC 90,282.
T. SBP Sdn. Bhd.
lwn Director General of Inland Revenue (1988) 1
MSTC 243.
DHN Food Distributors
Ltd lwn Hamlets London Borough Council (1976)
1 W.L.R. 852.
Tiu Sui Kian & YL
lwn Red Rose Restaurant Sdn. Bhd. (1950-1985)
MSCLC 282.
Hotel Jaya Puri Bhd
lwn National Union of Hotel, Bar & Restaurant
Workers & YL (1950-1985) MSCLC 282.
Aspatra Sdn. Bhd. &
YL lwn Bank Bumiputera Malaysia Berhad & YL (1988)
1 MSCLC 90,076.
Gilford Motor Co Ltd
lwn Horne (1933) Ch 935.
FG (Films) Ltd, Re (1953)
1 WLR 483.
|