kembali ke laman utama syarikat.com kembali ke Bahagian 5ke Bahagian 7
 
 
KUASA PENANGGUHAN

Jika Perkara-perkara Persatuan tidak memperuntukkan mengenai penangguhan mesyuarat, kuasa menangguhkan mesyuarat diletakhakkan kepada mesyuarat berkenaan: R lwn Grimshaw (1847) 11 JUN 965. Usul penangguhan boleh dikemukakan dalam mana-mana tempoh mesyuarat. Usul penangguhan berkenaan akan mengatasi semua perkara yang sedang dipertimbangkan.

Jika (biasanya) persoalan mengenai penangguhan mesyuarat diperuntukkan dalam Perkara-perkara Persatuan, peruntukan berkenaan perlulah dipatuhi. Dalam keadaan mesyuarat yang berserak, pengerusi mempunyai kuasa (walau apapun peruntukan Perkara-perkara Persatuan) untuk menangguhkan mesyuarat untuk suatu jangka masa yang singkat, dan mengambil langkah-langhkah yang munasabah, seberapa yang boleh memastikan semua yang hadir mengetahui mengenai penangguhan itu: John lwn Rees (1970) Ch 345.

Perkara 50 memperuntukkan bahawa pengerusi mesyuarat boleh, dengan persetujuan suatu mesyuarat yang mencukupi korum (dan hendaklah menangguhkannya jika diarahkan oleh mesyuarat), menangguhkan mesyuarat dari semasa ke semasa dan dari tempat ke tempat, tetapi tiada urusan boleh dibuat pada mana-mana mesyuarat tertangguh selain daripada urusan yang tertinggal tidak diselesaikan pada mesyuarat yang ditangguhkan itu. Jika mesyuarat ditangguhkan selama 30 hari atau lebih notis penangguhan mesyuarat perlu diberikan.

Berasaskan peruntukan perkara 50 di atas, kuasa menangguhkan mesyuarat adalah kuasa mutlak mesyuarat. Walaupun begitu, ada kalanya Perkara-perkara Persatuan hanya memperuntukkan bahawa pengerusi boleh menangguhkan mesyuarat dengan persetujuan mesyuarat berkenaan. Jika demikian halnya pengerusi tidak boleh menangguhkan mesyuarat tanpa persetujuan mesyuarat, tetapi dalam masa yang sama pengerusi tidak boleh dipaksa untuk menangguhkan mesyuarat: Salisbury Gold Mining Co lwn Hathorn (1897) AC 268.

Kuasa untuk menangguhkan mesyuarat yang diberikan kepada pengerusi adalah suatu kuasa fidusiari. Pengerusi tidak boleh menangguhkan mesyuarat secara yang tidak menentu sebelum bermulanya urusan mesyuarat. Jika pengerusi melakukannya juga tanpa alasan yang munasabah, mesyuarat boleh melantik pengarah lain sebagai pengerusi dan terus memulakan mesyuarat: National Dwellings Society lwn Sykes (1894) 3 Ch 159. Pengerusi juga tidak boleh menangguhkan mesyuarat kepada suatu masa atau tempat yang tidak munasabah bagi pemegang-pemegang syer untuk menghadirinya.

Memandangkan kuasa menangguhkan mesyuarat yang ada pada pengerusi adalah suatu kuasa fidusiari, kadangkala pengerusi berkewajipan untuk menangguhkan mesyuarat. Misalnya, jika pengerusi percaya bahawa pemegang-pemegang syer harus diberi peluang untuk mempertimbangkan sesuatu cadangan atau untuk mempertimbangkan sesuatu alternatif lain atau mengkaji sesuatu perkara berasaskan hal keadaan yang berubah-ubah, dia perlu melaksanakan kuasanya itu dengan menangguhkan mesyuarat, dan memberikan alasan-alasannya. Jika tindakan menangguhkan mesyuarat dibuat oleh pengerusi secara suci hati, tindakannya itu tidak boleh dicabar dan akan berkuatkuasa. Kuasa yang diberikan kepadanya untuk menangguhkan mesyuarat adalah bersifat peribadi, kuasa peribadi, bukan kuasa kepada lembaga pengarah.

Ada kalanya Perkara-perkara Persatuan membenarkan pembuangan undi diadakan bagi sesuatu usul penangguhan mesyuarat. Dalam keadaan sedemikian, Perkara-perkara Persatuan memperuntukkan bahawa pembuangan undi dibuat serta-merta, atau, jika tidak dinyatakan secara nyata, mestilah terdapat keperluan tersirat untuk tujuan tersebut bagi menguatkuasakan niat yang nyata. Jika pembuangan undi dibuat, proksi mungkin merasa ragu-ragu sama ada mereka boleh menguatkuasakan undi proksi mereka, dan, jika boleh, bagaimana melaksanakannya. Kadangkala adalah jelas bagaimana mereka boleh melaksanakannya untuk kepentingan orang yang melantik mereka sebagai proksi: Re Waxed Papers Ltd (1937) 2 All ER 481.

Kadangkala juga mereka telah diberi arahan khusus mengenainya. Seseorang proksi hendaklah bertindak atas prinsip bahawa dia dalah seorang ejen kepada orang yang melantiknya, dia berhak untuk bertindak dengan cara yang pada pendapatnya adalah untuk kepentingan orang yang melantiknya atau menurut apa yang difikirkannya patut. Jika dia membuat keputusan sejajar dengan pandangan tersebut dan dibuat pula dengan suci hati, dia tidak boleh dicabar oleh orang yang melantiknya atau oleh syarikat atau oleh sesiapa sahaja. Jika dia merasakan yang dia tidak boleh membuat penentuan, dia boleh untuk tidak mengambil apa-apa tindakan. Kuasanya sebagai ejen adalah kuasa peribadinya biarpun dia dilantik oleh lembaga pengarah. Hak dan kewajipan untuk membuat pilihan adalah haknya bukan hak dan kewajipan lembaga pengarah.

URUSAN DALAM MESYUARAT TERTANGGUH

Jika suatu ketetapan diluluskan dalam mesyuarat tertangguh, pemegang mana-mana kelas syer dalam syarikat, atau pengarah-pengarah syarikat, ketetapan itu hendaklah bagi semua tujuan dianggap sebagai diluluskan pada tarikh sebenanrnya diluluskan dan hendaklah tidak disifatkan sebagai telah diluluskan pada mana-mana tarikh yang lebih awal: seksyen 155.

Perkara-perkara Persatuan biasanya memperuntukkan mengenai urusan yang akan dikendalikan dalam sesuatu mesyuarat tertangguh. Biasanya hanya urusan yang diadakan tetapi tidak dapat diselesaikan pada mesyuarat asalnya sahaja yang boleh dikendalikan dalam mesyuarat tertangguh.

Ada kalanya urusan-urusan yang tidak dikendalikan dalam mesyuarat asal juga boleh dikendalikan. Dalam Catesby lwn Burnett (1916) 2 Ch 325, Perkara-perkara Persatuan memperuntukkan bahawa seseorang anggota tidak boleh layak untuk dilantik sebagai pengarah melainkan jika notis 14 hari penuh mengenai niat berkenaan diberikan kepada syarikat sebelum hari perlantikan. Pada mesyuarat agung tahunan terdapat dua orang pengarah yang akan bersara tetapi mesyuarat telah ditangguhkan tanpa pemilihan pengarah. Notis telah diberikan 14 hari penuh sebelum mesyuarat tertangguh itu, dan kedua-dua pengarah yang baru dilantik itu telah diputuskan sebagai telah dilantik dengan sah, kerana tarikh mesyuarat tertangguh adalah pada tahun yang sama dengan tarikh perlantikan. Jika Perkara-perkara persatuan memperuntukkan notis 14 hari sebelum mesyuarat di mana mereka dilantik, perkara seperti itu tidak akan berlaku.

Atas alasan yang sama, proksi kadangkala boleh didapati pada mesyuarat tertangguh sebaliknya tidak boleh didapati pada mesyuarat terdahulu, misalnya borang proksi perlu doserahkan tidak kurang daripada 48 jam sebelum mesyuarat atau mesyuarat tertangguh: perkara 61 Jadual A.

Di sisi undang-undang, mesyuarat tertangguh adalah kelangsungan daripada mesyuarat asal: Scadding lwn Lorant (1851) 3 HLC 418, dan oleh itu notis yang baru tidak diperlukan: Wills lwn Murray (1850) 4 Ex 843, melainkan jika Perkara-perkara Persatuan menghendakinya. Misalnya, perkara 50 Jadual A menghendaki supaya notis baru dibuat jika mesyuarat asal ditangguhkan 30 hari atau lebih.

Dengan ketiadaan kuasa nyata dalam Perkara-perkara persatuan, pengarah-pengarah syarikat tidak mempunyai kuasa untuk menunda mesyuarat yang telah diadakan dengabn sempurna: Smith lwn Paringa Mines (1906) 2 Ch 193. Jika mereka berusaha juga untuk menggunakan kuasa tersebut, pemegang-pemegang syer boleh, jika difikirkan patut, bermesyuarat pada tempat, masa dan tarikh yang diberikan dalam notis dan mengendalikan urusan yang sepatutnya diadakan sebelum mesyuarat ayang diadakan itu. Jika pengarah-pengarah bercadang untuk menunda mesyuarat, satu-satunya cara ialah dengan bermesyuarat secara formal dan mendapatkan persetujuan mesyuarat untuk menundanya pada masa yang sesuai dan selesa.

Kebiasaannya pengarah-pengarah bercadang untuk menunda mesyuarat, sama ada kerana hal keadaan telah berubah atau terdapat perubahan-perubahan yang dijangkakan. Dalam hal keadaan sedemikian, mereka sepatutnya, jika mempunyai masa, memaklumkan kepada pemegang-pemegang syer niat dan alasan mereka, sama ada melalui edaran atau, jika masa terlalu singkat, melalui iklan akhbar. Tujuan memaklumkan kepada pemegang-pemegang syer adalah untuk menunjukkan bahawa mesyuarat itu hanyalah suatu formaliti dan adalah membuang masa sahaja untuk mereka menghadirinya.

Dalam hal keadaan tertentu, mesyuarat boleh diteruskan pada tarikh yang lain tanpa perlu ditangguhkan: Jackson lwn Hamlyn (1953) 1 Ch 577.