kembali ke laman utama syarikat.com kembali ke Bahagian 3ke Bahagian 5
 
 
PENETAPAN KORUM

Korum ialah bilangan anggota-anggota yang berhak untuk mengendali urusan mesyuarat yang boleh mengikat semua anggota-anggota. Bilangan yang mencukupkan korum biasanya diperuntukkan oleh Perkara-perkara Persatuan. Jika Perkara-perkara Persatuan tidak menetapkannya, korum ditetapkan oleh Akta sebagai dua orang anggota: seksyen 147 (1)(a).

Hanya orang yang berhak mengundi sahaja dibilang dalam menentukan korum. Jika dibenarkan oleh Perkara-perkara Persatuan, seseorang yang hadir melalui proksi boleh dibilang dalam menentukan korum. Mengikut perkara 47, Jadual A dua anggota yang hadir sendiri atau melalui proksi hendaklah menjadi satu korum. Seorang anggota yang mempunyai lebih daripada seorang proksi tidak menjadi suatu korum, dan kehadiran proksi-proksinya itu tidak dianggap sebagai suatu mesyuarat yang sah: Re Sanitory Carbon Co (1877) WN 223.

Jika Perkara-perkara Persatuan memperuntukkan secara nyata bahawa proksi boleh dibilang dalam menentukan korum, seseorang yang diwakili oleh proksi tidak boleh dibilang dalam menetukan korum, dan hany anggota-anggota yang boleh mengambil bahagian dalam urusan mesyuarat sahaja yang boleh dibilang dalam menentukan korum: Yuill lwn Greymouth, dsb. Railway Co (1904) 1 Ch 32.

KETIADAAN KORUM

Perkara-perkara Persatuan biasanya menetapkan mengenai apa yang akan berlaku jika mesyuarat tidak mencukupi korum semasa mesyuarat sepatutnya dimulakan. Perkara 48 Jadual A misalnya, memperuntukkan bahawa jika dalam tempoh setengah jam, korum masih tidak mencukupi, mesyuarat akan terbubar jika mesyuarat itu diadakan atas rekuisisi anggota-anggota. Jika mesyuarat berkenaan diadakan bukannya daripada rekuisisi anggota-anggota, mesyuarat akan tertangguh genap seminggu dan perlu diadakan di tempat yang sama, atau pada suatu tarikh, masa dan tempat yang lain seperti yang akan ditetapkan oleh lembaga pengarah.

Perbezaan di antara dua keadaan tersebut nampaknya tidak begitu adil jika misalnya ramai anggota-anggota yang membuat rekuisisi tetapi gagal mencukupkan korum kerana pengarah-pengarah tidak menghadirkan diri.

Persoalan timbul sama ada dua pemegang syer secara bersesama, ahdir sendiri atau melalui proksi, boleh dibilang sebagai mencukupi korum atau tidak. Ini kerana perkara 55 yang menguatkuasakan orang yang pertama dalam daftar anggota-anggota boleh mengundi dan menafikan hak mengundi anggota yang seorang lagi. Pada prinsipnya kedua-dua mereka adalah anggota syarikat dan berhak mengundi. Undi anggota yang kedua dinamakan dalam daftar anggota-anggota berkenaan akan terkeluar jika anggota yang pertama dinamakan mengundi semua syer-syuer yang dipegang secara bersesama tetapi dia tidak terikat untuk melakukannya dan idak semestinya melakukannya.

Bagi tujuan korum, sesebuah syarikat yang menjadi anggota syarikat lain dan yang telah memberikuasa kepada seseorang untuk bertindak sebagai wakilnya pada mana-mana mesyuarat syarikat di bawah peruntukan seksyen 147 (4) dianggap sebagai hadir secara perseorangan dan tidak dianggap sebagai hadir melalui proksi: Re Kelantan Coco Nut Estate Ltd (1920) WN 274.

Batasan-batasan yang dikenakan kepada proksi tidak terpakai kepada wakil syarikat. Seseorang yang diwakili oleh wakil dirinya (attorney) tidak dianggap sebagai hadir sendiri. Begitu juga wasi kepada si mati tidak dibilang dalam menentukan korum jika Perkara-perkara Persatuan menghendaki anggota-anggota hadir secara sendiri: Bowling & Welby’s Contract (1895) 1 Ch 663, biarpun wasi berkenaan berhak untuk dimasukkan dalam daftar anggota-anggota tetapi masih belum dimasukkan.

KESAN MESYUARAT TANPA KORUM

Korum adalah prasyarat kepada kesahan mesyuarat. Mesyuarat tidak boleh dijalankan tanpa korum yang mencukupi. Perkara 47 memperuntukkan bahawa tiada urusan boleh dikendalikan pada mana-mana mesyuarat agung melainkan suatu korum anggota-anggota hadir pada masa urusan mesyuarat berjalan. Perkara tersebut bermaksud bahawa bilangan anggota-angota yang mencukupkan korum hadir apabila urusan mesyuarat bermula tidak akan terhenti daripada menjadi suatu mesyuarat jika beberapa orang menarik diri sehinggakan korum tidak mencukupi: Re Hartley, Baird (1955) 1 Ch 143.

Keputusan dalam kes Hartley-Baird jelas sekali tepat bagi mengelakkan seseorang yang mendapati mesyuarat sedang berjalan secara yang bertentangan dengan kepentingannya mengambil langkah keluar untuk meninggalkan mesyuarat. dalamkes tersebut korum mesyuarat ditetapkan sebagai 10 orang. Sebaliknya jika korum adalah dua orang, penarikan diri seorang akan menyebabkan tidak wujudnya mesyuarat: Re London Flats Ltd (1969) 1 WLR 711. Tiada urusan selanjutnya boleh dikendalikan kerana apa-apa ketetapan yang diluluskan pada mesyuarat yang tidak mencukupi korum adalah tidak berkuatkuasa: Howbeach Coal Co lwn Teague (1860) 5 HAN 151, dan apatah lagi jika tiada mesyuarat sama sekali.

Bagaimana jika dalam satu mesyuarat hanya seorang shaja pemegang syer hadir dan menjadi proksi kepada pemegang-pemegang syer yang lain? Kelihatan bahawa tidak wujud ‘mesyuarat’ dan semua ketetapan yang ‘diluluskan’ adalah tak sah. Sesuatu mesyuarat tidak boleh tediri daripada seorang sahaja sama seperti sesuatu mesyuarat tidak wujud jika semua pemegang syer tidak hadir: Sharp lwn Dawes (1876) 2 QBD; Re London Flats Ltd (1969) 1 WLR 711. dalam Re Sanitory Carbon Co (1877) WN 223, diikuti oleh kes Re Keyes (1949) 3 DLR 299, bahawa dalam mesyuarat yang dihadiri oleh seorang pemegang syer sahaja adalah tidak dianggap sebagai ‘mesyuarat’.

Jika Perkara-perkara persatuan membenarkan seseorang anggota hadir melalui proksi dalam menentukan korum, kehadiran seorang anggota, dan seorang bukan anggota yang bertindak sebagai proksi adalah dikira sebagai mencukupkan korum yang ditetapkan sebagai dua orang.

KORUM SEORANG

Dalam hal keadaan terkecuali, seperti yang berikut, kehadiran seorang sahaja boleh menjadikan mesyuarat itu sah:

(a) Jika seorang pemegang syer memegang semua syer dalam kelas tertentu, misalnya syer-syer keutamaan, maka orang berkenaan secara tunggal akan dianggap sebagai mencukupkan korum dan akan mengsahkan mesyuarat kelas berkenaan.

(b) Jika Perkara-perkara Persatuan membenarkan (misalnya perkara 83 dan 86) pengarah-pengarah untuk menetapkan korum dalam mesyuarat lembaga pengarah dan untuk melantik jawatankuasa yang mengandungi suatu bilangan atau ahli-ahli daripada lembaga pengarah, mereka boleh memutuskan bahawa seorang pengarah boleh mencukupkan korum dalam mesyuarat lembaga pengarah atau melantik hanya seorang ahli lembaga pengarah untuk mewujudkan suatu jawatankuasa.

(c) Bagi anak syarikat kepunyaan keseluruhan yang hanya mempunyai seorang anggota, iaitu syarikat pemegangnya, wakil korporat syarikat pemegangnya adalah mencukupkan korum mesyuarat pemegang-pemegang syer anak syarikatnya: seksyen 147 (6).

(d) Mahkamah boleh memerintahkan mesyuarat dipanggil, diadakan dan dijalankan di bawah seksyen 150 ( atas usulnya sendiri atau atas permohonan mana-mana pengarah atau mana-mana anggota yang berhak mengundi di mesyuarat itu atau atas permohonan wakil diri mana-mana anggota itu, dalam keadaan di mana syarikat mendapati atas apa-apa sebab, adalah tidak praktik untuk memanggil suatu mesyuarat mengikut apa-apa carayang mesyuarat-mesyuarat boleh dipanggil atau untuk menjalankan mesyuarat itu mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara-perkara persatuan atau Akta) di mana seorang anggota syarikat yang hadir sendiri atau melalui proksi boleh mencukupkan korum yang sah dalam mesyuarat berkenaan.

(e) Jika bilangan pengarh kurang daripada dua orang, maka pengarah yang tunggal boleh bertindak bagi tujuan melantik bilangan pengarah menjadi bilangan yang dikehendaki. Pengarah tunggal itu adalah mencukupi korum mesyuarat yang diadakan untuk melantik pengarah tambahan berkenaan: perkara 84 Jadual A.